|
©Mingguan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar
dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota,
fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu
sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru
sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada
pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun,
peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.
Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya
vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun
dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara
demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13
Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan
kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak
menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah
salah seorang daripadanya.
Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J
seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati
kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang
dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya,
bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi
antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua
Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang
menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).
“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah
dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu
dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej
Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana
organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas
batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata
YB J.
Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama
seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama
seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah
Islamnya.”
Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah
yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan
majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang
dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi
Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila
dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus
keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah
memangkahnya.
Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik
hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi
Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya
dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia
Barunya.
Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling
kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.
“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”
Pertanyaan
Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia
tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah
untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat
pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan
generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan
berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar
yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti
di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J
tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap
sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan
kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad
berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang
memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya
terhadap perhubungan kaum adalah negatif.
Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi
lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu.
Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang
tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak
pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang
politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada
kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada
dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.
Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan
tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau
membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah.
Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak
kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi
menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia
membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.
Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik
negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri
sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya.
Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya.
Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan
majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada
1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan
sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para
pengkritiknya.
Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan
yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli
Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang
kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.
Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan
yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J.
Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku
di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu.
Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing
Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi
bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam
hatinya.
Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa
yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi
selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu
berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu
dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat
diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para
penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di
Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat
ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam.
Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen
digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah
perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu,
peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun
Abdul Razak.
“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang
semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.
Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.”
Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung
pada mata yang menilai.
“Apa maksud kamu mungkin tidak.”
" Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci
Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB.
Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum
YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”
“Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.
Bergantung
“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang
Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu
pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan
parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”
“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"
“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk,
perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan
jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai
kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut
mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan
pandangannya.
Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya
kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang
Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB
perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza.
YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang
sama tidak menafikan hak orang Melayu.”
Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si
Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu
terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.
Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi
mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku
percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap
warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama
mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa.
Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang
Malaysia.
YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia
yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel
berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina
yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.
Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-
jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku
sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J.
Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini
untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan
keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi
warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..
Dikejutkan
Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang
memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”
Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah
seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan
memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh
mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan
pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin
bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar
negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.
Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput
untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J.
Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia
teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up.
Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang
sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat
demikian.
Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir
pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah
seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J
dengan caranya yang tersendiri.
Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari
belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia
menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau
bersalaman dengannya.
YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak
percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang
seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol
jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.
Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah
satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.
Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam
melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak
penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat
apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang
tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang
berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.
Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan
lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.
Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak
muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.
Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu,
terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.
Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik
riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai
di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.
|
This article comes with questionable motives. What is the message here? Is it a death threat. Is it targeting a certain very popular lady MP from the Pakatan Rakyat? If not what is its informative or entertainment value here? Is this even allowed? But then again this is Umno paper and we can see what they are truly made of here.
Lim Chong Leong