8 Julai 2005
Semua Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pandaftar
Mahkamah Tinggi Malaya/Sabah dan Sarawak
Semua Pendaftar
Mahkamah Rendah Seluruh Malaysia
Tuan/Puan,
PEKELILING KETUA PENDAFTAR NO 2 TAHUN 2005
PELAKSANAAN HARTA ALIH
(PENYITAAN DAN PENJUALAN)
Untuk menyeragamkan amalan pelaksanaan harta alih di seluruh mahkamah, YAA Ketua Hakim Negara mengarahkan supaya amalan (penyitaan dan penjualan) berikut dipatuhi:
1. BAYARAN DEPOSIT OLEH PEMIUTANG PENGHAKIMAN
1.1 Deposit sebanyak RM2,000 (untuk Mahkamah Tinggi) dan RM1,000 (untuk Mahkamah Rendah) dalam bentuk bank draf hendaklah dikutip dari pemiutang penghakiman sebelum pelaksanaan dijalankan.
1.2 Deposit tersebut mesti didepositkan ke dalam akaun deposit mahkamah dan resit rasmi dikeluarkan.
1.3 Tarikh pelaksanaan hendaklah ditetapkan selepas pembukaan akaun deposit.
2. PENANGGUHAN DAN PENARIKAN BALIK PELAKSANAAN
2.1 Apabila harta alih yang disita dibawah suatu writ pelaksanaan atau distress hendak dijual melalui lelongan awam, penyitaan/lelongan awam tersebut tidak boleh, atas apa-apa sebab ditangguhkan melainkan dengan kebenaran Mahkamah.
2.2 Walau bagaimanapun pemiutang pelaksanaan boleh, dibawah Aturan 47 Kaedah 5 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT) atau Aturan 32 Kaedah 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 (KMR) meminta bailif menarik balik penyitaan itu.
2.3 Setiap penarikan balik penyitaan perlu dicatat oleh bailif dan pengesahan pemiutang pelaksanaan diendorskan pada writ pelaksanaan tersebut.
3. PENGAWAL KESELAMATAN
3.1 Bagi memastikan keselamatan harta alih yang disita, pemiutang pelaksanaan boleh melantik pengawal keselamatan pilihannya yang merupakan agensi persendirian berlesen dibawah Akta Agensi Persendirian 1971 (Akta 27).
3.2 Sekiranya agensi persendirian berlesen tidak boleh didapati atau tidak sanggup. Timbalan Pendaftaran/Penolong Kanan Pendaftar atau Pendaftar Mahkamah Rendah boleh meluluskan perlantikan agensi lain yang kompeten untuk melakukan tugas keselamatan tersebut.
3.3 Di bawah semua pelaksanaan seperti itu, di perenggan 3.2. gaji pengawal tidak boleh melebihi RM4 sejam atau RM96 sehari. Mana-mana lebihan hendaklah ditanggung oleh pemiutang perlaksanaan itu sendiri.
3.4 Pelantikan pengawal keselamatan boleh dikecualikan dengan persetujuan bertulis pemiutang pelaksanaan dan penghutang pelaksanaan.
4. TUGAS BAILIF
4.1 Peruntukan dalam Aturan 46 KMT dan Aturan 31 KMR berkenaan dengan tugas-tugas bailif perlu dipatuhi.
4.2 Inventori perlu diambil dan anggaran nilai harta alih yang disita ditetapkan setiap kali bailif menjalankan penyitaan kecuali dalam keadaan-keadaan berikut:
i. apabila penghutang penghakiman telah berpindah daripada alamat yang dinyatakan dalam writ pelaksanaan atau distress; atau
ii. premis defendan berkunci.
4.3 Bagi setiap pelaksanaan, bailif hendaklah menyediakan laporan dalam masa dua (2) hari selepas pelaksanaan.
4.4 Penyata bailif perlu disediakan dalam tempoh 14 hari selepas penyelesaian pelaksanaan dan setiap perbelanjaan bailif perlu ditolak daripada deposit pemiutang pelaksanaan.
4.5 Perbelanjaan bailif mestilah berdasarkan tuntutan yang bailif dikehendaki membuat menurut Arahan Perbendaharaan yang berkaitan.
4.6 Bailif adalah dilarang tegas daripada menuntut perbelanjaannya secara terus daripada pemiutang pelaksanaan ataupun peguamcaranya.
4.7 Jika Bailif menghadapi kesukaran dalam menjalankan tugasnya, perkara ini perlu dirujuk kepada Pegawai.
5. KOMISYEN MAHKAMAH
5.1 Komisyen mahkamah sepertimana diperuntukkan di bawah Butiran 104 Lampiran B (KMT) dan Butiran 69 Jadual B (KMR) mestilah dikutip apabila pelaksanaan itu disempurnakan.
5.2 Komisyen mahkamah sebanyak 2% sepertimana diperuntukkan di bawah Butiran 107 atau 108 Lampiran B (KMT) dan Butiran 72 atau 73 Jadual B (KMR) mestilah dikutip apabila pelaksanaan itu ditarik balik, dijelaskan atau diberhentikan.
5.3 Komisyen mahkamah hanya dikecualikan dalam keadaan-keadaan yang diyatakan dalam perenggan 4.2.(i), (ii) dan di mana laporan bailif menyatakan tidak ada barang-barang berharga yang disita di premis penghutang pelaksanaan tersebut.
6. TANGGUNGJAWAB TIMBALAN PENDAFTARAN KANAN PENDAFTAR DAN PENDAFTAR MAHKAMAH RENDAH
6.1 Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar dan Pendaftar Mahkamah Rendah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa deposit yang dimasukkan adalah cukup untuk menampung fee dan perbelanjaan mahkamah pada setiap masa. Sekiranya terdapat kekurangan, deposit tambahan perlu diminta daripada pemiutang pelaksanaan dengan serta-merta.
6.2 Adalah tanggungjawab Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar dan Pendaftar Mahkamah Rendah untuk membuat penyeliaan ke atas tugas-tugas bailif.
6.3 Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar dan Pendaftar Mahkamah Rendah juga hendaklah membuat pemeriksaan ke atas barang-barang yang telah disita semada semua barang-barang yang bernilai disita dan juga semada anggaran nilai pada inventori adalah berpatutan dan wajar.
6.4 Harga rizab hendaklah ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar/Penolong Kanan Pendaftar dan Pendaftar Mahkamah Rendah sekiranya lelongan awam ditetapkan.
6.5 Buku Daftar Pelaksanaan (Penyitaan dan Penjualan) seperti Lampiran A hendaklah diselenggara setiap masa.
7. Nota Amalan No. 2 Tahun 1990 adalah dengan ini dibatalkan.
Sekian, Terimah Kasih
"BERKHIMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menutut perintah,
(TENGKU MAIMUN BINTI TUAN MAT)
Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya
(Mejalankan Tugas-Tugas Ketua Pendaftar)
Mahkamah Persekutuan Malaysia
Putrajaya.

