©Utusan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Majlis Peguam sedia memberi bantuan teknikal dalam
penguatkuasaan Rang Undang– Undang Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang
dibentangkan di Parlimen Ogos lalu.
Naib Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, walaupun pada dasarnya badan
tersebut tidak bersetuju dengan rang undang–undang berkenaan, pihaknya sedia
mengambil bahagian bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan adil.
Sehubungan itu, katanya, Majlis Peguam akan menganjurkan Forum Awam bagi
membincangkan rang undang–undang tersebut pada 13 Oktober ini.
‘‘Forum itu bertujuan membuka peluang kepada orang ramai termasuk ahli Parlimen,
pengamal undang–undang dan penguat kuasa membincang dan mengumpulkan pendapat
mengenai cadangan meluluskan Rang Undang–Undang DNA,’’ ujarnya.
Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, beliau memberitahu,
forum itu dijangka dihadiri antara 100 ke 150 orang.
Pada 18 Ogos lalu, Rang Undang–Undang DNA telah dibentangkan di Parlimen oleh
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang bertujuan untuk membantu
menyelesaikan siasatan kes–kes jenayah.
Dalam pada itu, Ragunath berkata, Majlis Peguam tidak bersetuju dengan rang
undang–undang berkenaan kerana sumber–sumbernya tidak kukuh, kandungannya tidak
boleh diterima dalam sistem atau klausa bukti kukuh.
Akta DNA: Majlis Peguam sedia bantu
7 Oct 2008 12:00 am