|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Lukman Ismail
• 51 tahun merdeka kurang dirasai
• Jaga sensitiviti, kesabaran orang Melayu
• 'Wanita UMNO tidak setuju'
• Dua laporan polis dibuat ke atas Majlis Peguam
• Majlis Peguam tidak berganjak
• Jangan cabar kesabaran Melayu - Hishammuddin
• Majlis Peguam perlu hadapi kemungkinan
• NGO Islam anjur demonstrasi
• Jangan bangkit isu sensitif - Musa
MELAKA 8 Ogos - Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan
peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Majlis Peguam
yang mahu meneruskan forum Memeluk Islam di ibu negara esok.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan Majlis Peguam
itu sengaja mahu menimbulkan suasana tidak selamat dalam negara yang boleh
menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam.
"Jika tindakan tidak diambil, negara akan menjadi huru-hara kerana ia akan
membangkitkan kemarahan orang Islam yang akhirnya boleh menyebabkan rusuhan kaum,"
katanya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian kepada pemberita selepas
majlis menuai padi di Kampung Bukit Lintang, Ayer Molek di sini hari ini.
Mengulas ketegasan Majlis Peguam untuk meneruskan forum tersebut esok meskipun
dibantah pelbagai pihak, Mohd. Ali berkata, forum itu bersifat menghasut rakyat
yang boleh membawa kepada perpecahan dan ketegangan kaum.
Beliau mahu semua pihak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di negara
ini. Katanya, kebebasan bersuara yang dinikmati jangan sampai menghina agama
orang lain.
Beliau percaya Majlis Peguam kini didalangi parti pembangkang dan ini mendorong
badan guaman itu bersungguh-sungguh untuk mengadakan forum yang menyentuh
sensitiviti umat Islam walaupun telah diberikan amaran.
BerkesudahanMohd. Ali menambah, perbahasan mengenai kuasa mahkamah syariah dan
mahkamah sivil termasuk dalam isu memeluk Islam tidak akan berkesudahan sampai
bila-bila kerana kedua-duanya adalah berbeza dan tidak boleh dicampuradukkan.
Sementara itu, di BAGAN DATOH, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa menggunakan peruntukan Akta
Hasutan terhadap Majlis Peguam sekiranya ia tetap meneruskan forum itu.
Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, sikap Majlis Peguam yang suka
membincangkan secara terbuka isu-isu sensitif termasuk hak orang Islam dan
Melayu di negara ini boleh mencetuskan permasalahan antara kaum di Malaysia.
"Kita tidak terkejut sekiranya mereka akan membincangkan kedudukan raja- raja
Melayu, dan sebelum perkara ini berterusan, (saya) mintalah dikenakan Akta
Hasutan ke atas Majlis Peguam kerana mengeksploitasikan perhimpunan itu,"
katanya.
51 tahun merdeka kurang dirasai
Oleh Noraini Abd Razak (Wartawan Utusan)
OGOS adalah bulan mengingati kemerdekaan. Namun bukan bermakna pada bulan ini
sahaja rakyat Malaysia mesti mengimbau getir perjuangan generasi terdahulu
memperjuangkan kemerdekaan. Cuma Ogos menjadi istimewa kerana pada tarikh 31
Ogos keringat dan darah pejuang kemerdekaan terbalas apabila negara bebas
daripada belenggu penjajah.
Namun selepas sembilan hari meniti Ogos, sambutan bulan kemerdekaan ditenggelami
dengan hiruk-pikuk politik tanah air serta kerenah forum anjuran Majlis Peguam.
Media cetak dan elektronik ghairah bercerita tentang tuduhan kes liwat Penasihat
Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kemaruk politik wang
yang melanda pemilihan UMNO di peringkat cawangan.
Terbaru, pilihan raya kecil Permatang Pauh menjadi tajuk utama sehingga dalam
banyak ketika perihal bulan kemerdekaan gagal untuk mendapat ruang.
