KUALA LUMPUR, Selasa: Sesi pagi hari kedua Persidangan Undang-Undang
Malaysia Kali Ke-14 dimulakan dengan ucapan khas oleh Yang Berhormat Dato’ Seri
Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
tentang “Kesamarataan Jantina – Pencapaian Semasa dan Cabaran Masa Hadapan”.
Dalam ucapan beliau yang sarat dengan statistik dan indikator angka, beliau
menerangkan tentang perubahan-perubahan fasa yang berlaku dalam usaha
mempromosikan kesamarataan jantina. Dalam bidang politik, peningkatan positif
dapat dilihat dalam penglibatan wanita sebagai ahli parlimen iaitu seramai 21
daripada 219 orang berbanding hanya 3 daripada 104 orang ahli parlimen pada
tahun 1959. Begitu juga dengan peratusan keterlibatan wanita dalam sektor
pekerjaan yang meningkat kepada 44 – 47% antara tahun 1992 hingga 2006
berbanding hanya 30% pada tahun 1957. Beliau juga menegaskan tentang komitmen
kerajaan semasa dalam mempromosikan kesamarataan jantina dengan penubuhan
Jawatankuasa Kabinet untuk Kesamarataan Jantina pada 6.12.2004 yang
dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, dan seterusnya pengenalan
kementerian khas untuk wanita sendiri. Komitmen pihak kerajaan juga telah
menyaksikan penurunan mendadak kepada Malaysia’s Gender Gap Index (MGGI) iaitu
sebanyak 0.243 pada tahun 2004 berbanding 0.340 pada tahun 1980. Beliau
seterusnya menyimpulkan bahawa perlunya kepada anjakan paradigma dan komitmen
padu daripada seluruh komponen masyarakat untuk memastikan kesamarataan jantina
dapat dicapai.
Selesai sahaja ucapan khas oleh Dato’ Seri Shahrizat, pentas diserahkan kepada
Fernando Pombi, Presiden International Bar Association (IBA) untuk memberikan
ucapan beliau tentang “Peraturan Undang-Undang dan Peranan Peguam Dalam
Masyarakat”. Dengan mengiktiraf signifikan ulangtahun ke-60 Bar Malaysia
yang secara kebetulannya sama dengan ulangtahun ke-60 IBA, Fernando menerangkan
secara ringkas tentang peranan yang dimainkan oleh IBA dan antaranya ialah
menyokong usaha-usaha mempertahankan hak asasi dan prinsip asas keadilan. Dengan
membantu negara-negara seperti Cambodia, Libya dan Palestin dari segi latihan
tentang undang-undang hak asasi antarabangsa dan undang-undang jenayah, IBA
membantu menebal kefahahan tentang undang-undang kemanusian. Fernando mengakhiri
ucapannya dengan menegaskan kepentingan peraturan undang-undang yang hanya dapat
dipertahankan dengan ketelusan badan kehakiman dan beberapa faktor sokongan yang
lain.
Sesi seterusnya adalah diamanahkan kepada Tommy Thomas untuk mengupas tajuk “Kontrak
Sosial – Perjanjian Perlembagaan”. Dengan gaya penyampaian yang cukup
meyakinkan, Tommy mengenang kembali sejarah kemerdekaan Malaysia yang
menggambarkan toleransi hak antara kaum seawal usaha mencapai kemerdekaan. Tommy
mencadangkan bahawa sebagai balasan kepada hak kerakyatan yang diberikan sama
rata kepada imigran daripada China dan India, etnik Melayu diberikan
keistimewaan hak berbanding kaum lain. Adalah menjadi inspirasi Bapa Kemerdekaan
Malaysia untuk melihat sebuah negara berbilang bangsa yang harmoni dan aman
damai, dan selaras dengan itu, kontrak sosial perlu dipertahankan. Tommy juga
mengupas tentang insiden yang menggugat keamanan seperti rusuhan 13 Mei 1969 dan
beberapa cabaran lain yang menggugat kontrak sosial. Beliau mengakhiri ucapannya
dengan menegaskan bahawa setelah 50 tahun merdeka, sudah tiba masanya kita
membina rakyat Malaysia yang sebenar berpaksikan konsep negara Malaysia.
