(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 12 Julai 2024, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia merujuk kepada hantaran media sosial oleh Mohd Rafizi bin Ramli (“Rafizi Ramli”), Menteri Ekonomi, menjelang pilihan raya kecil Sungai Bakap pada 6 Julai 2024.
Dalam hantaran media sosial tersebut, Rafizi Ramli mengulas tentang seorang peguam yang mewakili seorang warga asing yang ditangkap dan didakwa di Malaysia kerana berdagang senjata api dan memiliki peluru.
Badan Peguam Malaysia mendapati bahawa ulasan yang dibuat oleh Rafizi Ramli membimbangkan kerana ia memburukkan profesion undang-undang. Ulasan beliau juga menyentuh isu yang lebih mendalam, yang melibatkan konsep proses wajar (due process) dan keperluan untuk mencapai keseimbangan yang betul antara kebebasan bersuara dan hak untuk perbicaraan yang adil.
Terdapat stigma yang wujud terhadap peguam, seperti yang ditunjukkan oleh ulasan Rafizi Ramli. Peguam dilihat seperti memberikan perkhidmatan mereka kepada pembida tertinggi, dan akan melakukan apa sahaja mengikut kemampuan mereka untuk melepaskan klien mereka. Persepsi sedemikian tentang kerja-kerja guaman merupakan satu salah faham tentang apa sebenarnya yang dilakukan oleh peguam-peguam.
Tugas seorang peguam adalah untuk memberikan suara kepada klien yang memerlukan perwakilan. Peguam perlu membina satu kes untuk klien dalam batas undang-undang. Peguam tidak menambah atau menolak fakta sesebuah kes dan hanya bertindak atas arahan klien. Oleh itu, peguam adalah pihak yang berkecuali sepenuhnya. Walaupun perlu ada juga rasa simpati terhadap klien untuk membolehkan peguam menghujah kes daripada perspektif klien, ia tidak bermakna peguam mempunyai kaitan dengan kliennya.
Konsep proses wajar dalam konteks Malaysia memerlukan seorang hakim (atau pegawai lain yang mempunyai kapasiti kehakiman) untuk menentukan kesalahan atau liabiliti, selepas sesuatu kes telah selesai didengar sepenuhnya. Ini bermakna kuasa untuk membuat keputusan terhadap kes-kes terletak khusus kepada hakim-hakim. Apabila orang ramai atau media mengulas tentang kemungkinan keputusan yang akan dibuat dalam sesuatu kes yang sedang didengar oleh seseorang hakim, ia boleh dianggap sebagai pelanggaran prinsip sub judice. Walaupun Badan Peguam Malaysia adalah penyokong kuat hak kebebasan bersuara, hak tersebut tidak sepatutnya menjejaskan hak seseorang kepada perbicaraan yang adil. Dengan mengulas mengenai peguam tersebut dan klien warga asingnya, Rafizi Ramli telah mempertikaikan klien tersebut secara pramatang sebelum kes itu diselesaikan oleh mahkamah. Elemen utama hak perbicaraan yang adil adalah hak untuk mendapatkan perwakilan undang-undang. Hak ini termaktub dalam Perkara 5, Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan. Ia memastikan bahawa mana-mana orang yang perlu hadir di hadapan mahkamah Malaysia dijamin perkhidmatan peguam.
Negara lain yang juga mempraktikkan Common Law mengamalkan apa yang dikenali sebagai “cab-rank rule”, iaitu, seseorang peguam tidak boleh menolak untuk mewakili klien yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka, kecuali dalam keadaan yang sangat terhad. Walaupun peguam-peguam di Malaysia tidak perlu mematuhi prinsip yang ketat ini, Peraturan 2 Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etiket) 1978 meletakkan kewajipan profesional kepada peguam untuk memberikan perkhidmatan kepada klien, jika mereka mahir dalam bidang undang-undang berkenaan. Melainkan terdapat keadaan khas yang menghalang keupayaan peguam untuk memberikan perkhidmatan, mereka tidak seharusnya menolak klien yang memerlukan perwakilan undang-undang. Jika mereka berbuat demikian, ia adalah sama seperti melucutkan hak klien untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
Hakikat bahawa tertuduh dalam situasi ini adalah warga asing tidak seharusnya menghalang dia daripada mendapat perwakilan undang-undang. Peguam yang dinamakan oleh Rafizi Ramli itu hanya menjalankan tugasnya dengan memberikan suara kepada kliennya di hadapan mahkamah Malaysia. Prinsip kedaulatan undang-undang, yang terkandung dalam Rukun Negara kita, memerlukan sistem keadilan jenayah Malaysia berjalan dengan sewajarnya, tanpa mengira asal usul tertuduh. Dengan melakukan yang sebaliknya, samalah seperti memutuskan bahawa tertuduh bersalah sebelum kes itu dibicarakan.
Badan Peguam Malaysia menyeru semua pihak untuk berhenti memberikan tanggapan yang salah dan membuat sindiran bahawa peguam tidak beretika dalam menjalankan tugasan tetap mereka. Peguam seharusnya dapat memberikan perkhidmatan mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan bebas daripada prasangka yang tidak berasas.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
12 Julai 2024