• Home
  • News
    • Press Statements
    • Speeches
    • Bar News
    • AGMs and EGMs
    • In Memoriam
    • Legal and General News
    • Court Judgments
  • Members
    • Circulars
    • Sijil Annual and Payments
    • Practice Management
    • Professional Development
    • Opportunities for Practice
    • Mentor-Mentee Programmes
    • Benefits
    • Laws, BC Rulings and Practice Directions
    • Resources
    • Become a Member
  • Find
    • Legal Directories
    • BC Legal Aid Centres
    • State Bar Committees
    • Law Firms Areas of Practice
    • Jobs
    • Useful forms
  • About Us
    • Malaysian Bar and Bar Council
    • President's Corner
    • Committees
    • Previous Committees
    • Contacts
    • Advertising
  • Public
    • Complaints
    • Legal Aid
    • Notices
    • Compensation Fund
  • Search
  • Login
Search for

New login method: If first-time login, the password is your NRIC No. Call 20502191 for help.

 
Lost your password? Remember Me

 
No User ID/Password for firm? Click here for more information. Forgot Firm Username/Password?

Set a new password

If you have lost your password, you must set a new password. To begin this process, please key in your 12-digit NRIC No. below.

Forgot Firm Username/ Password?

Please enter name of firm or registered email address, indicate whether you want to retrieve your firm's username or password, and click "Submit".

Username Password
 
Access to Member Portal

Please key in your membership number, and click "GO"

BC
Resume Practice Request

Please key in your membership number, and click "GO"

BC
Newly-Called Request

Please key in your pupil code, and click "Submit"

Pupil Code

Change Password


Please enter your Password and Confirm Password then click on the Change Password button.
You will receive a new password shortly. Use this new password to access the site.

Password:
Confirm Password:
 
Change Password


Shortcut
  • Legal Directory
  • Find a Job
  • CPD
  • Online Shop
  • Complaints
  • Committees

Search the site

  • Search Me
Member Login
  • BC Online Facilities
  • Login Type 2
  • Login Type 3
  • Login Type 4
  • News
  • Speeches
  • Speeches
News
Press Statements
  • Press Statements
Speeches
  • Speeches
Bar News
  • Notices
  • News
AGMs and EGMs
  • Resolutions
In Memoriam
  • In Memoriam
Legal and General News
  • General News
  • Members' Opinions
  • Legal News
Court Judgments
  • Judgments
  • Go back to list
Teks Ucapan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 6 Nov 2007 8:29 pm

Teks Ucapan
Y.B. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

PEMUDA PERJUANGAN
(KEPIMPINAN DSHH YANG ADIL DAN SAKSAMA)

A. MUKADDIMAH : BELAJAR DARI SEJARAH TAHUN 1998 –

Kepentingan parti melebihi kepentingan individu


1. Sepanjang perjalanan parti perpaduan tidak datang bergolek dan kekuatan tidak datang melayang. Pergerakan Pemuda, seperti juga parti kita UMNO pernah melalui pelbagai sejarah getirnya, bukan sekali, tetapi diuji bertubi kali. Sejak tertubuhnya Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1949, kita telah didewasakan oleh pelbagai cabaran. Kita telah merasai suka duka serta pelbagai konflik yang melanda parti dan negara tercinta ini. Kita belajar dari sejarah, menimba dari pengalaman dan dimatangkan oleh permasalahan. Mendung berlalu, krisis berakhir, pergolakan dapat ditenangkan. Sepanjang perjalanan itu, Pemuda menjadi lebih matang dan mengerti untuk membezakan di antara pejuang dengan petualang. Kita menyaksikan mereka yang tidak setia pada perjuangan gugur di pertengahan jalan dan hanyut ditelan ombak. Ini kerana kesetiaan sentiasa terpahat sebagai landasan perjuangan Pemuda. Mereka yang tidak setia tidak ada tempat dalam parti UMNO kita ini.

2. Selama itu jugalah, kita turut berjuang mengalir keringat bersama pimpinan parti memulih dan memperkukuh UMNO terutama dalam saat–saat paling cemas. Peristiwa 2 September 1998 masih segar di ingatan kita. Ahli parti di persimpangan. UMNO tergugat. Pergerakan Pemuda tidak terkecuali dari merasai bahangnya. Namun demikian, kita segera mengorak langkah, mengatur strategi dan memperkuat barisan kerana kita tahu di mana letaknya kebenaran dan di mana pula tumpahnya kesetiaan kita.

3. Pendirian kita jelas, bahawa parti lebih penting dari mana–mana individu. Partilah yang harus dipertahankan bukan individu. Dalam sejarah kepartian UMNO, individu tidak pernah dijadikan punca untuk membenarkan tersemainya syak wasangka, bermulanya porak peranda apa lagi bercambahnya benih kehancuran. Kepentingan umum dan orang banyak tidak harus dikorbankan demi kepentingan seseorang apa lagi jikalau individu ini menjadi duri dalam daging yang meletakkan kepentingan diri di atas parti dan bangsanya.

4. Dengan izin Allah S.W.T, sejarah akan menilai dan berlaku adil kepada kita kerana Pergerakan Pemuda UMNO tidak pernah gagal untuk bertindak secara bijaksana dalam saat–saat paling mencemaskan. Inilah tradisi gemilang Pemuda UMNO – kita tidak pernah mengelak dari memikul tanggungjawab dan amanah apatah lagi melarikan diri dari menangani krisis yang mendatang, walaupun sebesar tsunami.

Patah atap kerana buluh;
Atap dijalin dengan tali;
Patah sayap bertongkat paruh;
Namun undur pantang sekali.

