|
©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Azmi Md Deros
AGENDA pembangunan Melayu tetap relevan sampai bila-bila. Selagi wujudnya bangsa
Melayu, selagi itulah semangat ini harus didukung sepenuhnya oleh parti politik
yang dianggotai orang Melayu.
Dalam hal ini, Melayu sendiri yang perlu memperjuangkan nasib dan masa depan
bangsanya. Mereka tidak boleh menyerahkannya kepada orang lain kerana mereka
juga mempunyai agenda sendiri yang harus diperjuangkan.
Ketika terlalu ghairah berpolitik, semua parti siasah umat Melayu tidak harus
lupa tanggungjawab mereka mempertahankan hak bangsa, budaya, agama dan tanah
airnya, selaras dengan tuntutan Islam.
Bagi orang Melayu di Malaysia, kita masih bernasib baik
kerana kuasa politik yang menjadi penentu utama perjuangan memartabatkan bangsa
Melayu dan agama Islam masih berada di tangan kita, walaupun sudah ada tanda ia
sedikit terhakis.
Orang Melayu tidak perlu segan silu atau takut untuk membicarakan hal ini kerana
mereka adalah tuan di tanah airnya sendiri. Pada masa sama, bangsa lain pula
tidak perlu berasa takut kerana sejarah di negara ini menunjukkan hak mereka
tidak pernah dirampas begitu saja dalam usaha kumpulan Melayu cuba
memperkukuhkan kedudukan peribumi.
Dasar perjuangan kerajaan, khususnya Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi ialah
perkongsian yang melahirkan situasi ‘menang-menang’. Jaminan yang diberikan
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa Umno akan terus
berpegang kepada perjuangan asas parti, iaitu membela nasib orang Melayu dan
pada masa sama, mengambil kira sokongan semua parti komponen BN yang lain, perlu
menjadi sandaran.
Tidak dapat dinafikan, Umno sebagai parti yang bercorak kebangsaan sudah banyak
membawa kejayaan dalam memperjuangkan hak bangsa Melayu dan umat Islam di negara
ini, termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sejak 1970-an
yang menyaksikan kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang bertambah baik.
Dasar itu menggariskan hala tuju yang jelas dalam memperkasakan kedudukan bangsa
Melayu dalam pelbagai sektor.
Namun, apa yang dibimbangi ialah kekuasaan untuk memperkasakan kedudukan orang
Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac lalu, menjadikan usaha itu sedikit
terganggu apabila Umno yang selama ini amat dominan dalam memperjuangkan nasib
dan masa depan Melayu tergugat apabila mereka tidak dapat membentuk kerajaan di
lima negeri.
Biar pun pada peringkat pusat BN yang diterajui Umno masih membentuk kerajaan,
apabila wujud ketidakseragaman pada peringkat negeri akan menjejaskan sedikit
sebanyak agenda pembangunan Melayu yang dirangka pada peringkat pusat.
Bagi tokoh akademik yang juga pensyarah Kolej Kerajaan, Undang-undang dan
Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Atory
Hussain, konsep kesamarataan yang diperjuangkan kerajaan Pakatan Rakyat
dikhuatiri boleh menyebabkan orang Melayu akan terus tertinggal daripada arus
persaingan kerana kaum berkenaan masih belum mampu bersaing sepenuhnya tanpa
diberikan perhatian khusus.
Beliau berkata, di Kedah misalnya negeri yang majoriti orang Melayu, taraf
ekonomi bangsa berkenaan masih jauh ketinggalan, berbanding kaum lain, terutama
Cina yang menguasai pelbagai sektor perniagaan dan perkhidmatan.
“Sebagai tuan di bumi sendiri, orang Melayu mesti lebih, tidak boleh sama rata.
Orang Melayu perlu mencapai tahap gemilang dalam semua aspek, sama ada ekonomi,
politik dan pendidikan. Islam juga menuntut umatnya supaya berada pada tahap
paling atas supaya dihormati,” katanya.
Apa yang menarik ialah beliau mengumpamakan konsep sama rata sama seperti
keadaan tanah yang rata, iaitu ia mudah dipijak sesiapa saja dan itulah akan
dialami bangsa Melayu jika prinsip itu didukungi.
“Oleh itu, kita perlu menjadi bangsa yang berada lebih tinggi daripada orang
lain supaya kita tidak mudah dipijak. Bila kita berada di atas, akan lebih mudah
untuk kita menentukan keadilan kepada orang lain. Selama ini pun kita tidak
pernah menindas bangsa lain,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bangsa lain supaya tidak mudah melatah dengan
perjuangan memartabatkan orang Melayu kerana selama ini belum pernah berlaku hak
bangsa lain diambil untuk diserahkan kepada orang Melayu kerana kerajaan
sentiasa mengambil berat terhadap semua kaum.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan Pas Kedah lebih serius dalam menjaga
kepentingan bangsa Melayu di negeri itu dan tidak terlalu terikut-ikut dengan
slogan atau konsep sama rata dilaungkan rakan mereka, seperti Parti Keadilan
Rakyat (PKR) dan DAP.
