(Versi terjemahan)
Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media Bersama ini adalah versi bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Bar Malaysia, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang–Undang Sabah bertarikh 17 April 2015, yang boleh didapati di sini.
Bar Malaysia, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang–Undang Sabah amat terkejut dengan pindaan kepada Akta Hasutan 1948 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada awal pagi 10 April 2015. Kami amat kecewa kerana Kerajaan Malaysia bukan sahaja telah memungkiri janji yang dibuat pada tahun 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional, tetapi memperkukuhkan lagi Akta Hasutan 1948 secara substantif dengan peruntukan yang drastik dan menindas.
Akta Hasutan 1948 ialah undang–undang kuno, usang dan regresif yang mesti dimansuhkan. Ia amat menyekat, malah menafikan, kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat, dan dengan itu menekan hak perlembagaan rakyat Malaysia. Ia bertentangan dengan demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia.
Pindaan kepada Akta Hasutan 1948 adalah tamparan hebat kepada kedaulatan undang–undang di Malaysia, dan menyokong tanggapan umum bahawa kita sedang menjunam menjadi sebuah negara autoritarian dan tidak bertoleransi. Ruang demokrasi untuk wacana yang terbuka, bermakna dan mantap telah dijadikan lebih kecil secara mendadak. Pindaan tersebut mengukuhkan kebimbangan bahawa had kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat ditentukan oleh pihak–pihak dalam masyarakat kita yang tidak terbuka kepada komen negatif atau idea–idea yang bertentangan, atau mereka yang mudah tersinggung atau marah. Ini memupuk persekitaran yang tidak bersederhana dan tidak bertoleransi.
Pindaan–pindaan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat itu akan menghasilkan rasa perpaduan dan keharmonian yang palsu, yang sebenarnya dihasilkan melalui ugutan dan suasana ketakutan. Rasa tidak selamat dan syak wasangka di kalangan rakyat kita akan diteruskan, yang akan menjejaskan pertumbuhan negara kita.
Pindaan tersebut tidak menyentuh satu elemen Akta Hasutan 1948 yang paling tidak boleh diterima, iaitu bahawa niat seseorang yang dituduh menghasut, sama ada mulia atau nakal, adalah tidak relevan. Maka kesalahan menghasut tetap menjadi kesalahan liabiliti ketat. Liabiliti ketat bagi kesalahan jenayah ialah pengecualian yang ekstrim dalam undang–undang jenayah dan sudah tentunya tidak harus dikenakan kepada kebebasan yang dijamin perlembagaan, yakni kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Pindaan tersebut juga menjenayahkan kebenaran, kerana kebenaran kata–kata yang dikatakan mempunyai “kecenderungan menghasut” itu bukan pembelaan bagi pertuduhan hasutan. Ini merupakan satu lagi aspek Akta Hasutan 1948 yang menjijikkan.
Pindaan kepada Seksyen 3(1)(a) menghapuskan peruntukan bagi kritikan “terhadap mana–mana Kerajaan” sebagai alasan untuk “kecenderungan menghasut”. Walaupun ini perkembangan yang harus diambilkira, tidak harus dilupakan bahawa kenyataan negatif terhadap Kerajaan tidak sepatutnya dijadikan suatu jenayah dari mula lagi. Kerajaan tidak boleh meletakkan dirinya di luar pemerhatian atau ulasan umum, dan tidak boleh melindungi dirinya daripada kritikan. Berkenaan dengan penghapusan Seksyen 3(1)(c) mengenai kritikan terhadap pentadbiran keadilan, ia pengiktirafan yang tepat pada masanya bahawa tiada institusi harus dilepaskan daripada ulasan yang membina dan jujur dalam sesebuah demokrasi. Walau bagaimanapun, kami tetap bimbang bahawa kata–kata sebegitu masih boleh didakwa di bawah undang–undang lain. Jika Kerajaan berhasrat untuk mengiktiraf hak kebebasan mengeluarkan pendapat, ia mesti berbuat demikian secara konsisten dalam segala undang–undang yang ada.