B. PERJUANGAN, PRINSIP KEPIMPINAN

5. Semuanya tersimpul dalam satu kalimah keramat iaitu Perjuangan. Inilah inti pati kewujudan kita. Inilah teras kebangkitan kita. Inilah obor yang menjadikan rangsangan buat kita semua selama ini. Atas nama perjuanganlah kita digerakkan dan perjuangan jugalah yang telah menentukan siapa kita sebenarnya. Kewujudan kita tidak akan bermakna sekiranya kita meminggirkan perjuangan.

6. Sesungguhnya, perjuangan kita ini bukanlah mudah. Sebagai pejuang, ada kalanya kita melalui zaman duka dan kecewa. Ada kalanya kita disanjung dan dimuliakan. Ada kalanya kita dipinggir dan dilupakan tetapi pejuang sebenar tidak pernah mengerti makna kekecewaan. Pejuang tulen tidak sekali–kali tunduk pada keraguan, malah tidak gentar dengan kecaman dan ugutan. Inilah pegangan dan prinsip yang saya pertahankan. Prinsip yang berlandaskan keberanian, kebijaksanaan dan kematangan dalam menatang perjuangan ini. Berani kerana benar, takut kerana salah.

7. Sepanjang diamanahkan memimpin Pemuda, saya memilih untuk menggunakan jalan terbaik dalam menangani krisis. Ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak. Kita boleh memilih untuk berkonfrantasi jika perlu dengan mengambil pendekatan bertemu buku dengan ruas. Kita tidak pernah gentar berhadapan dengan mana–mana golongan yang menyentuh dan mempertikaikan kedudukan bangsa dan agama, tetapi ada kalanya pendekatan berhikmah dapat menyelesaikan kekusutan dan menguntungkan semua pihak. Maruah Melayu tetap terpelihara, keharmonian terjamin dan persefahaman tercapai.

8. Dalam berpolitik kita tidak seharusnya mengorbankan nilai dan prinsip diri. Hari ini ada yang berpandangan bahawa politik akan mengubah pengamalnya. Ada yang berpendapat bahawa pengamal politik akan terjerumus dalam pusaran air yang deras tanpa dasar dengan tabiat politiknya. Ada kalanya matlamat dikatakan menghalalkan cara di mana segala–gala di dalam pusaran itu akan menelan nilai, harga diri, prinsip dan pegangannya. Politik juga dikatakan boleh menjadikan seseorang terkenal, masyhur, hebat dan berkuasa tetapi kuasa boleh merosakkan seperti juga kemasyhuran boleh melalaikan. Lalu kita mudah menjadi angkuh, rakus, korup dan lupa daratan.

9. Pengalaman berpolitik mengajar saya bahawa saya rela disalah tafsir asalkan matlamat untuk menjayakan agenda bangsa tercapai. Kita tidak boleh menyenangkan atau memuaskan hati semua orang, apatah lagi melayan segala permintaan. Kita juga tidak boleh menjual janji dan harapan semata–mata. Saya percaya bahawa saya bukan dalam persaingan atau perlumbaan mengejar populariti. Saya berpolitik untuk bangsa dan saya yakin pimpinan Pemuda yang ikhlas, jujur dan beramanah akan bersama–sama saya membuktikan bahawa sesungguhnya berpolitik itu mulia dan ia tidak akan sama sekali mengubah prinsip kita.

C. KERIS PANCA WARISAN

10. Dalam perhimpunan Pemuda dua tahun yang lalu, buat pertama kalinya kita menyaksikan perarakan masuk Keris Panca Warisan. Dalam perhimpunan itu juga, kita telah mengisytiharkan Keris Panca Warisan sebagai Tekad Baru Pemuda yang berlandaskan kepada pancaran lima rukun idealisme Pemuda iaitu Rukun Islam, Rukun Iman, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati Diri. Secara simboliknya kita menjunjung lambang kekuatan dan warisan pusaka turun temurun.

11. Tiba–tiba sahaja pada tahun 2006, keris menjadi polemik yang masih belum dapat reda sehingga hari ini. Pada mereka mengapakah keris mesti dikucup? Kenapakah keris mesti dipegang dan matanya dijulang ke langit? Keris dikatakan lambang pergaduhan. Rupa–rupanya setelah 50 tahun kemerdekaan tanah air masih ada warga negara yang belum memahami kebudayaan bangsa dan negara sendiri.

12. Sebenarnya keris adalah lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab. Keris amat unik sama ada dalam cara membuatnya atau cara disepuh, disarung, dipakai, diguna dan dipantang larangkan. Keris bukan seperti kapak yang boleh digunakan untuk menebang bukan juga seperti parang untuk menyembelih. Keris bukan senjata gunaan seharian untuk ke sawah ladang tetapi untuk ke istana atau ke majlis rasmi. Keris juga lambang kesatuan bernegara seperti Keris Panjang milik ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Keris ini ditempa dari cantuman besi yang berasal dari sebelas bilah keris negeri–negeri di Tanah Melayu. Jelas keris bukan sekadar simbol kekuasaan tetapi juga adalah simbol kesatuan. Masih ramai di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui bahawa keris juga merupakan lambang kewibawaan, kebijaksanaan dan ilmu. Orang yang memakai keris itu, orang yang ada hikmah, bijaksana dan berpengetahuan dalam ilmu, bukan hanya ilmu pendekar dan persilatan sahaja.

13. Kita mengucup keris bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan tugas yang datang bersamanya. Perlakuan ini ada hubungannya dengan kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran. Keris dijulang bermakna menjulang kuasa, kedaulatan dan tanggungjawab yang diserahkan dengan ikrar untuk berlaku adil dan saksama dalam menunaikan amanah yang diterima.

14. Keris tidak dihunus tanpa bertempat. Keris dihunus dengan tekad untuk mempertahankan bangsa dan kepentingan negara, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk mempertahankan kaum–kaum lain yang bernaung di negara ini. Keris Melayu menjadi pelindung kepada semua orang seperti juga kerajaan yang ada pada hari ini yang sentiasa melindungi rakyat pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya. Berteduhlah di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat ini. Tiada siapa yang harus gementar atau gugup dengan lambang yang abadi itu.

