©Mingguan Malaysia
(Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Nor Aziah Jaafar
• ISA terhadap Majlis Peguam?
• AS tidak layak persoal perundangan Malaysia
• Rumah Shahrizat dilontar bom petrol
• Forum berjaya – Ambiga
• Bukan sebab Islam
• Kecoh Forum Memeluk Islam tamat lebih awal bagi elak kejadian buruk
• Bunga–bunga bencana berputik
• Berubah atau ‘musnah’
KUALA TERENGGANU 9 Ogos – Majlis Peguam telah mengetepikan perjanjian yang telah dibuat oleh pemimpin–pemimpin terdahulu daripada pelbagai kaum supaya setiap perkara yang berkaitan dengan kaum dan agama perlu dibincang secara tertutup apabila menganjurkan Forum Memeluk Islam secara terbuka hari ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin terlibat telah
berjanji demi kesejahteraan negara, perkara–perkara yang dianggap sensitif tidak
harus dibincang secara terbuka kerana boleh menyebabkan perasaan yang
meluap–luap sehingga menyebabkan rusuhan.
''Mereka telah berjanji dan bersetuju jika perkara sebegini hendak dibincangkan,
kena buat secara tertutup, tetapi malangnya janji ini telah diketepikan,"
katanya.
Beliau berucap pada forum bertajuk Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan
Melayu anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu di sini hari ini.
Menurutnya, beliau pelik dengan keadaan yang berlaku hari ini iaitu jika orang
Melayu membangkitkan tentang perkara berkaitan kaum itu termasuk hak
keistimewaan mereka di negara ini, ia dianggap sebagai perkauman.
Sebaliknya menurut Dr. Mahathir, kaum lain bebas untuk memperkatakan tentang
kepentingan kaum mereka termasuk mencabar hak keistimewaan orang Melayu dan ia
tidak dianggap sebagai isu perkauman.
Beliau berpendapat perkara itu berlaku kerana orang Melayu kini semakin lemah
malah parti yang selama ini mewakili orang Melayu sudah tidak lagi mampu
mempertahankan kepentingan kaum itu.
''Sebab itu hari ini Majlis Peguam membincangkan tentang pengislaman. Mereka
tahu ini sensitif dan tidak harus dibincangkan secara terbuka. Tetapi demikian
lemahnya kerajaan maka tiada apa–apa tindakan diambil terhadap mereka," ujarnya.
Beliau menjelaskan, kenyataan ini bukan bertujuan mahu menidakkan hak kaum lain
kerana orang Melayu rela berkongsi negara ini, namun kepentingan kaum itu perlu
dipertahankan.
Menurutnya, pemimpin dahulu seperti Tun Tan Siew Sin dan Tun Dr. Sambathan
memuji orang Melayu adalah kaum yang murah hati kerana memberi kerakyatan kepada
orang Cina dan India tanpa perlu mereka mengubah identiti masing–masing seperti
yang disyaratkan di negara jiran.
''Tapi sekarang, bila orang Melayu nampak lemah mereka kecam dan abaikan
perjanjian berkenaan," ujarnya.
ISA terhadap Majlis Peguam?
Oleh Sahbulah Darwi
KOTA TINGGI 9 Ogos – Polis akan mengambil tindakan tegas termasuk menggunakan
akta pencegahan terhadap Majlis Peguam kerana meneruskan penganjuran Forum
Memeluk Islam yang menyinggung perasaan umat Islam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ini kerana tindakan
majlis itu bukan sahaja mencabar malah menimbulkan kemarahan meluap–luap di
kalangan majoriti orang Islam termasuk pemimpin negara ini.
Beliau menegaskan, akta pencegahan yang boleh digunakan ialah Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan (OSA) jika siasatan mendapati ia sesuai
digunakan.
"Polis akan melakukan siasatan terperinci terhadap tindakan yang menimbulkan
kemarahan itu kerana walaupun kita cukup berhati–hati dalam menggunakan akta
pencegahan tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu ketenteraman awam tergugat,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis permuafakatan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Tinggi dan Seminar Kecemerlangan PIBG di
Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi di sini hari ini.
Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur yang dijadual
berlangsung pukul 8.45 pagi sehingga pukul 1 petang ini terpaksa ditamatkan pada
pukul 10.10 pagi atas nasihat polis.
Syed Hamid berkata, Majlis Peguam perlu mengambil iktibar dan memahami mesej
bantahan umat Islam terhadap forum tersebut kerana ia jelas menimbulkan
ketegangan antara kaum.
"Kita harap orang terpelajar dalam Majlis Peguam mengambil perhatian hal ini
supaya kerajaan tidak perlu ambil tindakan ISA atau OSA.
"Mereka perlu memahami bahawa dalam membicarakan soal kebebasan lebih–lebih lagi
berkaitan masuk Islam atau keluar Islam. perlu ada had dan peraturan yang perlu
dipatuhi," katanya.
Beliau berkata, polis mengarahkan forum itu ditamatkan awal kerana orang yang
membantah dan berdemonstrasi di luar bangunan jauh lebih ramai bilangannya
daripada peserta forum itu.
Menurutnya, walaupun polis berjaya mengawal keadaan dengan baik bagi mengelakkan
sebarang kejadian tidak diingini dan mengganggu ketenteraman namun Majlis Peguam
perlu menghormati 'majoriti senyap' yang turut marah dengan forum itu.
"Saya dimaklumkan polis nasihatkan supaya habiskan cepat supaya tidak timbul
ketegangan," katanya.
AS tidak layak persoal perundangan Malaysia
KOTA TINGGI 9 Ogos – Amerika Syarikat (AS) hari ini ditempelak kerana
mengamalkan sikap seperti ketam mengajar anak berjalan lurus apabila menyuarakan
keraguan terhadap tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata,
Washington tidak layak mempersoalkan sistem perundangan negara ini kerana
beberapa tindakan negara itu sendiri termasuk di Kem Teluk Guantanamoa adalah
sesuatu yang membelakangkan hak asasi manusia.
