(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 13 Mei 2024, yang boleh didapati di sini.
Pada 28 April 2024, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menekankan cabaran dan nuansa unik negara membangun untuk melaksanakan pematuhan keperluan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social, and Governance (“ESG”)).1
Contohnya, industri minyak sawit Malaysia yang berterusan menyesuaikan diri di bawah tekanan antarabangsa untuk mengekalkan kemampanan alam sekitar. Oleh itu, industri ini secara berterusan mendorong semua usaha untuk menerima pakai dan memperhalusi amalan ESG dengan proaktif.
Dengan agenda nasional yang mewajibkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (Malaysian Sustainable Palm Oil (“MSPO”)) dan pematuhan kepada garis panduan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (Roundtable on Sustainable Palm Oil (“RSPO”)), industri kita secara konsisten menunjukkan komitmennya terhadap amalan yang mampan, termasuklah polisi yang ketat mengenai “Tiada Pembasmian Hutan, Tiada Gambut, Tiada Eksploitasi” (No Deforestation, No Peat, No Exploitation (“NDPE”)) dan protokol pembakaran sifar.
Walaupun berdepan dengan halangan-halangan seperti Peraturan Pembasmian Hutan (Deforestation Regulation) dan Arahan Penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy Directive) Kesatuan Eropah,2 industri kita kekal proaktif, dengan inisiatif-inisiatif berterusan untuk meningkatkan standard pekerja, memastikan amalan pekerjaan yang adil, dan meningkatkan kemampanan. Misalnya, pokok kelapa sawit, yang terkenal dengan keberkesanan penggunaan tanah, menjadi contoh utama: ia mengeluarkan hasil yang tertinggi berbanding dengan tanaman minyak yang lain per hektar sesebuah tanah. Walaupun hanya menggunakan 5.5 peratus daripada semua tanah yang dikerjakan untuk minyak dan lemak di seluruh dunia, minyak sawit menyumbang sehingga 32 peratus jumlah pengeluaran, menunjukkan produktiviti yang tiada bandingannya dan potensi untuk pertanian mampan.3
Mengenai peningkatan standard pekerja, Malaysia bukan sahaja telah meratifikasi Konvensyen Buruh Paksa (Forced Labour Convention) oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization), malah turut melaksanakan polisi nasional yang komprehensif untuk menghapuskan amalan buruh paksa dan mempertahankan hak-hak pekerja. Kewajipan-kewajipan dan polisi-polisi ini telah didukung dan dilaksanakan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia.
Malaysia juga telah mencapai kemajuan yang ketara dalam pematuhan ESG dan ia telah didokumenkan, dengan syarikat-syarikat perladangan yang besar mengekalkan kadar kemampanan yang tinggi dan mencapai kemajuan yang besar dalam pengurangan pengeluaran gas rumah hijau. Ini menunjukkan tekad industri kita untuk sejajar dengan tanda aras kemampanan global dan menangani cabaran yang timbul daripada halangan peraturan dan perdagangan, contohnya seperti yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah.
Badan Peguam Malaysia berpendapat bahawa selaras dengan polisi nasional untuk meningkatkan kemampanan dan mengurangkan emisi nasional, pengenalan undang-undang rasmi di Malaysia yang berkaitan dengan emisi akan meningkatkan dan menguatkuasakan keperluan pematuhan berhubung dengan ESG. Undang-undang sedemikian akan memberikan satu rangka kerja yang boleh dikuatkuasakan untuk mengurangkan emisi, menambah baik amalan-amalan yang mampan, dan meningkatkan tadbir urus korporat dalam cara yang bersesuaian dengan rangka kerja perundangan sebuah bidang kuasa yang membangun seperti Malaysia.
Mandat undang-undang boleh memacu peningkatan yang ketara dalam amalan korporat dan industri dengan menetapkan standard minimum untuk emisi, menghendaki pelaporan yang tetap, mewajibkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, dan menguatkuasakan pematuhan. Ini amat bersesuaian terutamanya untuk industri-industri seperti minyak kelapa sawit, yang berdepan dengan penelitian rapi dan desakan ESG daripada pasaran antrabangsa dan badan kawal selia, walaupun merupakan tanaman minyak yang paling efisyen dari segi penggunaan tanah.
Berdasarkan rekod, kadar ESG negara-negara yang mempunyai undang-undang iklim yang ketat dilihat sering bertambah baik kerana undang-undang ini mendorong perubahan sistemik yang menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan.4
Dengan menyelaraskan kedudukan supaya hampir dengan standard global dan menunjukkan pendekatan proaktif terhadap kemampanan, Malaysia mampu menarik pelabur asing yang mengutamakan pematuhan ESG dalam keputusan pelaburan mereka. Ini bukan sahaja boleh membantu kita memenuhi standard ESG semasa malah boleh meletakkan industri-industri di Malaysia sebagai peneraju kemampanan, yang berpotensi melebihi keperluan pematuhan asas.
Badan Peguam Malaysia memainkan peranan penting dalam isu alam sekitar ini. Berdedikasi untuk meningkatkan kepakaran undang-undang Ahli-Ahlinya dalam amalan ESG, Badan Peguam Malaysia akan melengkapkan generasi baharu peguam-peguam dengan pembangunan kapasiti dan pendidikan yang strategik. Peguam-peguam ini bukan sahaja terlibat sebagai peserta, malah merupakan pemimpin dalam dialog global mengenai kemampanan, bersedia untuk memperjuangkan dan melaksanakan amalan-amalan yang memastikan keseimbangan pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar.
Dalam usaha Malaysia memajukan agenda ESG, sinergi antara kehebatan undang-undang dan amalan yang mampan mewujudkan satu sinar harapan dan satu bukti tentang apa yang mungkin terjadi apabila sesebuah negara komited kepada hak untuk hidup dan hak untuk persekitaran yang bersih dan mampan.
Bersama-sama, kita bukan hanya melindungi alam sekitar; malah kita menetapkan satu standard global untuk kemampanan dan tanggungjawab sosial, membuktikan bahawa hak untuk hidup dan hak untuk kemampanan alam sekitar, sememangnya boleh wujud seiring.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
13 Mei 2024
1 “Langkah Berkaitan Dagangan, ESG Perlu Adil Untuk Negara Pesat Membangun – Tengku Zafrul”, Bernama, 28 April 2024.
2 “Sawit: EU Palm Oil Ban: Malaysia, Indonesia Seek Trade Justice”, Ministry of Plantation and Commodities website, 20 March 2024. .
3 “Facts on Palm Oil — Highest yield”, The Sustainable Palm Oil Choice website; “8 Things to Know about Palm Oil”, WWF website.
4 “Which Countries Have the Strictest Environmental Laws?”, The Lawyer Portal, 12 Oktober 2023.