Badan Peguam Malaysia (“BPM”) menghargai usaha Kerajaan yang sedang menyusun beberapa langkah untuk menangani masalah ekonomi dan kewangan yang dialami oleh rakyat Malaysia akibat daripada penularan wabak COVID-19.
BPM yang mempunyai keanggotaan yang hampir mencecah kira-kira 20 ribu peguam yang menjalankan amalan di Semenanjung Malaysia, memohon agar Kerajaan menimbangkan beberapa langkah dan insentif yang bertujuan untuk membantu dan menyokong kehidupan para peguam di Malaysia, yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan kemahiran profesional mereka untuk menjana dan menyumbang terhadap kemajuan keluaran dalam negara kasar (“KDNK”) ekonomi negara.
Justeru, BPM memohon Kerajaan untuk menimbangkan beberapa cadangan insentif dalam bentuk kewangan ataupun bantuan, serta kemudahan lain, sebagai usaha untuk merangsang kembali kemampuan firma-firma guaman di Semenanjung Malaysia untuk bangkit semula bersaing.
Banyak firma guaman, terutamanya firma guaman kecil, kini menghadapi masalah untuk membayar sewa pejabat, membayar gaji pekerja, bil utiliti, serta kos operasi lain.
Untuk tujuan itu, BPM memohon agar Kerajaan dapat memperkenalkan suatu dana khas kewangan profesional guaman bagi tujuan menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada firma-firma guaman di Semenanjung Malaysia. BPM juga memohon sokongan Kerajaan dalam memberikan geran kepada para peguam individu supaya mereka dapat menampung kos sara hidup.
Ramai peguam muda dari pelbagai latar belakang sosial yang bekerja makan gaji, kini bakal menghadapi risiko kehilangan pekerjaan jika Kerajaan tidak membantu pemilik firma guaman yang kini terpaksa menghadapi keadaan ekonomi yang getir sehingga tidak mampu lagi untuk membayar gaji pekerjanya dan juga gaji peguam.
BPM juga memohon agar Kerajaan dapat menimbangkan penghapusan penalti lewat bayar cukai perniagaan dan cukai pendapatan pada tahun ini, dan penangguhan bayaran cukai pendapatan atau perniagaan golongan profesional guaman sehingga tempoh enam bulan atau lebih.
Selain itu, bagi tujuan merangsang kembali ekonomi firma guaman yang terjejas akibat daripada tragedi penularan wabak COVID-19, dan Perintah Kawalan Pergerakan ini, kami ingin mencadangkan agar sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”) oleh pihak majikan dikurangkan sebanyak 50 peratus.
BPM juga memohon Kementerian Kewangan untuk berbincang dengan Bank Negara Malaysia, mengenai penghapusan faedah terhadap pinjaman individu atau perniagaan yang dikenakan sepanjang moratorium bayaran balik selama enam bulan, untuk para peguam di Semenanjung Malaysia.
Pada masa yang sama, BPM meminta agar Bank Negara Malaysia mempertimbangkan untuk berbincang dengan bank-bank komersial mengenai pelanjutan moratorium bayaran balik melebihi enam bulan, untuk para peguam, khususnya golongan peguam muda.
BPM ingin menyatakan bahawa kami sedia berbincang dengan Kerajaan untuk mencari jalan membantu para peguam dalam apa jua cara, dan pada masa yang sama, kami bersedia berdiri bersama Kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi dan menangani penularan wabak COVID-19 ini.
Kami yakin, dengan kepakaran golongan profesional BPM, kita mampu bergerak ke hadapan dan menawarkan sebarang bantuan profesional kepada Kerajaan, dan rakyat Malaysia secara amnya.
Salim Bashir
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
27 Mac 2020