Disumbangkan oleh Raz Ida Nadira Razali dan Najwa Hamid, Pegawai–pegawai yang Bertugas; dan foto oleh Kementerian Sumber Manusia
Pada 26 Ogos 2019, Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor bersama–sama dengan Naib Pengerusi Bersama Bar Council Committee on Orang Asli Rights ("COAR"), Bah Tony, telah menghadiri mesyuarat "Program Menggalakkan Masyarakat Orang Asli dalam Latihan Kemahiran Technical and Vocational Education and Training".
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YB M Kula Segaran, Menteri Sumber Manusia dan bertempat di Bilik Mesyuarat YB Menteri, Kementerian Sumber Manusia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk membincangkan mengenai inisiatif yang boleh diketengahkan oleh pihak Kerajaan dalam memastikan masyarakat Orang Asli tidak terpinggir dan dikecualikan daripada Revolusi Industri 4.0, yang juga selari dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat Orang Asli, khususnya generasi belia, untuk menyertai Program Technical and Vocational Education and Training ("TVET").
Semasa sesi taklimat, objektif Program TVET telah dimaklumkan kepada peserta–peserta mesyuarat, dan disenaraikan di bawah:
(1) Membuka peluang untuk mendapatkan latihan TVET di Institut Latihan Jabatan Tenaga Malaysia ("ILJTM");(2) Meningkatkan sahsiah dan kemahiran individu bagi tujuan kebolehpasaran pekerjaan dan keusahawanan;(3) Meningkatkan taraf sosio–ekonomi masyarakat Orang Asli demi kesejahteraan mereka; dan(4) Menyumbang kepada pembangunan tenaga mahir negara.
Pusat Aktivis TVET Orang Asli ini akan ditempatkan di Brinchang, Cameron Highlands, Pahang dan akan beroperasi selama tiga hingga enam bulan. Tujuan ia diwujudkan adalah sebagai pusat perjumpaan masyarakat Orang Asli, pusat transit serta pusat informasi TVET atau tempat pengambilan kursus.
Semasa mesyuarat tersebut, para peserta mesyuarat telah menerima baik cadangan untuk membentuk Pasukan TVET Masyarakat Orang Asli yang akan terdiri daripada wakil–wakil daripada agensi–agensi berkaitan, pihak–pihak yang berkepentingan dan dipengerusikan oleh YB M Kula Segaran.
Abdul Fareed Abdul Gafoor memuji usaha baik pihak kerajaan yang komited untuk membuka laluan kepada masyarakat Orang Asli untuk memilih Program TVET sebagai salah satu peluang kerjaya. Mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu diakhiri dengan ucapan penutup oleh YB M Kula Segaran.