(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 10 Julai 2024, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia mengambil maklum kenyataan terkini yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa tiada kematian dalam tahanan direkodkan di pusat tahanan imigresen dan polis yang berpunca daripada pihak berkuasa semenjak beliau mengambil alih jawatan ini. Susulan daripada kenyataan beliau, kami ingin menzahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap perkara ini, dan menegaskan beberapa perkara kritikal yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.
Adalah amat penting untuk menekankan bahawa penentuan punca kematian dalam tahanan terletak sepenuhnya pada Koroner, seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah. Ini mewajibkan siasatan ke atas kematian yang berlaku dalam tahanan polis. Sebarang pengesahan punca kematian ini mesti dilakukan setelah siasatan yang menyeluruh dan bebas dilakukan oleh Koroner untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawapan.
Menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, kematian dalam tahanan baru-baru ini dikaitkan dengan sebab-sebab kesihatan, termasuk COVID-19, tuberkulosis (“TB”), dan masalah jantung. Ini menimbulkan beberapa kebimbangan kritikal yang perlu ditangani dengan segera. Pertama, adalah penting untuk menentukan sama ada tahanan-tahanan ini meninggal dunia di dalam kemudahan tahanan ataupun di kawasan hospital. Lokasi kematian mereka adalah signifikan dalam memahami keadaan dan penjagaan yang diberikan di dalam persekitaran tahanan.
Selain itu, kita juga harus meneliti kecukupan dan ketepatan masa rawatan perubatan yang diterima oleh individu-individu ini. Adakah mereka dirawat dengan segera oleh profesional perubatan yang berkelayakan, dan adakah rawatan yang mereka perlukan diberikan tanpa kelewatan? Kesihatan dan keselamatan tahanan haruslah menjadi keutamaan, dan sebarang kelemahan dalam penjagaan kesihatan mesti dikenal pasti dan diperbaiki.
Seterusnya, adalah mustahak untuk menyiasat sama ada kematian-kematian ini boleh dielakkan. Adakah berlakunya kecuaian oleh pihak berkuasa dalam menyediakan rawatan perubatan yang diperlukan? Kegagalan dalam mengelakkan berlakunya kematian-kematian yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang boleh dirawat menunjukkan adanya pelanggaran tugas yang serius dan ini menegaskan bahawa perlunya ada pembaharuan sistemik bagi memastikan kesejahteraan tahanan-tahanan.
Badan Peguam Malaysia telah meluluskan satu resolusi pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-76 pada tahun 2022, yang menekankan perlunya ada langkah-langkah tegas dalam menangani kematian dalam tahanan. Resolusi ini menyatakan bahawa pemakluman mengenai kematian dalam tahanan haruslah dilaporkan dengan segera kepada Koroner, yang hendaklah melawat lokasi, melihat mayat, dan memulakan siasatan awal secara bebas. Resolusi ini menegaskan bahawa Koroner harus menjadi penentu tunggal punca kematian, dan polis serta pegawai-pegawai awam yang lain tidak harus membuat pengumuman terbuka mengenai punca kematian. Resolusi ini turut menyeru penggubalan suatu Akta Mahkamah Koroner (Coroners’ Court Act), dan Hakim Mahkamah Sesyen bertindak sebagai Koroner; di samping penubuhan suatu Jabatan Koroner untuk memastikan operasi yang bebas dan efektif. Selain itu, resolusi ini mengesyorkan pindaan kepada Kanun Prosedur Jenayah untuk mencerminkan penambahbaikan dan penjelasan sistem kehakiman, mendidik pegawai awam tentang keperluan undang-undang untuk melaporkan dan menyiasat kematian dalam tahanan, dan merujuk kes kematian dalam tahanan yang belum selesai kepada Koroner untuk diadakan inkues. Resolusi ini seterusnya mendesak agar Kerajaan Malaysia membuat pendedahan tahunan mengenai jumlah kematian yang mencurigakan, kematian dalam tahanan, dan penemuan Koroner.
Pihak berkuasa dan kerajaan mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk semua tahanan. Ini bukan sahaja dapat mencegah kecederaan fizikal malah memastikan akses kepada rawatan perubatan yang sesuai. Keadaan semasa kematian dalam tahanan menunjukkan kegagalan dalam memenuhi tanggungjawab asas ini.
Tiada siapa yang patut berbangga dengan ketiadaan kes bunuh diri atau serangan sedangkan kematian dalam tahanan terus berlaku akibat masalah kesihatan. Matlamat yang harus dicapai adalah sifar kematian dalam tahanan. Kami menyeru pihak berkuasa untuk mengambil langkah segera dan berkesan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua tahanan dan untuk menghalang sebarang kehilangan nyawa.
Dengan ini, Badan Peguam Malaysia menegaskan bahawa satu kematian dalam tahanan adalah terlalu banyak. Siasatan menyeluruh perlu dijalankan dan kebertanggungjawapan perlu ditegakkan untuk mengelakkan berlakunya lebih tragedi. Kami menggesa Kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa yang berkaitan — termasuk Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (Independent Police Conduct Commission, “IPCC”) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Enforcement Agency Integrity Commission, “EAIC”) — untuk mengambil tindakan yang tegas bagi melindungi nyawa dan hak semua individu dalam tahanan.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
10 Julai 2024