Disumbangkan oleh Najwa Hamid, Pegawai yang Bertugas, Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam; dan foto oleh Mohd Kaswadi b Yusoff, Jurufoto, Unit Komunikasi Korporat, UniSZA
Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam bersama–sama Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin (“UniSZA”) telah menganjurkan Forum Kedudukan Anak Tidak Sah Taraf dari Perspektif Undang–Undang Islam dan Undang–Undang Sivil pada 29 Oktober 2017 bertempat di Dewan Auditorium Perpustakaan, UniSZA, Gong Badak, Terengganu.
Objektif forum ini adalah untuk:
(1) memberi pendedahan kepada peserta berkenaan definisi “anak tidak sah taraf” dari perspektif undang–undang Islam dan undang–undang sivil;(2) membincangkan Akta Membaharui Undang–Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (“Akta 164”); dan(3) membahas bagaimana Rang Undang–Undang berkaitan pindaan Akta 164 memberi impak kepada pasangan yang berkahwin di bawah Akta 164 dari segi status perkahwinan, tanggungjawab suami kepada isteri dan anak–anak, serta pembubaran perkahwinan.
Ahli panel yang dijemput untuk forum ini adalah seperti berikut:
(1) Yang Arif Tuan Haji Kamalruazmi b Ismail, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu; dan(2) Goh Siu Lin, Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Undang–Undang Keluarga Majlis Peguam.
Mohd Lotpi b Mohd Yusof, Pensyarah, Fakulti Undang–Undang dan Hubungan Antarabangsa, UniSZA merupakan moderator untuk forum yang telah berlangsung lebih kurang tiga jam ini. Forum ini dihadiri oleh 149 orang peserta yang rata–ratanya adalah daripada kalangan pengamal undang–undang, pelatih dalam kamar, dan pelajar–pelajar dan pensyarah–pensyarah UniSZA.
Forum tersebut dimulakan dengan ucapan aluan oleh Norazham b Yahaya, Timbalan Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam, yang seterusnya menyerahkan majlis kepada Dekan Fakulti Undang–Undang, Perakaunan dan Hubungan Antarabangsa UniSZA, Prof Dr Zuhairah Ariff bt Abd Ghadas, untuk menyampaikan ucapan aluan.
Selaku ahli panel pertama, Goh Siu Lin membincangkan mengenai Konvensyen Hak Kanak–Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (“Konvensyen Hak Kanak–Kanak”) dan hak asasi kanak–kanak di mana beliau menyatakan bahawa semua kanak–kanak, tanpa mengira keupayaan dan ketidakupayaan mereka, jantina, sosial, ekonomi, kebudayaan, latar belakang etnik dan agama mereka, dan taraf kesihatan mereka mempunyai hak yang sama rata untuk kualiti pendidikan, penjagaan dan perlindungan.
Goh Siu Lin juga membincangkan mengenai pindaan Akta Membaharui Undang–Undang Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Pindaan 2017), di mana pindaan tersebut bertujuan untuk memberi ruang kepada pasangan bukan Islam, yang salah seorang daripadanya telah memeluk Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil secara berasingan atau bersama–sama.
Ahli panel kedua Yang Arif Tuan Haji Kamalruazmi b Ismail telah memberi pencerahan kepada peserta–peserta forum berkenaan definisi anak tidak sah taraf, di mana beliau menyatakan bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah pada 10 Jun 2003 bersetuju mendefinisikan anak tidak sah taraf seperti berikut:
(1) Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan bukan daripada persetubuhan syubhah; dan(2) Anak yang dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut taqwim qamariah daripada tarikh akad nikah.
Beliau memaklumkan bahawa Jawatankuasa berkenaan dalam mesyuaratnya pada 27 Julai 2004 telah mengubah ayat daripada ayat “daripada tarikh akad nikah” kepada “daripada tarikh tamkin” (setubuh).
Yang Arif Tuan Haji Kamalruazmi seterusnya membincangkan mengenai kepentingan nasab di mana beliau menyatakan bahawa nasab hanya boleh disahkan dengan hubungan perkahwinan dan adalah haram untuk menisbahkan nasab kepada yang bukan sebenarnya.
Forum kemudiannya diteruskan dengan sesi soal jawab bersama ahli–ahli panel dan para peserta, yang mendapat respons yang menggalakkan.
Sebelum forum ini melabuhkan tirainya pada pukul 1:00 petang, majlis diteruskan dengan acara pemberian cenderamata kepada ahli–ahli panel, moderator, Majlis Peguam dan UniSZA.
Forum separuh hari ini telah mendapat maklum balas positif daripada kalangan peserta.