©Berita Harian (Digunakan
dengan kebenaran)
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam sepatutnya menjadi badan yang mendidik rakyat
mematuhi setiap keputusan mahkamah, termasuk membabitkan hak orang Islam dan hak
keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh
Abdul Aziz, berkata jika usaha pihak terbabit menganjurkan forum
berkaitan hak Islam dan berasaskan kes yang diputuskan mahkamah membabitkan
orang Islam, ia seperti cuba mempertikaikan keputusan badan kehakiman.
Bagaimanapun, katanya, Majlis Peguam bebas mengadakan sebarang forum berkaitan
Islam jika tidak ada agenda atau perkara boleh menghakis atau mempersoalkan hak
Islam.
“Kita (Jakim) tak kisah dia (Majlis Peguam) nak bincang perkara berkaitan hak
Islam. Yang kita dipersoalkan kalau (forum itu) ada agenda mempertikai
peruntukan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak orang Islam.
“Jika itu berlaku, kita boleh pertikaikan integriti majlis itu,” katanya kepada
Berita Harian, semalam.
Kelmarin akhbar melaporkan Majlis Peguam mahu mengadakan satu lagi forum
berkenaan Islam yang akan turut menyentuh Artikel 121 (1A) Perlembagaan
Persekutuan, selepas menganjurkan forum yang membincangkan hak keistimewaan
orang Melayu.
Forum bertajuk ‘Memeluk Islam’ akan menyentuh artikel berkenaan yang menjelaskan
Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan membabitkan bidang kuasa
Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.
Forum itu akan berlangsung 9 Ogos ini di pejabat Majlis Peguam di sini, juga
akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes sebelum ini
termasuk berkaitan memeluk Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Foo Yet Ngo, berkata forum itu bukan bermakna
Majlis Peguam menentang mereka yang memeluk Islam dan berhasrat berbuat demikian,
cuma ingin membangkitkan masalah yang dihadapi keluarga yang terbabit berikutan
konflik dalam perundangan negara.
Wan Mohamad berkata, jika Majlis Peguam menganjurkan forum seperti itu untuk
tujuan mencabar hak Islam, Jakim juga boleh berbuat demikian bagi membincang dan
mempertahankan hak Islam.
Katanya, orang Islam lebih berhak untuk mempertahankan hak mereka mengikut
peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Jakim bersedia anjur forum terbuka mahu pertahankan hak Islam di masjid dengan
kerjasama 14 Majlis Agama Islam negeri di seluruh negara yang diletakkan di
bawah bidang kuasa Sultan,” katanya.
Ditanya apakah Jakim akan menganjurkannya, beliau berkata: “Bergantung kepada
siapa yang mulakan dulu,” katanya.