Pindaan–pindaan lain kepada Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 amat merisaukan. Penambahan perkataan “kebencian” dalam Seksyen 3(1)(e) berkenaan dengan kaum atau golongan yang berlainan di Malaysia, dan peruntukan baru yang berkaitan dengan kecenderungan menghasut dalam Seksyen 3(2)(c)(ii), berkenaan menghasilkan “perasaan jahat, permusuhan atau kebencian” “antara kaum atau golongan penduduk Malaysia yang berlainan”, atau “antara orang atau kumpulan orang atas alasan agama”, ialah pindaan yang tidak tepat dari segi kata–kata. Kesalahan jenayah mesti mempunyai ciri–ciri yang jelas dan kepastian, dan tidak terbuka kepada tafsiran yang tidak konsisten atau sewenang–wenangnya. Kita tidak boleh menerima sekatan jenayah yang berdasarkan peruntukan undang–undang yang tidak jelas. Kehidupan dan kebebasan si tertuduh tidak boleh tertakluk kepada undang–undang yang tidak jelas.
Pindaan kepada Seksyen 4(1) juga membimbangkan. Seseorang yang disabitkan atas hasutan kini boleh dikenakan penjara selama tempoh minimum tiga tahun dan tempoh maksimum tujuh tahun. Hukuman denda sebagai ganti penjara telah dihapuskan. Pengenaan hukuman penjara yang mandatori kerana menghasut adalah keras dan tidak seimbang dengan kesalahan yang dikatakan. Dalam hal seseorang Ahli Parlimen, ia akan menyebabkan kehilangan kelayakan secara automatik. Selain itu, dengan menetapkan tempoh minimum pemenjaraan, Kerajaan menyekat budi bicara Badan Kehakiman dalam perkara–perkara berkenaan hukuman.
Perlu diingat bahawa budi bicara kehakiman dalam menjatuhkan hukuman ialah aspek kritikal dalam kuasa Badan Kehakiman mengikut kerangka perlembagaan kita. Ia membolehkan Hakim membuat keputusan mengenai hukuman yang sesuai bagi setiap kes, bergantung kepada fakta dan keadaan setiap satunya. Ini memastikan keadilan dilakukan bagi setiap kes berdasarkan fakta–fakta tertentu kes tersebut. Pelucutan budi bicara kehakiman sebegini boleh ditafsirkan sebagai bererti bahawa Kerajaan tidak mempercayai, atau telah hilang kepercayaan kepada, keupayaan Badan Kehakiman untuk menunaikan peranan dan fungsinya mengikut perlembagaan, dan akan dilihat sebagai campur tangan dalam kebebasan Badan Kehakiman.
Seterusnya, Seksyen 4(1A) yang baru ialah pindaan yang menjijikkan. Ia memperuntukkan apa yang boleh dikatakan sebagai “hasutan teruk”. Oleh itu, seseorang yang dituduh melakukan hasutan yang menyebabkan “kecederaan tubuh badan atau kerosakan harta” boleh disabitkan bagi tempoh sekurang–kurangnya tiga tahun penjara dan tempoh maksimum 20 tahun. Keperluan fakta dari segi kaitan atau hubungan antara hasutan yang dikatakan itu dan kecederaan tubuh badan atau kerosakan harta benda yang merupakan akibatnya adalah tidak jelas. Jelas bahawa Seksyen 4(1A) yang baru ini mudah disalahgunakan. Apa yang hanya diperlukan ialah seorang ejen provokasi (“agent provocateur”) untuk memprovokasi seseorang untuk menuturkan atau menerbitkan kata–kata yang didakwa berunsur hasutan, dan untuk orang lain untuk menyebabkan “kecederaan tubuh badan atau kerosakan harta benda” yang kononnya akibat kata–kata itu. Si pengeluar kata–kata yang dikatakan menghasut itu boleh dikenakan dan akan menghadapi hukuman penjara kerana tingkah laku orang yang kedua itu. Harus maklum bahawa budi bicara kehakiman di sini dihadkan sekali lagi kerana Hakim wajib mengenakan tempoh minimum penjara setelah keputusan bersalah dibuat. Pencerobohan lebih jauh ke dalam budi bicara kehakiman dilihat dalam Seksyen 6A yang baru, yang melarang Hakim daripada melepaskan seseorang yang disabit atas hasutan teruk sama ada dengan syarat atau tanpa syarat, atau memberi perintah berkelakuan baik atau mengambil kira hakikat bahawa orang itu pesalah muda atau pesalah kali pertama.
