(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 19 Ogos 2024, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia mengambil maklum pemerhatian yang dibuat oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dato’ Dr Ramli bin Dato’ Mohd Nor (“Dato’ Ramli”) di Dewan Rakyat baru-baru ini, berhubung dengan cadangan pindaan perlembagaan untuk memindahkan perkara mengenai Orang Asli daripada Senarai Persekutuan ke dalam Senarai Bersama. Badan Peguam percaya bahawa pemerhatian ini tidak tepat dari segi undang-undang dan terdapat perkara-perkara yang tidak dinyatakan.
Pertama sekali, untuk menjawab kepada apa yang dikatakan oleh Dato’ Ramli mengenai penggunaan tersendiri istilah “Orang Asli” dan “Orang Asal”, sememangnya versi Bahasa Malaysia Perlembagaan Persekutuan menggunakan istilah “Orang Asli” untuk merujuk kepada orang asli di Semenanjung, dan “anak negeri” untuk merujuk kepada anak negeri di Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, Badan Peguam Malaysia berpendapat bahawa “Orang Asal” adalah istilah generik yang diterima secara meluas di peringkat antarabangsa untuk merujuk kepada orang asli, termasuklah kumpulan orang asli di Malaysia, di Semenanjung, dan Sabah dan Sarawak.
Badan Peguam Malaysia berpendirian bahawa pengaturan perlembagaan Negeri dan Persekutuan tidak seharusnya menyebabkan kebuntuan undang-undang untuk melindungi dan mengiktiraf tanah dan sumber Orang Asli di Semenanjung.
Berkenaan dengan hal tanah, di bawah Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengambil tanah daripada Negeri bagi maksud Persekutuan, yang jelas merangkumi hal-hal Orang Asli.
Di samping itu, di bawah Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa perlembagaan untuk meluluskan dasar tanah di seluruh Semenanjung Malaysia melalui sepersetujuan dengan Kerajaan Negeri di Majlis Tanah Negara.
Badan Peguam Malaysia berpandangan bahawa, pada masa ini, terdapat kuasa Persekutuan yang mencukupi untuk menyelesaikan isu-isu tanah Orang Asli. Contoh undang-undang dan dasar yang telah diluluskan melalui Majlis Tanah Negara yang disebut di atas termasuklah Kanun Tanah Negara, dan yang lebih berkaitan lagi, dasar mengenai hak milik tanah Orang Asli pada tahun 2009.
Kami percaya bahawa cadangan untuk memasukkan perkara berkaitan dengan Orang Asli ke dalam Senarai Bersama tidak akan menambah nilai kepada undang-undang kerana setiap Negeri masih boleh bertindak sendiri berkenaan dengan perkara tersebut.
Tambahan pula, dengan adanya perkara-perkara berkaitan dengan Orang Asli di dalam Senarai Bersama ia boleh menyebabkan kekeliruan, pertikaian, dan kelewatan dalam pentadbiran perkara-perkara ini.
Pun begitu, kami memuji Dato’ Ramli atas inisiatif beliau untuk berunding dan melibatkan semua pihak yang berkenaan, khususnya Orang Asli sendiri. Kami juga telah memohon untuk mengadakan mesyuarat dengan Dato’ Ramli melalui surat bertarikh 29 Julai 2024, untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.
Badan Peguam Malaysia tegas dalam pandangan kami bahawa dalam rundingan dengan Orang Asli — selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen dan amalan terbaik sejagat mengenai persetujuan yang bebas, awal dan termaklum daripada orang asli dalam perkara yang melibatkan mereka — niat dan perkataan yang ingin digunakan dalam pindaan yang dicadangkan hendaklah didedahkan sepenuhnya dan diterangkan kepada Orang Asli seawal mungkin bagi membolehkan mereka membuat pilihan termaklum tentang masa depan mereka.
Oleh itu, kami mengulangi gesaan kami kepada Kerajaan Malaysia untuk memenuhi kewajipannya di bawah Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal 2007 (United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples 2007, “UNDRIP”). Selaras dengan Perkara 19 UNDRIP, Kerajaan mempunyai kewajipan untuk “berunding dan bekerjasama dengan jujur” dengan Orang Asli, dan mendapatkan “persetujuan yang bebas, awal dan termaklum” dalam perkara yang melibatkan mereka.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
19 Ogos 2024