15. Oleh itu jangan dicipta musuh yang tiada dan jangan takut akan bayang–bayang. Janganlah dikhuatiri sebuah perlambangan. Janganlah terbawa–bawa dengan semangat perkauman melulu sehingga hilang rasa hormat yang dibina sekian lama dengan pengorbanan Melayu. Saya ingin menyatakan untuk kali terakhir bahawa Pemuda tidak akan melayan lagi polemik melulu ini.

D. PERJUANGAN PEMUDA UMNO DALAM KONTEKS CITA–CITA KEBANGSAAN

16. Tekad yang dibawa melalui Keris Panca Warisan dan semangat panji Sang Saka Bangsa adalah cerminan perjuangan kita selaras dengan slogan penubuhan UMNO, "BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT". Semangat ini juga termaktub di dalam Perlembagaan parti yang menuntut kita agar memperkukuh komitmen untuk berjuang mendukung cita–cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Sebagai anggota sayap kanan parti, kita dalam Pergerakan Pemuda diberikan amanah bagi memastikan bahawa asas–asas dan tujuan penubuhan UMNO ini dipertahankan sampai ke titisan darah yang terakhir.

17. Walaupun kita dituntut untuk mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan negara, Perkara 3 Perlembangaan UMNO juga sentiasa memperingatkan kita untuk mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu. Pemuda UMNO sedar bahawa tidak mudah untuk mentadbir sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia tetapi kita telah mengamalkan konsep perkongsian kuasa secara berkesan. Kita juga sedar bahawa jalan ke arah mencapai kesempurnaan dalam soal hubungan kaum sememangnya penuh berliku. Masih banyak usaha yang perlu ditangani sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, budaya, politik, agama mahupun bahasa. Namun kita tidak pernah putus asa untuk membentuk rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu.

18. Justeru, usahlah diungkit perkara–perkara yang telah sama–sama dipersetujui di mana teras kekuatannya telah lama teruji. Orang Melayu tidak pernah mengungkit apa yang bukan hak mereka sebaliknya memberikan ruang dan kesempatan kepada semua.

Kita tunduk memberi hormat;
Kita mengangguk mengiakan;
Kita berkalis menolak sengketa;
Diam jangan disangka tunduk;
Mengalah jangan disangka lemah;

E. PENDIDIKAN – PIPP; DUA PENDEKATAN DAN ENAM TERAS UTAMA

19. Saya sedar bahawa saya bukan sekadar memimpin Pergerakan Pemuda UMNO, tetapi juga mengetuai sebuah kementerian yang berperanan untuk membina generasi masa depan negara. Cabaran yang datang bersama tugas ini bukan kecil, tetapi amat kompleks. Hari ini saya memikul amanah yang akan menentukan nasib lebih lima juta pelajar dan generasi muda Malaysia. Setiap dasar pelajaran yang dirangka dan setiap keputusan yang dibuat akan mempunyai kesan yang besar terhadap masa depan mereka, masa depan bangsa dan masa depan negara.

20. Sejak mencapai kemerdekaan, kita telah menyaksikan pelbagai perubahan dan pencapaian yang pesat di dalam sistem pendidikan negara. Namun begitu kita perlu menyedari bahawa masih terdapat sekolah–sekolah kita yang belum dilengkapi kemudahan asas. Masih ada sekolah yang belum mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan bekalan air bersih. Masih ada sekolah yang daif dan perlu segera dibaiki. Masih ada sekolah yang belum mempunyai makmal sains dan makmal komputer dan masih ada yang kekurangan guru, terutamanya guru terlatih. Pada waktu yang sama, kita juga telah melahirkan sekolah–sekolah yang cemerlang hasil daripada pelbagai usaha yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini. Bagi sekolah–sekolah ini, pendekatan lama dan ‘satu saiz untuk semua’ (‘one size fits all’) tidak lagi sesuai. Pendekatan yang lebih khusus diperlukan agar kecemerlangan sekolah–sekolah ini dapat dipertahankan dan juga dilonjakkan ke tahap yang terbilang.

21. Hari ini sistem pendidikan kita berada di persimpangan dan memerlukan perubahan. Dari suatu sudut, kita menyedari bahawa sistem pendidikan negara memerlukan anjakan. Bagaimanapun dari suatu sudut yang lain pula, saya sedar sebelum anjakan ini dilaksanakan sepenuhnya, asas–asas yang kukuh perlu dipersiapkan agar tidak ada sebarang pihak yang tercicir, terjejas atau menjadi mangsa akibat jurang pendidikan.

22. Menyedari hakikat ini, kita memutuskan untuk mengambil 2 pendekatan utama di dalam melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Dua pendekatan ini ialah, pertama: bagi menyediakan seluas–luas akses terhadap pendidikan dan menyama ratakan medan persaingan di kalangan pelajar; dan kedua: berusaha melonjakkan prestasi sekolah yang sudah cemerlang ke suatu tahap yang lebih tinggi sebaris dengan sekolah–sekolah terbaik di dunia.

23. Dua pendekatan ini akan digunakan bagi melaksanakan 6 teras strategik PIPP, iaitu;

1. Teras Pertama – Membina Negara Bangsa
2. Teras Kedua – Membangunkan Modal Insan
3. Teras Ketiga – Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
4. Teras Keempat – Merapatkan Jurang Pendidikan
5. Teras Kelima – Memartabatkan Profesion Keguruan
6. Teras Keenam – Melonjakkan Kecemerlangan Institusi

Pendidikan

Merapatkan Jurang Pendidikan


24. Cabaran era globalisasi memerlukan usaha merapatkan jurang pendidikan dipergiat dan dipertingkatkan. Medan persaingan mesti dijadikan lebih rata supaya anak–anak kita yang kurang bernasib baik dan terpinggir ini mempunyai lebih peluang untuk berjaya. Isu kemudahan asas, ketiadaan guru dan guru terlatih serta keupayaan menguasai 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan di antara isu utama yang perlu ditangani dengan segera. Saya berjanji selagi saya menjadi Menteri Pelajaran, agenda ini akan terus dijadikan keutamaan kerana kita tidak mahu melihat anak–anak kita tercicir dari arus perdana pendidikan negara.