Pindaan dalam Seksyen 5A yang baru, yang membolehkan sekatan ke atas perjalanan si tertuduh, mencerobohi hak perlembagaan rakyat. Kerana Hakim diwajibkan untuk bertindak atas permohonan pendakwa raya untuk menyekat perjalanan si tertuduh, peranan Badan Kehakiman telah diturunkan sehingga ia sekadar “cop getah” pendakwa raya. Ini serangan tambahan kepada kebebasan Badan Kehakiman.
Satu lagi pindaan yang serius ialah penghapusan Seksyen 6 Akta Hasutan 1948 yang melindungi mana–mana orang daripada disabitkan atas hasutan berdasarkan keterangan seseorang saksi yang tidak disokong. Dalam erti kata lain, jika hasutan yang dikatakan itu berpunca daripada perkataan yang dituturkan, si tertuduh kini boleh disabitkan atas hasutan berdasarkan keterangan yang belum disahkan daripada seorang saksi. Pindaan ini menghapuskan perlindungan yang mungkin bagi pertuduhan hasutan, dan mendedahkan si tertuduh kepada penyabitan yang berdasarkan semata–mata kata–kata seorang saksi.
Pindaan tersebut juga bertujuan untuk mengenakan sekatan teruk kepada penerbitan elektronik, seperti penerbitan media sosial, melalui Seksyen 10A yang baru. Sekiranya sesuatu penerbitan elektronik didakwa berunsur hasutan, perintah larangan boleh dibuat untuk memaksa orang yang membuat atau mengedarkan penerbitan tersebut untuk menariknya semula. Selanjutnya, orang yang membuat atau mengedarkan penerbitan yang didakwa berunsur hasutan itu akan dilarang daripada mengakses “mana–mana peranti elektronik”. Walaupun penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab dan matang wajar dipupuk, pindaan tersebut menjangkau lebih daripada itu, dan mengancam kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat yang berkembang giat di ruang siber.
Bar Malaysia, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang–Undang Sabah menggesa Kerajaan Malaysia agar menyahut kata–kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, Zeid Ra’ad Al Hussein, bahawa, “Mendiamkan perbezaan pendapat tidak memupuk kestabilan sosial, tetapi ruang demokrasi yang terbuka dapat berbuat demikian”.1 Harus juga dimaklumkan bahawa “Pesuruhjaya Tinggi menggesa Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, untuk memastikan peranan kepimpinan di peringkat serantau dan antarabangsa disokong oleh komitmen yang tegas demi hak asasi manusia bagi semua orang di Malaysia”.
Akta Hasutan 1948 adalah pada asasnya pincang, dan pindaan tersebut akan mendedahkan kelemahannya dan memburukkannya lagi. Ia undang–undang yang menjejaskan perpaduan dan keharmonian tulen, dan memberi kesan yang bertentangan terhadap keamanan yang berkekalan, perpaduan yang kukuh dan sikap saling menghormati yang sebenar di Malaysia. Akta Hasutan 1948 tidak punya tempat di negara kita yang bercita–cita untuk menjadi sebuah masyarakat demokrasi yang moden, moderat dan progresif.
Bar Malaysia, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang–Undang Sabah menggesa Kerajaan jangan meneruskan pindaan di Dewan Negara, dan sebaliknya menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Steven Thiru
Yang Dipertua
Bar Malaysia
Leonard Shim
Presiden
Persatuan Peguambela Sarawak
Datuk GBB Nandy @ Gaanesh
Presiden
Persatuan Undang–undang Sabah
17 April 2015
_______________________________
1 Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia, “Malaysia: Draft anti–terror and sedition laws seriously undermine freedom of expression and opinion – Zeid”, 9 April 2015 (maklumat ini diperolehi pada 17 April 2015 dari sini).