"Jangan campur tangan dalam perundangan Malaysia kerana ia merupakan
tanggungjawab kita yang boleh diselesaikan sendiri," katanya di sini hari ini.
Semalam, negara kuasa besar itu menyuarakan keraguannya berhubung tuduhan liwat
terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu apabila Jabatan Negara AS
telah memanggil Kuasa Usaha Malaysia, Ilango Karuppanan berhubung kes tuduhan
liwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dunia
semakin marah dan jelak dengan campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang
menganggap diri mereka sebagai 'polis dunia' terhadap kes–kes dalaman sesebuah
negara.
Katanya, laungan demokrasi dan keadilan yang disuarakan oleh AS juga sudah
menjadi retorik kepada kes–kes tertentu yang menarik minat mereka sahaja.
"Kalau sesuatu kes itu sudah disiasat mengikut lunas yang betul, apa pula AS nak
pandai–pandai suarakan sesuatu? Kalau sebelum ini pihak lain tidak menyuarakan
keraguan tetapi dalam kes tertentu, mereka nak campur tangan," katanya di sini
hari ini.
Di MELAKA, Majlis Peguam dicabar untuk berdepan dengan campur tangan AS
sekiranya mereka bersungguh–sungguh memperjuangkan hak keadilan dan kebebasan
bersuara yang didakwa pihak itu melalui penganjuran Forum Memeluk Islam.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, ini kerana
Majlis Peguam yang dianggotai oleh golongan yang arif tentang undang–undang
sudah semestinya maklum bahawa tindakan AS mempersoalkan undang–undang negara
jelas tidak menghormati kedaulatan Malaysia.
Atas dasar itu tegasnya, Majlis Peguam dicabar untuk bertindak sebagai pendahulu
membantah campur tangan AS yang dilihat seperti meragui sistem undang–undang
negara dalam dakwaan liwat yang dihadapi oleh Anwar.
''Saya cabar Majlis Peguam buat memorandum kepada Kedutaan AS untuk membantah
campur tangan negara itu dalam soal undang–undang negara, bukannya menjadi
pencetus kekacauan dalam negara," katanya di sini hari ini.
Rumah Shahrizat dilontar bom petrol
KUALA LUMPUR 9 Ogos – Banglo kediaman Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) di Jalan Setia Kasih 1, Bukit Damansara di
sini dilontar dengan dua bom petrol awal pagi ini tetapi hanya mengenai tempat
letak kereta.
Dalam kejadian antara pukul 2.30 hingga 3 pagi itu, bom petrol tersebut
dipercayai dilontar dari luar pagar rumah berkenaan oleh dua lelaki yang menaiki
sebuah motosikal.
Mingguan Malaysia difahamkan kejadian itu ada kaitan dengan tindakan Majlis
Peguam Malaysia menganjurkan Forum Memeluk Islam di pejabat majlis tersebut hari
ini.
Ini kerana rumah itu pernah diduduki oleh Datuk Dr. Sreenevasan, bapa kepada
Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang menganjur forum tersebut.
Ambiga ketika dihubungi mengesahkan banglo itu pernah dimiliki oleh bapanya dan
mereka sekeluarga pernah tinggal di situ.
Shahrizat berkata, ini adalah kes pertama rumahnya dilontar bom sejak kediaman
itu dibeli lima tahun lalu dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan
rapi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul
Khalid yang kejadian itu berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 7.15 pagi
setelah insiden itu disedari oleh pengawal keselamatan di situ yang terdengar
bunyi letupan kecil.
Katanya, polis menemui salah satu bom yang pecah dan di dalamnya mengandungi
sekeping nota berbau hasutan.
‘‘Bom itu jatuh di bahagian hujung tempat letak kereta dan polis menemui kesan
terbakar serta serpihan kaca di atas lantai simen. Polis belum dapat mengenal
pasti motif perbuatan itu dan sedang mengesan suspek terlibat,” jelasnya.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman pula
mengesahkan penemuan dua botol yang dipercayai bom petrol di hadapan pejabat
Majlis Pegiam di Jalan Lebuh Pasar Besar di sini, kira–kira pukul 7.30 pagi.
Forum berjaya – Ambiga
KUALA LUMPUR 9 Ogos – Majlis Peguam menganggap Forum Memeluk Islam anjurannya
telah mencapai kejayaan apabila dihadiri lebih 100 orang dan mahu program yang
sama diteruskan pada masa depan.
Presidennya, Datuk S. Ambiga berkata, kejayaan forum sedemikian membuktikan
konflik penjagaan anak dan perebutan jenazah yang berpunca daripada tindakan
seorang daripada ahli keluarga yang memeluk Islam boleh dibincang secara terbuka
tanpa sebarang masalah.
''Saya secara jujur berharap kita dapat belajar sesuatu daripada kejayaan kita
mengadakan forum ini yang telah membuktikan isu ini boleh dibincangkan secara
terbuka dan bukan semata–mata dianggap hal peribadi keluarga terbabit,'' katanya
di sini hari ini.
Bukan sebab Islam
KUALA LUMPUR 9 Ogos – Konflik penjagaan anak dan perebutan jenazah yang sering
berlaku apabila seseorang memeluk agama Islam tiada kena mengena dengan agama
itu tetapi berpunca daripada kelemahan pihak yang melaksanakan undang–undang.
Seorang peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang merupakan wakil tunggal Islam
dalam forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam hari ini berkata, perceraian
sesama agama juga sering melibatkan masalah perebutan anak.
Menurut beliau, dalam perceraian di kalangan pasangan seagama pun masalah
perebutan anak dan penderitaan tetap berlaku.
''Jadi ini bukan masalah agama, ia adalah masalah bagaimana manusia melaksanakan
undang–undang,'' jelasnya.