Bahana politik semasa nampaknya lebih dominan sehingga rakyat terlupa tiga
minggu lagi kita akan meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-51. Atau
kerana angka yang melepasi 50 menyebabkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini
hambar dan kurang digerakkan oleh jawatankuasa yang berkenaan.
Hakikatnya, melepasi angka 50 tahun kemerdekaan tanah air sememangnya sesuatu
yang mesti menjadi kebanggaan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Namun di sebalik kebanggaan itu ada kerisauan yang tidak boleh disembunyikan
lagi apabila satu demi satu persetujuan yang tercapai baik secara tersurat
mahupun tersirat 50 tahun lalu diungkit tanpa ada rasa hormat sesama kaum.
Usia 51 tahun sepatutnya menjadikan rakyat Malaysia semakin matang menilai
antara yang baik dan buruk - bukannya mencari jalan untuk mencetuskan permusuhan
yang kesannya boleh saja merosakkan negara.
Perkembangan terkini menunjukkan trend terbalik apabila kemerdekaan negara yang
subur selama 50 tahun semacam cuba diruntuhkan satu demi satu dengan menjadikan
kerencaman kaum sebagai alat propaganda.
Sedangkan sepatutnya semua pihak berusaha memelihara kemerdekaan negara dan
mengukuhkannya dengan pelbagai cara termasuk merapatkan hubungan antara rakyat
pelbagai kaum.
Sebab itu sambutan bulan kemerdekaan penting terutamanya untuk mengingatkan
semua pihak bahawa untuk mencapai angka 51 tidak mudah - ia menuntut banyak
pengorbanan dan persefahaman.
Oleh itu ragam politik yang bukan sedikit tidak harus menenggelamkan semarak
bulan kemerdekaan. Biarpun ada tarikh-tarikh penting lain untuk tempoh tiga
minggu ini namun memahami nilai kemerdekaan tanah air sepatutnya menjadi agenda
paling penting dan mesti ditonjolkan supaya rakyat tidak lupa bahawa kita hampir
51 tahun merdeka.
Jaga sensitiviti, kesabaran orang Melayu
Oleh Zulkiflee Bakar (Wartawan Utusan)
MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan Majlis Peguam terus bermain dengan api
apabila ingin menganjurkan forum awam bertajuk 'Memeluk Islam', hari ini.
Sama ada forum itu akan dibatalkan ataupun tidak berikutan pelbagai desakan
termasuk daripada kerajaan dan parti politik Melayu tetapi apa yang jelas sudah
ada keberanian di pihak tertentu untuk menyentuh perkara-perkara sensitif
berkaitan dengan kedudukan orang Melayu dan Islam.
Sebelum ini, Majlis Peguam juga pada Jun lalu tanpa mempedulikan pelbagai
kritikan turut menganjurkan forum bertajuk 'Kontrak Sosial'.
Namun adalah jelas majlis berkenaan yang dianggotai oleh mereka yang bijak
pandai dalam undang-undang tidak memahami atau sengaja melupakan sensitiviti
orang Melayu.
Mereka turut melakukan forum-forum seumpama itu yang disifatkan oleh Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar sebagai 'bermain api'.
Oleh itu adalah perlu Majlis Peguam belajar untuk memahami sensitiviti berhubung
perkara berkenaan dan jangan terlalu ghairah menganjurkan forum yang boleh
mencetuskan kontroversi serta konflik di kalangan rakyat berbilang kaum dan
agama di negara ini.
Hakikatnya, majlis tersebut sengaja mencari fasal dengan berbuat demikian tetapi
apabila kerajaan bertindak tegas maka mereka akan menjerit-jerit bahawa apa yang
mereka lakukan adalah kebebasan bersuara.
Tetapi mereka lupa bahawa kebebasan tersebut bukan bererti mana-mana pihak
berhak untuk mengadakan forum yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara
ini.
Selain itu, persoalan juga timbul kenapakah sejak kebelakangan ini Majlis Peguam
menunjukkan keberanian luar biasa dengan menganjurkan forum berkaitan orang
Melayu dan Islam, biarpun mereka mengetahui ia amat bahaya.
