website statistics
feed
Home arrow About Us arrow Committees arrow National Young Lawyers arrow YL Personality: Shahrizal Bin Mohd Zin
Advertisement
YL Personality: Shahrizal Bin Mohd Zin PDF Print E-mail
Thursday, 08 February 2007 06:45am

Contributed by the National Young Lawyers Committee

Shahrizal Bin Mohd Zin“Keistimewaan tertentu bagi satu-satu kaum dalam bidang ekonomi tidak dapat dielakkan dalam keadaan iklim politik Malaysia hari ini”

Mungkin ada yang pernah bertemu beliau di Mahkamah dan mungkin juga ramai yang tidak mengenali beliau; tetapi di kalangan kenalan dan rakan seuniversiti ketika di Universiti Malaya, beliau dikenali sebagai antara pelajar Bumiputera yang setanding pelajar cemerlang lain.

Shahrizal Bin Mohd Zin telah didaftaraikan sebagai peguambela dan peguamcara pada 2 Mei 2003 dan merupakan salah seorang peguam muda yang mampu berjaya jika diberi peluang.

Dara Waheda Binti Mohd Rufin telah menemuramah beliau baru-baru ini.

Siapakah idola anda? Mengapakah anda memilih individu tersebut sebagai idola anda?

Saya hanya mempunyai seorang sahaja idola pertama dan terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Mengapa? Sudah tentu kerana baginda diutuskan oleh Tuhan untuk menjadi contoh dan ikutan umat Islam dalam seluruh aspek kehidupan.

Namun begitu, saya juga mempunyai beberapa orang berpengaruh dalam bidang-bidang tertentu yang saya gemari. Antaranya dalam bidang penulisan yang bergenre sastera/sejarah saya menyukai Chairil Anwar dan Pramodya Ananta Toer, kedua-duanya dari Indonesia. Manakala penulisan bercorak kritik sosial saya menyukai Hishamuddin Rais, Dr. Azmi Sharom bagi penulisan ilmiah undang-undang dan bagi fiksyen undang-undang sudah tentu John Grisham. Boleh dikatakan hampir semua karya mereka saya baca.

Mengapakah anda memilih profesion peguam?

Secara jujurnya, saya memilih profesyen undang-undang adalah kerana saya tidak begitu meminati bidang sains ketika di sekolah menengah; bukannya tidak pandai ya! (sambil ketawa)

Saya memilih untuk masuk ke aliran perdagangan semasa di Tingkatan 4 dan pilihan saya selepas tamat sekolah hanyalah untuk belajar perakaunan atau undang-undang di universiti. Oleh kerana saya juga tidak menggemari angka berbanding fakta, maka saya memilih kursus undang-undang.

Pada pendapat anda, adakah seorang peguam perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang sesuatu perkara lain yang tiada kaitan dengan undang-undang? Mengapa?

Ya, sudah tentu kerana ia akan memberikan kelebihan tersendiri kepada peguam tersebut dari segi sosial dan kerjaya. Pertama dari segi sosial, pengetahuan yang luas dalam bidang lain akan menjadikan seseorang peguam itu lebih “versatile” dan tidak hanya “stereotype” dengan cenderung untuk banyak bercakap tentang undang-undang sahaja.

Kedua, pengetahuan luas dalam bidang-bidang tertentu akan dapat meningkatkan kerjaya seseorang peguam. Kita semua tahu untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian di Mahkamah seseorang peguam haruslah mengenalpasti apakah persolan undang-undang dan persolan fakta. Di sinilah pentingnya pengetahuan yang luas kerana siapa tahu mungkin pengetahuan tersebut juga berkait rapat dengan persolan fakta dalam kes yang sedang dikendalikannya sekaligus dapat membantu peguam tersebut lebih memahami sesuatu fakta. Manakala gabungan dari pemahaman persolan undang-undang dan persolan fakta akan dapat menghasilkan tafsiran undang-undang yang tepat.

Peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah menyebabkan Kerajaan memperkenalkan satu program jangka panjang selama 20 tahun yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru. Sepanjang dasar ini diperkenalkan, pada pendapat anda sejauh manakah keberkesanan dasar ini dalam membantu mengukuhkan sosio-ekonomi kaum-kaum di negara ini?