Mohamed Haniff berkata demikian pada sesi perbincangan kedua forum Memeluk Islam
anjuran Majlis Peguam beberapa minit sebelum ia ditamatkan lebih awal daripada
jadual asal.
Kecoh Forum Memeluk Islam tamat lebih awal bagi elak
kejadian buruk
Oleh Nizam Yatim, Rohani Ibrahim dan Sharilfuddin Saari
KUALA LUMPUR 9 Ogos – Forum kontroversi ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam
yang diteruskan juga hari ini ditamatkan kira–kira pukul 10 pagi iaitu tiga jam
lebih awal daripada jadual bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika
bantahan keras daripada pelbagai pihak semakin memuncak.
Forum yang bermula pukul 8.45 pagi di ibu pejabat Majlis Peguam di Lebuh Pasar
Besar di sini, pada awalnya berlangsung dalam suasana tenang dengan sesi pertama
melibatkan tiga wakil keluarga bukan Islam dengan penuh emosi menceritakan
‘penderitaan’ mereka.
Dua daripada wakil berkenaan sambil menangis teresak–esak menceritakan masalah
yang timbul apabila bapa mereka memeluk Islam dan mengabaikan tanggungjawab
memberikan nafkah kepada keluarga.
Wakil ketiga yang merupakan wanita Jerman yang mengaku tidak percaya kepada
mana–mana agama melahirkan rasa kesal kerana mendakwa dua lelaki Islam yang
pernah dinikahi tidak bertanggungjawab apabila menceraikannya dan mengabaikan
tanggungjawab untuk menjaga tiga anak mereka.
Sesi pertama yang sepatutnya diteruskan dengan soal jawab daripada kira–kira 150
hadirin terpaksa dibatalkan apabila Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga
bangun kira–kira pada pukul 9.40 pagi untuk memaklumkan bahawa beliau telah
dinasihati oleh polis supaya menamatkan majlis itu lebih awal atas faktor
keselamatan.
Pada ketika itu, kira–kira 1,000 ahli Majlis Angkatan Antara Pertubuhan Bukan
Kerajaan Islam (Mapan), UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan
demonstrasi di pekarangan bangunan Majlis Peguam dengan membawa sepanduk
menentang program berkenaan.
Pada sepanduk berkenaan tertera perkataan ‘Hidup Islam, Batal Forum’, ‘Jangan
Cabar Islam’ dan ‘Majlis Peguam Jangan Bermain Api’.
Mereka juga mengancam untuk menyerbu masuk ke dalam dewan sekiranya forum itu
tidak ditamatkan segera.
Selepas pengumuman Ambiga itu, forum berkenaan diteruskan dengan sesi panel
membabitkan tiga peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Ravi Nekoo dan K.
Shanmuga.
Mereka membincangkan tentang Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang
menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang
melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.
Ahli panel juga membincangkan kes R. Subashini dan S. Shamala yang menghadapi
pelbagai masalah setelah suami mereka memeluk Islam dan mendapatkan hak
penjagaan anak–anak melalui Mahkamah Syariah.
Mohamed Haniff mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam kes
Subashini manakala Shanmuga adalah peguam kepada wanita itu sementara Ravi pula
mewakili Shamala di mahkamah.
Pengantara bagi sesi panel dan forum berkenaan ialah wakil Pusat Bagi Perubahan
Wanita, Zarizana Abdul Aziz.
Dua lagi ahli panel ialah Pengarah Pusat Syariah Undang–Undang dan Sains Politik
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Wan Azhar Wan Ahmad dan bekas
Hakim Syarie, Dr. Naim Mokhtar yang sepatutnya memberi penjelasan mengenai aspek
perundangan Islam menarik diri pada saat–saat akhir.
Sesi kedua forum itu bagaimanapun, hanya dapat berlangsung selama 10 minit
sahaja apabila kira–kira 15 orang yang terdiri daripada wakil Mapan dan parti
politik yang diiringi pegawai polis masuk ke dalam dewan dan menggesa forum itu
ditamatkan tepat pukul 10 pagi.
Tindakan mereka yang berkumpul di hadapan pentas, menyebabkan berlaku pertikaman
lidah antara hadirin dan wakil–wakil NGO yang membantah forum berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan pegawai polis terpaksa bertindak tegas meminta semua
pihak diam bagi membolehkan Ambiga membuat ucapan penutupan.
Presiden Majlis Peguam itu dalam ucapannya menjelaskan pihak penganjur
menghormati pandangan semua pihak dan hak setiap individu untuk bersuara.
‘‘Kami tidak bergaduh dengan sesiapa dan saya mengumumkan forum ini ditutup,”
katanya.
Katanya, beliau juga tidak akan membuat laporan polis terhadap pihak–pihak yang
telah bertindak mengganggu forum itu.
Sementara itu, demonstrasi yang diadakan di luar pekarangan bangunan pejabat
Majlis Peguam sejak pukul 8.30 pagi itu semakin ‘panas’ apabila bilangannya
meningkat kepada 1,000 orang pada pukul 9 pagi.
Lebih 100 anggota polis termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal
di tempat kejadian sementara Jalan Lebuh Pasar Besar di hadapan pejabat majlis
itu terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.
Keadaan itu memaksa Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain
Abdul Rahman mengambil keputusan untuk berbincang dengan pihak Majlis Peguam
pada pukul 9.15 pagi.
Turut bersama Zulkarnain masuk ke pejabat Majlis Peguam ialah Ketua Penerangan
Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Mohd. Nazari Ahmad; Naib Presiden GPMS, Jais Abd.
Karim; Setiausaha Pekida, Sharil Aziz dan Ahli Exco Peguam Pembela Islam
Malaysia, Zulkifli Nordin.
Pada pukul 9.30 pagi, Zulkarnain dan wakil–wakil NGO terbabit turun dari pejabat
Majlis Peguam itu dan kelihatan berbincang sekali lagi di dalam sebuah kereta.
