Disumbangkan oleh Rosfinah bt Rahmat, Ahli Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam dan Najwa Hamid, Pegawai yang Bertugas, Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam; dan foto oleh Jul Indra Tofan, Pembantu Tadbir
Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam telah menganjurkan Forum Prosiding Jenayah Syariah di Malaysia: Perlukah Anjakan Paradigma pada 22 April 2017 bertempat di Auditorium Raja Aziz Addruse.
Forum ini adalah bertujuan untuk memberi pencerahan tentang Prosiding Jenayah Syariah, perkembangannya dan langkah–langkah pemerkasaanya di peringkat permulaan iaitu peringkat siasatan dan seterusnya peringkat pendakwaan di Mahkamah–Mahkamah Syariah di Malaysia termasuk reman, jaminan, mitigasi, bicara dan rayuan.
Senarai ahli panel yang dijemput untuk forum ini adalah seperti berikut:
(1) Tuan Awang Armadajaya b Awang Mahmud, Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Jabatan Peguam Negara;
(2) Tuan Haji Rahimin b Bani, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Melaka; dan
(3) Tuan Haji Hanif b Hassan, Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan; Ahli, Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam.
Rosfinah bt Rahmat, Ahli, Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam merupakan moderator untuk forum yang berlangsung lebih kurang lima jam ini. Forum ini telah dihadiri oleh 50 peserta yang rata–ratanya adalah dari kalangan pengamal undang–undang.
Forum tersebut dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Kuthubul Zaman Bukhari, Pengerusi, Jawatankuasa Undang–Undang Syariah Majlis Peguam yang seterusnya menyerahkan majlis kepada moderator.
Tuan Haji Hanif b Hassan, selaku ahli panel pertama, membincangkan peranan Peguam Syarie di dalam Jenayah Syariah yang merangkumi sebelum pertuduhan di mahkamah, semasa pertuduhan dan perbicaraan dan akhir sekali selepas keputusan terhadap kes. Beliau memaklumkan peranan Peguam Syarie juga adalah untuk mendapatkan perbicaraan yang adil disamping membantu Mahkamah Syariah di dalam melaksanakan fungsinya untuk membuat keputusan yang adil dan saksama mengikut undang–undang dan hukum syarak. Beliau juga berpendapat bahawa Prosiding Jenayah Syariah di Malaysia yang sedia ada terdapat beberapa kekurangan yang perlu ditambah baiki agar prosiding di Mahkamah Syariah boleh berjalan dengan lancar tanpa memberi kesan prejudis kepada mana–mana pihak.
Ahli panel kedua, Tuan Hj Rahimin b Bani membincangkan tentang kepentingan peranan penguatkuasaan di dalam aspek Prosiding Jenayah Syariah di Malaysia. Beliau juga telah menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan proses penguatkuasaan yang bermula dari proses penerimaan maklumat mengenai sesuatu perlakuan atau kesalahan sehinga di hantar ke pihak pendakwaan. Beliau memaklumkan bahawa di dalam aspek penguatkuasaan, pegawai penguatkuasa perlu membuktikan Keterangan atau Bayyinah. Oleh yang demikian, di dalam penguatkuasaan dan penyiasatan Keterangan atau Bayinnah memainkan peranan yang penting bagi memastikan Prosiding Jenayah Syariah di Malaysia dapat dijalankan dengan baik dan sempurna.
Manakala, Tuan Awang Armadajaya b Awang Mahmud selaku panel ketiga membincangkan tentang sinergi di antara Kanun Prosedur Jenayah (Mahkamah Sivil) (Akta 593) dan Kanun Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah yang boleh membawa kepada keberkesanan yang lebih mantap di dalam Prosiding Jenayah Syariah. Di antaranya ialah pihak penguatkuasa perlu mereformasikan kaedah–kaedah penangkapan ke arah yang lebih efisyen di mana selepas penangkapan dibuat dan terdapat merit untuk didakwa, maka tindakan pendakwaan mesti segera dilaksanakan. Ini adalah kerana terdapat situasi di mana orang yang disyaki telah ditangkap tetapi proses pendakwaannya hanya dibuat selepas tiga tahun daripada tarikh tangkapan. Ini pasti memprejudiskan orang yang disyaki tersebut. Pihak penguatkuasa juga perlu memberikan hak kepada tertuduh untuk mendapat maklumat dan dokumen dengan segera, mengadakan proses perundingan sebelum perbicaraan supaya mengenal pasti isu–isu fakta dan undang–undang dan sekiranya tertuduh ingin mengaku bersalah atau tidak mengaku bersalah, yang mana kesemua ini dapat menjimatkan masa, kos dan perjalanan perbicaraan. Begitu juga pihak penguatkuasa Jenayah Syariah perlu bergerak seiring dengan zaman perkembangan teknologi yang serba canggih pada masa kini.
Pada sesi kedua, moderator telah mengajukan soalan kepada ahli–ahli panel dan setiap ahli panel diberi masa 10 minit untuk menjawab soalan–soalan yang diajukan.
Sesi ketiga ialah sesi soal jawab bersama ahli–ahli panel dan para peserta. Sesi soal jawab ini mendapat respons yang menggalakkan daripada para peserta.
Ahli–ahli panel telah merumuskan pembentangan mereka pada sesi keempat.
Sebelum forum ini melabuhkan tirainya pada pukul 1:30 petang, majlis diteruskan dengan acara pemberian cenderamata kepada ahli–ahli panel dan moderator.
Forum separuh hari ini telah mendapat maklum balas positif dari kalangan peserta yang merasakan forum ini membantu mereka memahami dengan lebih mendalam berkenaan Prosiding Jenayah Syariah di Malaysia.