Semalam, kami telah menerbitkan Pekeliling No 247/2025 bertajuk “Walk to Safeguard Judicial Independence (14 July 2025) (Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman)” bagi memaklumkan Ahli-Ahli Badan Peguam Malaysia bahawa Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman (“Perarakan”) akan diadakan pada hari Isnin, 14 Julai 2025, dari Istana Kehakiman (Palace of Justice, “POJ”) ke Pejabat Perdana Menteri (Prime Minister’s Office, “PMO”).
Keputusan yang dibuat selaras dengan Resolusi yang diluluskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam Malaysia ke-79 pada 15 Mac 2025 ini adalah lanjutan daripada pertimbangan teliti oleh Majlis Peguam. Perarakan ini diadakan bagi menyuarakan kebimbangan institusi yang serius mengenai keadaan semasa Badan Kehakiman, termasuk isu kritikal berkenaan kekosongan jawatan yang berpanjangan, keperluan kesinambungan kepimpinan serta desakan untuk reformasi demi membela kebebasan salah satu institusi demokrasi yang paling penting dalam negara.
Badan Peguam Malaysia menolak sekeras-sekerasnya laporan media baru-baru ini, termasuk laporan dari The Edge, bertajuk “Walk for judicial independence scheduled for July 14, sanctioned by Bar Council”,1 yang secara salah menggambarkan Perarakan ini sebagai satu bentuk protes terhadap keputusan Kerajaan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Perarakan ini bukan mengenai individu; ia adalah pendirian demi integriti institusi. Sebarang percubaan untuk menggambarkan Perarakan ini sebaliknya adalah mengelirukan dan menjejaskan pendirian Badan Peguam Malaysia.
Fokus Badan Peguam Malaysia adalah terhadap isu-isu struktur dan sistemik yang menjejaskan Badan Kehakiman. Perkembangan terbaru — termasuk kelewatan pelantikan tanpa sebarang penjelasan serta rujukan-rujukan membimbangkan mengenai kemungkinan campur tangan dalam urusan kehakiman — telah mencetuskan kebimbangan yang serius. Orang awam berhak mendapat sebuah Badan Kehakiman yang bukan sahaja bebas, tetapi juga kelihatan bebas. Sebarang kegagalan untuk menegakkan prinsip ini akan menjejaskan keyakinan terhadap pentadbiran keadilan.
Perarakan ini adalah satu tindakan yang sah dari sisi undang-undang, aman dan bersifat simbolik dalam melaksanakan tanggungjawab sivik. Ia mencerminkan komitmen teguh profesion guaman dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, doktrin pengasingan kuasa, dan kedaulatan undang-undang. Ia adalah kenyataan kolektif bahawa kebebasan Badan Kehakiman bukan sesuatu yang boleh dirunding, dan Badan Kehakiman mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar, sama ada bersifat politik, badan Eksekutif, atau sebaliknya.
Perarakan ini bukan semata-mata untuk para peguam; ia adalah Perarakan untuk Badan Kehakiman, Badan Peguam Malaysia, dan untuk setiap rakyat Malaysia yang menghargai keadilan. Apabila kebebasan badan Kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara menanggung akibatnya.
Jangan ada salah faham:
Badan Peguam Malaysia berarak bukan untuk membantah mana-mana individu, tetapi demi mempertahankan institusi.
Bukan demi kepentingan partisan, tetapi demi keadilan.
Bukan untuk kepentingan kita semata-mata, tetapi demi rakyat yang keadilan mereka wajib dipelihara oleh mahkamah.
Badan Kehakiman bukan sekadar salah satu cabang Kerajaan — ia adalah benteng terakhir keadilan. Dan ia mesti dipertahankan dengan tegas, tanpa gentar, dan tanpa rasa bersalah.
Badan Kehakiman tidak boleh dikompromi — pertahankan ia!
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
9 Julai 2025
1 “Walk for judicial independence scheduled for July 14, sanctioned by Bar Council”, The Edge, 7 Julai 2025 (kami harap laporan ini akan dipadam atau diperbetulkan).