Memperkasa Sekolah Kebangsaan tanpa menyekat sekolah berlainan aliran

25. Selain usaha merapatkan jurang pendidikan, agenda untuk memperkasakan sekolah kebangsaan juga mesti dijadikan keutamaan. Hakikatnya 80.5 peratus daripada sekolah–sekolah di bawah KPM merupakan sekolah kebangsaan dan 83.8 peratus daripada pelajar kita belajar di sekolah–sekolah ini. Ini menjadikannya tunjang kepada sistem pendidikan negara. Oleh itu agenda memperkasa sekolah kebangsaan ini tidak wajar dilihat sebagai zero sum game. Ia perlu dilihat sebagai agenda yang mesti dilaksanakan demi kepentingan majoriti anak–anak kita dan demi untuk memperkukuhkan perpaduan di dalam negara. Atas sebab inilah, semua pihak mesti menerima hakikat bahawa sekolah kebangsaan perlu diperkasa tanpa sebarang syak wasangka lagi. Bagaimanapun, seperti yang pernah saya nyatakan, semua ini akan dilaksanakan tanpa perlu menyekat kewujudan sekolah–sekolah aliran yang lain. Kita tidak melihat sekolah–sekolah berlainan aliran ini, termasuk sekolah beraliran agama sebagai saingan atau ancaman. Sebaliknya kita melihat kepelbagaian ini sebagai suatu kekuatan yang dapat meningkatkan daya saing negara.

Memartabat Sistem Pendidikan Agama

26. Hari ini kita berhadapan dengan keadaan di mana dunia mengaitkan agama Islam dengan keganasan dan sekolah–sekolah agama pula sebagai sarang untuk melahirkan pengganas. Walau bagaimanapun melalui pendekatan Islam Hadhari dalam sistem pendidikan agama, kita ingin membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang progresif, yang harmoni dengan kemodenan dan menuntut umatnya untuk menimba ilmu, bersikap toleran, mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan.

27. Kita beriltizam untuk terus memperkukuh dan memartabatkan lagi sistem pendidikan Islam sesuai dengan keperluan hari ini. Program Jawi, al–Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j–QAF) misalnya, diperkenalkan bagi membolehkan anak–anak kita menguasai tulisan dan bacaan jawi, menguasai asas–asas bahasa Arab, khatam al–Quran dan dilatih melaksanakan Fardu Ain dalam erti kata yang sebenar. Hari ini sebanyak 3,703 buah sekolah telah menawarkan program j–QAF, melibatkan seramai 10,985 orang guru dan telah memberi manfaat kepada seramai 644,419 orang murid.

28. Pada masa yang sama, kita akan terus menawarkan tempat kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) untuk bernaung di bawah KPM bagi membolehkan sekolah–sekolah ini menerima bantuan seperti yang diterima oleh sekolah bantuan kerajaan yang lain. Niat kerajaan ikhlas dalam hal ini. Kerajaan tidak sama sekali berniat untuk mengambil alih tapak sekolah, meminggirkan penempatan anak–anak negeri atau merampas kuasa mana–mana pihak, termasuk lembaga pengelola sekolah dan kerajaan negeri. Sejak pendaftaran sekolah–sekolah ini sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebanyak RM 147.5 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk menaik taraf sekolah–sekolah ini dan seramai 35,722 orang pelajar telah menerima manfaat daripadanya. Walaupun pendaftaran ini telah memberi manfaat kepada ramai, tetapi masih kedengaran suara–suara sumbang dari negeri tertentu yang meletakkan bermacam–macam syarat untuk pendaftaran sekolah–sekolah mereka. Dalam hal ini, Pemuda ingin mengingatkan, janganlah atas sebab politik semata–mata, kita sanggup mempertaruhkan masa depan Islam dan umatnya. Apa pun mainan politik mereka, saya akan terus berusaha untuk mengangkat kedudukan sekolah–sekolah agama kita ini sebaris dengan sekolah–sekolah lain yang terbaik di dunia.

29. Percayalah, sebagai Menteri Pelajaran Malaysia saya tidak tergamak sama sekali untuk memperjudikan nasib anak bangsa. Saya juga tidak akan sekali–kali mempolitikkan pendidikan bagi mencari publisiti murahan. Segala yang saya lakukan ini adalah untuk memberikan yang terbaik demi masa depan anak–anak kita. Bagaimanapun, sekiranya selepas berusaha dan berlaku adil, jika agenda memperkasa sekolah kebangsaan masih terus dipolemikkan sebagai agenda Melayu, dan usaha kita memartabatkan sekolah agama rakyat dituduh sebagai agenda UMNO, biarkanlah mereka ini dengan tanggapan itu. Tumpuan saya tidak akan sekali–kali terpesong, terganggu dan terjejas. Amanah ini akan terus saya tunaikan.

F. EKONOMI – GELOMBANG BARU AGENDA PERTANIAN NEGARA

30. Sejak penubuhannya UMNO telah berusaha bersungguh–sungguh menggerakkan agenda kemajuan ekonomi untuk bangsa dan negara. Bangsa Melayu yang dianggap lemah dan mundur selama ini telah berubah. Kini ribuan anak–anak Melayu menjadi profesional dan teknokrat; dari kalangan doktor, jurutera, akauntan, peguam sehinggalah mampu menjadi angkasawan. Ini adalah hasil dari dasar keadilan sosial dan ekonomi yang memberi hak kepada orang Melayu untuk dapat bersaing.