Professor HP Lee mengambil tempat seterusnya untuk menghuraikan tajuk “The
Malaysia Constitution – Retrospective, Prospective and Comparative Perspectives”.
Beliau bermula dengan menggariskan 6 “rahmat” yang wujud dalam Perlembagaan
Persekutuan, antara lain penerimaan undang-undang kelaziman (Common Law) yang
membentuk tapak kukuh kepada sistem perundangan negara dan juga ikatan longgar
antara persekutuan dan negeri. Yang lebih menarik dalam ucapan beliau ialah
apabila beliau menceritakan tentang contoh krisis kehakiman yang berlaku seperti
di Australia dan New South Wales. Di Australia, Hakim Murphy telah diletakkan
dalam siasatan rapi disebabkan rakaman perbualan telefon antara beliau dengan
peguam yang dikatakan mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang.
Terdapat juga bukti bahawa Hakim Murphy campur tangan tentang keputusan
Majistret lain berkenaan dengan kes keatas peguam yang sama. Professor
menyimpulkan dengan menyatakan cabaran-cabaran mendatang kepada Perlembagaan
Persekutuan termasuklah senario bahawa Malaysia tidak pernah mengalami transisi
perubahan kuasa semenjak kemerdekaan, dan tiada bukti ia boleh atau tidak
dilakukan dengan aman dan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Sesi berikutnya adalah gabungan pembentangan oleh Muneer Malek, President,
Supreme Court Bar Association Pakistan, Dato’ Dr. Cyrus Das daripada Shook Lin &
Bok dan Prof. Shad Saleem Faruqi daripada UiTM. Muneer Malek dalam ucapan 25
minitnya menceritakan semula detik-detik bersejarah dalam sistem kehakiman
Pakistan apabila Ketua Hakim Negara Pakistan Iftikhar Choudry dilantik semula
selepas dipecat oleh kerajaan. Beliau juga menerangkan stategi yang digunakan
oleh peguam di Pakistan ketika itu untuk mengubah paradigma masyarakat,
hakim-hakim, ahli-ahli politik dan pasukan tentera tentang pentingnya kebebasan
badan kehakiman yang ditentukan hanya oleh rakyat dan bukan kerajaan.
Dato’ Dr. Cyrus Das meneruskan sesi tentang sumbangan badan kehakiman kepada
Perlembagaan Persekutuan dengan menyuntik idea bahawa perlunya Mahkamah khas
untuk Perlembagaan (Contitutional Court) sebagaimana yang terdapat di kebanyak
negara. Beliau juga menjelaskan bahawa Mahkamah di Malaysia tidak menerima pakai
“Doctrinal approach” dalam memutuskan kes-kes berkenaan Perlembagaan. Hasilnya,
hak seperti hak untuk hidup ditakrifkan hanya sebaik hidup secara fizikalnya
berbanding hak untuk kehidupan berkualiti seperti yang diterima oleh kebanyakan
negara. Beliau juga mengupas secara ringkas tentang hak untuk meminda
Perlembagaan Persekutuan dan juga penafian akses kepada keadilan yang berlaku
dengan memberi beberapa contoh seperti “:ouster clause” yang dimasukkan dalam
beberapa peruntukan undang-undang dan isu tentang Perkara 121 (1A) Perlembagaan
Persekutuan.
Prof Shad meneruskan sesi dengan membuat penambahan ringkas tentang ciri-ciri
Perlembagaan Persekutuan dan bagaimana Mahkamah mentafsirkannya.
Pada sebelah petang pula, bermula jam 1.45 petang, peserta telah diperdengarkan
dengan ucapan daripada YDH Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara tentang “200
tahun kepolisan dan 50 tahun kemerdekaan – Pengalaman Polis Diraja Malaysia –
Melangkah Ke Hadapan”. Dengan menghuraikan secara panjang lebar tentang
cabaran komunisme yang sudah lenyap dan diganti dengan cabaran jenayah yang
semakin meningkat, Polis telah menggagaskan beberapa strategi baru bagi
menangani cabaran tersebut. Pihak Kerajaan juga telah memberikan peruntukan yang
besar untuk memperkasakan pasukan polis disamping usaha-usaha berterusan untuk
bekerjasama dengan orang ramai secara lebih dekat dalam membasmi jenayah. Sesi
tersebut diakhiri dengan hadirin diberitahu oleh Tan Sri bahawa pihak polis dan
bomba mempunyai pelepasan tertentu seperti tidak perlu memakai talipinggang
kaledar sebagai menjawap kepada pertanyaan peserta tentang perkara tersebut.
