|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Arshad Khan
KUALA LUMPUR 8 Mei –Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan UMNO
membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh ekoran kenyataannya
yang mempersoal bidang kuasa Sultan Perak.
Laporan itu telah dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.
Presiden UMNO ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran
Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia Kelima (MIHAS) di Pusat Pameran dan
Konvensyen Matrade (MECC) di sini menegaskan, laporan polis dibuat kerana
tindakan Karpal mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan kemarahan
orang Melayu.
Menurut beliau kenyataan Pengerusi DAP itu dalam isu berkenaan antara lain boleh
dilihat sebagai menggambarkan bahawa sultan tidak tahu tentang tugas dan bidang
kuasa mereka.
Katanya, justeru kenyataan itu jelas adalah satu bentuk hasutan dan dengan
adanya laporan polis maka perkara itu akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara
dan mahkamah untuk tindakan seterusnya.
“Setiausaha Agung UMNO diminta membuat laporan polis supaya kes ini dapat dibawa
kepada Jabatan Peguam Negara dan mahkamah,” katanya.
Karpal sebelum ini mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri
Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan
penukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury yang disifatkan sebagai campur tangan
istana dalam pentadbiran negeri.
Karpal sehingga hari ini terus mempertahankan kenyataannya itu walaupun dikritik
pelbagai pihak termasuk desakan supaya beliau meminta maaf.
Tidak cukup mengenai isu tersebut, Karpal juga dilaporkan sebagai turut
mempersoalkan siapa yang menjadi penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong
semasa pembukaan Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ini mendorong beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membidas tindakan
pemimpin DAP itu yang disifatkan menghina institusi raja.
Tambah Perdana Menteri, kenyataan Karpal yang berunsur hasutan itu secara nyata
telah menimbulkan kemarahan banyak pihak di negara ini.
“Malah saya telah diberitahu, bukan sahaja orang Melayu tetapi juga rakyat
Malaysia lain, yang menghormati Perlembagaan berasa kesal dan amat marah dengan
apa yang berlaku,” jelasnya.
Tengku Adnan ketika ditemui selepas membuat laporan itu berkata, kenyataan yang
dibuat oleh Karpal itu wajar disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen
3(1)(a) atau (f) Akta Hasutan 1948 kerana dibuat di kawasan lobi Parlimen.
“Beliau turut mempersoalkan secara terbuka tentang budi bicara raja-raja Melayu
di Terengganu, Perlis dan Perak sambil membuat ulasan keras bahawa raja
tertakluk kepada undang-undang seperti rakyat biasa ekoran pindaan Perlembagaan
tahun 1993.
“Ulasan tersebut seolah-olah memberi amaran kepada Sultan Perak dan raja-raja
Melayu yang lain supaya tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri dan ini
adalah satu penghinaan kepada raja-raja Melayu,” katanya.
Tambah beliau, Karpal masih perlu dikenakan tindakan walaupun Pengarah Jabatan
Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury yang sebelum ini ditukar serta-merta
telah dikembalikan ke jawatan asalnya.
“Soalnya sekarang, kenapa beliau membuat kenyataan seperti itu dari mula, adakah
untuk menyakitkan hati rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kenyataan Karpal itu dibimbangi mampu mencetuskan sentimen
perkauman di kalangan rakyat negara ini.
Turut membuat laporan polis terhadap Karpal hari ini ialah Kelab Ahli Parlimen
Barisan Nasional (BNBBC) dan Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).
Laporan BNBBC dibuat oleh Penasihat Undang-Undangnya, Razali Ibrahim di Balai
Polis Brickfields dengan diiringi empat lagi ahli Parlimen iaitu Dr. Mohd. Puad
Zarkashi (Batu Pahat), Datuk Mohamad Aziz (Sri Gading), Datuk Ismail Kassim (Arau)
dan Ahmad Maslan (Pontian).
Laporan oleh BBPM pula dibuat oleh Pengerusinya, Osman Bakar di balai polis yang
sama.
Sementara itu Perdana Menteri ketika diminta mengulas mengenai pendakwaan
terhadap editor laman web, Raja Petra Raja Kamarudin di bawah Akta Hasutan,
berkata, sesiapa pun tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
‘‘Kalau dah melanggar undang-undang, tentu akan ada tindakan terhadapnya .
‘‘Kalau bersalah dia kena hadapilah, negara kita ada undang-undang dan kenalah
hormati,’’ tegasnya.
Nizar membisu
Oleh Abdul Razak Din
IPOH 8 Mei - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini
mengambil sikap berdiam diri dengan tidak menyatakan sebarang pendirian terhadap
kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak
dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).
Ketika diminta menyatakan pendirian berhubung perkara itu beliau hanya menjawab:
''Tiada, tiada, tiada, tiada komen, tiada kenyataan daripada saya.''
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan
dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini
hari ini.
Meskipun didesak oleh para wartawan, Mohammad Nizar tetap mengelak untuk
memberikan sebarang komen.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir
meminta Menteri Besar menyatakan pendirian kerajaan negeri terhadap sikap biadap
Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan
Shah.
Ini kerana katanya, seluruh rakyat yang menghormati institusi raja terluka
dengan sikap Karpal mempertikaikan kuasa Sultan Perak dan Raja Muda, Raja Dr.
Nazrin Shah secara terbuka.
Tindakan Karpal menyanggah titah Sultan Perak menunjukkan keperibadian beliau
tidak terdidik dengan sosio-budaya dan sistem berkerajaan yang diwarisi turun
temurun di negara ini.
Malah, apa yang paling dikesali, katanya, Karpal mengkritik Sultan Perak yang
pernah menyumbangkan jasa besar dalam perundangan negara dan disegani seluruh
masyarakat.
Sementara itu, Mohammad Nizar juga memberitahu, beliau belum mendapat perkenan
Sultan Perak untuk menghadap memohon ampun berhubung tindakannya yang
membelakangkan baginda ketika mengarahkan pertukaran Pengarah JAIP.
''Saya belum mendapat perkenan untuk menghadap baginda dan tarikhnya juga belum
ditetapkan," katanya.
|