©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
KOTA KINABALU 7 Sept. – Pemuda UMNO menyelar pendirian Majlis Peguam, pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) dan pengendali blog yang membisu terhadap tindakan tidak
demokratik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
cuba menarik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan pembangkang.
Setiausahanya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pihak yang mendakwa sebagai
pembela hak rakyat itu sebaliknya seperti diperalatkan Anwar kerana hanya mampu
mendabik dada meskipun tindakan Anwar nyata tidak demokratik serta merampas undi
rakyat.
"Saya nak tanya mana dia suara masyarakat madani (NGO) dan mana suara Majlis
Peguam yang kata suarakan kebebasan hak asasi? Kenapa mereka tidak keluar untuk
mengkritik Anwar yang terang–terang melanggar hak asasi dengan menipu undi
rakyat.
"Mana pengendali blog yang kata sokong demokrasi selama ini dan sokong hak asasi
manusia? Kenapa mereka tidak bersatu untuk menentang pencabulan undi rakyat,"
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain itu Abdul Rahman berkata, beliau juga berasa hairan dengan sikap Amerika
Syarikat (AS) yang mendakwa sebagai suara demokrasi dunia tetapi terus berdiam
diri terhadap tindakan Anwar itu.
Katanya, tindakan AS yang hanya mengkritik kerajaan dan membela Anwar
seolah–olah mempunyai agenda tertentu.
"Kenapa waktu kononnya Anwar dianiayai mereka buat kenyataan itu ini mengkritik
kerajaan dan kata kena ada demokrasi dan jaga hak asasi, tetapi masa Anwar nak
menjatuhkan kerajaan tidak pula kedengaran pun suara AS," katanya.
Menurut Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, tindakan Anwar yang
cuba memainkan politik jalanan dan menipu undi rakyat itu juga akan menyebabkan
rakyat membelakangkan pakatan pembangkang.
Pemuda UMNO selar Majlis Peguam membisu
8 Sep 2008 12:00 am