Disumbangkan oleh Mazni Ibrahim, Pegawai, berserta gambar oleh Adi Irman, Pembantu Tadbir, Majlis Peguam
Selari dengan tujuan dan matlamat Jawatankuasa Bahasa Melayu Majlis Peguam (“JBM”) untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu, terutamanya di kalangan pengamal undang–undang, satu Bengkel Penggunaan Bahasa Melayu di Mahkamah telah diadakan pada 9:00 pagi ke 1:00 petang, bertempat di Majlis Peguam, pada 8 Okt 2011 (Sabtu).
Dua penceramah telah dijemput ke bengkel tersebut. Abdul Rahim b Mat Yassim, pensyarah linguistik dari Universiti Malaya, memberi penekanan kepada pemantapan bahasa terutamanya tatabahasa, manakala Mohd Sabri b Othman, pegawai dari Badan Kehakiman, memberi penerangan mengenai penggunaan Bahasa Melayu di mahkamah serta panggilan hormat yang harus digunakan di mahkamah.
Empat jam tidak mencukupi bagi mereka yang benar–benar ingin mendalami sebarang bahasa. Itulah yang diutarakan oleh peserta–peserta bengkel. Terlalu banyak ilmu yang ingin dipelajari, dan masa yang diberi terlalu singkat. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa banyak juga yang telah dipelajari oleh peserta–peserta bengkel tersebut dalam masa yang singkat itu. Usaha murni JBM diharap dapat diteruskan lagi dengan bengkel yang lebih khusus dan masa yang lebih lama.