(Versi terjemahan)
Bar Malaysia mengesali salah guna Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah–langkah Khas) 2012 (“SOSMA”) oleh pihak berkuasa dalam penangkapan, penahanan dan pendakwaan Dato’ Sri Khairuddin Abu Hassan (“Dato’ Sri Khairuddin”), dan peguam beliau, Matthias Chang, seorang Ahli Bar Malaysia, yang berlaku baru–baru ini.
Dato’ Sri Khairuddin dan Matthias Chang masing–masing ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA pada 18 September 2015 dan 8 Oktober 2015. Menurut laporan berita, mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 124K (sabotaj) dan Seksyen 124L (cubaan untuk melakukan sabotaj) Kanun Keseksaan. Dato’ Sri Khairuddin telah memfail permohonan habeas corpus, yang dijadualkan untuk pendengaran pada 13 Oktober 2015. Menurut laporan berita, Matthias Chang juga hampir memfail permohonan habeas corpus.
Namun, kedua–dua mereka telah dituduh pada 12 Oktober 2015 di Mahkamah Majistret atas kesalahan cubaan melakukan sabotaj di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan. Adalah didakwa bahawa tindakan sabotaj mereka itu adalah berhubung dengan laporan yang dibuat mengenai amalan rasuah yang mungkin, dengan agensi penguatkuasa undang–undang di lima negara asing — Perancis, United Kingdom, Switzerland, Hong Kong dan Singapura yang kononnya bertujuan sebagai konspirasi untuk memudaratkan sistem perbankan dan kewangan Malaysia. Sekiranya didapati bersalah, mereka mungkin dihukum sehingga 15 tahun penjara. Kedua–dua mereka telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mencabar pendakwaan terhadap mereka.
Seksyen 124L Kanun Keseksaan terkandung dalam Bahagian VI Kanun Keseksaan. Di bawah SOSMA, kesemua kesalahan di bawah Bahagian VI dan Bahagian VIA Kanun Keseksaan adalah dianggap sebagai kesalahan keselamatan, yang boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Oleh itu adalah membingungkan bahawa kedua–dua mereka dituduh di Mahkamah Majistret. Tambahan lagi, adalah menjanggalkan bahawa pihak pendakwaan kemudiannya memohon tempoh penahanan tambahan sebanyak 30 hari sementara menunggu permohonan untuk memindahkan kes–kes mereka ke Mahkamah Tinggi. Majistret tersebut telah membenarkan penahanan 14 hari.
Penahanan seseorang yang tertuduh setelah pertuduhan dibuat sementara menunggu permohonan pemindahan oleh pihak pendakwaan, adalah tidak adil, dan salah di sisi undang–undang. Dalam kes ini, ia seolah–olah percubaan yang tidak tersembunyi untuk menahan kedua–dua mereka bagi tempoh tambahan yang tidak sah di sisi undang–undang.
Walau apapun, adalah membingungkan bahawa pihak pendakwaan melihat kes ini sebagai melibatkan kesalahan keselamatan. Bahagian VIA Kanun Keseksaan telah diperkenalkan untuk memerangi kesalahan keselamatan yang timbul daripada tindakan keganasan. Tindakan untuk mendedahkan amalan rasuah dalam kerajaan tidak boleh, mengikut sebarang imaginasi pun, jatuh di bawah Bahagian VIA Kanun Keseksaan; dan juga bukan merupakan suatu kesalahan keselamatan di bawah undang–undang antarabangsa.
Unsur antarabangsa tidak boleh –diabaikan. Kerajaan Malaysia telah menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa–bangsa Bersatu Menentang Rasuah. Oleh itu, Malaysia mengakui bahawa kerjasama antarabangsa adalah perlu dalam memerangi rasuah, keganasan dan jenayah antarabangsa yang lain. Malaysia juga telah melancarkan banyak inisiatif kebangsaan yang menggesa individu–individu supaya menjadi rakan kongsi dalam usaha untuk membasmi rasuah.
Oleh itu, adalah mustahil untuk mempercayai bahawa apabila seseorang mengambil inisiatifnya sendiri untuk meminta agensi–agensi penguatkuasa undang–undang antarabangsa untuk menyiasat amalan rasuah yang mungkin berlaku pada peringkat tertinggi Kerajaan, ia dilihat oleh pihak berkuasa sebagai percubaan untuk mensabotaj sistem perbankan dan kewangan Malaysia.
