(Versi Terjemahan)
Bar Malaysia berasa marah di atas penahanan Matthias Chang — seorang ahli Bar Malaysia dan salah seorang daripada peguam yang mewakili Dato’ Sri Khairuddin Abu Hassan (“Dato’ Sri Khairuddin), seorang ahli politik dan pengkritik 1Malaysia Development Berhad (“1MDB”) — di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah–langkah Khas) 2012 (Security Offences (Special Measures) Act 2012; “SOSMA”). Mengikut laporan, penahanan ini dibuat untuk siasatan dakwaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124K (sabotaj) dan Seksyen 124L (Cubaan untuk melakukan sabotaj), kedua–duanya di bawah Kanun Keseksaan.
Matthias Chang ditahan oleh polis semalam selepas melawat anak guamnya yang pada ketika ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. Mengikut laporan, Matthias Chang kini akan ditahan sehingga 28 hari.
Laporan awal mengatakan bahawa Matthias Chang dan anak guamnya telah dilarang keluar dari Malaysia pada 18 September 2015, dan pada ketika itu mereka hampir berlepas ke New York untuk berjumpa dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (Federal Bureau of Investigation) berhubungan dakwaan penyelewengan kewangan berkaitan 1MDB.[1] Matthias Chang seterusnya disoal siasat pihak polis pada 28 September 2015 dan 2 Oktober 2015 sebagai saksi berhubung dakwaan terhadap anak guamnya.
Tiada sebab yang munasabah mengapa pihak polis telah menahan Matthias Chang di bawah SOSMA sedangkan beliau telah memberikan kerjasama dengan menghadirkan diri untuk disoal oleh pihak polis setakat ini. Penahanan beliau merupakan penyalahgunaan kuasa penangkapan dan penahanan di bawah Seksyen 4 SOSMA.
Bar Malaysia telah pun menyuarakan sebab kami tidak bersetuju dengan penggunaan SOSMA terhadap Dato’ Sri Khairuddin di dalam kenyataan akhbar kami yang bertarikh 2 Oktober 2015.[2] Sebab yang sama turut terpakai dalam kes Matthias Chang. SOSMA digubal untuk menangani ancaman keganasan dan perlakuan ganas. SOSMA tidak seharusnya disalahguna sebagai pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Internal Security Act 1960; “ISA”) yang telah pun dimansuhkan. Tindakan polis menggunakan SOSMA terhadap Dato’ Khairuddin dan Matthias Chang amat merisaukan, kerana ini menunjukkan SOSMA akan menjadi ISA yang baru.
Bar Malaysia mengecam intimidasi, gangguan, penangkapan ataupun penahanan yang dibuat terhadap mana–mana ahli Bar Malaysia yang menjalankan tugas atau melaksanakan kewajipan mereka kepada dan bagi pihak mana–mana anak guam. Setiap Ahli Bar Malaysia adalah diwajibkan, dan mestilah dibenarkan, untuk bertindak tanpa gentar atau pilih kasih demi kepentingan anak guam, dengan mengambil kira kedaulatan undang–undang dan pelaksanaan keadilan.
Ketua Hakim Negara, YAA Tun Dato’ Seri Arifin Zakaria telah berkata, “... seseorang peguam tidak hanya menjalankan tugas yang dilatih secara profesional, malah memikul tanggungjawab khas dalam mempertahankan kesucian sistem perundangan, dan, lebih penting lagi, mempertahankan kedaulatan undang–undang.”[3]
Perhatian harus juga diberi kepada Perkara 16 dan 18 Prinsip–Prinsip Asas Peranan Peguam (Basic Principles on the Role of Lawyers), yang diterima oleh Kongress Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu Ke–8 mengenai Pencegahan Jenayah dan Pemulihan Pesalah pada tahun 1990 (Eighth United Nations Congress on the Prevention of Crime and the Treatment of Offenders in 1990), yang menyatakan:
16. Kerajaan hendaklah memastikan bahawa peguam (a) dapat menjalankan semua tugas dan fungsi profesional mereka tanpa intimidasi, sekatan, gangguan serta campur tangan yang tidak wajar; (b) dapat bergerak dan berunding dengan anak guam mereka dengan bebas, di dalam negara mereka sendiri atau di luar negara; (c) tidak mengalami, atau diancam dengan pendakwaan atau sekatan berbentuk pentadbiran, ekonomi atau sekatan–sekatan lain di atas apa–apa tindakan yang diambil selaras dengan tugas profesional, piawai dan tatasusila yang diiktiraf.