Kira–kira setengah jam selepas itu, Jais mengumumkan pembatalan forum berkenaan
di hadapan para peserta piket dan disambut dengan bacaan doa.
“Kita akan pastikan semua peserta forum ini pulang dan tidak lagi mengulangi
forum yang menyentuh agama Islam pada masa depan,” tegasnya.
Zulkarnain ketika ditemui berkata, kawalan keselamatan di sepanjang piket itu
berjalan dengan baik dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya terpaksa adakan perbincangan antara kedua–dua belah pihak kerana ancaman (ugutan
peserta piket untuk merempuh pintu pejabat) yang semakin meningkat.
“Pada pertemuan itu, saya nasihatkan agar forum ini dihentikan. Mereka (Majlis
Peguam) menerima dengan baik serta bersikap profesional dan saya berterima kasih,”
katanya.
Difahamkan, perbincangan itu diadakan dengan Ambiga dan Naibnya, Ragunath
Kesavan.
Beliau memberitahu, semasa perbincangan itu diadakan, forum tersebut baru sahaja
bermula.
Bunga–bunga bencana berputik
ISU agama merupakan sesuatu yang bermanfaat kepada politik. Ia boleh menjadi
simbol yang menyatukan pelbagai kumpulan seagama dan pendorong kemajuan. Banyak
pihak rela menyertai barisan yang berjuang untuk mengangkat kemuliaan agama.
Dalam sudut yang ekstrem, ada kumpulan rela berkorban demi mempertahankan agama.
Pada masa yang sama, agama juga berupaya menjadi unsur yang membahayakan. Ia
memberi identiti kepada penganut–penganutnya dan mengajar nilai–nilai yang
eksklusif hanya kepada para penganutnya.
Identiti dan nilai itu membezakan mereka dengan penganut agama lain. Nilai dan
identiti masing–masing sentiasa dirasakan lebih baik, dan perasaan itu
berkembang menjadi satu dogma. Sebarang serangan dan kritikan terhadap identiti
itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Serangan dan kritikan tersebut lazimnya akan
berbalas.
Sejak beribu–ribu tahun lalu, agama menjadi suatu kekuatan yang memberi kesan
kepada tingkah laku manusia, negara dan pergolakan antarabangsa. Di banyak
negara, isu agama mencetuskan manifestasi politik tertentu, telah menjatuhkan
dan menaikkan pemimpin, pernah membangunkan masyarakat dan turut merosakkan
bangsa.
Jika dikendalikan dengan baik, isu agama boleh menjadi simbolik keharmonian
sebuah bangsa. Kalau ditangani dengan cara yang angkuh dan kasar, ia umpama
minyak yang dicurahkan ke dalam api. Isu agama boleh membakar, marak apinya
dapat meruntuhkan sebuah negara.
Atas kesedaran itulah isu–isu agama sentiasa perlu ditangani dengan berhati–hati.
Bukan sahaja isu agama Islam, tetapi juga isu–isu agama lain. Agama adalah soal
sensitif. Di negara tertentu, isu agama pernah mencetuskan perang dan membawa
kemusnahan. Kita yang hidup berbilang kaum di Malaysia mungkin tidak pernah
merasai pengalaman itu.
Apabila Majlis Peguam Malaysia mempertahankan forum Memeluk Islam yang diadakan
semalam serta membangkitkan hak untuk membincangkan isu–isu berkaitan pertukaran
agama, ia dibuat tanpa memikirkan sejarah yang pernah dilalui oleh sesetengah
masyarakat dunia apabila membicarakan isu–isu agama.
Kes R. Subashini yang menjadi antara topik yang dibincangkan dalam forum itu
adalah sesuatu yang menggelisahkan. Wanita beragama Hindu berkenaan berkahwin
dengan lelaki bernama T. Saravanan pada tahun 2001. Sesetelah memeluk Islam pada
2006, Saravanan menukar namanya kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah.
Muhammad Shafi dan Subashini mempunyai dua orang anak yang masih kecil, iaitu
Dharvin Joshua, 3, dan Sharvind, 1. Muhammad Shafi mahu kedua–dua anaknya itu
turut memeluk Islam bersamanya dan meminta Mahkamah Syariah membubarkan
perkahwinannya. Subashini enggan membenarkannya.
Kes ini kemudian dipanjangkan kepada Mahkamah Rayuan di mana tiga orang hakim
bersidang. Mahkamah itu memutuskan kes tersebut perlu dirujuk kepada Mahkamah
Syariah, tetapi wanita itu tidak mahu tunduk kepada perbicaraan di Mahkamah
Syariah.
Kes ini adalah antara kes–kes sensitif yang dibincangkan dalam forum awam
Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam, yang majlisnya
terpaksa ditamatkan lebih awal kerana para penyokong pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) Islam berdemonstrasi di luar bangunan Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar
Besar di ibu kota.
TangisanDalam forum itu, Majlis Peguam turut membawa beberapa orang bukan Islam,
termasuk seorang wanita berasal dari Jerman, yang memperihalkan pengalaman
mereka. Dalam tangisan, hampir semuanya memberi gambaran negatif terhadap bapa,
suami dan bekas suami masing–masing yang merupakan orang Islam.
Ada yang menceritakan bagaimana bapa mereka yang telah memeluk Islam kemudian
meninggal dunia tetapi tetap dapat dikebumikan sebagai seorang Kristian walaupun
berlaku perebutan mayat dengan jabatan agama Islam.
Sensitiviti orang Islam dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan
tidak diambil kira langsung oleh Majlis Peguam. Tradisi di Malaysia, iaitu
seorang penganut agama lain tidak mengulas mengenai agama orang lain, tidak
dihormati. Akibatnya, para penyokong NGO Islam yang berkumpul di luar bangunan
Majlis Peguam sejak pukul 8 pagi menghantar mesej kepada Majlis Peguam supaya
menghentikan forum itu. Jika tidak, amaran mereka, tindakan yang lebih keras
akan dilakukan.