31. Agenda ini tidak pernah terhenti dan pimpinan parti sentiasa mencari peluang untuk memperkukuh kedudukan orang Melayu. Pelbagai wawasan dan misi jangka panjang telah digariskan untuk masa depan negara. Kini pembangunan modal insan dan pemupukan minda kelas pertama diberikan keutamaan. Pelan pembangunan wilayah tiga koridor bertujuan menangani ketidakseimbangan ekonomi. Pemerkasaan sektor–sektor terpilih untuk memastikan pertumbuhan ekonomi masa depan dalam rantaian nilai yang lebih tinggi telah dikenal pasti. Pada masa yang sama, pemuliharaan alam sekitar, pengurusan sumber asli, pemupukan budaya berintegriti dan pencegahan gejala rasuah turut diberi tumpuan. Di samping itu, pemantapan sistem penyampaian kerajaan dan budaya penyelenggaraan dan perkongsian awam–swasta (public–private partnership), kesemuanya bertujuan memberikan manfaat kepada generasi akan datang.

32. Dalam usaha menyemarakkan ekonomi luar bandar, sektor pertanian telah diberikan tumpuan khusus. Pergerakan Pemuda sedar bahawa sektor ini merupakan sumber kegiatan utama ekonomi bagi masyarakat luar bandar yang pada masa ini melibatkan 37 peratus penduduk negara kita di mana lebih 90 peratus daripadanya adalah kaum Bumiputera. Mereka pula seringkali dikaitkan dengan insiden kemiskinan.

33. Alhamdulillah, Malaysia dianugerahkan Allah S.W.T. dengan tanah yang subur dan iklim serta cuaca yang amat sesuai untuk kegiatan pertanian. Oleh sebab itulah, sewaktu membentangkan Misi Nasional–Rancangan Malaysia Ke–9 (2006–2010) di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006, YAB. Perdana Menteri memberi penekanan dan menyebutkan bahawa "sektor pertanian perlu dilihat dengan kanta baru, dengan keyakinan baru" serta "dibangunkan dengan azam baru, semangat baru dan agenda baru." Malah YAB. Perdana Menteri mahukan sektor ini menjadi tunggak ketiga pertumbuhan ekonomi negara. Pemuda menghargai penegasan yang amat bermakna ini.

34. Kita menyedari betapa kompleksnya sektor pertanian pada hari ini. Ini termasuklah sikap tidak yakin rakyat, sistem pemasaran cara lama, masalah pembiayaan, kualiti hasil dan soal keselamatan bahan makanan selain persaingan dari negara luar. Maka itu sesuatu yang drastik harus dilakukan bagi membantu para petani dan mereka yang berminat mencebur diri dalam bidang ini. Pergerakan Pemuda berpendapat bahawa kunci pada kejayaan dalam sektor ini ialah tenaga muda yang baru, komited dan berilmu. Pemuda memberi jaminan bahawa kita akan menggerakkan generasi baru petani untuk bersungguh–sungguh menjayakan agenda pertanian negara. Anak–anak muda ini akan didedahkan pada amalan dan teknologi pertanian moden selain menyedarkan mereka tentang peluang–peluang baru dalam sektor ini. Pemuda menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan pusat–pusat latihan dan kemahiran seperti yang disyorkan di dalam Konvensyen Pertanian Kebangsaan anjuran Biro Pertanian UMNO pada 28 Oktober yang baru lalu. Dalam hal ini Kementerian Pelajaran akan berusaha untuk memperkenalkan subjek vokasional dalam bidang pertanian dan menambah jumlah sekolah menengah teknik yang menawarkan subjek dalam pelbagai bidang pertanian moden. Pemuda juga mencadangkan modul "Latihan Belia Dusun Tua" yang pernah dilaksanakan satu ketika dulu diperkenalkan semula. Kita harus mengembalikan keyakinan generasi muda bahawa sektor pertanian sama menarik dan menguntungkan sebagaimana sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan seperti yang telah kita tekankan dalam perhimpunan–perhimpunan sebelum ini. Inilah gelombang baru agenda pertanian negara.

Felda

35. Gelombang baru ini turut merangkumi usaha YAB. Dato’ Sri Najib Tun Razak dalam menyuntik semangat baru untuk terus memperkasa FELDA. Pemuda mengalu–alukan pengumuman Lima Teras 50 Tahun FELDA. Pemuda memberi jaminan bahawa kita akan bersama–sama dalam usaha menjadikan peneroka sebagai masyarakat contoh luar bandar.

36. Dari sudut pendidikan pula, saya gembira kerana kerajaan telah menyediakan dana sebanyak RM120 juta kepada generasi baru FELDA agar peluang kedua di bawah Program Kemahiran dapat dilaksanakan. Program ini membabitkan sejumlah 15,670 orang pelajar. Melaluinya juga bantuan biasiswa khas dapat disalurkan kepada pelajar yang memasuki IPTA/IPTS selain peluang untuk belajar di universiti terkemuka di luar negara. Sebagai Menteri Pelajaran, saya amat berterima kasih dengan pengenalan Skim Tuisyen FELDA yang dilaksanakan di 100 buah sekolah menengah dan 270 buah sekolah rendah melibatkan pelajar seramai 62,772 orang di kawasan FELDA. Pembinaan MRSM FELDA di Trolak dengan dana RM103 juta melibatkan 1,050 orang pelajar di mana 80 peratus merupakan anak peneroka diharap akan mempercepatkan agenda ini.

37. Dalam usaha membangunkan usahawan muda FELDA pula, Pemuda mahu Skim Insentif Usahawan FELDA (SIUF) dengan dana sebanyak RM100 juta dikendalikan secara berkesan. Skim pinjaman tanpa penjamin dan cagaran ini akan memberi nafas baru kepada penerusan kejayaan FELDA. Ini bagi memastikan 39,958 orang usahawan FELDA yang telah dikenal pasti dalam pelbagai bidang seperti industri asas tani, Program Satu Wilayah Satu Industri (SAWARI), pembangunan kraf, perniagaan runcit, perkhidmatan dan perusahaan kecil dapat dilahirkan.

