(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Karen Cheah Yee Lynn, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 22 Mac 2023, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia merujuk kepada laporan media baru-baru ini mengenai pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi tentang pindaan kepada Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) (“AOA”), yang memberi tumpuan kepada pendaftaran perkahwinan dan kelahiran serta pemilikan tanah Orang Asli, akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.1
Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa cadangan pindaan tersebut adalah untuk menangani: (i) kekangan dalam undang-undang berkanun yang sedia ada mengenai pemilikan tanah Orang Asli, yang haruslah memberikan mereka hak perundangan ke atas kawasan rayau dan hak milik kekal ke atas tanah; dan (ii) perkara-perkara yang berkaitan dengan pendaftaran perkahwinan dan kelahiran Orang Asli, kerana ramai Orang Asli berdepan dengan isu-isu berkaitan dengan dokumentasi perkahwinan adat, yang mengakibatan anak-anak mereka tidak memiliki dokumen kewarganegaraan yang sah.
Inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu tertunggak ini harus dipuji, namun hanya sedikit yang diketahui oleh orang awam tentang butiran-butiran cadangan pindaan tersebut. Dalam perkara ini, Badan Peguam Malaysia menyeru Kerajaan untuk berunding secara efektif dengan masyarakat Orang Asli dan para pihak berkepentingan yang lain, termasuklah semua pertubuhan masyarakat sivil yang bekerjasama rapat dengan masyarakat Orang Asli terlebih dahulu, sebelum membentangkan sebarang pindaan kepada AOA tersebut. Artikel 19 Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asal 2007 yang diundi untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia memperuntukan bahawa:
“Kerajaan mesti berunding dan bekerjasama dengan Orang Asal melalui institusi-institusi perwakilan mereka sendiri agar mendapatkan persetujuan bebas melalui makluman yang cukup oleh mereka sebelum mengambil dan melaksanakan langkah-langkah perundangan atau pentadbiran yang mungkin memberi kesan kepada mereka.”
Memandangkan cadangan pindaan tersebut memberi kesan terhadap tanah adat, wilayah, dan sumber masyarakat Orang Asli secara langsung, adalah mustahak untuk Kerajaan berunding dengan masyarakat Orang Asli terlebih dahulu berhubung pindaan tersebut memandangkan Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Persekutuan mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap Orang Asli mengenai hak tanah adat mereka (Kerajaan Negeri Selangor lwn Sagong bin Tasi [2005] 6 MLJ 289).
Sehubungan itu, Badan Peguam Malaysia mengulangi gesaannya kepada Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk mengambil tindakan-tindakan berikut:
(1) sebagai langkah sementara, meletakkan moratorium ke atas pewujudan mana-mana tanah dan kepentingan sumber dan penerusan aktiviti penimbaan dan penguatkuasaan sumber di tempat yang didakwa sebagai kawasan-kawasan adat Orang Asli, sementara menunggu tuntutan wilayah adat Orang Asli dan cadangan pindaan kepada AOA tersebut dimuktamadkan;
(2) melaksanakan 18 syor-syor yang terkandung dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal / Asli di Malaysia 2013 oleh SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia); dan
(3) melalui perundingan dan kerjasama dengan Orang Asli, mengambil langkah perundangan yang mencerminkan semangat dan niat Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asal.
Karen Cheah Yee Lynn
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
22 Mac 2023
1 “Act 134 to be amended, legal aspects on land, marriage to be improved”, The Sun Daily, 23 February 2023.