Beberapa orang pemimpin NGO Islam juga menyerbu masuk ke dalam dewan tempat
forum itu diadakan. Mereka mengganggu perjalanan forum tersebut. Berlaku
pertikaman lidah yang diselang seli kata–kata kesat yang menyakitkan hati.
Sebenarnya, insiden yang berlaku semalam bukan terjadi secara tiba–tiba. Asap
kegelisahan telah bermula beberapa tahun lepas.
Sejak empat lima tahun kebelakangan ini, kumpulan–kumpulan Islam merasakan
kedudukan Islam di Malaysia sedang dicabar oleh beberapa kumpulan agama lain
yang mendapat sokongan sesetengah pertubuhan yang didominasi oleh profesional
bukan Islam, termasuk yang menjadi ahli Majlis Peguam.
Salah satunya adalah usaha sistematik mereka untuk mendesak kerajaan meminda
Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan mengenai kebebasan agama.
Kumpulan bukan Islam yang menyokong syor pindaan itu telah mengumpulkan
tandatangan para penyokong mereka menuntut Artikel 11 dipinda.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, tiap–tiap orang di
Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi terdapat peruntukan
khusus bahawa Persekutuan boleh menggunakan undang–undang untuk mengawal dan
menyekat pengembangan apa–apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang
yang menganut agama Islam.
Artikel inilah yang mahu dipinda. Ia mencetuskan kemarahan NGO Islam kerana
kepada mereka pindaan itu akan memudahkan orang Islam dimurtadkan.
Kira–kira dua tahun lalu, pada 23 Julai 2006, ketika perdebatan kes murtad Lina
Joy berada di kemuncaknya, kira–kira 8,000 aktivis Islam berkumpul di Masjid
Wilayah Persekutuan untuk menunjukkan solidariti menentang gerakan untuk meminda
Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan yang berada di tengah–tengah pertembungan itu telah memilih untuk
menyelesaikan isu tersebut secara berhemah dan melalui perundingan diam–diam
bagi memastikan keharmonian kaum dan agama terus dipupuk di Malaysia.
Pendekatan yang kerajaan gunakan dalam menentukan ketenteraman awam tidak
sekeras seperti beberapa dekad lalu. Penangkapan penghasut–penghasut tidak
dibuat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tiada juga pendakwaan di
bawah Akta Hasutan walaupun keselamatan awam sedang diperjudikan.
Mungkin kerana memikirkan mereka sedang melalui zaman yang lebih liberal,
terdapat kumpulan bukan Islam, khususnya yang diketuai beberapa peguam, tetap
memilih untuk membincangkan isu–isu agama yang sensitif secara terbuka. Forum
terbaru Memeluk Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam semalam adalah bukti
keberanian mereka.
Sebelum ini, Majlis Peguam turut melukakan hati orang Melayu apabila ia
menganjurkan forum membincangkan satu lagi isu sensitif berkaitan kontrak sosial
iaitu diskusi yang menyentuh keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Kepada sesetengah pegawai Majlis Peguam, perbincangan tersebut adalah hak mereka
yang dijamin oleh undang–undang, tetapi orang Melayu pula merasakan kedudukan
kaum pribumi itu yang diberi legitimasi dalam perlembagaan kini dipersoalkan
secara terang–terangan.
Jika mereka hidup pada zaman Malaysia diancam gerakan bawah tanah pengganas
komunis dan pelampau kaum pada tahun 1960–an dan 1970–an, mungkin sebahagian
daripada penganjur–penganjur forum itu sudah pun ditahan di bawah ISA.
Tindak balasApakah penyelesaian kepada masalah dan kecenderungan ini?
Sekumpulan peguam Islam kini menuduh Majlis Peguam sebagai anti–Islam, anti–kerajaan
dan mereka sudah mula bercakap mengenai usaha menggembleng para peguam Melayu/Islam
untuk mengambil alih kepimpinan badan guaman itu pada masa depan. Adakah ini
jawapannya?
Adakah NGO Islam perlu bertindak balas dengan mengadakan pula diskusi 'Memeluk
Kristian' atau 'Memeluk Hindu' bagi membincangkan mengenai kelemahan agama orang
lain? Adakah api perlu dilawan dengan api serta keangkuhan harus ditentang
dengan keangkuhan?
Adakah penyelesaiannya dengan kerajaan membiarkan sahaja perbincangan dan
perdebatan terbuka seumpama itu diadakan, sambil berharap kewarasan akhirnya
menjadi pertimbangan orang ramai, tidak kira Islam atau bukan Islam? Atau pada
zaman ini, kerajaan masih lagi dibekalkan dengan peruntukan untuk
menguatkuasakan undang–undang tetapi era yang telah berubah mungkin menyebabkan
kerajaan memilih untuk menjadi popular dengan tidak menggunakan kuasa–kuasa itu.
Adakah meneruskan polisi itu satu opsyen atau satu kesilapan?
Dalam komennya terhadap penganjuran forum Memeluk Islam, seorang pemimpin Melayu
baru–baru ini mempersoalkan adakah suatu hari nanti akan ada kumpulan bukan
Melayu dan bukan Islam sanggup pula mengadakan forum–forum lain yang
membincangkan isu seperti kedudukan Raja–Raja Melayu. Beliau bimbang. Respons
orang Melayu terhadap diskusi seumpama itu tidak dapat dibayangkannya.
Ketika itu, jika kerajaan memilih untuk tidak bertindak, adakah penyelesaian
kepada isu itu hendak dibiarkan ditangani oleh kumpulan–kumpulan NGO Melayu/Islam
melalui undang–undang jalanan? Dalam insiden di ibu kota semalam, kata–kata
kesat yang melukakan hati telah dihamburkan oleh segelintir aktivis Islam
terhadap kumpulan minoriti. Ia boleh merosakkan imej Islam pada mata orang bukan
Islam, tetapi dalam keadaan tegang, dengan emosi sudah tidak terkawal, keadaan
seperti itu boleh berlaku.