38. Pemuda yakin dengan sokongan yang diberi oleh seluruh rakyat kepada usaha ini FELDA akan dapat mengembangkan sayapnya ke luar negara dan hari ini terbukti bahawa kerjasama (JV) dengan syarikat TRT, pembekal oleochemicals di Amerika Syarikat dan pembukaan Restoran dan Hotel FELDA di Mekah membuktikan bahawa FELDA diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa kerana kemampuannya.

Desakan terhadap Rancangan Pertanian yang lain (FELCRA, RISDA, KEJORA, KETENGAH, KESEDAR)

39. Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agensi–agensi seperti FELCRA, RISDA dan juga rancangan–rancangan pembangunan tanah wilayah seperti KEJORA, KETENGAH, dan KESEDAR hendaklah mengikut jejak langkah FELDA. Kalau FELDA mampu diperkasakan oleh YAB. Dato’ Sri Najib hanya dalam masa singkat, tidak ada sebab agensi–agensi lain yang turut bertanggungjawab memelihara kepentingan Melayu, tidak dapat melakukannya. Kita yakin sekiranya semua usaha–usaha ini dapat digerakkan dengan satu tekad baru demi kepentingan masa depan bangsa nescaya gelombang baru pertanian ini akhirnya menjadi satu kejayaan yang bermakna.

G. GLOBALISASI – LEDAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT, PENGARUH LANGIT TERBUKA DAN BLOGGERS

40. Sesungguhnya perhimpunan kali ini mempunyai makna yang amat istimewa bagi bangsa dan tanah air kita. Perayaan gilang gemilang ulang tahun ke–50 kemerdekaan Malaysia pastinya telah menyemarakkan lagi rasa kecintaan kita kepada negara di samping memperingatkan kita tentang makna sebenar kemerdekaan. Saya juga percaya bahawa UMNO yang berusia 11 tahun pada ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 itu, bukanlah satu kebetulan kerana UMNO lahir di atas ketentuan, ketentuan matlamat dan ketentuan kepimpinan; ketentuan yang telah menjadikan UMNO tetap utuh dan kukuh biarpun telah melewati usia 60 tahun.

41. Pergerakan Pemuda perlu diperkasa dan sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan cabaran dan tuntutan baru. Kita harus sedar bahawa cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Pemuda pada hari ini juga berbeza. Dunia tanpa sempadan, asakan globalisasi, ledakan teknologi maklumat, pengaruh langit yang terbuka luas telah mengubah cara kita berinteraksi, berhubung, bermasyarakat, malah bernegara. Dunia menjadi semakin kecil malah konsep negara bangsa mulai tercabar. Kita perlu memberitahu kepada diri kita bahawa tiada lagi masa yang lebih sesuai untuk kita bermuhasabah diri, menentukan hala tuju kita kalau bukan sewaktu negara merayakan 50 tahun kemerdekaannya.

42. Realitinya dalam era teknologi maklumat hari ini keterbukaan berita dan informasi tidak dapat disekat. Rakyat terdedah dengan banyak pilihan. Selain akhbar arus perdana, terdapat pelbagai media alternatif seperti komuniti bloggers yang aktif di negara pada hari ini. Saya percaya bahawa ramai di kalangan mereka sebenarnya cukup bertanggungjawab dan memberikan maklumat serta informasi berkualiti tinggi dalam menyumbang kepada pembinaan negara. Perkembangan ini harus kita lihat secara positif sebagai sebahagian daripada tradisi pendemokrasian dunia maklumat dan alam siber. Bagi generasi baru, blog menjadi gaya hidup terkini dan melalui kecanggihan ini telah melahirkan apa yang dipanggil Generasi "You Tube" dan "facebook" di kalangan mereka.

Kebebasan dengan tanggungjawab – pengajaran daripada Munshi Abdullah

43. Walaupun ia fenomena yang mungkin dianggap baik kepada pembinaan negara tetapi perlu diingat kebebasan harus datang dengan tanggungjawab. Kebebasan mesti membawa ke arah kematangan masyarakat Malaysia. Kebebasan ini bukan bersifat kebebasan mutlak tanpa apa–apa sekatan. Ia bukan lesen untuk mengecam, menghina, memfitnah dan memburuk–burukkan orang lain. Keterbukaan kerajaan bukan alasan untuk menjadikan media dan dunia siber tempat bercambahnya pembohongan dan hasutan.

44. Memang mudah menjadi pengkritik. Malah dalam tradisi Melayu, tegur menegur menjadi amalan masyarakat. Kelangsungan sistem bermasyarakat Melayu selama inipun ialah kerana anggotanya bersedia tegur menegur di antara satu sama lain. Munshi Abdullah bin Abdul–Kadir dalam buku–buku Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah turut membuat kritikan yang pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke–19. Beliau menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas mereka, kurangnya ilmu pengetahuan di kalangan mereka, cara hidup mereka, sehinggalah episod perpecahan di kalangan mereka. Abdullah turut mendedahkan tentang kemiskinan orang Melayu seperti katanya, "yang tinggal mereka itu dalam miskin dan malah dalam sepanjang umurnya." Ketika itu ramai yang marah kerana kelancangan Abdullah. Watak seperti Munshi Abdullah seringkali tidak popular, menjadi tohmahan dan dilupai oleh sejarah.

45. Bezanya, Abdullah tidak sahaja mengkritik tetapi memberikan cadangan bagaimana kehidupan orang Melayu dapat diperbaiki. Munsyi Abdullah memberikan pandangan bagaimana mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kelemahan mereka. Abdullah turun ke lapangan, belayar ke negeri–negeri Melayu, melawan ombak, mengharungi ancaman lanun dan perang saudara bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika itu. Kisah Pelayaran Abdullah bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga dimuatkan keinsafan dan nasihat tentang nasib orang Melayu. Abdullah menjadi pengkritik bangsa yang berterus–terang dan konstruktif.

