(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 18 September 2024, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia amat terkejut dan bimbang dengan pendedahan yang mengerikan berikutan serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (“PDRM”) ke atas 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan, yang dipercayai dikendalikan oleh Global Ikhwan Service and Business Holding.1
Laporan mengenai penderaan, pengantunan (grooming) dan eksploitasi seksual yang sistemik terhadap mangsa kanak-kanak di pusat-pusat ini amat mengejutkan dan menyayat hati. Badan Peguam Malaysia menyokong sepenuhnya tindakan segera yang diambil oleh PDRM dan pihak berkuasa lain yang terlibat, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (“JKM”) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Badan Peguam Malaysia, bersama Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (“SUHAKAM”), Dr Farah Nini Dusuki,2 mengecam keras pelanggaran melampau yang dialami oleh kanak-kanak dalam rumah-rumah kebajikan ini. Rumah-rumah ini, yang sepatutnya memberikan penjagaan dan perlindungan, malangnya, telah bertukar menjadi tempat penderaan yang mengerikan. Apa yang terjadi ini sama sekali tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan anak-anaknya.
Dalam kita memuji campur tangan pihak berkuasa, kita mesti mengakui bahawa kes yang dilaporkan ini mungkin hanyalah permulaan. Hakikat bahawa rumah-rumah jagaan ini telah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa pengawasan yang sewajarnya menimbulkan persoalan yang membimbangkan tentang rangka kerja kawal selia sedia ada. Badan Peguam Malaysia menyeru agar semua badan kawal selia, bukan sahaja PDRM dan JKM, menguatkuasakan langkah pematuhan yang lebih ketat dan memastikan rumah-rumah ini dipantau dan dikawal dengan teliti.
Adalah penting untuk kita menggunakan pendekatan holistik bagi mengelakkan tragedi tersebut berulang. Ini termasuk bukan sahaja tindakan segera terhadap pelaku, tetapi juga melaksanakan pembaharuan jangka panjang terhadap sistem yang mengawasi rumah-rumah ini. Kami menggesa Kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry, “RCI”), seperti yang dicadangkan oleh Dr Farah Nini dalam kenyataan media SUHAKAM, untuk menyiasat secara menyeluruh kelemahan yang membenarkan penderaan ini berlarutan selama bertahun-tahun. Penemuan RCI diharapkan dapat membawa pembaharuan bermakna dalam dasar perlindungan kanak-kanak dan mekanisme pengawasan institusi.
Badan Peguam Malaysia juga menekankan kepentingan kesedaran dan penyertaan awam. Adalah penting bagi rakyat untuk menyedari bahawa rumah jagaan yang tidak dikawal mempunyai risiko yang besar, terutamanya terhadap golongan rentan (vulnerable group), seperti kanak-kanak. Kami menyeru setiap anggota masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa, melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, dan berperanan aktif dalam menjaga kebajikan anak-anak kita.
Badan Peguam Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, atas arahan beliau kepada Jabatan Bantuan Guaman untuk menyediakan khidmat pendamping guaman kepada kanak-kanak serta ahli keluarga.3 Dalam hal ini, Badan Peguam Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan serta sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mangsa-mangsa terbabit.
Kita tidak boleh membiarkan penderaan mengerikan seperti ini terus diabaikan begitu sahaja. Badan Peguam Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan untuk mangsa dan memastikan tindakan sewajarnya diambil untuk menghapuskan ancaman ini dalam masyarakat kita. Bersama-sama, kita mesti berusaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat agar hak dan maruah setiap kanak-kanak dilindungi.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
18 September 2024
1 “Sidang Media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain”, 11 September 2024.
2 “Kenyataan Media No. 21-2024 (OCC)_Serbuan PDRM Rumah Amal GISB: CC Dukacita Terhadap Mangsa Kanak-Kanak Terlibat”, 13 September 2024, laman web SUHAKAM.
3 “Legal companion services to be provided, says Azalina”, The Star, 14 September 2024.