Artikel dan gambar disumbangkan oleh Mazni Ibrahim, Pegawai, Majlis Peguam
Keceriaan terpancar di wajah 70 orang anak–anak yatim dari Pertubuhan Anak–anak Yatim Kelantan (“Pekayatim”) dan Yayasan Kebajikan Anak–anak Yatim Kelantan apabila Pengerusi Bar Kelantan, Abdullah b Hamzah menyerahkan sampul yang berisi duit raya kepada mereka. Duit raya ini disumbangkan oleh ahli–ahli Bar Kelantan dan diserahkan sendiri kepada anak–anak yatim tersebut sempena majlis iftar yang dianjurkan oleh Bar Kelantan pada 29 Julai 2012 (Ahad) di Restoran Khen Som, Kota Bharu, Kelantan.
Majlis yang dihadiri oleh lebih kurang 200 orang, yang terdiri daripada ahli–ahli Bar Kelantan bersama keluarga mereka selain anak–anak yatim, dimulakan dengan bacaan zikir dan doa, dan bacaan ayat–ayat suci Al–Quran.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu–aluan oleh Pengerusi Bar Kelantan. Dalam ucapan tersebut, beliau memberitahu hadirin bahawa sempena majlis iftar ini, 50 dari anak–anak yatim ditaja oleh ahli–ahli Jawatankuasa Perbankan Islam Majlis Peguam (”IFC”) dan selebihnya ditaja oleh ahli–ahli Bar Kelantan.
Seterusnya, sebelum waktu berbuka puasa tiba, dua replika cek telah diserahkan kepada wakil dari kedua–dua pertubuhan anak–anak yatim tersebut. Wang yang diserahkan kepada pertubuhan–pertubuhan tersebut adalah hasil kutipan dari ahli–ahli Bar seluruh Malaysia untuk program “Ramadhan Charity Drive 2012” yang dianjurkan oleh IFC. Ianya merupakan tahun kedua IFC menganjurkan program seperti ini dimana pada kali pertama, iaitu pada tahun lepas, kutipan telah diserahkan kepada anak–anak yatim di Kedah.
Ucapan terima kasih diucapkan kepada ahli–ahli Bar Malaysia yang telah menyumbang kepada “Ramadhan Charity Drive 2012”, terutama kepada Bar Kelantan kerana telah bersama–sama menjayakan acara ini. Diharap sokongan seperti ini dapat diteruskan di masa–masa akan datang.