Teks Ucapan
Y.B. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
PEMUDA PERJUANGAN
(KEPIMPINAN DSHH YANG ADIL DAN SAKSAMA)
A. MUKADDIMAH : BELAJAR DARI SEJARAH TAHUN 1998 –
Kepentingan parti melebihi kepentingan individu
1. Sepanjang perjalanan parti perpaduan tidak datang bergolek dan kekuatan tidak
datang melayang. Pergerakan Pemuda, seperti juga parti kita UMNO pernah melalui
pelbagai sejarah getirnya, bukan sekali, tetapi diuji bertubi kali. Sejak
tertubuhnya Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1949, kita telah didewasakan oleh
pelbagai cabaran. Kita telah merasai suka duka serta pelbagai konflik yang
melanda parti dan negara tercinta ini. Kita belajar dari sejarah, menimba dari
pengalaman dan dimatangkan oleh permasalahan. Mendung berlalu, krisis berakhir,
pergolakan dapat ditenangkan. Sepanjang perjalanan itu, Pemuda menjadi lebih
matang dan mengerti untuk membezakan di antara pejuang dengan petualang. Kita
menyaksikan mereka yang tidak setia pada perjuangan gugur di pertengahan jalan
dan hanyut ditelan ombak. Ini kerana kesetiaan sentiasa terpahat sebagai
landasan perjuangan Pemuda. Mereka yang tidak setia tidak ada tempat dalam parti
UMNO kita ini.
2. Selama itu jugalah, kita turut berjuang mengalir keringat bersama pimpinan
parti memulih dan memperkukuh UMNO terutama dalam saat–saat paling cemas.
Peristiwa 2 September 1998 masih segar di ingatan kita. Ahli parti di
persimpangan. UMNO tergugat. Pergerakan Pemuda tidak terkecuali dari merasai
bahangnya. Namun demikian, kita segera mengorak langkah, mengatur strategi dan
memperkuat barisan kerana kita tahu di mana letaknya kebenaran dan di mana pula
tumpahnya kesetiaan kita.
3. Pendirian kita jelas, bahawa parti lebih penting dari mana–mana individu.
Partilah yang harus dipertahankan bukan individu. Dalam sejarah kepartian UMNO,
individu tidak pernah dijadikan punca untuk membenarkan tersemainya syak
wasangka, bermulanya porak peranda apa lagi bercambahnya benih kehancuran.
Kepentingan umum dan orang banyak tidak harus dikorbankan demi kepentingan
seseorang apa lagi jikalau individu ini menjadi duri dalam daging yang
meletakkan kepentingan diri di atas parti dan bangsanya.
4. Dengan izin Allah S.W.T, sejarah akan menilai dan berlaku adil kepada kita
kerana Pergerakan Pemuda UMNO tidak pernah gagal untuk bertindak secara
bijaksana dalam saat–saat paling mencemaskan. Inilah tradisi gemilang Pemuda
UMNO – kita tidak pernah mengelak dari memikul tanggungjawab dan amanah apatah
lagi melarikan diri dari menangani krisis yang mendatang, walaupun sebesar
tsunami.
Patah atap kerana buluh;
Atap dijalin dengan tali;
Patah sayap bertongkat paruh;
Namun undur pantang sekali.
B. PERJUANGAN, PRINSIP KEPIMPINAN
5. Semuanya tersimpul dalam satu kalimah keramat iaitu Perjuangan. Inilah inti
pati kewujudan kita. Inilah teras kebangkitan kita. Inilah obor yang menjadikan
rangsangan buat kita semua selama ini. Atas nama perjuanganlah kita digerakkan
dan perjuangan jugalah yang telah menentukan siapa kita sebenarnya. Kewujudan
kita tidak akan bermakna sekiranya kita meminggirkan perjuangan.
6. Sesungguhnya, perjuangan kita ini bukanlah mudah. Sebagai pejuang, ada
kalanya kita melalui zaman duka dan kecewa. Ada kalanya kita disanjung dan
dimuliakan. Ada kalanya kita dipinggir dan dilupakan tetapi pejuang sebenar
tidak pernah mengerti makna kekecewaan. Pejuang tulen tidak sekali–kali tunduk
pada keraguan, malah tidak gentar dengan kecaman dan ugutan. Inilah pegangan dan
prinsip yang saya pertahankan. Prinsip yang berlandaskan keberanian,
kebijaksanaan dan kematangan dalam menatang perjuangan ini. Berani kerana benar,
takut kerana salah.