Mungkin bagi Majlis Peguam, mereka bertindak demikian kerana merasakan inilah
saat terbaik berbuat demikian memandangkan orang Melayu kini berpecah akibat
keputusan pilihan raya umum lalu.
Namun mereka terlupa bahawa isu yang disentuh akan dilihat oleh orang Melayu
tanpa mengira apa juga ideologi politik yang mereka pegang.
Ketegasan pemimpin UMNO dan Pas yang sekata menentang forum 'Memeluk Islam' itu
dengan jelas membuktikan bahawa orang Melayu akan bersatu jika kepentingan
bangsa dan agama mereka digugat.
Oleh itu Majlis Peguam yang begitu bijak dalam bab undang-undang janganlah cuba
mencabar kesabaran orang Melayu dan Islam.
Tidak perlu berdolak-dalih berhubung kenapa forum seumpama itu diadakan. Kalau
Majlis Peguam jujur, mereka seharusnya menganjurkan forum yang lebih menjurus ke
arah menyatukan semua kaum di negara ini dan bukannya berusaha mencabar
kepentingan mana-mana kaum.
Mungkin majlis berkenaan mempunyai kedegilan tersendiri tetapi percayalah apa
yang cuba mereka lakukan tidak akan menguntungkan rakyat.
Janganlah menganggap bahawa tujuan forum itu sudah disalah tafsir sedangkan
hakikatnya Majlis Peguam yang berdolak-dalih.
Kenapakah forum itu hendak diadakan sekarang? Kenapa tidak diadakan ketika ada
kes berkaitan tajuk forum tersebut? Semua ini jelas membuktikan bahawa ada
sesuatu yang tidak kena dengan penganjuran berkenaan.
Kepada orang Melayu pula, mereka tidak harus memandang sepi tindakan majlis
tersebut. Ini kerana ia jelas membuktikan perpecahan sesama mereka dan andaian
bahawa cengkaman kuasa politik semakin longgar telah memungkinkan ada
pihak-pihak tertentu cuba menggugat kepentingan dan hak mereka.
Selama ini, kita mungkin tidak pernah memikirkan bahawa ada pihak berani berbuat
demikian tetapi tindakan Majlis Peguam sudah membuktikan sebaliknya.
Justeru pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu tidak harus duduk
diam, mereka tidak boleh membiarkan sahaja UMNO dan Pas berjuang menghalang
Majlis Peguam.
Sebaliknya mereka juga perlu tegas berbuat demikian bagi memberi isyarat yang
jelas kepada majlis berkenaan bahawa apa yang mereka lakukan pada hakikatnya
tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Apa pun keadaannya adalah diharapkan Majlis Peguam yang kononnya semakin berani
ini memahami bahawa mereka sedang melakukan perkara yang boleh menggugat
demokrasi dan perpaduan di negara ini.
Ingatlah bahawa soal bangsa dan agama jika tersilap ditangani boleh
menghancurkan sebuah negara majmuk seperti Malaysia, oleh itu jangan melampaui
batas!
'Wanita UMNO tidak setuju'
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pergerakan Wanita UMNO tidak setuju sama sekali dengan
penganjuran forum awam membincangkan artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan
bertajuk 'Memeluk Islam' yang dianjurkan Majlis Peguam, esok.
Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, semua pihak harus
prihatin bahawa isu agama Islam adalah di bawah bidang kuasa dan naungan Sultan
dan Raja-Raja Melayu.
"Isu-isu sensitif sebegini tidak harus dijadikan bahan debatan tanpa mengambil
kira kemungkinan timbulnya rasa tidak puas hati yang dapat mencetuskan kemarahan
dan ketegangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum," katanya
dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Majlis Peguam untuk meneruskan
forum tersebut esok walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar
telah memberi amaran kepada majlis itu supaya tidak 'bermain api'.