Saya tidak hanya ingin membincangkan kedudukan sosio-ekonomi kaum-kaum di Malaysia dengan hanya berpaksikan DEB semata-mata. Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh. Saya fikir DEB sedikit sebanyak telah berjaya meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu dari segi mewujudkan peluang-peluang perniagaan di kalangan peniaga Bumiputera. Perkara ini juga telah membukakan peluang-peluang pekerjaan yang berkaitan sekaligus dapat mengurangkan kadar kemiskinan masyarakat.

Namun begitu dari sudut lain saya fikir pelaksanaan dasar ini tidak konsisten dengan beberapa pengenalan dasar-dasar baru oleh Kerajaan dalam bidang pendidikan. Sebagai contoh penghapusan dasar “quota” dengan menggantikan dasar meritokrasi untuk memasuki universiti sangat merugikan kaum Bumiputera sendiri. Apakah kayu ukur yang sama boleh digunakan untuk menilai kelayakan akademik bagi pelajar yang bersekolah di kawasan bandar yang mempunyai kemudahan serba lengkap dengan pelajar yang bersekolah di luar bandar/pedalaman yang serba kekurangan?

Apakah kesannya? Setelah dasar ini diperkenalkan pada sekitar tahun 2002, jumlah pelajar Melayu terutamanya lepasan STPM yang layak mengikuti kursus-kursus popular seperti undang-undang atau perakaunan amatlah berkurangan. Mereka hanya layak untuk memenuhi fakulti-fakulti sains sosial, sastera, pendidikan Islam dan perkara ini telah digembar-gemburkan oleh media sebagai “kejayaan” pelajar Bumiputera mengharungi system meritokrasi!

Lebih memburukkan lagi keadaan pusat-pusat matrikulasi yang dulunya diasaskan untuk melatih pelajar-pelajar Bumiputera dalam bidang sains kini telahpun dibuka untuk pelajar bukan Bumiputera. Tidak cukup dengan pusat-pusat Matrikulasi, Maktab Rendah Sains Mara juga telah dibukakan pintu kepada pelajar bukan Bumiputera.

Pengenalan subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris juga saya lihat amat merugikan pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera khususnya mereka yang bersekolah di kawasan luar bandar. Saya sehingga kini masih tertanya-tanya apakan matlamat dasar tersebut. Jikalau untuk memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris saya fikir lebih baik kaedah pengajaran bahasa tersebut dikaji semula sekiranya didapati pelajar-pelajar gagal menguasainya dengan baik selepas tamat tempoh persekolahan.

Ataupun lebih baik dihidupkan semula sekolah beraliran Inggeris sepenuhnya seperti yang pernah diwujudkan suatu ketika dahulu bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar serta ibubapa mereka.

Saya fikir matlamat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak akan tercapai kerana bahasa ini tidak digalakkan untuk berkembang dalam bidang Sains dan Matematik berikutan dasar yang telah dilaksanakan. Semua pengenalan dasar pendidikan ini saya melihat amat tidak konsisten dengan matlamat DEB itu sendiri kerana saya percaya kesan daripada sistem pendidikan seperti ini bakal memberikan akibat buruk kepada keseimbangan sosio-ekonomi kaum dan juga bakal menjarakkan lagi jurang pendidikan sesama kaum samada Bumiputera atau bukan Bumiputera khususnya mereka yang tinggal di luar bandar/pedalaman dan golongan berpendapatan rendah.

Apakah perlu diwujudkan keistimewaan tertentu bagi satu-satu kaum dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia khususnya dalam bidang ekonomi?

Keistimewaan seperti ini tidak dapat dielakkan dalam keadaan iklim politik Malaysia hari ini. Setiap parti politik begitu cenderung untuk memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing terutamanya dari sudut ekonomi. Parti politik yang ada di Malaysia hari ini kebanyakkannya adalah berasaskan kepada perkauman. Sudah tentu untuk berkuasa, parti-parti politik akan menggunakan umpan ekonomi untuk meraih sokongan ahli daripada kaum masing-masing. Sekiranya mereka ingin meraih lebih sokongan daripada kaum-kaum lain, maka kelebihan ekonomi ataupun pendidikan yang mereka sedia ada hendaklah dikorbankan kepada kaum-kaum lain yang akhirnya akan merugikan banyak pihak seperti yang telah dijelaskan di atas.

Keistimewaan boleh diberikan tetapi saya fikir kaedah alternatif yang lebih telus dan adil perlu dikaji bagi membolehkan keistimewaan ekonomi dapat disampaikan sepenuhnya kepada semua kaum tanpa berlaku rasuah dan penyelewengan dan proses agihan punca-punca ekonomi.

