(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 18 Julai 2025, yang boleh didapati di sini.
Badan Peguam Malaysia menyambut baik dengan penuh rasa kelegaan dengan pengumuman pelantikan Hakim Dato’ Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh (“Dato’ Wan Ahmad Farid”) sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu. Kami merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan berharap beliau akan berjaya memimpin Badan Kehakiman dengan penuh kewibawaan, keberanian, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan. Kami juga mengucapkan tahniah kepada Hakim Dato’ Abu Bakar Jais atas pelantikan beliau sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, serta Hakim Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Pada tahun 2022, ketika Dato’ Wan Ahmad Farid menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, beliau telah menarik diri daripada mendengar satu kes berprofil tinggi berhubung permohonan kemasukan Queen’s Counsel Jonathan Laidlaw dalam prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.1 Dalam berbuat demikian, beliau telah membuat beberapa kenyataan penting mengenai kepentingan keyakinan awam terhadap Badan Kehakiman. Beliau menyatakan bahawa “tanggapan awam terhadap kebebasan Badan Kehakiman tidak seharusnya diragui. Ini bukan soal percubaan dan kesilapan”, dan mengingatkan semua bahawa “badan kehakiman yang bebas adalah satu anugerah paling berharga kepada mana-mana masyarakat. Apabila ia sudah tidak wujud, maka anarki akan berleluasa.”
Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan pemahaman yang mendalam mengenai peranan suci Badan Kehakiman dalam menjunjung kedaulatan undang-undang. Kami berharap agar di bawah kepimpinan para pemegang jawatan kehakiman yang baharu ini, Badan Kehakiman akan terus mengekalkan standard tertinggi dalam aspek kebebasan, integriti, dan khidmat kepada negara, serta mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
Walaupun pelantikan ini amat dialu-alukan selepas berbulan-bulan berada dalam ketidakpastian, penantian dan spekulasi yang boleh dielakkan, masih terdapat kekosongan jawatan yang penting — baik yang sedia ada mahupun yang dijangka — di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi. Kami kekal berharap agar kekosongan jawatan-jawatan ini akan diisi dengan segera dan penuh ketelusan, dengan cara yang memperkukuh keyakinan awam terhadap Badan Kehakiman dan mempertingkat pentadbiran keadilan.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
18 Julai 2025
1 “Judge recuses self from hearing QC bid to represent Najib”, The Vibes, 16 Jun 2022.