Pelbagai pihak pula mendesak majlis itu supaya membatalkan penganjuran forum
tersebut kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan
agama di negara ini.
Shahrizat berkata, Wanita UMNO juga berpendapat objektif yang diingini tidak
akan tercapai melalui forum atau debat seperti yang akan diadakan itu.
"Sebagai satu badan yang bertanggungjawab, Majlis Peguam seharusnya mempunyai
kematangan dalam menangani isu-isu yang amat sensitif seperti itu dengan lebih
bijaksana," katanya.
Dua laporan polis dibuat ke atas Majlis Peguam
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Dua ahli Majlis Angkatan Antara NGO-NGO Islam (Mapan) hari
ini membuat laporan polis terhadap Majlis Peguam kerana menganjurkan Forum
Memeluk Islam pagi esok.
Laporan pertama dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Ibu
Pejabat Polis Daerah Sentul pada pukul 11.30 pagi oleh Pegawai Khas Aduan, Imran
Yusof manakala Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof pula berbuat demikian di Balai
Polis H. S. Lee di sini pukul 12 tengah hari.
Menurut Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, laporan itu
dibuat kerana mendapati tindakan Majlis Peguam boleh mengundang salah faham
masyarakat terhadap Islam.
''Perkara ini dilihat sebagai satu usaha agresif pihak tertentu yang cuba
menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini,'' katanya
kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Menurutnya, perbincangan Artikel 121 (1A) akan memperlihatkan Majlis Peguam
sebagai badan yang mempertikaikan isu dan hak keistimewaan Islam selain mencabar
kuasa Raja-Raja Melayu.
Sementara itu, Jamaluddin berkata, laporan polis dibuat kerana tindakan Majlis
Peguam terus menganjurkan forum itu memberi gambaran seolah-olah cuba memainkan
sentimen perkauman.
''Saya minta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Majlis Peguam. Itu
sahaja yang kami minta,'' katanya.
Majlis Peguam tidak berganjak
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Majlis Peguam tetap akan meneruskan Forum Memeluk Islam
walaupun pelbagai pihak mendesak acara tersebut dibatalkan kerana khuatir ia
menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.
Naib Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, Majlis Peguam menyedari
perkara berkaitan agama amat sensitif dan boleh membangkitkan emosi namun tidak
semestinya ia tidak boleh dibincangkan.
Katanya, forum berkenaan diadakan bukan bertujuan menghina mana-mana agama
sebaliknya bertujuan merintis jalan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi
segolongan masyarakat yang tersepit antara undang-undang sivil dan syariah.
"Kita menerima dan menghormati Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, namun
ada sudut pandangan yang kukuh bahawa adalah tidak adil untuk memaksa sesiapa
sahaja tertakluk kepada undang-undang dan mahkamah berasaskan agama yang tidak
dianuti oleh mereka.
"Kekhuatiran kami ialah mengenai cara konflik itu ditangani. Perlu ada usaha
terancang oleh kerajaan untuk menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh dan
bukan secara berpura-pura sahaja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Forum tersebut akan berlangsung di Auditorium Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar
di sini bermula pukul 8.30 pagi esok.
Sehingga petang ini, kira-kira 150 peserta terdiri daripada orang awam, wakil
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara telah mendaftarkan diri
untuk menyertai forum berkenaan.
Pelbagai pihak yang terdiri daripada pemimpin UMNO, Pas dan NGO Islam menyelar
penganjuran forum awam itu yang dianggap boleh membangkitkan kemarahan umat
Islam dan orang Melayu.
Ragunath berkata, sebarang perbincangan berkaitan isu yang dihadapi negara tidak
sepatutnya berlaku secara tertutup dan hanya membabitkan pihak berwajib.
Katanya, desakan supaya forum itu dihentikan seolah-olah menunjukkan isu
berkenaan tidak berhak diketahui masyarakat.