Dalam isu agama yang dipolitikkan ini, beberapa pihak di Malaysia secara jelas
sedang membawa soal–soal sensitif ke satu tebing yang amat berbahaya. Di
bawahnya ada gaung dalam. Jika tidak dikawal, ia mungkin menjerumuskan kita
semua dalam perkelahian terbuka, yang bunga–bunganya telah pun berputik semalam.
Perbuatan membahaskan isu–isu agama orang lain secara terbuka dalam forum awam
kena dihentikan, lebih–lebih lagi mengambil semangat menjelang Hari Kemerdekaan
ke–51 yang akan disambut 31 Ogos ini. Rakyat memerlukan kemakmuran dan pada masa
yang sama jaminan keselamatan. Tidak guna kita berdegar–degar mendakwa kita
menganjurkan forum–forum tertentu atas nama kebebasan dan hak asasi, tetapi
implikasinya dalam jangka masa panjang membuatkan rakyat –– Islam dan bukan
Islam, Melayu dan bukan Melayu –– hidup dengan rasa takut, curiga dan syak
wasangka.
Wujud pertalian yang erat antara keselamatan dan isu–isu agama. Dalam konteks
penganjuran forum oleh Majlis Peguam, kepimpinan badan guaman itu patut menerima
hakikat bahawa ia telah melanggar garis yang sepatutnya. Banyak pihak sedang
diangkutnya ke garis itu yang terletak di atas satu tebing curam.
Kepada Majlis Peguam dan para penyokongnya, usahlah atas nama hak segelintir
orang, kita ketepikan keselamatan berjuta–juta rakyat Malaysia yang lain.
Belajarlah daripada sejarah konflik manusia atas nama agama sejak beribu–ribu
tahun lalu.
Berubah atau ‘musnah’
Dr. Azaharudin Mohamad Dali, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera
dan Sosial Universiti Malaya.
SEPERTI diduga masalah politik wang masih terus melumuri UMNO. Ini terbukti
apabila mesyuarat cawangan yang berlangsung sekarang menyaksikan fenomena itu
masih berterusan.
Walaupun hakikatnya, pemilihan kali ini perlu dijadikan landasan bagi
memperkukuhkan kembali parti berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke–12 lalu,
namun kesedaran di kalangan ahli–ahli UMNO berhubung perkara itu masih rendah.
Dalam hal ini, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sosial
Universiti Malaya, Dr. Azaharudin Mohamad Dali menganggap semua itu berlaku
kerana ada sebahagian ahli UMNO tidak mengambil iktibar daripada sejarah.
Justeru dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR
dan AMRAN AHMAD, beliau memberi peringatan bahawa gejala itu jika tidak
dibendung boleh mendatangkan kesan yang amat buruk kepada UMNO.
Menurut beliau, UMNO kini berada di kitaran terakhir sama ada untuk bangkit
semula atau terus menjunam.
‘‘Kalau politik wang tidak dihapuskan dalam parti itu, percayalah ia boleh
membawa kehancuran kepada UMNO,’’ kata beliau.
Berdasarkan hakikat itu, Dr. Azaharudin berpendapat sesuatu perlu dilakukan bagi
memulihkan UMNO kerana parti tersebut merupakan satu–satunya harapan survival
orang Melayu.
Mingguan: Bagaimanakah Dr. melihat masalah politik wang yang terus melanda
UMNO?
DR. AZAHARUDIN: Masalah politik wang yang berlaku di dalam UMNO saya anggap
sebagai satu masalah yang begitu besar kerana ia masih berterusan dan belum ada
keputusan muktamad bagaimana untuk menyelesaikannya sejak beberapa tahun lalu.
Pada tahun 1990–an, bekas Presiden UMNO, Tun Dr.Mahathir Mohamad ada bercakap
mengenai perkara berkenaan tetapi ia kembali terjadi selepas itu dan isu
tersebut berlanjutan sehingga ke hari ini. Terdapat perbezaan kalau kita banding
era 90–an dengan era sekarang. Ia kerana di era 90–an UMNO dan Barisan Nasional
(BN) sangat kuat. Isu dalaman UMNO ketika itu tidak menjejaskan kekuatan parti
itu dalam pilihan raya tetapi sekarang ia sangat berbeza kerana UMNO berada
dalam kepincangan kerana kesan pilihan raya dan apabila isu politik wang pula
terjadi ia merupakan seolah–olah seperti mana kata Tan Sri Rafidah Aziz bahawa
ia akan membawa kehancuran kepada UMNO.
Hakikatnya, pelbagai usaha dilakukan oleh UMNO sama ada secara dalaman iaitu
melalui Jawatankuasa Disiplin atau bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR)
tetapi kelihatannya masalah politik wang ini tidak selesai. Bagi saya kenapa ia
berterusan kerana ia seolah–olah menjadi darah daging dalam UMNO. Orang luar
seperti mereka atas pagar yang memerhatikan politik UMNO melihat bahawa politik
dan UMNO itu seolah–olah sudah sinonim. Gambaran itu bukan sahaja wujud di
kalangan orang Melayu malah juga di kalangan bukan Melayu.
UMNO sudah menerima tamparan hebat dalam pilihan raya umum lalu tetapi kenapa
sebahagian ahli–ahlinya masih belum sedar dan terus mengamalkan politik wang itu?
DR. AZAHARUDIN: Bagi saya, sebahagian ahli–ahli UMNO yang terus mengamalkan
perbuatan berkenaan tidak mengingati dan belajar daripada sejarah.