46. Malangnya hari ini ada di kalangan orang Melayu sendiri, mereka yang duduk dalam keselesaan dan kemewahan, yang tidak pernah merasa kesusahan dan penderitaan rakyat, mahu menjadi juara bagi pihak rakyat. Mereka terlupa bahawa UMNO selama ini tidak sekadar melihat tetapi berada di lapangan, turun ke ceruk kampung, menyelesaikan segala permasalahan rakyat. Kita bukan sekadar memerah otak merancang strategi serta pelan tindakan untuk masa depan rakyat tetapi bertindak, bekerja dan melaksanakan harapan rakyat. Dasar–dasar UMNO dan kerajaan bukan dilakar dari kekosongan pandangan atau perbandingan teori tetapi dibentuk oleh pemikiran yang mendalam, hasil perbincangan yang panjang serta pengalaman yang telah diuji.

47. Kepada golongan ini, saya ingin mengingatkan agar mereka berfikiran lapang dan terbuka. Perjuangan mengejar populariti atas isu–isu yang sensasi tidak bertahan lama. Jikalau mereka mahu menjadi sebahagian dari proses membuat dasar, marilah masuk ke gelanggang, kurang tapak tangan nyiru kita tadahkan. Janganlah menjadi ayam yang berkokok di hujung kampung kerana golongan ini, ibarat pepatah Melayu, bodoh tak boleh ditunjuk, pandai tak boleh diikut. Ingatlah nasihat orang tua–tua:–

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa bergelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Macam bunga kembang tak jadi.

H. CABARAN MASA DEPAN PEMUDA UMNO – GENERASI MUDA

48. Hari ini lebih 12 juta rakyat negara ini berusia di bawah 24 tahun di mana 4.7 juta daripada mereka dalam usia formatif yang penting iaitu di antara 15 dan 24 tahun. Generasi ini mempunyai kapasiti intelek yang hebat, progresif, berkeyakinan tinggi dan lebih terbuka kepada pembaharuan. Hakikatnya, generasi ini berbeza daripada generasi sebelumnya kerana mereka tidak pernah menempuh jerih perit perjuangan memerdekakan negara. Mereka menghayati perjuangan kemerdekaan dari buku–buku sekolah dan pelbagai catatan sejarah lain. Sudah pastilah penghayatan dan pemahamannya berbeza kerana hakikatnya mereka tidak merasai dan melihat dengan mata sendiri peristiwa–peristiwa yang membentuk kontrak sosial, Perlembagaan Negara dan proses penubuhan negara yang tercinta ini.

49. Generasi ini juga membesar dalam era globalisasi yang meruntuhkan sempadan di antara negara. Teknologi maklumat sudah pasti mempengaruhi pembentukan sikap, nilai dan jati diri selain boleh merapuhkan pegangan agama, budaya dan semangat kenegaraan yang diwarisi. Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi kerana jatuh bangunnya bangsa dan negara pada masa hadapan akan ditentukan oleh generasi muda hari ini. Keupayaan generasi pewaris ini memimpin negara satu hari nanti bergantung kepada sejauh mana mereka dilengkapkan dengan asas, nilai, prinsip dan pegangan yang betul.

50. Saya memilih untuk mengutarakan perkara ini kerana ia adalah tanggungjawab dan keutamaan kita. Kita perlu bergerak lebih agresif untuk mendekati generasi muda pada pelbagai peringkat. Ini penting kerana kita tidak boleh membentuk suatu agenda pembinaan generasi muda masa depan yang tepat sekiranya kita tidak memahami dan mengambil kira harapan dan aspirasi mereka.

Membuka seluas–luas ruang di dalam UMNO kepada semua


51. Pada masa yang sama, kita perlu membawa generasi muda untuk berada bersama–sama kita dalam wadah UMNO. UMNO adalah sebuah organisasi demokratik yang sentiasa membuka pintu kepada seluruh rakyat. Sejak dahulu lagi kita menyaksikan keanggotaan ahli parti yang sentiasa memberi kekuatan kepada parti dan perjuangan orang Melayu. Kita harus membuka ruang seluas–luasnya kepada generasi muda hari ini sebagaimana generasi sebelumnya membuka ruang kepada kita untuk berada di dalam bahtera UMNO.

52. Tidak wajar kepentingan politik diri atau kumpulan dijadikan pertimbangan untuk menghalang generasi muda menyertai UMNO pada semua peringkat parti. Sedarlah bahawa UMNO dan bangsa akan berada dalam kerugian sekiranya kita tidak memberi ruang kepada sesiapa sahaja termasuk golongan muda Melayu yang mempunyai minda terbaik (the best Malay mind). Sehubungan itu, adalah menjadi satu tuntutan untuk kita melihat bukan sahaja dari aspek peraturan keahlian dan struktur parti tetapi juga memastikan pelaksanaan dan realiti di semua peringkat dalam parti bahawa UMNO sesungguhnya terbuka dan menjadi milik semua orang Melayu.

53. Pada masa yang sama kita jangan lupa bahawa di luar sana terdapat jutaan lain yang sebenarnya menyokong dasar dan perjuangan kita tetapi mereka bukan ahli UMNO. Mereka ini terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera yang turut sama mencorakkan senario politik negara. Mereka ini mengundi kita dalam pilihan raya, meletakkan kepercayaan terhadap usaha dan dasar–dasar yang kita laksanakan. Pada masa ini terdapat sekitar 3.3 juta ahli UMNO yang tentunya tidak cukup untuk kita memenangi pilihan raya. Mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada kita dan mahukan kita mendengar keluh kesah mereka dan berkongsi kegembiraan dengan mereka.

