(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 24 Jun 2024, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia sekali lagi menekankan keperluan mendesak untuk memperkenalkan dan menggubal Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional. Adalah penting untuk Malaysia menerima undang-undang yang menggalakkan perpaduan, kestabilan, dan kematangan, yang perlu untuk memperkaya ekonomi dan kepaduan sosial.
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di Malaysia, digubal untuk melindungi hak dan kebebasan semua rakyat Malaysia. Mentafsir Perlembagaan secara terpilih menjejaskan integriti dan prinsip-prinsip keadilan yang didukungnya. Membiarkan amalan sedemikian diteruskan tanpa menangani punca perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat kita adalah satu persendaan.
Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional adalah penting dalam hal ini. Undang-undang ini akan memperuntukkan kerangka undang-undang yang mantap untuk menangani isu-isu perkauman, keagamaan, dan tiada toleransi sosial. Undang-undang ini akan memastikan ucapan hina dan diskriminasi dapat dikurangkan dengan efektif, yang akan memupuk Malaysia yang lebih inklusif dan harmoni.
Tambahan lagi, Kementerian Perpaduan Negara mestilah mengambil peranan yang proaktif dalam usaha ini. Adalah penting untuk Kementerian memulakan proses rundingan komprehensif yang melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuklah masyarakat sivil, pakar undang-undang, ketua-ketua komuniti, dan orang awam. Proses sedemikian akan memastikan penggubalan undang-undang ini dibuat dengan maklumat yang cukup, seimbang, dan mencerminkan perspektif yang pelbagai dalam negara kita.
Perpaduan bukan hanya satu idea yang murni tapi adalah satu keperluan yang praktikal untuk kemajuan Malaysia. Malaysia yang bersatu akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dalam aspek kestabilan, kemajuan ekonomi, dan reputasi antarabangsa. Apabila rakyat kita berasa dihormati dan dihargai, mereka lebih cenderung untuk menyumbang dengan positif kepada pembangunan negara.
Badan Peguam Malaysia menyeru Kementerian Perpaduan Negara untuk mengutamakan proses rundingan dan berusaha dengan tekun ke arah penggubalan Rang Undang-Undang Perpaduan Nasional. Bersama kita boleh membina sebuah Malaysia yang bukan sahaja makmur, malah adil, inklusif, dan bersatu.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
24 Jun 2024