Baru-baru ini, terdapat banyak rungutan dari pelbagai pihak terutamanya para Hakim dan Menteri yang tidak senang dengan jumlah-jumlah kes yang tertangguh di Mahkamah. Kebanyakan dari mereka menyalahkan peguam yang dikatakan sebagai punca kelengahan sesuatu kes dibicara dan/atau diputuskan oleh pihak Mahkamah. Adakah anda bersetuju dengan pendapat ini?

Ya, secara amnya saya bersetuju. Terdapat kes-kes di mana para peguam terpaksa memohon penangguhan bicara disebabkan alasan-alasan tertentu yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, para peguam sahaja tidak harus dipersalahkan sepenuhnya kerana kadang-kadang penangguhan kes juga berpunca daripada Mahkamah sendiri mahupun Pendakwaraya untuk kes-kes jenayah misalnya. Pada saya alasan-alasan penangguhan tersebut hendaklah diteliti. Sekiranya alasan penangguhan adalah munasabah ianya tidak harus dijadikan isu. Tetapi sekiranya penangguhan tersebut berulang disebabkan alasan yang sama sehingga tiada apa-apa kemajuan dicapai dalam perbicaraan kes tersebut, saya fikir keadilan pihak-pihak terlibat akan dinafikan.

Pada pendapat anda, apakah sistem yang berkesan yang akan dapat membantu mengurangkan jumlah-jumlah kes yang tertangguh?

Saya fikir penambahan bilangan Mahkamah serta Majistret/Hakim adalah perlu terutama di tempat-tempat yang dikenalpasti berlakunya lambakan kes-kes tertunggak. Selain itu, penggunaan kaedah-kaedah alternatif kepada litigasi di Mahkamah seperti timbangtara atau “mediation” haruslah digalakkan supaya digunakan sepenuhnya bagi kes-kes yang sesuai.

Sekiranya anda bertemu atau berhadapan dengan peguam yang gemar memohon penangguhan kes, apakah yang akan anda lakukan?

Saya akan melihat kepada alasan-alasan penangguhan tersebut. Sekiranya pada saya alasan tersebut adalah munasabah dan tidak dapat dielakkan biasanya saya tidak mempunyai bantahan. Ini kerana perkara yang sama juga boleh terjadi kepada saya di kemudian hari.

Namun sekiranya saya mendapati beliau dengan sengaja cuba melengahkan-lengahkan perbicaraan, selepas beberapa penangguhan, tanpa alasan yang wajar atau munasabah, maka saya terpaksa memohon kepada Mahkamah untuk meneruskan kes. Namun begitu, keputusan sama ada untuk menangguhkan atau meneruskan sesuatu kes akhirnya akan ditentukan oleh Mahkamah.

Bagaimanakah anda menghabiskan masa pada waktu lapang atau hari kelepasan?

Selain memperuntukkan masa melakukan aktiviti kekeluargaan, bagi diri sendiri selain membaca saya akan meluangkan masa bermain “Playstation2”. Saya adalah seorang “hardcore gamer” terutamanya siri permainan bolasepak “Winning Eleven” keluaran syarikat Konami dari Jepun. Saya juga berhasrat membeli “Playstation3” tetapi hanya selepas berlaku lambakan di pasaran yang menyebabkan harganya turun!

Pada pendapat anda apakah fungsi sukan dan riadah dalam kehidupan seharian manusia?

Dua sebab:

Pertama, untuk “enjoy” dan “meraikan kehidupan”. Kedua, untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan “stress” bekerja.

Adakah sukan juga penting dalam kehidupan seorang peguam yang professional? Mengapa?

Selain untuk menjaga kesihatan, sukan juga penting untuk bersosial dan mengeratkan hubungan sesama rakan peguam atau anakguam.

Kata orang: sukan dapat mengukuhkan lagi perpaduan. Sejauh manakah kebenaran kata-kata ini?

Ianya benar tetapi keberkesanan fungsi sukan untuk mengukuhkan perpaduan haruslah bermula di peringkat akar umbi. Maksud saya, sukan hanya menjadi ejen perpaduan sekiranya dimulakan secara serius di peringkat sekolah rendah lagi. Namun untuk tujuan itu, kemudahan asas sukan di setiap sekolah rendah atau menengah haruslah mencukupi. Bagaimanakah aktiviti kesukanan dapat dilakukan sekiranya masih terdapat sekolah-sekolah yang tidak memiliki padang bola ataupun gelanggang badminton dalam dewan?

