|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)
USAHA-USAHA pembaharuan kepada sistem perundangan negara sedang diperkenalkan
oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Langkah pertama, Zaid sudah mendedahkan bahawa kerajaan akan mewajibkan pelajar
jurusan undang-undang mengikuti kursus Common Bar Course (CBC) serta lulus
Common Bar Examination (CBE) bagi menggantikan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP)
sebelum layak berkhidmat sebagai peguam di negara ini.
Cadangan memansuhkan CLP yang diwajibkan sebelum ini ke atas pelajar
undang-undang lulusan luar negara yang diperkenalkan pada 1984 mendapat reaksi
pelajar tempatan.
Memang ada baiknya peraturan baru itu yang bertujuan meningkatkan kualiti
industri guaman negara dimulakan dari peringkat awal sejurus pelajar keluar dari
'fakulti undang-undang' sama ada dari dalam atau luar negara.
Menurut Zaid yang mengumumkan perkara ini di Parlimen; "Apa yang kita harapkan,
apabila ada CBC dan CBE ini, kita dapat kekal standard serta menghasilkan peguam
yang berkualiti tinggi agar kita mempunyai industri dan perkhidmatan perundangan
serta juga hakim bermutu tinggi.
"Dengan satu peperiksaan yang seragam untuk kesemua lulusan undang-undang ia
akan membolehkan satu piawaian yang seragam dilakukan untuk mereka yang mahu
bergelar peguam.
"Ini pastinya dapat meningkatkan tahap profesion peguam dan sekali gus kepada
keseluruhan sistem perundangan itu sendiri," katanya.
Hasrat pentadbiran kerajaan memperkenalkan peperiksaan yang seragam sebelum
individu berkelayakan diterima masuk sebagai peguam mempunyai matlamat yang baik.
Bagaimanapun pembaharuan ini mendapat reaksi kurang senang di kalangan pelajar
undang-undang yang menuntut di dalam negara.
Sebelum ini mereka tidak perlu mengikuti CLP kerana ia khas kepada pelajar
lepasan luar negara. Oleh itu satu kejutan kepada mereka apabila CLP dimansuhkan
sebaliknya mereka dikehendaki pula menduduki CBE - sama yang dikenakan kepada
pelajar lulusan luar negara jika mahu menjadi peguam.
Barangkali pelajar undang-undang dalam negara berasa berlaku ketidakadilan,
sungguhpun kerajaan berhasrat hendak melakukan pembaharuan dalam sistem
kehakiman dan menambah baik mutu pentadbiran keadilan negara.
Bagi mereka adalah tidak adil jika pelajar undang-undang dari luar negara yang
lazimnya tamat pengajian dalam masa tiga tahun sedangkan di negara ini empat
tahun, mendahului mereka dalam mengambil CBE dan jika lulus, layak bergelar
peguam bertauliah. Mengapa mereka yang terpaksa belajar selama empat tahun,
turut dikenakan mengambil CBE?
Dalam hal ini peguam bela, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusof berpandangan, cadangan Zaid
itu sepatutnya selari dengan sistem modul perundangan di universiti negara ini.
KeperluanCadangan beliau seolah-olah hanya memenuhi keperluan pelajar
undang-undang luar negara sahaja.
"Sekiranya kualiti peguam yang dikatakan memberi permasalahan hendak diatasi,
maka penyeragaman dalam sistem pengajian undang-undang untuk pelajar dalam
negara ini juga perlu dikaji.
"Tidak adillah sekiranya pelajar dalam negara terpaksa melalui tempoh empat
tahun pengajian sedangkan pelajar di luar negara tamat pengajian tiga tahun dan
boleh menduduki peperiksaan itu. Untuk itu dicadangkan pelajar tempatan
dibenarkan mengambil peperiksaan seawal tempoh pengajian tiga tahun," kata Mohd.
