©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran
Oleh: Rozaman Ismail
PUTRAJAYA 21 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
berkata, polis perlu menyiasat segera dakwaan kewujudan klip video yang
menunjukkan seorang peguam kanan sedang bercakap dengan seseorang berhubung
pelantikan hakim–hakim di negara ini.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi menentukan sama ada klip video
berkenaan boleh dipercayai atau tidak.
‘‘Klip video dan transkripnya telah dihantar ke pejabat saya. Soalnya, adakah ia
betul dan boleh dipercayai?
‘‘Ini yang penting kerana video itu menunjukkan seorang peguam bercakap seorang
diri sahaja. Lagi seorang kita tidak tahu siapa yang bercakap,” kata Abdullah
pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya Polis ke–71 di
sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd.
Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Abdullah diminta mengulas pendedahan sebuah parti politik pembangkang mengenai
rakaman video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang berbual dalam telefon
tentang usahanya membantu pelantikan beberapa hakim.
Menurut Perdana Menteri, siasatan itu perlu dijalankan kerana klip video itu
membawa cerita yang menjejaskan nama baik sistem kehakiman negara ini dan tidak
boleh dipandang ringan.
‘‘Laporan itu sudah tentu akan memberi nama tidak baik kepada sistem kehakiman
kita,” katanya.
Menurut Abdullah, Malaysia mempunyai undang–undang dan tindakan boleh diambil ke
atas mereka yang terlibat menimbulkan dakwaan tidak betul kerana perbuatan itu
dilihat sebagai satu tindakan untuk menimbulkan rasa marah dan benci rakyat
terhadap sistem kehakiman.
‘‘Kalau tuduhan dan klip video itu tidak betul, sudah tentu ia merupakan satu
kesalahan dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Ditanya sama ada sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat
perkara itu, Perdana Menteri menegaskan, langkah tersebut tidak perlu kerana
kesahihan klip video itu belum dibuktikan lagi.
‘‘Tak payah kita buat... maklumat yang dikemukakan pun belum ditentukan sah.
‘‘Apa perlunya suruhanjaya sedangkan maklumat itu belum sahih? Kalau betul, itu
soal lain,” tegas Perdana Menteri.