Selain itu, pengenalan sukan mengikut kaum juga haruslah dihapuskan sejak di bangku sekolah lagi supaya tidak ada kecenderungan perasaan perkauman untuk menyertai sesuatu jenis sukan dengan menganggap sukan ini hanya untuk kaum tertentu dan sebaliknya. Di tempat-tempat yang mempunyai masyarakat majmuk, penglibatan semua kaum dalam aktiviti–aktiviti sukan haruslah digalakkan. Contohnya orang Melayu digalakkan bermain bola keranjang manakala orang Cina dan India digalakkan bermain sepak takraw. Tetapi perkara ini hanya akan berlaku sekiranya mereka telah terbiasa berbuat demikian sejak dibangku sekolah lagi !

Amat menyedihkan apabila sekarang ini pengenalan sukan mengikut kaum menjadi semakin ketara. Salah satu contoh misalannya kaum Cina terutamanya semakin menjauhkan diri dalam sukan bola sepak. Bolehkah anda mengenalpasti nama dan berapa ramaikah pemain berketurunan Cina dalam pasukan bolasepak kebangsaan sekarang? Saya percaya ketika Malaysia pernah menjadi salah suatu kuasa bolasepak Asia pada 70-an, ketika itu pasukan negara mempunyai lebih pemain berbilang kaum berbanding sekarang!

Mengambil contoh insiden Zinedine Zidane-Marco Materazzi di perlawanan akhir Piala Dunia 2006 dan pergaduhan yang tercetus antara penyokong-penyokong menjelang pertemuan suku akhir Piala Dunia; setelah melihat insiden-insiden ini berlaku, adakah sukan masih dikatakan mampu mengukuhkan perpaduan?

Seperti saya katakan tadi sukan hanya berkesan memupuk perpaduan sekiranya dikembangkan secara serius di peringkat sekolah rendah lagi sehingga kita dapat meminggirkan pengenalan sukan mengikut kaum. Namun begitu, insiden-insiden buruk walaupun acapkali berlaku tidaklah boleh dijadikan kayu ukur bahawa sukan tidak lagi menjadi ejen perpaduan.

Insiden Zidane v Metarazzi pada saya hanyalah rencah perlawanan akhir untuk menjadikannya lebih dramatik. Dalam saingan sukan peringkat tinggi seperti itu apa saja boleh berlaku. Taktik samada berbentuk fizikal atau psikologi akan digunakan untuk mendapatkan kelebihan memenangi perlawanan.

Manakala pergaduhan sesama penyokong bolasepak khususnya di Eropah sering terjadi. Walaubagaimanapun saya percaya bahawa golongan penyokong yang suka membuat kacau adalah merupakan “hardcore football hooligans” yang sesetengahnya telahpun disenaraihitam oleh pihak Imigresen dari memasuki sesebuah negara. Tambahan pula golongan ini biasanya sedang khayal dengan dadah ataupun alkohol ketika mencetuskan pergaduhan.

Tetapi di negara kita saya percaya para penyokong UMNO dan PAS masih boleh duduk semeja melupakan politik seketika sewaktu mononton siaran langsung bolasepak antarabangsa! Tidakkah perpaduan telah diwujudkan oleh sukan?

Baru-baru ini satu program realiti TV bercorak sukan bolasepak “My Team” telah dianjurkan hasil cetusan idea Khairy Jamaluddin dalam usaha melahirkan pemain-pemain bolasepak yang profesional. Pada pendapat anda, adakah program-program realiti TV seperti ini wajar diadakan?

Program reality TV bercorak sukan masih baru di negara kita dan “My Team” telah menjadi pelopornya. Tidak dinafikan program ini amat menarik kerana bakat-bakat terpendam dapat dicungkil untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Apa yang lebih menarik corak pemilihan pemain dilakukan dengan terbuka dan telus. Tidak ada sikap pilih bulu atau mementingkan kroni dalam pemilihan tersebut. Pemain-pemain yang dipilih adalah berdasarkan merit dan kebolehan. Hasilnya kita dapat melihat sebuah pasukan berbilang kaum dihasilkan.

