Bar Malaysia amat kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Peguam Negara Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Haji Ali (“Tan Sri Apandi”) dalam rencana beliau bertajuk “Kembalikan tujuan asal Majlis Peguam
” yang diterbitkan dalam BH Online pada 4 Julai 2016.[1] Dalam rencana beliau, Tan Sri Apandi menyokong sepenuhnya cadangan Kerajaan untuk meminda Akta Profesion Undang–undang 1976 (Legal Profession Act 1976; “LPA”).Jabatan Peguam Negara (Attorney General’s Chamber; “AGC”) telah meminta pandangan Majlis Peguam mengenai pindaan yang dicadangkan. Majlis Peguam telah menyerahkan memorandum awal kepada AGC yang menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap cadangan–cadangan itu. Telah dipersetujui bahawa Majlis Peguam akan diberikan masa untuk menyerahkan memo yang lebih menyeluruh dan disusuli dengan mesyuarat bersama AGC.
Namun, kenyataan pendirian Tan Sri Apandi yang nampaknya begitu jelas, teguh dan tidak boleh ditarik balik itu menimbulkan persoalan kebergunaan rundingan yang sedang berlangsung antara AGC dengan Majlis Peguam, dan sama ada dialog ini sekadar formaliti. Amat dikesali bahawa Tan Sri Apandi telah cuba menjustifikasikan pindaan–pindaan tersebut – yang terdiri daripada ancaman yang radikal dan serius kepada asas sebuah Bar yang bebas di Malaysia – meskipun ia memberikan kesan yang teruk dan jelas tanpa mempertimbangkan pandangan yang telah disuarakan oleh Majlis Peguam.
Pindaan yang dicadangkan akan membolehkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal–ehwal undang–undang (“Menteri”) membuat kaedah dan peraturan pengendalian proses pemilihan Majlis Peguam. Selanjutnya, Kerajaan mencadangkan untuk, antara lainnya, memansuhkan undi pos tahunan seluruh negara untuk memilih 12 ahli Majlis Peguam[2] dan menggantikannya dengan pilihan raya di Mesyuarat Agung Tahunan Bar Negeri, di mana ahli–ahli hanya dibenarkan untuk memilih calon dari negeri masing–masing.
Pindaan–pindaan ini melanggar prinsip undang–undang antarabangsa yang telah termaktub mengenai kebebasan Bar, yang telahpun dicerminkan dalam LPA.[3] Bar Malaysia, sebagai badan berkanun yang berautonomi dan mentadbir sendiri yang mewakili profesion undang–undang, berhak untuk mempunyai badan eksekutif – iaitu Majlis Peguam – yang dipilih secara bebas oleh Ahli Bar, tanpa campur tangan Kerajaan.[4]
Tahap penyertaan Ahli Bar yang mengundi menerusi sistem undi pos adalah jauh lebih tinggi daripada tahap penyertaan di Mesyuarat Agung Tahunan Bar Negeri.[5] Oleh itu, sistem undi pos menawarkan pewakilan mengikut kehendak Ahli Bar yang lebih demokratik.
Kejadian pilihan raya Majlis Peguam 2007/2008 yang dirujuk oleh Tan Sri Apandi, di mana beberapa kertas undi palsu dijumpai, adalah suatu penyelewengan – suatu tindakan sabotaj yang terpencil dan dilakukan dengan sengaja oleh orang–orang yang tidak diketahui. Namun, hakikat bahawa tindakan penipuan ini telah dapat dikesan menunjukkan bahawa kaedah pengawalan sedia ada bagi undi pos memang berfungsi. Semenjak itu, Majlis Peguam telah melaksanakan langkah–langkah pemantauan dan pengawasan yang lebih ketat bagi proses undi pos, dan terus mengambil langkah–langkah untuk meningkatkan ketelusan.
Kerajaan juga mencadangkan untuk memberikan kuasa kepada Menteri untuk mencalonkan dua Ahli Bar menjadi ahli Majlis Peguam sebagai wakil Kerajaan. Menurut Tan Sri Apandi, langkah ini adalah untuk memastikan hubungan baik antara Ahli Bar dan Kerajaan.
Adalah suatu prinsip yang kukuh bahawa Bar mesti, dan haruslah dilihat sebagai, bebas daripada Kerajaan. Sehubungan itu, telah dikatakan bahawa, “Kebebasan Bar daripada kerajaan dalam segala manifestasinya yang meluas adalah satu tanda masyarakat bebas.”[6] Kewujudan dua ahli lantikan Kerajaan dalam Majlis Peguam adalah suatu pelanggaran secara terang–terangan terhadap prinsip ini.
Tambahan lagi, memandangkan dua ahli yang dicalonkan ini mewakili Kerajaan, mereka mempunyai kewajipan untuk melaporkan dan mendedahkan kepada Kerajaan segala hal yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Peguam. Ini adalah suatu pelanggaran LPA kerana kerahsiaan perbincangan mesyuarat Majlis Peguam bukan sahaja dilindungi malah merupakan kewajipan undang–undang.[7]
Adalah jelas bahawa peruntukan kerahsiaan dalam LPA bertujuan untuk menggalakkan debat yang terbuka dan bersemangat dalam mesyuarat Majlis Peguam tanpa bimbang akan adanya tindakan balas atau hukuman. Cadangan untuk memasukkan dua calon Kerajaan dalam Majlis Peguam patut dicela kerana ia akan mengekang dan mengongkong ahli Majlis Peguam daripada menyuarakan pandangan mereka secara bebas dan terus terang.
