(Versi terjemahan) — Harap maklum bahawa versi yang definitif untuk Kenyataan Media ini adalah versi Bahasa Inggeris yang dikeluarkan oleh Mohamad Ezri b Abdul Wahab, Yang Dipertua, Badan Peguam Malaysia, bertarikh 12 Disember 2024, yang boleh didapati di sini.
Adalah sangat penting bahawa dalam setiap masyarakat yang demokratik, akses kepada keadilan bukan hanya sekadar konsep abstrak, tetapi merupakan satu realiti untuk semua, tanpa mengira halangan geografi, ekonomi, atau pendidikan.
Dalam usaha untuk mencapai komitmen ini dan selari dengan tujuan Badan Peguam Malaysia,1 kami telah menjalinkan satu kerjasama dengan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur (“Kedutaan”) untuk memastikan bahawa warganegara Indonesia di Malaysia mendapat akses kepada perwakilan guaman.
Kerjasama antara Badan Peguam Malaysia dan Kedutaan ini akan mewujudkan satu skim baharu yang dikenali sebagai Indonesian Citizens’ Legal Aid Scheme (“I-CLAS”) (Skim Bantuan Guaman untuk Warganegara Indonesia). Ia akan dijalankan sebagai program rintis sepanjang tahun 2025 dengan penglibatan tiga buah pusat bantuan guaman,2 dengan kemungkinan diperluaskan untuk merangkumi semua negeri di seluruh negara.
I-CLAS bertujuan untuk memberikan warganegara Indonesia di Malaysia akses kepada bantuan guaman dalam bidang undang-undang jenayah, imigresen, buruh, keluarga, syariah, dan bidang-bidang lain yang pusat bantuan guaman kami boleh memberikan bantuan. Selain itu, skim ini juga memperkenalkan program kesedaran untuk mendidik komuniti Indonesia tentang undang-undang Malaysia dan hak-hak mereka di bawahnya.
Badan Peguam Malaysia berbangga menjadi satu-satunya Badan Peguam dalam kalangan negara-negara common law yang mengendalikan skim bantuan guamannya sendiri. Skim ini akan disokong melalui penandatanganan perjanjian dengan Kedutaan yang mewujudkan sebuah modul pembiayaan yang mampan. Kerangka inovatif ini memastikan bahawa peguam sukarela pro bono tidak dibebankan dengan tanggungjawab kewangan untuk mengendalikan kes-kes kritikal seperti kes jenayah dan imigresen. Dengan membiayai skim ini secara kolektif, Badan Peguam memberi ruang kepada peguam untuk menumpukan perhatian kepada usaha menegakkan keadilan tanpa tekanan tambahan untuk menanggung kos operasi, sekaligus memenuhi komitmennya untuk memastikan keadilan untuk semua.
Kami menyambut baik usaha Kedutaan untuk mempertingkatkan akses kepada keadilan bagi warganegara mereka di Malaysia. Seiring dengan itu, Badan Peguam Malaysia kekal berharap agar lebih banyak kedutaan dan misi diplomatik akan turut bekerjasama untuk memastikan akses kepada keadilan yang lebih baik bagi warganegara mereka di Malaysia.
Dalam usaha untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan bahawa keadilan adalah hak, bukannya keistimewaan, Badan Peguam Malaysia berharap bahawa I-CLAS dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Mohamad Ezri Abdul Wahab
Yang Dipertua
Badan Peguam Malaysia
12 Disember 2024
1 Seksyen 42 Akta Profesion Undang-Undang 1976 — (g) untuk melindungi dan menolong orang ramai dalam semua perkara yang menyentuh, berkaitan atau bersampingan dengan undang-undang; dan (h) untuk membuat peruntukan bagi atau menolong menganjurkan suatu skim yang orang yang tiada berwang boleh diwakili oleh peguam bela dan peguam cara.
2 Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Kuala Lumpur), Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Selangor), dan Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam (Perak).