Ini kerana sejarah telah membuktikan, sejak daripada kejatuhan Melaka lagi,
elemen–elemen kebendaan sebegini menjadi perkara penting membawa kehancuran
sebuah tamadun. Kalau dalam sejarah Melayu mungkin bukan wang atau emas yang
penting, mungkin wanita. Tetapi dalam hal itu sendiri, ahli–ahli UMNO tidak
melihat dan belajar daripada sejarah tersebut. Mereka belajar sejarah tetapi
sekadar mengetahui siapa bapa UMNO, siapa membuka UMNO dan sebagainya tetapi
tidak mengambil iktibar–iktibar itu. Keadaan ini dilanjutkan oleh generasi kedua
dan ketiga dalam UMNO dan sebahagian daripada mereka mungkin tidak belajar
sejarah pun kerana kelulusan mereka berasaskan kepada disiplin yang berbeza.
Minat terhadap sejarah itu tidak wujud di kalangan mereka, jadi satu sudut
penting mereka tidak belajar dan mengambil iktibar daripada sejarah menyebabkan
hal itu berterusan. Jadi ini masalah bukan sahaja kepada isu politik wang tetapi
juga banyak isu lain.
Orang Melayu terutamanya berhadapan dengan isu ketuanan Melayu yang dibangkitkan
oleh Majlis Peguam dan sekarang mereka membangkitkan pula mengenai isu mengenai
Islam. Ini cabaran untuk orang Melayu tetapi orang Melayu masih tidak sedar lagi.
Kita masih lagi tidak mengambil iktibar, kita belajar sejarah tetapi sejarah
yang tidak digunakan untuk menentukan perancangan di masa hadapan.
Apakah ini berkaitan dengan sistem atau individu?
DR. AZAHARUDIN: Kedua–dua boleh dijadikan sebagai faktor kepada kewujudan
masalah politik wang.
Sistem merupakan salah satu faktor dan pada masa yang sama kita juga tidak
menolak bahawa keinginan diri sendiri yang turut menjadi antara elemen
penyumbang kepada politik wang. Dalam UMNO, apabila seseorang yang dipilih
menjadi pemimpin bahagian maka berdasarkan sejarah yang ada ia akan menjadi
pemimpin dalam pentadbiran kerajaan. Apabila berada pada kedudukan itu, maka ada
banyak elemen bukan sahaja pentadbiran tetapi juga berkaitan tender dan
sebagainya, keadaan ini juga menjadi faktor penting politik wang berlaku. Kuasa
dan juga keinginan untuk menjadi seorang pemimpin. Ini bagi saya berbeza dengan
1990–an atau awal kemerdekaan di mana keinginan untuk menjadi pemimpin itu demi
berfungsi untuk rakyat. Tetapi sekarang ini sebahagian besar terutamanya apa
yang berlaku dalam UMNO kerana mereka sangat inginkan kuasa kerana ia boleh
mendapat faedah pelbagai aspek.
Adakah perlu sistem tersebut ditukar?
DR. AZAHARUDIN: Mungkin kita boleh berbalik kepada sistem yang asal dalam UMNO
kerana banyak rungutan dan sungutan telah disuarakan oleh banyak pihak sebelum
ini. Bagaimanapun, perubahan sebenarnya tidak akan mengubah atau menghapuskan
sama sekali politik wang sekiranya para pemimpin dan ahli–ahli UMNO sendiri yang
tidak berubah.
Ini berlaku ekoran tekanan semasa kerana setiap penyumbang dan pengundi
mempunyai mentaliti ‘Kalau aku bagi kau, aku dapat apa?’ sebagai balasan. Oleh
itu walaupun sistem yang ada diubah macam mana sekalipun, jika asas iaitu
pemimpin dan ahli itu sendiri tidak dapat membuang tabiat politik wang ini, UMNO
akan dibebani ancaman dalaman dan luaran. Sebenarnya agak mudah untuk menghadapi
ancaman dari luar dengan mengadakan debat, pilihan raya dan sebagainya tetapi
ancaman dalaman yang sebenarnya meruntuhkan banyak parti politik dan organisasi
di dunia ini.
Budaya politik wang wujud dalam UMNO kerana pemimpinnya memegang tampuk
pemerintahan dan kuasa. Adakah parti–parti pembangkang akan turut menghadapi
masalah yang sama jika mereka menerajui kerajaan?
DR. AZAHARUDIN: Berkemungkinan hal itu wujud memang ada. Seperti yang kita
perhatikan, hal yang sama berlaku kepada pakatan pembangkang di Selangor. Sebaik
sahaja mereka memegang kuasa, kita dengar isu–isu dan suara–suara yang sama
seperti yang berlaku kepada UMNO Selangor suatu masa dahulu. Antara yang ketara
ialah rasa tidak puas hati kerana kontrak dan tender diberikan kepada syarikat
tertentu dan orang lama dalam pakatan tidak mendapat apa–apa kedudukan sedangkan
ada orang baru yang dilantik menjadi ahli majlis tempatan. Kemungkinan jika BN
tidak memegang tampuk pemerintahan dan kuasa, isu berkaitan politik wang akan
mengendur sedikit tetapi keinginan untuk memegang kuasa ada dalam sanubari
setiap pemimpin, maka bahana politik wang ini masih dan akan terus berlaku.
Apakah masalah politik wang yang dianggap ketara dalam UMNO kali ini ada
kaitan dengan peralihan kuasa pada 2010?
DR. AZAHARUDIN: Sukar untuk kita lihat hubungan atau perkaitan secara langsung
antara politik wang di peringkat cawangan UMNO ini dengan pelan peralihan kuasa
pada 2010 untuk jawatan Presiden UMNO, bagaimanapun kita tidak boleh menolak
begitu sahaja andaian bahawa ada kaitan berkenaan.
Kita semua faham kewujudan kelompok–kelompok tertentu dalam UMNO, ada kem yang
memberi sokongan kepada pemimpin itu dan ini, keadaan tersebut tentunya boleh
mempengaruhi pemilihan di peringkat cawangan sekaligus menyuburkan lagi politik
wang, justeru dari sudut ini, mungkin ada perkaitan.