Tambahan lagi, pemaksaan kemasukan dua wakil Kerajaan ke dalam Majlis Peguam hanya akan menimbulkan syak wasangka dan penentangan terhadap Kerajaan. Ini akan menjejaskan hubungan kerja antara Bar dan Kerajaan khususnya dalam hal–hal kritikal seperti akses kepada keadilan, liberalisasi perkhidmatan undang–undang dan reformasi undang–undang.
Cadangan untuk meningkatkan keperluan kuorum bagi semua mesyuarat agung Bar Malaysia dan Bar Negeri adalah tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tidak ada yang seburuknya. Bagi Bar Malaysia, yang mempunyai keahlian kira–kira 17,000, kuorom akan dinaikkan daripada 500 Ahli kepada 25% daripada keahlian atau 4,000 Ahli, mengikut mana–mana yang lebih rendah. Bagi setiap Bar Negeri, keperluan kuorum juga akan dinaikkan, daripada 5% kepada 25% daripada keahlian. Cadangan ini adalah tidak munasabah dan mungkin mengakibatkan terjadinya sesuatu yang tidak dikehendaki, di mana Bar Malaysia dan Bar Negeri tidak akan dapat mengadakan mesyuarat agung.
Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa LPA telah dipinda pada tahun 2006 untuk mengurangkan keperluan kuorom bagi mesyuarat agung Bar, daripada 20% keahlian kepada keperluan kuorum pada masa kini, iaitu 500 Ahli.[8] Pindaan ini diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan dengan hal–ehwal undang–undang pada masa tersebut, iaitu Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Dalam ucapannya di Dewan Rakyat, beliau berkata:[9]
… Kerajaan juga menyedari hakikat bahawa pematuhan kehendak kuorum itu dirasakan begitu membebankan. Untuk mendapatkan 2,400 orang ahli, bagi membentuk kuorum bukanlah satu perkara yang mudah…Kuorum ditetapkan dalam Subseksyen 4 yang baru sebanyak 500 orang ahli. Walaupun tampak sebagai satu pengecualian yang mendadak, tetapi masih dikira munasabah dan adil jika dibuat perbandingan dengan Malaysian Institute of Accountancy [sic] yang kehendak kuorumnya ialah 100 orang ahli sahaja daripada lebih kurang 22 ribu keahlian.
Nampaknya tiada sebab untuk peningkatan keperluan kuorum yang melampau dan terlalu meluas, yang telah dianggap oleh Kerajaan sebagai adil dan saksama pada tahun 2006.
Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa baik Majlis Peguam mahupun Ahli Bar Malaysia tidak sekali–kali meminta cadangan pindaan kepada LPA yang mempunyai kesan berleluasa ini. Ada yang mendakwa bahawa pindaan–pindaan ini adalah perlu untuk mengembalikan Majlis Peguam kepada “tujuan asalnya”, tetapi tiada penjelasan diberi mengapa pindaan–pindaan tersebut diperlukan.
Bar Malaysia tidak pernah menyimpang daripada objektifnya seperti yang termaktub dalam LPA. Kita harus ingat bahawa Bar Malaysia telah dianugerahkan dengan “United Nations Malaysia Organization of the Year Award” pada tahun 2012, dan ucap jasanya berbunyi:
Sepanjang kewujudannya selama 66 tahun, Bar Malaysia telah memenuhi peranannya sebagai penjaga keluhuran undang–undang, dan pembela hak asasi manusia dan kepentingan awam di Malaysia dengan terpuji. Masyarakat Malaysia telah mengetahui hakikat ini dan bergantung kepada Bar Malaysia untuk memberi panduan mengenai apakah itu undang–undang, apakah undang–undang yang harus dan apakah undang–undang tidak harus sama sekali.
Steven Thiru
Yang Dipertua
Bar Malaysia
19 Ogos 2016
[2] Seksyen 50 dan 51 Akta Profesion Undang–undang 1976 (Legal Profession Act; “LPA”).
[3] Bahagian V LPA.
[4] Perenggan 24, Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa–bangsa Bersatu mengenai Peranan Peguam (1990), dan Perenggan 3.24 Deklarasi Sejagat Kebebasan Keadilan (yang biasanya dirujuk sebagai Deklarasi Montreal).
[5] Dalam pilihan raya Majlis Peguam yang diadakan dari tahun 2013 ke 2015, bilangan undi pos yang diundi oleh Ahli Bar berjumlah antara 3,159 hingga 3,452 setahun, manakala jumlah kehadiran di kesemua 12 Mesyuarat Agung Tahunan Bar Negeri dari tahun 2014 ke 2016 adalah antara 1,957 hingga 1,264 setiap tahun.
[6] Peguam Negara Kanada lwn Law Society of British Columbia [1982] 2 S.C.R 307 di ms 335–336.
[7] Seksyen 76(2) LPA.
[8] Rang Undang–Undang (Pindaan) Profesion Undang–undang 2006.
[9]
PENYATA RASMI PARLIMEN DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KESEBELAS, PENGGAL KETIGA, MESYUARAT KEDUA
, Khamis 29 Jun 2006 di ms 78.