Pada saya program sebegini wajar diadakan tetapi dengan format yang berlainan. Saya lebih suka pembangunan bolasepak di wujudkan di peringkat remaja berbanding dewasa seperti yang dilakukan oleh “My Team” tahun lepas. Walaupun terdapat ura-ura yang mengatakan program siri baru ini akan mencari bakat pemain yang lebih muda bagi menghadapi Piala Presiden, namun cadangan saya kepada Khairy Jamaludin adalah supaya program ini digunakan untuk menubuhkan dua pasukan remaja iaitu di bawah umur 15 serta 18 tahun supaya akhirnya kemampuan mereka akan dinilai dalam perlawanan dengan pasukan kebangsaan di peringkat umur sama.

Adakah ianya berkesan?

Ianya hanya berkesan untuk menghiburkan penonton dan menaikkan “ratings” rancangan tersebut di TV tetapi sama sekali tidak berkesan dalam pembangunan jangka panjang bolasepak negara. Tentunya saya mempunyai alasan tersendiri untuk berkata demikian. Anda lihat sendiri permainan mereka menentang pasukan kebangsaan bawah umur 20 tahun malam tersebut masih kelam-kabut. Manakala pasukan kebangsaan bawah umur 20 tahun yang mengalahkan mereka 2-1 juga tewas mudah dalam kesemua perlawanan Piala Asia Bawah Umur-20 di India baru-baru ini. Namun mereka masih diberikan peluang menjalani latihan oleh MSN di Pusat Sukan Berpretasi Tinggi di London!

Sudah tentu standard pasukan “My Team” masih jauh di peringkat antarabangsa. Malahan pemain-pemain asal “My Team” juga didapati masih belum cukup “standard” untuk bermain dalam Liga Perdana musim ini sehingga terpaksa menggunakan khidmat pemain-pemain profesional tempatan yang sedia ada di samping pemain-pemain import.

Saya fikir lebih baik pencarian dan pembentukan bakat pemain dimulakan oleh “My Team” pada peringkat bawah umur 15 sehingga 18 tahun supaya lebih banyak pemain remaja berkualiti dapat dibekalkan kepada negara.

Bayangkan jika sains sukan dan dunia kepeguaman bertembung antara satu sama lain, pada pandangan anda apakah yang akan berlaku?

Sesuatu yang menarik pasti akan berlaku kerana dapat membuka peluang baru serta menghasilkan keuntungan kepada banyak pihak. Saya percaya fungsi sains sukan adalah untuk memajukan prestasi atlit dan sukan itu sendiri melalui kejurulatihan serta amalan pemakanan. Sekiranya sains sukan dapat mengembangkan sukan itu sendiri sehingga mampu mewujudkan suatu industri yang menguntungkan, saya percaya peguam juga akan mendapatkan habuan mereka.

Sebagai contoh, apabila David Beckam menandatangani kontrak bernilai USD250 juta untuk bermain dengan kelab bolasepak “Los Angeles Galaxy” sudah tentu wujud panel peguam yang menyediakan kontrak tersebut. Anda sendiri bayangkanlah yuran guaman mereka. Sudah tentu lumayan! Itu belum lagi termasuk kontrak-kontrak penajaan syarikat sukan gergasi seperti “Adidas”, “Puma” atau “Nike” kepada ahli-ahli sukan antarabangsa - sudah tentu terdapat peguam yang memainkan peranan mereka menasihati kandungan kontrak atau mewakili anak guam meraka di Mahkamah sekiranya wujud pertikaian dalam kontrak berkenaan.

Semua ini indah untuk dibayangkan tetapi saya tidak fikir perkara ini boleh berlaku di negara kita dalam masa terdekat. Kita masih belum berupaya menjadi kuasa sukan yang disegani secara keseluruhannya. Sukan di Malaysia belum boleh dikatakan menjadi industri. Bolasepak di tahap lemah, badminton sederhana manakala sukan berprestasi baik seperti bowling and skuash tidak pula dipertandingkan di sukan Olimpik!

Other YL Personalities:

YL Personality: Rezalman B. Bahran
YL Personality: Gavin Tang Cheng Loong

YL Personality: Noreen Ahmad Ariff
YL Personality: Nadia Ashikin binti Maduarin
YL Personality: David Dinesh Mathew
YL Personality: Nizam Bashir Bin Abdul Kariem Bashir
YL Personality: Amer Hamzah Bin Arshad
YL Personality: Ernie Suffiani Binti Salim
YL Personality: Ahmad Syukri Bin Yusoff
YL Personality: Dipendra Harshad Rai
YL Personality: Soo Wee Loon
YL Personality: Tracy Hah
YL Personality: Aminuddin bin Abdullah

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
Username Password
Remember Me | Register | Lost Password?

Q & A with Razak



View Full Calendar