7. Sepanjang diamanahkan memimpin Pemuda, saya memilih untuk menggunakan jalan
terbaik dalam menangani krisis. Ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut
tidak putus, tepung tidak berserak. Kita boleh memilih untuk berkonfrantasi jika
perlu dengan mengambil pendekatan bertemu buku dengan ruas. Kita tidak pernah
gentar berhadapan dengan mana–mana golongan yang menyentuh dan mempertikaikan
kedudukan bangsa dan agama, tetapi ada kalanya pendekatan berhikmah dapat
menyelesaikan kekusutan dan menguntungkan semua pihak. Maruah Melayu tetap
terpelihara, keharmonian terjamin dan persefahaman tercapai.
8. Dalam berpolitik kita tidak seharusnya mengorbankan nilai dan prinsip diri.
Hari ini ada yang berpandangan bahawa politik akan mengubah pengamalnya. Ada
yang berpendapat bahawa pengamal politik akan terjerumus dalam pusaran air yang
deras tanpa dasar dengan tabiat politiknya. Ada kalanya matlamat dikatakan
menghalalkan cara di mana segala–gala di dalam pusaran itu akan menelan nilai,
harga diri, prinsip dan pegangannya. Politik juga dikatakan boleh menjadikan
seseorang terkenal, masyhur, hebat dan berkuasa tetapi kuasa boleh merosakkan
seperti juga kemasyhuran boleh melalaikan. Lalu kita mudah menjadi angkuh, rakus,
korup dan lupa daratan.
9. Pengalaman berpolitik mengajar saya bahawa saya rela disalah tafsir asalkan
matlamat untuk menjayakan agenda bangsa tercapai. Kita tidak boleh menyenangkan
atau memuaskan hati semua orang, apatah lagi melayan segala permintaan. Kita
juga tidak boleh menjual janji dan harapan semata–mata. Saya percaya bahawa saya
bukan dalam persaingan atau perlumbaan mengejar populariti. Saya berpolitik
untuk bangsa dan saya yakin pimpinan Pemuda yang ikhlas, jujur dan beramanah
akan bersama–sama saya membuktikan bahawa sesungguhnya berpolitik itu mulia dan
ia tidak akan sama sekali mengubah prinsip kita.
C. KERIS PANCA WARISAN
10. Dalam perhimpunan Pemuda dua tahun yang lalu, buat pertama kalinya kita
menyaksikan perarakan masuk Keris Panca Warisan. Dalam perhimpunan itu juga,
kita telah mengisytiharkan Keris Panca Warisan sebagai Tekad Baru Pemuda yang
berlandaskan kepada pancaran lima rukun idealisme Pemuda iaitu Rukun Islam,
Rukun Iman, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati Diri. Secara simboliknya kita
menjunjung lambang kekuatan dan warisan pusaka turun temurun.
11. Tiba–tiba sahaja pada tahun 2006, keris menjadi polemik yang masih belum
dapat reda sehingga hari ini. Pada mereka mengapakah keris mesti dikucup?
Kenapakah keris mesti dipegang dan matanya dijulang ke langit? Keris dikatakan
lambang pergaduhan. Rupa–rupanya setelah 50 tahun kemerdekaan tanah air masih
ada warga negara yang belum memahami kebudayaan bangsa dan negara sendiri.
12. Sebenarnya keris adalah lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan,
kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab. Keris amat unik sama ada
dalam cara membuatnya atau cara disepuh, disarung, dipakai, diguna dan dipantang
larangkan. Keris bukan seperti kapak yang boleh digunakan untuk menebang bukan
juga seperti parang untuk menyembelih. Keris bukan senjata gunaan seharian untuk
ke sawah ladang tetapi untuk ke istana atau ke majlis rasmi. Keris juga lambang
kesatuan bernegara seperti Keris Panjang milik ke Bawah Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Keris ini ditempa dari cantuman besi
yang berasal dari sebelas bilah keris negeri–negeri di Tanah Melayu. Jelas keris
bukan sekadar simbol kekuasaan tetapi juga adalah simbol kesatuan. Masih ramai
di kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak mengetahui bahawa keris juga
merupakan lambang kewibawaan, kebijaksanaan dan ilmu. Orang yang memakai keris
itu, orang yang ada hikmah, bijaksana dan berpengetahuan dalam ilmu, bukan hanya
ilmu pendekar dan persilatan sahaja.
13. Kita mengucup keris bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan
tugas yang datang bersamanya. Perlakuan ini ada hubungannya dengan kesediaan
menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.
Keris dijulang bermakna menjulang kuasa, kedaulatan dan tanggungjawab yang
diserahkan dengan ikrar untuk berlaku adil dan saksama dalam menunaikan amanah
yang diterima.
14. Keris tidak dihunus tanpa bertempat. Keris dihunus dengan tekad untuk
mempertahankan bangsa dan kepentingan negara, bukan hanya untuk orang Melayu
tetapi juga untuk mempertahankan kaum–kaum lain yang bernaung di negara ini.