Dalam dunia kini yang tiada sempadan, rasuah rentas sempadan adalah kesengsaraan besar yang memerlukan perkongsian dan usaha sedunia. Malaysia kerap meminta agensi penguatkuasa undang–undang di negara asing untuk menghulurkan bantuan. Di sini pula adalah kes seorang rakyat Malaysia yang meminta bantuan – daripada agensi penguatkuasa undang–undang di negara asing – untuk menangani dakwaan rasuah rentas sempadan . Sesetengah pihak yang dikatakan terlibat dalam rangkaian urusniaga yang buruk itu beroperasi di dalam kawasan bidang kuasa di mana laporan–laporan itu dibuat.
Kita sudah pun melihat percanggahan kata–kata antara Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia mengenai sama ada 1Malaysia Development Berhad (“1MDB”) telah melanggari undang–undang Malaysia dari segi kebenaran kawalan pertukaran wang asing bagi pelaburan luar negara. Kita telah melihat percubaan yang sama untuk mengganggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam usahanya untuk menyiasat pemindahan RM2.6 bilion dan RM42 juta ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri.
Apabila kebimbangan yang boleh dipercayai dibangkitkan mengenai sama ada mekanisma kita untuk menyiasat rasuah telah lumpuh atau dilemahkan, adalah sedia difahami bahawa terdapat jalan untuk mendapatkan bantuan daripada agensi penguatkuasaan undang–undang di luar negara. Oleh itu, tindak balas Kerajaan dalam hal ini menjadi tanda tanya yang besar.
Tuduhan terhadap Matthias Chang menarik kecaman tambahan kerana beliau telah menyatakan dengan konsisten bahawa tindakannya adalah dalam kapasitinya sebagai peguambela dan peguamcara yang menasihati anak guamnya. Oleh itu, penangkapan, penahanan dan pendakwaannya jelas melanggari Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa–bangsa Bersatu mengenai Peranan Peguam, yang mensyaratkan bahawa peguam tidak boleh dikaitkan dengan anak guam mereka atau perjuangan anak guam mereka semata–mata daripada tindakan mewakili mereka. Ia seolah–olah bahawa kesan seram yang ingin dicapai oleh pihak berkuasa adalah untuk tidak menggalakkan peguam untuk bertindak bagi pihak yang telah dikenali sebagai pengkritik Kerajaan.
Tambahan lagi, keputusan untuk mendakwa mereka pada ambang permohonan habeas corpus Dato’ Sri Khairuddin (dan sebelum permohonan habeas corpus yang dirancang oleh Matthias Chang) boleh ditafsirkan dengan mudah sebagai satu percubaan untuk mengelak semakan kehakiman terhadap merit kes–kes mereka. Ia seolah–olah bahawa pihak pendakwaan begitu bimbang yang permohonan habeas corpus akan dibenarkan oleh mahkamah, sehingga ia mengambil langkah untuk membantutkan proses itu. Dalam hal ini, adalah relevan untuk mengetahui sama ada Bank Negara Malaysia telah memfailkan sebarang afidavit dalam permohonan habeas corpus Dato’ Sri Khairuddin untuk mengesahkan bahawa tindakan yang dikatakan dilakukan oleh beliau (dan oleh Matthias Chang) memang satu percubaan untuk mensabotaj sistem perbankan dan kewangan Malaysia.
Kelakuan pihak berkuasa dalam kes Dato’ Sri Khairuddin dan Matthias Chang amat tidak memuaskan. Penyalahgunaan SOSMA dan tatacara jenayah bagi tujuan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang didakwa adalah sesuatu tidak boleh diterima. Bar Malaysia menuntut agar kedaulatan undang–undang dihormati, dan menggesa agar pendakwaan kedua–dua mereka ditarik balik dan mereka dibebaskan.
Steven Thiru
Yang Dipertua
Bar Malaysia
15 Oktober 2015
Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Akhbar ini adalah versi bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Bar Malaysia bertarikh 15 Oktober 2015, yang boleh didapati di sini.