Bagaimana untuk mengatasi masalah politik wang ini setelah ia dianggap barah
dalam UMNO?
DR. AZAHARUDIN: Prof Syed Hussien Al–Attas pernah menulis buku mengenai rasuah
yang melihat bahawa politik wang atau rasuah ini bermula serentak dengan
kewujudan sekumpulan manusia yang pandai berpolitik. Rasuah pada masa dahulu
datang dalam pelbagai bentuk sama ada wang, wanita dan sebagainya. Sejarah juga
membuktikan politik wang juga tidak dapat dihapuskan sama sekali. Rasuah tetap
wujud, kepada semua pihak yang memegang kuasa termasuk polis, kalau
dibanteraskan mungkin menyebabkan rasuah dalam skala yang kecil.
Politik wang dan rasuah ini kekal. Jika pakatan pembangkang menjadi pemerintah
pun maka mereka juga akan berhadapan dengan politik wang dan hal ini sebenarnya
diperkatakan oleh ramai pengkaji sejarah. Cuma sekarang ini, apa yang boleh kita
lakukan ialah membanteras rasuah supaya penyebaran virus barah politik itu tidak
sehingga menjejaskan organisasi atau pertubuhan dan negara.
Di dalam UMNO, politik wang sudah menjadi satu barah dan sukar untuk dicegah.
Suatu revolusi mental harus dilakukan oleh semua ahli UMNO dan pemimpin di semua
peringkat cawangan dan bahagian bagi menyedarkan mereka supaya tidak mengamalkan
dan menolak sama sekali politik wang pada bila–bila masa terutama ketika
pemilihan.
Meskipun sebuah jawatankuasa khas UMNO ditubuhkan bagi membanteras politik wang
atau sistem pemilihan dirombak semula, jika individu dalam UMNO itu menjadi
ketagih dengan politik wang, maka rasuah itu akan berterusan dan sangat sukar
untuk ditegah.
Setiap pemimpin dan ahli biasa UMNO harus ada kesedaran, perjuangan yang mereka
mahu lakukan bukan berasaskan kebendaan, maknanya bukan untuk membina rumah
besar, beli kereta mewah, beri kontrak dan lesen tertentu tetapi mestilah
perjuangan untuk bangsa dan negara. Namun, secara realiti, ia adalah sesuatu
yang sangat sukar untuk dilaksanakan pada zaman moden seperti hari ini.
Masalahnya ada pemimpin UMNO sendiri yang naik menerusi amalan politik wang?
DR. AZAHARUDIN: Itu sebabnya gejala politik wang sukar untuk dihapuskan kerana
sama seperti barah juga, ia telah meresap ke seluruh anggota badan, jika
dipotong sekalipun, ia akan terus merebak ke bahagian–bahagian lain. Oleh itu
jika UMNO mahu menghapuskan gejala itu, parti tersebut harus melaksanakan
revolusi mental di kalangan ahli–ahlinya bagi menimbulkan kesedaran mengenai
matlamat dan asas perjuangan parti. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan
UMNO hancur kerana orang Melayu sendiri akan hilang kepercayaan kepada parti itu.
Walaupun begitu, mahu atau tidak, kita kena akui bahawa UMNO adalah parti yang
sangat penting kepada survival orang Melayu, PKR bukan parti yang menjuarai
isu–isu berkaitan orang Melayu kerana PKR ada banyak kaum terutama India yang
begitu dominan, bangsa Cina yang kini banyak bercakap kerana dasar keterbukaan
yang membuatkan mereka bersuara apa sahaja yang diinginkan termasuk isu sensitif.
Berlainan dengan BN, parti–parti komponen MCA dan MIC ada sekatan atau had–had
tertentu dalam menyuarakan isu–isu sensitif, tidak berbincang isu–isu sensitif
secara terbuka, sebaliknya berbicara dalam mesyuarat tertutup.
Bagaimana untuk menerangkan bahaya politik wang ini secara lebih berkesan
kepada orang UMNO sendiri?
DR. AZAHARUDIN: Masalah UMNO secara asasnya terbahagi kepada tiga perkara utama
iaitu barah politik wang, sikap tamak haloba untuk menjadi pemimpin berkuasa dan
persengketaan sesama sendiri.
Sebelum ini, kita tidak pernah dengar ada baling kerusi dalam mesyuarat UMNO
tapi sekarang ini, ada beberapa kes yang dilaporkan membabitkan perkara tersebut.
Kini, sudah wujud rasa tidak puas hati sehingga menyebabkan orang UMNO sanggup
pukul orang UMNO seperti yang berlaku di Labuan dan Ipoh baru–baru ini. Kejadian
sebegini adalah perkara baru buat pemimpin–pemimpin veteran dalam UMNO seperti
Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Aishah Ghani.
Saya percaya tiga masalah dalaman ini, jika tidak diatasi segera akan
menghancurkan UMNO.
Apakah penglibatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh mengurangkan politik
wang dalam UMNO?
DR. AZAHARINA: Penglibatan BPR dalam UMNO penting bagi menunjukkan bahawa
pertubuhan itu mengamalkan sikap terbuka untuk menghalang rasuah berlaku.
Walaupun begitu, sikap individu masih tidak berubah dan mereka akan cari jalan
untuk terus mengamalkan politik wang dalam UMNO.
Kita harus faham bahawa tujuan masuk UMNO bukan perjuangan untuk mendapatkan
wang.
Sejarah menunjukkan Kongres Kebangsaan India yang merupakan antara parti tertua
dalam politik dunia pernah kalah teruk dalam pilihan raya di India akibat isu
dalaman terutama korupsi.
UMNO kini berada dalam proses transisi yang boleh membawa kepada dua keputusan
akhir iaitu sama ada menguatkan semula UMNO jika politik wang hanya masalah
sementara atau membawa kepada kejatuhan UMNO.