54. Pada waktu yang sama kita kecewa dengan sikap ahli–ahli UMNO yang menganggap remeh tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Alangkah tragisnya kalau orang UMNO sendiri yang membawa kad keahlian dan berbangga mendakwa sebahagian dari legasi hebat UMNO, tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya yang menentukan survival UMNO. Maka adalah menjadi tugas kita semua untuk menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang saya anggap amat penting ini. Ingatlah kita semua di dalam dewan ini adalah pemimpin yang mewarisi perjuangan UMNO. Laksanakanlah tanggungjawab kepimpinan saudara–saudara dengan penuh keikhlasan, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bagi. Bak kata bijak pandai Melayu, pemimpin itu;

Bagaikan kayu besar di tengah padang;
Rimbun daunnya tempat berteduh;
Kuat dahannya tempat bergantung;
Kukuh batangnya tempat bersandar;
Besar akarnya tempat bersila.

I. NILAI, SIKAP, PEGANGAN, CIRI–CIRI PEMIMPIN PEMUDA UMNO YANG DIHARAPKAN

55. Meskipun banyak usaha lagi yang perlu dilaksanakan, dasar UMNO selama ini telah melahirkan bangsa Melayu yang berjaya ekonominya. Walaupun kita berbangga dengan pencapaian ini tetapi kejayaan material sahaja tidak akan menguntungkan bangsa untuk jangka masa panjang. Kita mahukan orang Melayu berjaya secara menyeluruh. Tetapi saya risau apabila hari ini kemewahan melampau menjadi gaya hidup baru sesetengah golongan di mana penanda aras kejayaan disandarkan semata–mata kepada kekayaan dan kebendaan.

56. Saya menyentuh perkembangan ini kerana sudah kelihatan tanda–tanda terhakisnya nilai–nilai murni di kalangan sebahagian orang Melayu. Apa yang menjadi teras kekuatan bangsa Melayu selama ini seperti adab, sopan santun, budi bahasa dan ramah mesra mulai hilang. Kerakusan dan kesombongan telah menjadi sebahagian budaya mereka. Akibatnya mereka hilang jati diri, mereka lupakan nilai–nilai murni dan hidup mereka berkiblatkan kebendaan. Seperti yang saya nyatakan di awal tadi dalam konteks perjuangan parti, politik boleh menjadikan seseorang terkenal, masyhur, hebat dan berkuasa tetapi kuasa boleh merosakkan seperti juga kemasyhuran boleh melalaikan. Lalu kita mudah menjadi angkuh, rakus dan lupa daratan.

57. Percayalah, kita perlu menjauhi sikap ini kerana jika kita gagal menanganinya dengan segera segala yang dibina sejak sekian lama akan hancur dan menjadi sia–sia. Allah S.W.T telah memberi peringatan melalui firmanNya dalam surah Al Isra’ ayat 16 yang bermaksud:

"Apabila Kami (yakni Allah) hendak memusnahkan penduduk dalam sesebuah tempat (yakni negara) maka Kami jadikan para pemimpinnya alpa dan lalai dengan segala kenikmatan yang mereka perolehi sehingga mereka melakukan kerosakan terhadap umat dan tempat (yakni negara) mereka. Maka datanglah perintah Allah kerana murka di atas kelalaian mereka lalu Allah mendatangkan kehancuran terhadap mereka."

58. Ingatlah firman Allah S.W.T ini sebagai panduan agar kita tidak tersasar dari ajaranNya. Pemuda kini berada dalam kedudukan yang kuat dan teguh untuk kita menunaikan amanah dan tanggungjawab parti. Hanya jikalau kuat dan bersatu padu sahaja kita boleh teruskan perjuangan suci ini. Jangan kita persia–siakan kedudukan kita ketika ini dan membiarkan diri kita hanyut dalam kemewahan, kemasyhuran dan kekuasaan. Ini turut ditekankan oleh Rasulullah S.A.W yang memandang berat kepada kekuatan dan kelebihan pada diri ketika berada di dalam keadaan yang terbaik. Sabda baginda yang bermaksud:

"Ingatlah lima perkara, sebelum kamu ditimpa lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati."

59. Justeru, saya mengajak saudara–saudara sekalian selaku pemimpin yang akan mewarisi perjuangan dan pemimpin yang akan meneruskan pengekalan tampuk kerajaan untuk membulatkan tekad setulus hati dan berikrar untuk bersama–sama Yang Amat Berhormat Presiden melaksanakan agenda perdana ini. Sedarlah, Yang Amat Berhormat Presiden telah menggariskan satu tanggungjawab besar untuk kita galas. Misi Nasional telah dibina khusus untuk generasi masa depan. Misi yang bukan dibentuk untuk dinikmati segera tetapi satu cetusan berani untuk dinikmati oleh generasi terkemudian. Misi yang diilhamkan atas perasaan rasa tanggungjawab yang ikhlas dan tulus demi masa depan anak bangsa. Misi yang lahir di atas ketakwaan dan kesedaran bahawa kita hanya hamba yang dipinjamkan kebijaksanaan untuk melunaskan amanah yang diberi. Misi yang terpancar di atas rasa syukur dengan rahmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita selama ini bagi terus dinikmati oleh generasi akan datang.

60. Dengan kekuatan dan kesepaduan Pemuda yang telah kita bina selama ini, marilah kita genggam erat sumpah Pemuda untuk menjayakan Misi ini demi membela bangsa, mendaulatkan agama dan membangunkan negara. Kitalah yang akan membentuk masa depan bagi meneruskan kegemilangan negara untuk 50 tahun lagi. Kitalah harapan seluruh rakyat Malaysia. Kitalah Pemuda Perjuangan.

Hidup UMNO!
Hidup Melayu!
Allahu Akhbar!
Allahu Akhbar!
Allahu Akhbar!
Walilah–ilham.

© Copyright Reserved 2021. Bar Council Malaysia.