Bar Council Auditorium filled to the brim as early as 8.00pm
“Dasar Ekonomi Baru telah mengakibatkan peningkatan perpecahan dan tahap
rasuah, jurang perbezaan semakin luas di antara kaya dan miskin, pembaziran and
penipuan, kehilangan persaingam dalm bidang ekonomi dan perasaan kekecewaan dan
kehampaan masyarakat muda Malaysia”
Click
to listen to the speeches
KUALA LUMPUR: 11 Januari 2007, Dewan Auditorium Majlis Peguam: “MENGKAGUMKAN!”
Itulah ungkapan pertama yang bermain–main di fikiran para hadirin tatkala
melihat jumlah kehadiran orang ramai yang membanjiri Dewan Auditorium untuk
mendengar syarahan dua ahli panel terkenal Dr. Lim Teck Ghee (bekas Pengarah
Centre for Public Policy Studies, ASLI) dan Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim (bekas
Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd dan Permodalan Nasional Berhad) di
bawah tajuk “Bayangkan Malaysia Tanpa Dasar Ekonomi Baru...”.
Dengan kehadiran lebih daripada 250 orang yang terdiri daripada peguam–peguam,
pegawai–pegawai kedutaan, wartawan–wartawan, pelajar–pelajar,
penyelidik–penyelidik, ahli–ahli NGO, berkumpulan dan orang perseorangan,
sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan. Dewan Auditorium telah dipenuhi
pada jam 8.15 malam iaitu waktu permulaan, dan kerusi–kerusi tambahan terpaksa
digunakan.
Syarahan tersebut merupakan sessi pertama daripada empat yang dirancang dalam
program “Siri Pemikiran Kritis” (Segmen Pertama) (SPK) yang dianjurkan oleh
Jawatankuasa Peguam–Peguam Muda Nasional, Majlis Peguam (NYLC) dengan kerjasama
Youth For Change (Y4C) dan Humanity Library, Persatuan Bahasa Tionghua Alumni
Universiti Sains Malaysia.
Majlis tersebut telah dimulakan dengan ucapan kata–kata aluan dan pelancaran
“Siri Pemikiran Kritis” oleh Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh. Yeo
telah memuji keprihatinan golongan muda mengadakan program seumpama ini, dan
menegaskan kepentingan golongan yang berkemampuan untuk membantu golongan yang
lemah. Beliau juga mengutarakan kepentingan semua rakyat Malaysia untuk
berbincang dan berfikir secara kritikal berkenaan isu–isu semasa.
Pengacara majlis, saudari Lee Chooi Peng dari NYLC juga telah menjemput konvenor
Y4C, saudara Lee Khai Loon untuk memberi sepatah dua kata. Lee telah
memperkenalkan Y4C yang bertujuan membantu mewujudkan masyarakat madani yang
berani untuk menyuarakan pendapat masing–masing.
Seterusnya Pengerusi NYLC, saudara Edmund Bon telah menyatakan bahawa SPK
dilancarkan sebagai program induk (“flagship programme”) Badan Peguam yang
diharap akan dapat membuka suatu ruang untuk perbincancan isu–isu yang berkaitan
dengan polisi–polisi kerajaan, “public interest” dan hak–hak asasi, dan
berterusan untuk masa yang akan datang.
Ujarnya, ketika masyarakat umum menganggap golongan belia sebagai golongan
sambil lewa, NYLC percaya bahawa golongan ini mempunyai potensi yang besar dan
mampu menyahut cabaran dalam apa jua bidang.
“Apa yang penting ialah golongan ini diberi pendedahan dan galakan yang
berterusan.”
Menurut beliau lagi, atas kepercayaan itulah pelbagai aktiviti telah dirancang
termasuklah aktiviti kemasyarakatan bagi memastikan ahli–ahli NYLC bukan sahaja
dapat membantu diri sendiri malah dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.
Majlis syarahan yang dipengerusikan oleh saudara Amin Idris telah menjemput ahli
panel pertama, Dr Lim Teck Ghee untuk berkongsi pendapat dan pengalaman beliau
berhubung tajuk perbincangan.
Dalam syarahan beliau, selain memberikan sedikit latar belakang dan objektif
DEB, Lim juga memperlihatkan kepada para hadirin keberkesanan dan pencapaian DEB
sejak ianya diperkenalkan sekitar tahun 1970. Menurut beliau, tujuan utama DEB
diperkenalkan adalah untuk mengurangkan pengenalan kaum berdasarkan kegiatan
ekonomi dan memulihkan ketegangan yang berlaku di antara kaum selepas peristiwa
13 Mei 1969.
Sungguhpun pada dasarnya DEB berjaya meningkatkan kedudukan sosio–ekonomi orang
Melayu dan membina masyarakat peniaga Bumiputra, namun daripada hasil kajian dan
pengamatan, beliau memaklumkan para hadirin bahawa jurang antara golongan kaya
dan miskin adalah semakin meluas ditambah pula dengan masalah pembaziran
pendapatan negara, rasuah yang menjadi–jadi, kehilangan daya persaingan ekonomi
dan ketidakprihatinan masyarakat muda Malaysia.
