|
©Harian Metro
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Ahmad Fitri Che Musa
KUALA LUMPUR: Wanita genius matematik, Sufiah Yusof, 23, yang terjerumus ke
kancah pelacuran akhirnya bersetuju menerima pelawaan Kumpulan Penyokong dan
Pengasuh Profesional Islam (Pisang) menjalani rawatan mengikut kaedah Islam
untuk kembali ke pangkal jalan, sekitar Oktober depan.
Pengarah Perancangan dan Strategi Pisang, Hanafi Abdul Malek, berkata
persetujuan Sufiah menemui wakil Pisang bagi mengikuti sesi kaunseling dan
rawatan selepas Aidilfitri ini, membuka laluan untuk membantu wanita itu yang
kini menjadi pelacur kelas atasan di kota London.
Menurutnya, Pisang sentiasa menggunakan pendekatan tidak mendesak atau memaksa
yang mungkin menyebabkan Sufiah terpanggil untuk berjumpa wakil kumpulan itu
sekali lagi selepas pertemuan pertama April lalu bagi menjalankan rawatan
komprehensif merangkumi kaunseling dan perubatan Islam.
Katanya, Pisang akan menjalankan rawatan secara kaunseling dan rawatan
berlandaskan hukum agama terhadap Sufiah iaitu dengan perubatan ruqyah
menggunakan bacaan al-Quran dan doa supaya wanita berketurunan Melayu itu
meninggalkan kerjaya mengaibkan itu.
“Kita menggunakan doa yang disertai kaunseling agar
dapat melembutkan hati Sufiah selain memujuknya tanpa gopoh. Dia seorang wanita
dewasa yang pintar, sudah tentu kita tak boleh sewenang-wenang memarahi atau
mendesaknya.
“Kalau dulu dia langsung tidak mahu berkomunikasi dengan sesiapa walaupun
melalui e-mel, alhamdulillah dia kini sudah mula menghantar e-mel kepada kami,”
katanya yang baru selesai menghadiri majlis perasmian ibu pejabat Pisang di Kota
Kinabalu, semalam.
Menurutnya, Pisang juga menyediakan perkhidmatan merawat mereka yang terkena
sihir, khidmat kaunseling dan bimbingan menggunakan kaedah rawatan Islam selain
perkhidmatan penerbitan dan penterjemahan.
Hanafi yang juga Pengerusi Yayasan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim),
berkata tidak adil bagi mana-mana pihak memarahi atau menghukum Sufiah kerana
setiap manusia pernah melakukan kesalahan.
Malah, katanya, Sufiah terharu dan gembira apabila pihak Pisang dan Kesatuan
Melayu United Kingdom sudi membantunya secara sukarela selain sentiasa memahami
situasi yang dilaluinya.
Dalam pertemuan terakhir dengan Sufiah April lalu, wanita itu turut terharu
apabila diberitahu masyarakat negara ini sentiasa mendoakan kesejahteraan dan
mengikuti perkembangannya di London sejak dia diterima memasuki Universiti
Oxford pada usia 13 tahun.
“Kami tidak pernah mendesak Sufiah, sebaliknya memahami masalah dihadapinya
serta memberikan ruang kepadanya sehingga beliau benar-benar bersedia.
“Sufiah dapat menerima kehadiran kami kerana kami tidak pernah memarahi atau
mengutuknya seperti dilakukan segelintir masyarakat tempatan yang melemparkan
pelbagai tohmahan, termasuk menuduhnya tidak bermoral.
“Jadi, persetujuan Sufiah untuk bertemu kami Oktober ini menandakan beliau sudah
bersedia dan satu perkembangan baik dalam usaha Pisang membantunya,” katanya.
|