©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh: Nor Zainah Nordin (Wartawan Utusan)
TAN Sri Abdul Malek Ahmad kembali ke rahmatullah pada pukul 11.10 malam kelmarin,
meninggalkan kaum keluarga dan sahabat handai serta rakan setugas yang sentiasa
mengingati beliau sebagai seorang yang mesra, bijak, cerdas pemikiran dan
berpengetahuan luas.
Sekiranya masih ada umur, Abdul Malek yang dilahirkan di Singapura bakal
menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke–63 pada 28 Julai ini, namun Allah
lebih menyayangi beliau dan mengambilnya untuk bersemadi di alam barzakh.
Beliau kembali menemui Ilahi setelah hampir setahun bertarung dengan penderitaan
akibat ketumbuhan dalam otak yang disedari beliau selepas menjalani imbasan MRI
atas desakan keluarganya yang mahu mendapat kepastian punca sebenar sakit kepala
berpanjangan yang menyerang Allahyarham.
Memulakan tugas pertama sebagai Majistret di Kuala Lumpur pada 1 Februari 1966,
Abdul Malek dilantik menjadi Presiden Mahkamah Rayuan, jawatan kedua tertinggi
dalam badan kehakiman negara, pada 12 Julai 2004 dengan membawa 28 tahun
pengalaman dalam bidang perundangan dan kehakiman.
Dikenali sebagai individu yang mudah tersenyum dan ketawa, keperibadian Abdul
Malek sebagai hakim yang mendengar kes sama ada sivil atau jenayah tidak pernah
disangkal kerana beliau sentiasa sabar, tenang dan tegas dalam melaksanakan
tugas beliau.
Peguam terkemuka Karpal Singh yang sering hadir berhujah kes–kes yang sukar di
hadapan Abdul Malek, mengingati beliau sebagai seorang hakim yang sentiasa
membuat keputusan dan mengeluarkan alasan penghakiman yang kekal dipegang
sebagai “authority’' bagi kes–kes seumpamanya yang terkemudian.
Secara peribadi Karpal mengingati Abdul Malek sebagai seorang yang sangat mesra,
mudah membuat kawan dan sabar ketika mendengar kes–kes di hadapannya.
‘‘Ia adalah satu kehilangan besar kepada dunia perundangan dan kehakiman. Beliau
adalah hakim terbaik di negara ini,” katanya.
Datuk Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang diarah menjawab dakwaan menghina
Mahkamah Rayuan apabila menulis surat kepada Abdul Malek untuk mendapat panel
hakim berbeza bagi mendengar kes Metramac, mengingati hakim itu sebagai seorang
yang penuh integriti.
Bagi Muhammad Shafee, Hakim Abdul Malek yang dikenalinya sebagai rakan setugas
kanan di Jabatan Peguam Negara adalah seorang yang tidak pernah membezakan
pangkat dalam memilih kawan, mudah tersenyum dan suka ketawa.
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang menganggap
Abdul Malek sebagai saudaranya, mengingati beliau sebagai seorang hakim
berpengalaman dan berpengetahuan luas yang berpegang teguh pada landasan
undang–undang dalam memberi keputusannya.
Bagi beliau, Abdul Malek yang melayan mesra setiap orang yang dikenalinya,
adalah hakim yang berani dan jujur dalam membuat keputusan walaupun sedar ia (keputusan
itu) tidak disenangi oleh segelintir pihak.
Contohnya, kes pelajar berserban, Mior Atiqulrahman Ishak yang dibuang sekolah
kerana enggan mematuhi arahan supaya tidak memakai serban ketika di sekolah.
Abdul Malek yang mengetuai panel hakim yang memutuskan kes itu, telah bersetuju
dengan alasan penghakiman Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad.
Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak saman bekas
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut ganti rugi
RM100 juta daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana
didakwa memfitnahnya.
Namun, tidak ramai yang tahu Abdul Malek merupakan insan seni yang pernah
menggubah lagu, ada di antaranya pernah dirakam dan dinyanyikan oleh penyanyi
terkemuka Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Sanisah Huri.
Ketika mengingati hobi bosnya, bekas pegawai khas Allahyarham, Ishak Bakri yang
kini Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh berkata, Allahyarham berjiwa halus, lembut
dan penyayang; suka bermain piano dan menggubah lagu dan menghantar lagu gubahan
menggunakan nama samaran ke syarikat rakaman.
Sepanjang dua tahun bertugas dengan Abdul Malek, Ishak berkata, Allahyarham
sangat serius dalam melaksanakan tugasnya yang dilakukan secara pantas dan
menepati masa yang ditetapkan; kepintaran beliau menjadikan kerja yang patut
dilakukan dalam setengah jam dapat disiapkan dalam masa 10 minit.
Begitulah peribadi Yang Arif Hakim Abdul Malek Ahmad yang tiada tolok bandingnya,
dalam pekerjaan mahupun sebagai rakan dan ketua. Beliau meninggalkan warisan
yang tak ternilai dalam bentuk autoriti undang–undang yang akan kekal diikuti
oleh komuniti perundangan dan kehakiman.
Selamat bersemadi Yang Arif, hanya Al–Fatihah dan doa tulus mengiringi
perjalanan yang paling jauh ini. Semoga cahaya keredhaan dan rahmat menemani
beliau. Al–Fatihah.