(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 4 April 2025, yang boleh didapati di sini.
Dalam kemeriahan suasana Aidilfitri — yang melambangkan perpaduan, kemaafan, dan keamanan — kita berhadapan dengan realiti kejam peningkatan insiden keganasan yang dilaporkan di Malaysia. Lebih merisaukan, insiden-insiden ini bukan sahaja melibatkan orang awam,1 tetapi turut melibatkan seorang anggota tentera.2 Daripada keganasan jalan raya dan pertikaian rumah tangga kepada pertengkaran di tempat awam dan konfrontasi yang melibatkan pegawai beruniform, keganasan malangnya telah menjadi isu yang sering kali muncul dalam berita.3
Tiada justifikasi untuk keganasan dalam apa jua bentuk — walaupun sebagai satu tindak balas. Semua ada batasnya, sama ada seseorang itu orang awam, anggota tentera atau pegawai penguatkuasa. Walaupun hak untuk mempertahankan diri dilindungi, ia tidak boleh mencetuskan kekerasan atau tindak balas yang keterlaluan. Undang-undang kita jelas: Kanun Keseksaan menangani perbuatan keganasan secara komprehensif,4 dengan menetapkan hukuman yang merangkumi denda hingga pemenjaraan, bergantung kepada tahap keseriusan dan keadaan sesebuah kes. Peruntukan-peruntukan ini dengan jelas menunjukkan bahawa keganasan, tanpa mengira motif, adalah menyalahi undang-undang.
Di samping penguatkuasaan undang-undang, langkah-langkah mencegah keganasan harus diutamakan. Mengenal pasti dan menangani punca-punca asas keganasan — seperti kemiskinan, kekurangan pendidikan, dan ketidaksamaan sosial5 — boleh mengurangkan perbuatan keganasan secara signifikan. Sebagai sebuah masyarakat, kita harus menggalakkan dialog terbuka mengenai pengurusan kemarahan, penyelesaian konflik, dan kecerdasan emosi sejak umur yang muda, dengan mengintegrasikan nilai-nilai ini dalam sistem pendidikan kita.
Selain itu, inisiatif berasaskan komuniti dan sokongan kesihatan mental boleh memperkasakan individu untuk menyelesaikan pertikaian secara aman dan mendapatkan bantuan tanpa menggunakan keganasan sebagai jalan keluar. Adalah penting bagi kita untuk tidak hanya memberi reaksi terhadap perbuatan keganasan, tetapi juga berusaha secara proaktif untuk membina dan mengembangkan budaya empati, persefahaman, dan sifat saling menghormati. Dengan memperkukuhkan prinsip-prinsip ini, kita mewujudkan persekitaran yang tidak bertolak ansur terhadap keganasan dan tidak membiarkannya berterusan, memastikan masyarakat yang lebih selamat dan harmoni untuk semua.
Membenarkan keganasan berterusan hanya akan memupuk budaya yang berbahaya — rasa kecewa yang mengakibatkan kemudaratan — yang menjejaskan kedaulatan undang-undang. Sebagai sebuah negara, kita haruslah bersama-sama mengecam semua bentuk keganasan — sama ada di jalan raya, dalam rumah, atau dalam kalangan pegawai penguatkuasaan. Dengan kesabaran, kebijaksanaan, dan keyakinan kepada keadilan, Malaysia boleh terus maju sebagai masyarakat yang beradab, adil, dan berperikemanusiaan.
Jangan biarkan emosi menentukan tingkah laku kita. Biarkan undang-undang membimbing kita ke hadapan dan memupuk konsep keadilan mengatasi kekacauan dalam masyarakat.
Dengan mengambil kira isu ini dan memandangkan hari ini adalah ulang tahun ke-57 pembunuhan Martin Luther King, Jr,6 adalah memang sesuai untuk membuat kesimpulan dengan petikan daripada buku beliau yang berjudul Where Do We Go from Here: Chaos or Community?:
“The ultimate weakness of violence is that it is a descending spiral, begetting the very thing it seeks to destroy. Instead of diminishing evil, it multiplies it. Through violence you may murder the liar, but you cannot murder the lie, nor establish the truth. Through violence you murder the hater, but you do not murder hate. In fact, violence merely increases hate. So it goes. Returning violence for violence multiplies violence, adding deeper darkness to a night already devoid of stars. Darkness cannot drive out darkness; only light can do that. Hate cannot drive out hate; only love can do that.”7
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
4 April 2025
1 “Ramadan slap’ in Malaysia goes viral as social media responds with satire”, South China Morning Post, 21 March 2025.
2 “Anggota tentera tumbuk pemandu wanita sudah ditahan”, Sinar Harian, 30 Mac 2025.
3 “Malaysia Plagued by Slapping Disorder? Another Slapper Caught on Camera”, The Rakyat Post, 25 March 2025.
4 “Section 319: Hurt” is defined as causing bodily pain, disease, or infirmity to any person; “Section 320: Grievous hurt” covers more severe harm, such as permanent loss of sight, hearing, or dismemberment; and “Section 323: Punishment for voluntarily causing hurt” provides for imprisonment of up to one year, or a fine of up to RM2,000, or both.
5 “Addressing the Escalating Crisis of Youth Violence in Malaysia”, Emir Research, 24 April 2024.
6 Assassination of Martin Luther King, Jr., Encyclopaedia Britannica, last updated 28 March 2025.
7 Where Do We Go from Here: Chaos or Community? Dr Martin Luther King, Jr, Beacon Press, 1967.