Please click here to read the English version of this press release.
Badan Peguam Malaysia memandang berat laporan media baru–baru ini mengenai kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Perak bahawa tiada tanah adat atau warisan di Perak memandangkan tanah–tanah ini tidak diiktiraf oleh Undang–Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undang–undang berkenaan1.
Dalam hal ini, pendapat Menteri Besar bahawa Undang–Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undang–undang bertulis mestilah dengan nyata mengesahkan tanah adat Orang Asli sebelum tanah–tanah itu diiktiraf secara undang–undang adalah salah dari segi undang–undang.
Tafsiran 'undang–undang' di dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya termasuk "common law" yang menggabungkan prinsip–prinsip undang–undang tempatan yang terkandung di dalam keputusan–keputusan mahkamah–mahkamah Malaysia. Selama lebih daripada 20 tahun, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan Malaysia telah berkali–kali mengiktiraf kesinambungan hak Orang Asli di Semenanjung Malaysia ke atas tanah dan sumber yang dipegang oleh mereka berdasarkan adat, penggunaan dan undang–undang mereka dengan syarat bahawa mereka telah sebelumnya dan secara berterusan menduduki, menggunakan dan menikmati tanah dan sumber sedemikian menurut tradisi mereka sendiri (lihat Kerajaan Negeri Johor v Adong Bin Kuwau [1998] 2 MLJ 158; Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005] 6 MLJ 289). Bercanggah dengan justifikasi yang diberikan oleh Menteri Besar Perak, hak sedemikian boleh didapati wujud oleh mahkamah tanpa pengiktirafan rasmi oleh Badan Eksekutif dan Perundangan Negeri disebabkan oleh kedudukan istimewa perlembagaan dan undang–undang Orang Asli (lihat Kerajaan Negeri Johor v Adong Bin Kuwau [1998] 2 MLJ 158; Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005] 6 MLJ 289; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli v Mohamad Bin Nohing (Batin Kampung Bukit Rok) dan rayuan lain [2015] 6 MLJ 527).
Adalah juga jelas bahawa prinsip undang–undang hak tanah adat Orang Asli di atas telah didapati terpakai di negeri Perak (lihat Kong Chee Wai v Pengarah Tanah Dan Galian Perak [2016] 1 CLJ 605 (disahkan oleh Mahkamah Rayuan di dalam Kong Chee Wai & Anor v Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rayuan Sivil No. A–01–(NCVC)(A)–38S–12/2015, 24 Oktober 2016).
Oleh yang demikian, Badan Peguam Malaysia mengingatkan Kerajaan Negeri Perak untuk lebih berhati–hati dan bertindak secara berhemah sebelum membuat kenyataan awam mengenai hak perundangan yang diberikan kepada Orang Asli.
Badan Peguam Malaysia juga mengulangi seruannya kepada Kerajaan Negeri Perak untuk menghormati kewajipan perundangan dan fidusiarinya untuk melindungi tanah Orang Asli (lihat Kong Chee Wai lwn Pengarah Tanah Dan Galian Perak [2016] 1 CLJ 605 (yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan di dalam Kong Chee Wai & Anor lwn Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rayuan Sivil No. A–01–(NCVC)(A)–38S–12/2015, 24 Oktober 2016); Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005] 6 MLJ 289) seperti yang dibuat di dalam kenyataan media bertarikh 26 Februari 2019 dan 25 Mei 2019, dan untuk:
(1) mengenakan, sebagai tindakan interim, suatu moratorium ke atas pewujudan kepentingan terhadap mana–mana tanah dan sumber, dan ke atas penerusan pengeluaran sumber dan aktiviti penguatkuasaan di dalam kawasan yang didakwa sebagai kawasan adat Orang Asli, sementara menunggu penyelesaian tuntutan kawasan adat komuniti Orang Asli yang terjejas; dan
(2) mengambil semua langkah yang berpatutan — termasuklah tindakan perundangan — untuk mencapai semangat dan niat Deklarasi Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (2007) (United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (2007)).
Abdul Fareed Abdul Gafoor
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
31 Julai 2019
[1] "No such thing as Orang Asli ancestor land in the state, Perak MB told NGOs", Malay Mail Online, 29 Julai 2019.