Dr Ahmad Atory berkata, Pas yang ahlinya terdiri daripada orang Melayu dan
beragama Islam perlu lebih fokus terhadap usaha membangunkan bangsa Melayu
selepas mereka mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri kerana jika
tidak, masa depan orang Melayu akan terbiar.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK), Tan Sri
Khalid Abdullah, berkata dalam keghairahan orang Melayu mengejar kemewahan
melalui apa juga parti politik yang diwakili, mereka perlu mengelak daripada
menjadi apa yang kini dialami bangsa Arab.
“Orang Arab amat kaya dari segi ekonomi kerana negara mereka dianugerahkan
minyak, tetapi mereka tiada kuasa sehingga terpaksa bergantung kepada pihak
lain. Kita harus meminjam semangat pengebom berani mati yang sanggup
mempertaruhkan nyawa mereka demi memastikan tanah air dan agama mereka terbela,”
katanya.
Beliau berkata, orang Melayu perlu membuang tabiat hanya mementingkan diri
sendiri kerana ia hanya akan menyebabkan bangsa berkenaan tidak dapat bangkit
secara total dalam memperjuangkan hak mereka secara menyeluruh.
Sementara itu, selepas 100 hari menguasai kerajaan negeri, masih belum ada
pencapaian membanggakan yang dibuat kerajaan Pas Kedah dalam menentukan hala
tuju negeri ini, khususnya dalam bidang ekonomi yang penting untuk menjaga
kepentingan rakyat.
Menteri Besar, Azizan Abdul Razak sendiri mengakui tempoh 100 hari pertama yang
dilaluinya sebagai tonggak kepemimpinan negeri bukanlah mudah sebagai mana yang
disangka.
“Bukan mudah menjadi Menteri Besar. Tidur pun dengan masalah, dan bangun
disambut dengan masalah,” kata beliau ketika melancarkan program e-Sinar di Alor
Star, baru-baru ini.
Kenyataan beliau itu membuktikan bukanlah mudah bagi sesiapa pun untuk menerajui
sesebuah negeri kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi, di samping sentiasa
menjadi tempat mengadu oleh rakyat pelbagai lapisan.
Di negeri itu, walaupun kerajaan pimpinan Pas sudah mula menunaikan beberapa
manifesto dalam janji pilihan raya, pemerhati politik berpendapat ia hanya
membabitkan aspek yang kecil dan tidak banyak membawa impak kepada pentadbiran.
Antaranya, memberi elaun kepada guru agama dan al-Quran dan pengurangan semula
cukai tanah yang sudah diluluskan kenaikannya pada 2006.
Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat apa yang dilaksanakan itu bukanlah
langkah yang memberi kesan baik untuk jangka panjang kepada kerajaan kerana
pengurangan cukai tanah akan menyebabkan hasil negeri menyusut sebanyak RM50
juta.
Sementara itu, wakil Persatuan Penjaga dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin
Mohd Ali pula berkata, sejak kerajaan baru memerintah ramai penjaja yang sebelum
ini berniaga di sekitar bandar raya Alor Star dilarang berniaga oleh Majlis
Bandaraya Alor Star (MBAS).
Katanya, walaupun sebelum ini mereka yang tidak memiliki lesen dibenarkan
berniaga oleh kerajaan atas dasar bertolak ansur, keadaan kini berubah apabila
pegawai penguatkuasa MBAS tegas melarang mereka berniaga atau barangan mereka
dirampas dan dikompaun.
“Kebanyakan mereka sudah berniaga sejak dua atau tiga tahun lalu, tetapi masih
belum mempunyai lesen dan sudah beberapa kali memohon tetapi belum diluluskan.
Sejak beberapa bulan lalu, mereka hilang mata pencarian apabila dilarang
berniaga oleh MBAS,” katanya.
Dalam hal ini, kerajaan Pas Kedah sepatutnya membenarkan peniaga kecil Melayu
itu menjalankan kegiatan mereka untuk mencari rezeki menyara keluarga sejajar
dengan motonya ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.
Kerajaan negeri perlu sedar aktiviti perniagaan, walaupun secara kecil-kecilan
adalah satu cabang penting yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi, lebih-lebih
lagi ketika rakyat dihimpit pelbagai kenaikan kos hidup, termasuk harga minyak
dan barang lain.
Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Kedah
|