website statistics
feed
Home arrow News arrow Berita/Komen Undang-Undang arrow Teliti pajakan tanah 999 tahun
Advertisement
Teliti pajakan tanah 999 tahun PDF Print E-mail
Wednesday, 02 July 2008 09:55am

©Berita Harian (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Nazura Ngah

Pas Terengganu anggap syor tempoh milikan kekal kampung baru di Perak luar biasa

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali menyifatkan tindakan kerajaan Perak memberi tanah kepada penduduk kampung baru di negeri itu dengan milikan kekal 999 tahun sebagai luar biasa dan hanya berlaku ketika zaman penjajah.

Katanya, kerajaan Perak wajar mengkaji kesan negatif yang akan diterima daripada kelompok masyarakat di negeri itu jika pemberian tanah berkenaan untuk kepentingan politik kerana sejak negara merdeka, tempoh pajakan dan hak milik tanah hanya maksimum 99 tahun.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kerajaan Perak di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin mengkaji dan meneliti tindakan itu dengan mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.

"Pemberian hak milik 999 tahun atau selagi adanya bulan dan matahari ini hanya berlaku pada zaman penjajahan Inggeris. Bagi saya, Menteri Besar harus cermat dalam kenyataannya, bukan untuk mendapat kepentingan politik saja.

"Tambahan pula, apabila ada maklumat yang mengatakan bahawa tempoh pajakan untuk kampung tersusun dalam negeri yang sama dan didiami oleh pelbagai kaum, termasuk orang Melayu hanya 99 tahun.

"Oleh itu, Menteri Besar harus berhati-hati membuat kenyataan. Beliau harus membuat kajian teliti dan mengambil kira pelbagai pihak termasuk pimpinan masyarakat sama ada yang menyokong kerajaan atau tidak," katanya dalam blog peribadinya, padapendapatsaya.blogspot.com.

Akhbar Sabtu lalu melaporkan cadangan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang dianggotai DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot tanah di kampung baru seluruh negeri.

Mohammad Nizar ketika menggulung usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaporkan berkata, rasional untuk memberi hak milik kekal dibuat berdasarkan prinsip keadilan dan ia mengikut apa yang dibenarkan oleh Kanun Tanah Negara.

Sementara itu, Persatuan Anak Perak di Selangor dan Wilayah Persekutuan meminta kerajaan Perak tidak meluluskan status hak pemilikan tanah selama 999 tahun kepada penduduk lot tanah di kampung baru di negeri itu.

Setiausaha Persatuan Anak Perak di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Mohd Hilmi Ismail, berkata jika kerajaan negeri meluluskan mana-mana tanah secara pegangan bebas, ia bercanggah dengan Seksyen 76 (aa) subseksyen (iii) Kanun Tanah Negara.

"Jika diluluskan, keputusan itu tidak sah dan ia boleh dibawa ke mahkamah untuk dibatalkan. Sebaliknya, jika dikeluarkan secara pajakan, ia terhad kepada tempoh maksimum 99 tahun dan bukan 999 tahun," katanya di sini.

Mohd Hilmi berkata isu berkenaan perlu difahami semua pihak kerana Malaysia adalah Persekutuan negeri di mana ada undang-undang yang dipakai oleh semua melainkan yang berkaitan dengan agama Islam dan adat Melayu.

Comments (0)Add Comment

Write comment
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
Username Password
Remember Me | Register | Lost Password?

Q & A with Razak



View Full Calendar