Persidangan yang pertama untuk hari kedua adalah berkenaan dengan “50 Years
of Independence: Is All Well with the Malaysian Legal System?” yang
menampilkan barisan panel yang tersohor dalam bidang masing-masing seperti
akademik, BAR, kehakiman dan Lembaga Kelayakan Profesional. Secara umumnya forum
mengupas tentang idea mewajibkan pendidikan lanjutan undang-undang kepada semua
peguam sebagaimana yang banyak dipraktikkan di negara luar.
Persidangan Kedua yang sangat ditunggu-tunggu pula ialah berkenaan dengan
“Kebebasan Beragama” yang menampilkan ahli panel seperti Lee Min Choon,
Penasihat Undang-Undang kepada Pertubuhan Kristian Malaysia, Yusri Mohamad,
Presiden ABIM, Yeo Yang Poh, Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil daripada UiTM dan Dr.
Azmi Sharom daripada Universiti Malaya. Forum dimulakan oleh Lee Min Choon
dengan memberikan latar belakang ringkas tentang hak kebebasan beragama
sepertimana yang diiktiraf oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948. Yusri Mohamad
meneruskan forum dengan menekankan konsep “kebebasan beragama dan bukannya
kebebasan dari agama” dan menyatakan bahawa seorang Islam bebas memilih apa yang
baik untuk dirinya. Beliau juga mencadangkan bahawa tiada definisi standard
tentang hak asasi manusia sekalipun di Barat dan menyatakan bahawa adalah tidak
adil untuk menyatakan dan meletakkan skop kepada kebebasan beragama di Malaysia
sewenang-wenangnya. Forum diteruskan dengan Yeo Ying Poh menghuraikan
cadangannya tentang halatuju sebenar dialog antara kepercayaan yang perlu kepada
kajian semula supaya lebih efektif. Dr. Mohamed Azam seterusnya memahamkan dewan
tentang perbezaan antara kebebasan beragama dan kebebasan untuk keluar daripada
Islam dengan menghujahkan bahawa Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan menurut
Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 11 mengenakan sekatan tertentu
terhadap kebebasan beragama yang tidak mutlak. Beliau juga menegaskan bahawa
undang-undang dan prosedur untuk keluar daripada Islam perlu dipatuhi sebelum
seseorang berniat keluar daripada Islam, dan menjadikan model undang-undang
syariah negeri sembilan sebagai model terbaik untuk “menghukum” golongan murtad.
Panel terakhir yang memberikan pendapat Dr. Azmi yang secara jelas menyokong
idea bahawa Malaysia adalah negara sekular dan undang-undang sekular adalah
perlu untuk melindungi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Di penghujung
persidangan, ahli-ahli panel terutamanya Dr. Mohamed Azam dihujani soalan
tentang undang-undang dan enakmen syariah negeri dan juga pendirian tentang
kontroversi terbaru dalam sistem kehakiman syariah. Secara umumnya, forum
berjalan lancar walaupun beberapa orang ahli panel kelihatan kurang selesa
bercakap tentang isu sensitif tersebut.
Hari kedua diakhiri dengan persidangan tentang “Undang-Undang korporat”
yang membariskan panel berwibawa seperti Michael Lim daripada Shearn Delamore &
Co, Dato’ Loh Siew Cheang daripada Cheang & Ariff dan Abdul Karim Abdul Jalil,
CEO SSM. Secara umumnya, ahli panel membincangkan tentang aspek-aspek penting
dalam undang-undang korporat seperti tanggungjawab pengarah, corporate
governance, pemilikan ekuiti dalam syarikat dan sebagainya.