Badan Peguam Malaysia dengan penuh keprihatinan menerima baik saranan Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin, Ahli Dewan Negara, berhubung cadangan penerimaan Peguam Syarie yang memiliki ijazah daripada universiti yang diiktiraf untuk beramal di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Cadangan tersebut, yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Negara pada 19 Disember 2024, adalah relevan dan signifikan dalam memastikan kelancaran serta keberkesanan sistem keadilan Syariah di negara kita.
Jawatankuasa Perhubungan Mahkamah Syariah Majlis Peguam (Bar Council Syariah Court Liaison Committee) telah memulakan inisiatif untuk berdialog dengan Peguam Sivil-Syarie di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia dan mendapati bahawa terdapat pelbagai cabaran berkaitan proses penerimaan masuk sebagai pengamal di Mahkamah Syariah. Antaranya ialah perbezaan syarat kelayakan dan prosedur mengikut negeri-negeri.
Dalam menyokong saranan Senator Dato’ Setia Salehuddin, Badan Peguam Malaysia mencadangkan agar langkah-langkah penyeragaman syarat kelayakan dan prosedur penerimaan Peguam Syarie dilaksanakan tanpa mengganggu-gugat hak dan autonomi negeri-negeri dalam menentukan hal ehwal agama Islam, termasuk perkara-perkara yang melibatkan perundangan Syariah.
Sebenarnya, peruntukan sedia ada seperti seksyen 68(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 20021 dan seksyen 80(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 20032 mempunyai peruntukan yang membenarkan individu yang telah diterima sebagai Peguam Syarie di satu negeri boleh diterima dan dibenarkan beramal di negeri lain, dengan mengemukakan permohonan dan melampirkan keterangan yang menunjukkan bahawa peguam itu telah diterima sebagai Peguam Syarie di negeri tersebut. Badan Peguam Malaysia mencadangkan sebagai permulaan, ia boleh dilaksanakan secara bersyarat atau ad hoc. Melalui pendekatan ini, Peguam Syarie akan lebih mudah bergerak dan berfungsi di seluruh negara, sekali gus menggalakkan pencambahan bilangan pengamal undang-undang Syariah yang berkelayakan.
Di samping itu, Badan Peguam Malaysia mengesyorkan agar semua negeri mempertimbangkan untuk menerima pakai Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang diguna pakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai asas penyelarasan pengawalan tatalaku, etika, dan prosedur pengamal Syariah. Penyatuan peraturan ini akan menjamin keseragaman tanpa berkompromi keunikan atau keperluan khusus setiap negeri.
Diharapkan langkah-langkah ini apabila dilaksanakan akan memperkukuhkan sistem kehakiman Syariah.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
6 Februari 2025
1 “68(4) Walau apa pun subseksyen (1) dan (2), mana-mana orang yang telah diterima masuk menjadi seorang Peguam Syarie di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di mana-mana Negeri di Malaysia hendaklah diterima masuk sebagai Peguam Syarie bagi Negeri Melaka apabila permohonan dibuat olehnya kepada Majlis dengan menyertakan keterangan yang menunjukkan bahawa dia telah diterima masuk sebagai Peguam Syarie di Negeri lain itu.”, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, laman web Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
2 “80(4) Walau apa pun subseksyen (1) dan (2), mana-mana orang yang telah diterima menjadi seorang Peguam Syarie di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di mana-mana Negeri lain di Malaysia hendaklah diterima sebagai Peguam Syarie bagi Negeri Selangor apabila permohonan dibuat olehnya kepada Majlis dengan menyertakan keterangan yang menunjukkan bahawa dia telah diterima sebagai Peguam Syarie di Negeri lain itu.”, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, laman web Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.