Jangan cabar kesabaran Melayu - Hishammuddin
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO memberi amaran kepada Majlis Peguam
agar tidak melampaui batasan kebebasan bersuara di negara ini dengan
menganjurkan forum yang boleh mencetuskan kemarahan sesuatu kaum.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, majlis tersebut tidak
sepatutnya mencabar kesabaran orang Melayu dan umat Islam dengan menganjurkan
forum Memeluk Islam.
''Tidak ada yang kurang dalam hubungan kita sesama rakyat Malaysia yang
berbilang kaum selama ini. Sikap toleransi dan keharmonian yang selama ini kita
kecapi perlu terus dipertahankan agar generasi akan datang turut berpeluang
menikmatinya,'' ujar beliau dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Majlis Peguam hari ini memutuskan untuk meneruskan penganjuran forum Memeluk
Islam walaupun mendapat bantahan umat Islam di negara ini.
Hishammuddin berkata, tindakan Majlis Peguam meneruskan penganjuran forum
tersebut, hanya akan menimbulkan pelbagai masalah baru di negara ini.
''Forum ini dilihat sengaja diadakan untuk mensensasikan isu lama yang telah pun
diterima ramai dan merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab,''
katanya.
Baginya, sebagai badan yang dianggotai oleh pengamal undang-undang, majlis itu
sepatutnya memastikan perjalanan sesebuah masyarakat menjadi lebih teratur.
''Memilih tajuk yang sensitif seperti ini tidak menguntungkan sesiapa,''
tegasnya.
Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak agar menolak usaha menggagalkan misi
dan visi kerajaan bagi menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020.
Majlis Peguam perlu hadapi kemungkinan
KOTA TINGGI, 8 Ogos - Majlis Peguam yang akan menganjurkan forum Memeluk Islam
perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat daripada penganjuran itu
memandangkan mereka sudah diberi amaran supaya membatalkannya, kata Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Beliau berkata polis bersedia mengambil langkah tertentu terhadap Majlis itu
bagi menjaga ketenteraman awam.
"Mereka sudah diberi amaran supaya tidak menganjurkan forum itu, jadi mereka
perlu menghadapi akibatnya," katanya.
Syed Hamid berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan
Solat Hajat dan Tazkirah anjuran Kontinjen Polis Johor di Masjid Jamek di sini
malam ini.
Forum tersebut sebelum ini menerima bantahan keras banyak pihak termasuk
pemimpin-pemimpin Umno, PAS dan beberapa pertubuhan lagi.
Terdahulu petang ini Naib Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan menegaskan
bahawa forum itu akan diteruskan esok walaupun mendapat bantahan beberapa pihak,
dan menurutnya forum itu tidak akan mempertikai Fasal 121 (1A) atau
mempersoalkan agama Islam dan statusnya seperti termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.
NGO Islam anjur demonstrasi
Oleh Amran Mulup
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Majlis Angkatan Antara Pertubuhan-pertubuhan Bukan
Kerajaan (NGO) Islam (Mapan) akan mengadakan demonstrasi membantah penganjuran
forum Memeluk Islam di hadapan pejabat Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar
di sini pagi esok.
Naib Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul
Rani berkata, kesemua ahli Mapan yang terdiri daripada 27 persatuan dan NGO
Islam telah bersetuju mengadakan demonstrasi kerana Majlis Peguam masih berdegil
untuk meneruskan forum tersebut.
"Kami tidak dapat bertahan dengan sikap degil Majlis Peguam kerana mereka tidak
mempedulikan bantahan daripada masyarakat Islam.
"Bukan setakat surat telah dikirim, hari ini kami menghantar satu memorandum ke
pejabat Majlis Peguam tetapi amat menyedihkan tidak ada ahli jawatankuasa mereka
berada di pejabat,'' kata Jais kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum
itu kepada Majlis Peguam di sini hari ini.
Kira-kira 100 orang mewakili lima persatuan dan NGO Islam berarak secara aman ke
pejabat Majlis Peguam selepas solat Jumaat untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Sebelum itu mereka berkumpul di Masjid Jamek.
