Sebagai Pengerusi ASEAN untuk tahun 2025, Malaysia berada dalam kedudukan yang amat strategik untuk menerajui usaha serantau dalam memperkukuh sekuriti makanan dan hak kepada makanan sebagai satu hak asasi manusia yang asas dan universal. Komitmen ini selari dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021–2030), yang berperanan penting dalam memodenkan sektor agromakanan negara menerusi pendekatan pertanian pintar, pembangunan pasaran, pemerkasaan modal insan, kelestarian sistem makanan, serta persekitaran perniagaan yang kondusif.1 Dalam kerangka kepengerusian ASEAN, Malaysia berpeluang mengetuai kerjasama serantau yang lebih erat dalam sektor pertanian mampan, seterusnya memperkukuh jaminan hak kepada makanan dan sekuriti makanan di seluruh rantau Asia Tenggara.
Walaupun tiada laporan kebuluran berlaku di Malaysia, kewujudan ketidaktentuan makanan dalam kalangan segmen tertentu masyarakat seperti golongan gelandangan, dan golongan yang hidup dalam kemiskinan yang amat atau kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, adalah realiti yang mesti diberi perhatian. Di kawasan bandar, bantuan makanan kepada golongan-golongan ini masih banyak bergantung kepada inisiatif pertubuhan bukan kerajaan dan badan sukarela, tanpa jaminan yang bersifat sistematik melalui dasar bersepadu peringkat kebangsaan yang berpaksikan hak. Situasi ini mencerminkan keperluan mendesak untuk merumuskan suatu pendekatan dasar yang lebih terancang dan berorientasikan hak asasi bagi menjadikan akses kepada makanan sebagai satu jaminan negara, dan bukan sekadar belas kasihan.
Badan Peguam Malaysia turut menzahirkan kebimbangan terhadap kualiti makanan yang disediakan di sekolah-sekolah, terutamanya makanan yang tinggi kandungan gula dan rendah nilai pemakanan. Corak pemakanan yang tidak sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh memberikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal, pembelajaran, dan pembangunan generasi masa depan. Oleh itu, adalah tanggungjawab Kerajaan untuk menyemak semula program makanan sekolah dan memastikan penguatkuasaan yang efektif terhadap semua garis panduan pemakanan dan peraturan yang telah digubal.
Pada masa ini, tiada undang-undang domestik yang secara jelas memperuntukkan hak kepada makanan. Meskipun Malaysia telah menunjukkan komitmen di peringkat antarabangsa, hak ini belum diperincikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia juga masih belum meratifikasi Waad Antarabangsa tentang Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights, “ICESCR”) yang mengiktiraf hak kepada makanan yang mencukupi sebagai salah satu hak ekonomi dan sosial yang asas. Justeru, Badan Peguam Malaysia menggesa Kerajaan untuk menjalankan kajian menyeluruh tentang kesesuaian dan keperluan untuk menandatangani serta meratifikasi ICESCR. Kajian ini harus melibatkan proses perundingan bersama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil, pakar perundangan, pakar pemakanan, dan pembuat dasar.
Sebagai langkah interim, Artikel 5 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak untuk hidup boleh dipertimbangkan untuk ditafsirkan secara lebih progresif bagi merangkumi hak kepada makanan yang mencukupi sebagai sebahagian daripada kehidupan yang bermaruah. Tafsiran ini boleh membantu menutup jurang perundangan yang wujud ketika ini, sementara menunggu usaha pembaharuan undang-undang secara menyeluruh dilaksanakan.
Badan Peguam Malaysia menegaskan bahawa hak kepada makanan bukanlah satu idealisme yang abstrak. Sebaliknya, ia adalah soal asas keadilan sosial dan maruah insan. Kami komited untuk menyokong segala usaha legislatif, pentadbiran, dan dasar yang membawa Malaysia lebih hampir kepada pengiktirafan dan pelaksanaan hak ini secara adil dan menyeluruh bagi semua lapisan masyarakat Malaysia.
Mohamad Ezri b Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
22 Mei 2025
1 “Malaysia, as Asean Chair, to spearhead regional sustainable agriculture, food security”, The Sun, 24 April 2025.