…18. Peguam tidak harus dikaitkan dengan anak guam mereka ataupun pendirian anak guam mereka hasil daripada pelaksanaan tugas mereka.
Bar Malaysia juga mengecam sebarang cubaan untuk melampaui atau menghakis prinsip kerahsiaan profesional undang–undang (legal professional privilege) atau kerahsiaan di antara peguamcara dan anak guam (solicitor–client privilege), dengan menggunakan siasatan terhadap peguam sebagai alasan palsu. Hujah–hujah yang menjadi asas kepada prinsip kerahsiaan profesional undang–undang ini adalah:
(a) kerahsiaan segala komunikasi di antara anak guam dengan peguam mereka dalam pemberian nasihat dan/atau perwakilan mestilah terjamin agar keadilan dapat dilaksanakan dengan sewajarnya. Ini merupakan perkara asas yang penting dan wajib;(b) prinsip ini mengutamakan kepentingan awam kerana ia membantu dan meningkatkan pelaksanaan keadilan dengan memudahkan perwakilan anak guam oleh penasihat undang–undang mereka; dan(c) keutuhan sistem pelaksanaan keadilan ini bergantung kepada komunikasi yang penuh, bebas dan jujur di antara mereka yang memerlukan nasihat undang–undang dan mereka yang paling layak memberikan nasihat tersebut.
Prinsip kerahsiaan undang–undang profesional mesti kekal mutlak dan tidak tercabul kerana prinsip ini melindungi segala maklumat yang diberikan oleh anak guam kepada peguamnya bagi tujuan nasihat dan perwakilan, yang dengannya maklumat tersebut tidak boleh didedahkan oleh peguam kepada mana–mana pihak, melainkan anak guam tersebut mengetepikan hak kerahsiaan tersebut. Prinsip ini termaktub di dalam Seksyen 126, Akta Keterangan 1950 (Evidence Act 1950), di mana hanya terdapat dua pengecualian yang menyebabkan keistimewaan tersebut tidak terpakai, iaitu, apabila terdapat “(a) apa–apa komunikasi sedemikian yang dibuat bagi mencapai apa–apa maksud yang menyalahi undang–undang; (b) apa–apa fakta yang diketahui oleh mana–mana peguambela dalam perjalanan pekerjaannya sedemikian yang menunjukkan bahawa apa–apa jenayah atau penipuan telah dilakukan sejak dia mula diambil kerja”.
Pihak polis harus berpegang teguh kepada prinsip — yang termaktub dengan jelas di dalam kanun dan undang–undang lazim — kerahsiaan profesional undang–undang yang terhormat ini, dan tidak harus mendapatkan apa–apa maklumat daripada Matthias Chang yang diberikan oleh anak guamnya, Dato’ Sri Khairuddin, dengan mengabaikan atau melanggar prinsip yang telah lama wujud ini. Sebarang gangguan ke atas prinsip ini adalah sesuatu yang amat terhina dan bertentangan dengan pelaksanaan keadilan.
Bar Malaysia menuntut agar pihak polis mengiktiraf dan menghormati peranan dan tanggungjawab Matthias Chang sebagai seorang peguam. Bebaskan beliau dengan segera, dan jangan mengambil apa–apa tindakan yang mungkin mengganggu, menghalang atau menyekat beliau dalam menjalankan tugas bagi anak guam beliau.
Steven Thiru
Yang Dipertua
Bar Malaysia
9 Oktober 2015
[1] “Malaysia Blocks Critic of Prime Minister From Taking Case to U.S.”, New York Times, 18 September 2015.
[2] Kenyataan Akhbar oleh Bar Malaysia bertajuk “SOSMA Must Not be Misused to Silence Critics of 1MDB”, 2 Oktober 2015.
Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Akhbar ini adalah versi bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Bar Malaysia bertarikh 9 Oktober 2015, yang boleh didapati
di sini
.