Persatuan-persatuan itu terdiri daripada GPMS, Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Persatuan Rakyat Islam Muslim Malaysia (IRIM), Pertubuhan Kebajikan dan
Dakwah Islamiah (Pekida) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Sambil berarak, mereka merentangkan sepanduk tertera perkataan Awas Bar Council
Jangan Main Api, Jangan Cabar Kesucian Agama Islam dan Step Down Get Lost.
Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh setengah
jam demonstrasi secara aman itu yang turut dikawal oleh pihak polis dan Unit
Simpanan Persekutuan (FRU).
Mengulas lanjut, Jais berkata, isi kandungan memorandum yang diserahkan kepada
Majlis Peguam itu antara lain meminta badan guaman itu membatalkan forum Memeluk
Islam yang dirancang diadakan esok demi menghormati kesucian agama Islam.
Jika gagal berbuat demikian sehingga petang ini, tegas beliau, Mapan akan
menggembleng orang ramai berkumpul di hadapan pejabat Majlis Peguam di sini
seawal pukul 8 pagi.
"Kami akan bersembahyang subuh di Masjid Jamek dan selepas itu kami akan
beramai-ramai berkumpul di hadapan pejabat Majlis Peguam bagi menghalang forum
tersebut diadakan,'' katanya.
Sementara itu, Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof berkata, tindakan Majlis Peguam
menganjurkan forum Memeluk Islam hanya akan mengundang reaksi negatif masyarakat
berbilang agama di negara ini.
"Bagi kami, forum ini wajar dihentikan demi kebaikan semua pihak kerana memang
jelas Majlis Peguam cuba memainkan sentimen perkauman,'' katanya.
Jamaluddin menyeru seluruh masyarakat Islam mengadakan demonstrasi secara aman
esok.
Antara ahli-ahli Mapan yang akan menyertai demonstrasi itu ialah Barisan
Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Jawatankuasa Penyelaras Perikatan NGO Islam (ACCIN),
Persatuan Al-Hidayah, Belia Perkim, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Persatuan
Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Al-Hunafa dan Persatuan Darul Fitrah
Malaysia.
Turut sama ialah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Persatuan
Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor, Persatuan Ulama Malaysia,
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Yayasan Kerjaya Malaysia, Kelab
Cinta Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persatuan Penjaja
Kecil Wilayah Persekutuan.
Jangan bangkit isu sensitif - Musa
KUALA LUMPUR 8 Ogos - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta Majlis
Peguam supaya peka dan tidak membangkitkan sensitiviti agama dan kaum di negara
ini dalam Forum Memeluk Islam anjurannya esok.
Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebagai golongan yang
berpendidikan tinggi dan memahami undang-undang, mereka seharusnya mengetahui
keperluan sensitif kepada perkara-perkara tersebut.
Sambil menjelaskan bahawa polis tidak dapat menghalang penganjuran forum itu
kerana ia diadakan di bangunan persendirian, beliau memberitahu, pihaknya tetap
akan bertindak sewajarnya jika berlaku kekacauan ekoran penganjurannya.
"Polis akan menempatkan anggota yang mencukupi bagi mengawal keadaan keselamatan
di kawasan forum tersebut.
"Kita akan pantau dan pastikan tiada insiden tidak diingini berlaku. Kita mohon
semua pihak yang terlibat mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.
Majlis Peguam hari ini memutuskan akan meneruskan penganjuran Forum Memeluk
Islam di pejabat pertubuhan itu di Jalan Lebuh Pasar Besar di sini esok.
Naib Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, pihaknya menekankan sekali lagi
bahawa forum itu bukan mempertikai Artikel 121 (1A) atau mempersoalkan Islam
atau statusnya sebagai agama rasmi seperti tertera dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Berikutan keputusan majlis itu, satu demonstrasi akan diadakan Majlis Angkatan
Antara NGO-NGO Islam (Mapan) di hadapan pejabat Majlis Peguam pada pukul 8 pagi
esok, bagi membantah penganjuran forum berkenaan.
|