Dengan kata–kata tajam disokong oleh fakta–fakta hasil selidik, beliau juga
telah menunjukkan kepada para hadirin contoh–contoh pembaziran pendapatan negara
seperti pembelian kapal selam bernilai RM370 juta.
Menurut beliau lagi skandal, penyalahgunaan kuasa dan masalah rasuah telah
menjadi semakin meruncing. Beliau menambah, penerimaan budaya rasuah sebagai
amalan biasa dalam masyarakat menjadi sebab utama peningkatan indeks rasuah di
negara ini disamping penguatkuasaan undang–undang yang lemah, mandat kerajaan
yang terlalu besar, enakmen undang–undang tidak adil seperti ISA dan OSA, dan
kawalan ketat terhadap media.
Lim telah mencadangkan kaedah bagi mengatasi masalah–masalah tersebut adalah
dengan menggalakkan tender terbuka pada masa yang sama memastikan penguatkuasaan
undang–undang yang ketat perlu diterimapakai. Jika tidak, aspirasi negara untuk
berjaya dalam bidang ekonomi dengan perpaduan rakyat yang kukuh menurut
prinsip–prinsip Wawasan 2020 tidak akan dicapai.
Beliau telah mengakhiri syarahan beliau dengan menyatakan bahawa setiap ahli
masyarakat berada dalam “kapal” yang sama maka adalah penting bagi kita
memastikan bahawa peluang yang sama harus diberikan kepada semua kaum di
Malaysia.
Seterusnya, majlis telah menjemput Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim untuk
berkongsi pengalaman beliau yang mana kebanyakan asasnya adalah lebih kurang
sama tetapi melalui proses yang berbeza.
Khalid berpendapat bahawa selagi golongan yang sama diberi kuasa, pemansuhan DEB
langsung tidak mendatangkan kesan. Perbincangan berkenaan DEB juga mestilah
terbuka dan tidak dianggap sebagai bidasan terhadap hak–hak orang Melayu di
bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, semua bukti–bukti yang menunjukkan penyalahgunaan kuasa, rasuah
dan sebagainya telah diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Ujar beliau, kaedah
terbaik bagi mengatasi masalah–masalah tersebut adalah dengan mendesak kerajaan
supaya menggubal satu Akta Hak Kepada Informasi (“Right to Information Act”)
sepertimana yang telah dilakukan oleh Kerajaan India baru–baru ini.
Bagi memastikan bahawa kemajuan negara dari aspek sosial dan ekonomi akan terus
dicapai, kerajaan perlu bersikap telus dalam setiap keputusan yang dicapai dalam
pentadbiran negara.
Khalid menegaskan bahawa Malaysia mempunyai wawasan yang baik tetapi tanpa
perancangan yang rapi dan bersepadu menerusi sistem yang efisien, tiada kemajuan
yang akan dapat dicapai melainkan jika terdapatnya “check and balance” atau
pemantauan dari masa ke semasa bagi mengawal penggunaan kuasa oleh pihak
pentadbir.
Majlis syarahan pada malam tersebut telah dibuka untuk sesi dialog antara para
hadirin dan ahli–ahli panel. Rata–rata hadirin mengalu–alukan penganjuran sessi
SPK ini, dan antara yang bertanyakan soalan mahupun mengemukakan pandangan,
kebanyakannya bersetuju terdapatnya masalah dalam implementasi dasar dan mahukan
kerajaan berbuat sesuatu untuk kebaikan rakyat.
Sessi pertama SPK telah berakhir dengan jayanya, dan para hadirin masih kekal di
tempat duduk masing–masing sehingga tamat program pada 11.00 malam. Yang lebih
penting adalah bukti bahawa rakyat Malaysia mengambil perhatian yang berat
berkenaan isu–isu socio–ekonomi negara kita terutamanya polisi–polisi
“affirmative action”, yang tidak seharusnya lagi disekat dengan alasan
“sensitif” oleh pihak ahli–ahli kerajaan.
Tambahan lagi, sessi pertama SPK membuktikan bahawa rakyat Malaysia yang
berbilang kaum dan agama dapat berada dalam bilik yang sama untuk berbincang dan
berdialog isu–isu hangat secara rasional dan aman walaupun secara kritikal.
Asasnya, semua di Dewan Auditorium telah cuba mencari jalan penyelesaian kepada
masalah–masalah di Malaysia, dan berpendapat bahawa jalan tersebut bukan sahaja
berada di dalam tangan kerajaan tetapi rakyat majmuk.
Pihak–pihak penganjur mengharapkan bahawa malam tersebut merupakan satu
permulaan yang baik dan akan berterusan sehingga ke sessi terakhir. Transkrip
verbatim segala prosiding serta DVD bagi sessi–sessi SPK akan diterbitkan tidak
lama lagi, dan dimuatkan dalam laman web ini.
Untuk maklumat selanjutnya mengenai sessi–sessi SPK seterusnya, sila
klik sini.