(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Karen Cheah Yee Lynn, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 3 April 2023, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia amat terganggu dengan ulasan-ulasan yang mengelirukan dan perkembangan terkini berkenaan dengan percubaan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak (“Najib”) daripada sabitan yang dikenakan terhadapnya dalam kes SRC International.
Pada 28 Februari 2023,1 Badan Peguam Malaysia telahpun menyatakan bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (“SPRM”) dalam menghantar surat kepada Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan Malaysia, YAA Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, adalah di luar bidang kuasa dan kuasa berkanun SPRM khususnya apabila penyiasatan SPRM terhadap seorang bekas hakim mahkamah tinggi adalah berhubung dengan isu pelanggaran etika kehakiman. Pihak awam perlu mengetahui bahawa SPRM tidak berkelayakan mahupun mempunyai kecekapan untuk memahami perkara-perkara mengenai kod etika kehakiman.
Siasatan SPRM dalam hal ini bukan sahaja merupakan satu tindakan tanpa bidang kuasa yang wajar, malah menimbulkan persoalan mengapa SPRM cuba merentasi bidang kuasa yang tidak dirangkumi di bawah Akta SPRM 2009, dan di luar bidang kecekapan SPRM.
Badan Peguam Malaysia mempunyai pandangan yang bersepadu bahawa badan yang sesuai untuk menyiasat dan memutuskan kelakuan etika hakim terletak pada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010. SPRM langsung tiada peranan dalam perkara ini. Badan Kehakiman, sebagai sebuah institusi, dan hakim-hakim, diberikan jaminan perlembagaan yang melindungi mereka daripada tekanan politik — ia adalah perlindungan yang amat diperlukan untuk menjamin kesaksamaan mereka. Oleh itu, sebarang siasatan SPRM yang berupa pelanggaran etika hakim adalah secara terang-terangan bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa (“separation of powers”), kerana ia merupakan suatu campur tangan oleh Eksekutif dalam pentadbiran keadilan.
Selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan kehakiman (“judicial review”) Najib dalam kes SRC International pada 31 Mac 2023 dengan keputusan 4-1,2 salah satu pandangan yang sering disebut berkenaan dengan penghakiman minoriti oleh Mahkamah Persekutuan adalah ia mungkin membolehkan cubaan-cubaan untuk menghidupkan semula satu semakan terhadap semakan kehakiman yang telahpun diputuskan dalam sistem perundangan, ataupun ia membolehkan perbicaraan semula kes tersebut. Sekali lagi, orang ramai mesti mengetahui bahawa dalam sistem perundangan di Malaysia, sebarang penghakiman yang berbeza daripada hakim-hakim di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah tidak lebih daripada perbezaan pendapat. Orang ramai harus menyedari bahawa pada pengakhiran kes, keputusan majoritilah yang diambil kira sebagai keputusan muktamad, dan berjaya mengatasi penghakiman minoriti. Pertentangan pendapat tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menimbulkan satu lagi perbicaraan semula; dan ia juga tidak mewujudkan hak untuk semakan “selanjutnya” di bawah Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Perlu adanya kemuktamadan dalam litigasi. Perbezaan pendapat hakim dalam minoriti tidak boleh mengatasi penghakiman majoriti. Perbezaan pendapat pada kebiasaannya boleh diterima dalam konteks sistem litigasi, dan dalam pentadbiran keadilan kita, akan tetapi seharusnya terdapat struktur yang membawa kepada kemuktamadan litigasi — justeru itu keputusan majoriti akan mengatasi pendapat lain dan menjadi keputusan muktamad.
Harus disedari bahawa sekiranya begitu mudah untuk satu penghakiman yang berbeza pendapat boleh menimbulkan kemungkinan semakan baharu ke atas semakan kehakiman yang telahpun diputuskan sebelum ini, maka tidak akan ada penghujung dalam litigasi. Ia juga akan membuka ruang kepada peguam dan hakim untuk mengambil “strategi yang tidak menyenangkan” atau “dipengaruhi dari luar” hanya untuk mencetuskan situasi supaya semakan semula dapat dibuat untuk menggagalkan proses keadilan.
Tidak perlu dinyatakan lagi bahawa sebarang tafsiran lain adalah songsang dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Oleh yang demikian, percubaan berterusan untuk mengeksploitasi penghakiman minoriti untuk mengelirukan orang ramai mengenai prinsip undang-undang sistem keadilan kita yang berasas dan sedia ada itu, hanyalah satu tindakan yang sia-sia untuk cuba melemahkan kepercayaan terhadap Badan Kehakiman sebagai institusi yang dihormati.
Badan Peguam Malaysia selanjutnya memerhatikan bahawa keputusan berkaitan kes SRC International Najib yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, dikekalkan di Mahkamah Rayuan, dan sekali lagi di Mahkamah Persekutuan atas meritnya, dan kemudian melalui bidang kuasa terhadnya di bawah semakan kehakimannya pada 31 Mac 2023 di Mahkamah Persekutuan di hadapan sekumpulan hakim yang berbeza sama sekali di Mahkamah Persekutuan — jelas menunjukkan keesahan sabitan ke atas Najib dalam kes SRC International adalah berasaskan undang-undang.
Kes SRC International Najib adalah “res judicata” secara jelas dan nyata, yang bermaksud bahawa perkara itu telah diadili secara muktamad oleh mahkamah kompeten yang berwibawa dan oleh itu tidak boleh lagi dilitigasi ataupun diteruskan lagi oleh pihak-pihak yang sama.
Membangkitkan tuduhan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh SPRM3 jelas merupakan satu lagi percubaan terdesak yang bertujuan untuk mencemarkan nama baik seorang hakim yang telahpun dibuktikan tidak melakukan kesalahan pada kesemua peringkat mahkamah dalam sistem kehakiman kita. Usaha yang tidak sepatutnya dan ikhtiar terakhir untuk menimbulkan keraguan terhadap sabitan Najib dalam kes SRC International adalah sangat tidak wajar dan perlu dihentikan.
Harapan negara untuk mempunyai sistem demokrasi yang kukuh dan tadbir urus yang baik terletak pada kekuatan Badan Kehakiman sebagai sebuah institusi, bukannya terhadap seorang individu.
Karen Cheah Yee Lynn
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
3 April 2023
1 “MACC’s powers pertain to corruption, not judicial ethics: M’sian Bar president”, The Vibes, 28 February 2023.
2 “Apex court dismisses Najib's bid to review SRC conviction, sentence”, The Edge Markets, 31 March 2023.
3 “Alleged ‘MACC letter on judge Nazlan’ gets online airing”, Free Malaysia Today, 2 April 2023.