Yusmadi ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, dalam modul pengajian undang-undang di universiti tempatan
sekarang, pada tahun empat baharu pelajar didedahkan amalan profesion guaman,
sedangkan pelajar luar negara pula pulang untuk menduduki CBE. Oleh itu kajian
patut dibuat bagi mengkaji semula tempoh pengajian undang-undang dalam negara
ini sama ada perlu disingkatkan atau tidak.
Apa pun, pembaharuan yang sedang dikaji ini bermula dari peringkat awal individu
untuk ditauliah sebagai peguam bertujuan menjaga martabat profesion guaman.
Masalah pelanggaran etika guaman dan persoalan kecekapan pengendalian kes oleh
peguam-peguam juga perlu ditangani. Imej dan mutu bidang guaman negara ini perlu
dibaiki.
Dalam hal ini Yusmadi menyentuh kualiti pegawai-pegawai undang-undang dalam
jabatan kerajaan. Masyarakat kini telah memperkatakan kualiti pegawai
undang-undang kerajaan misalnya pegawai timbalan pendakwaraya yang gagal
mengemukakan kes jenayah di mahkamah.
Oleh itu, beliau mencadangkan CBE patut juga melibatkan mana-mana individu
terutama pegawai undang-undang kerajaan yang ingin menjadi peguam bela atau
peguam cara.
"Ini penting supaya kualiti peguam dalam sektor swasta dan kerajaan ada
keseimbangan. Sebelum ini, ramai yang memperolehi ijazah undang-undang terus
berkhidmat dengan kerajaan tanpa mengambil peperiksaan CLP.
"Jika pegawai undang-undang kerajaan diarah mengambil CBE, mereka mungkin
memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat. Malah rakyat tidak akan
mempersoalkan mutu pendakwaan bagi kes-kes jenayah berprofil tinggi sebagaimana
dihadapi pihak berkuasa sebelum ini," kata Mohd. Yusmadi.
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Zukhairi
Muhammed Salehudin yang menulis surat kepada Utusan Malaysia menyatakan di
sebalik hasrat murni Zaid itu, sebilangan mahasiswa khuatir dengan cadangan
pengenalan CBC yang akan diwajibkan kepada semua graduan undang-undang
mengikutinya sebelum layak diterima masuk sebagai peguam.
Beliau amat berharap agar isu berkaitan kos pengajian CBC, pengisian dan jumlah
jam kredit perlu diambil kira sebelum melaksanakan cadangan ini.
Hal ini bagi mengelakkan penuntut undang-undang tidak terbeban dengan jam kredit
yang terlalu banyak. Pendekatan yang sewajarnya juga perlu diambil kira, mungkin
di antara pihak berwajib bersama Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan
setiap fakulti undang-undang di universiti negara ini mempunyai silibus yang
standard yang membantu pelaksanaan CBC dan CBE ini kelak.
Sebagai penuntut undang-undang, Muhammad Zukhairi berpendapat pelbagai perkara
yang mungkin timbul kesan pengenalan cadangan ini perlu diperhalusi dengan
sebaik-baiknya oleh pihak berwajib.
Penasibat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaiton Othman
pula menegaskan, apa yang penting ialah kajian lebih mendalam mengenai modul dan
prosedur perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan.
"Soal tempoh pengajian di luar negara yang pendek berbanding pengajian
undang-undang dalam negara bukan isu, yang penting keputusan yang cemerlang
diperoleh oleh pelajar.
"Kerajaan kena buat kajian perbezaan modul pengajian sama ada cukup atau kurang.
Jika tidak cukup, kena tambah dan cari program yang sesuai.
"Apa yang kita pentingkan ialah prestasi peguam sama ada hasil produk universiti
tempatan atau luar negara," jelas beliau.
Kepada Zaid, apa yang beliau harapkan, "Apabila ada CBC dan CBE ini, kita dapat
kekal standard serta menghasilkan peguam yang berkualiti tinggi agar kita
mempunyai industri dan perkhidmatan perundangan serta juga hakim bermutu tinggi."
|