Keris Melayu menjadi pelindung kepada semua orang seperti juga kerajaan yang ada
pada hari ini yang sentiasa melindungi rakyat pelbagai kaum yang bernaung di
bawahnya. Berteduhlah di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat ini.
Tiada siapa yang harus gementar atau gugup dengan lambang yang abadi itu.
15. Oleh itu jangan dicipta musuh yang tiada dan jangan takut akan bayang–bayang.
Janganlah dikhuatiri sebuah perlambangan. Janganlah terbawa–bawa dengan semangat
perkauman melulu sehingga hilang rasa hormat yang dibina sekian lama dengan
pengorbanan Melayu. Saya ingin menyatakan untuk kali terakhir bahawa Pemuda
tidak akan melayan lagi polemik melulu ini.
D. PERJUANGAN PEMUDA UMNO DALAM KONTEKS CITA–CITA KEBANGSAAN
16. Tekad yang dibawa melalui Keris Panca Warisan dan semangat panji Sang Saka
Bangsa adalah cerminan perjuangan kita selaras dengan slogan penubuhan UMNO, "BERSATU,
BERSETIA, BERKHIDMAT". Semangat ini juga termaktub di dalam Perlembagaan parti
yang menuntut kita agar memperkukuh komitmen untuk berjuang mendukung cita–cita
kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.
Sebagai anggota sayap kanan parti, kita dalam Pergerakan Pemuda diberikan amanah
bagi memastikan bahawa asas–asas dan tujuan penubuhan UMNO ini dipertahankan
sampai ke titisan darah yang terakhir.
17. Walaupun kita dituntut untuk mempertahankan agama, bangsa dan kedaulatan
negara, Perkara 3 Perlembangaan UMNO juga sentiasa memperingatkan kita untuk
mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan
bersatu. Pemuda UMNO sedar bahawa tidak mudah untuk mentadbir sebuah negara
pelbagai kaum seperti Malaysia tetapi kita telah mengamalkan konsep perkongsian
kuasa secara berkesan. Kita juga sedar bahawa jalan ke arah mencapai
kesempurnaan dalam soal hubungan kaum sememangnya penuh berliku. Masih banyak
usaha yang perlu ditangani sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, budaya,
politik, agama mahupun bahasa. Namun kita tidak pernah putus asa untuk membentuk
rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu.
18. Justeru, usahlah diungkit perkara–perkara yang telah sama–sama dipersetujui
di mana teras kekuatannya telah lama teruji. Orang Melayu tidak pernah
mengungkit apa yang bukan hak mereka sebaliknya memberikan ruang dan kesempatan
kepada semua.
Kita tunduk memberi hormat;
Kita mengangguk mengiakan;
Kita berkalis menolak sengketa;
Diam jangan disangka tunduk;
Mengalah jangan disangka lemah;
E. PENDIDIKAN – PIPP; DUA PENDEKATAN DAN ENAM TERAS UTAMA
19. Saya sedar bahawa saya bukan sekadar memimpin Pergerakan Pemuda UMNO, tetapi
juga mengetuai sebuah kementerian yang berperanan untuk membina generasi masa
depan negara. Cabaran yang datang bersama tugas ini bukan kecil, tetapi amat
kompleks. Hari ini saya memikul amanah yang akan menentukan nasib lebih lima
juta pelajar dan generasi muda Malaysia. Setiap dasar pelajaran yang dirangka
dan setiap keputusan yang dibuat akan mempunyai kesan yang besar terhadap masa
depan mereka, masa depan bangsa dan masa depan negara.
20. Sejak mencapai kemerdekaan, kita telah menyaksikan pelbagai perubahan dan
pencapaian yang pesat di dalam sistem pendidikan negara. Namun begitu kita perlu
menyedari bahawa masih terdapat sekolah–sekolah kita yang belum dilengkapi
kemudahan asas. Masih ada sekolah yang belum mempunyai bekalan elektrik 24 jam
dan bekalan air bersih. Masih ada sekolah yang daif dan perlu segera dibaiki.
Masih ada sekolah yang belum mempunyai makmal sains dan makmal komputer dan
masih ada yang kekurangan guru, terutamanya guru terlatih. Pada waktu yang sama,
kita juga telah melahirkan sekolah–sekolah yang cemerlang hasil daripada
pelbagai usaha yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini.
Bagi sekolah–sekolah ini, pendekatan lama dan ‘satu saiz untuk semua’ (‘one size
fits all’) tidak lagi sesuai. Pendekatan yang lebih khusus diperlukan agar
kecemerlangan sekolah–sekolah ini dapat dipertahankan dan juga dilonjakkan ke
tahap yang terbilang.
21. Hari ini sistem pendidikan kita berada di persimpangan dan memerlukan
perubahan. Dari suatu sudut, kita menyedari bahawa sistem pendidikan negara
memerlukan anjakan. Bagaimanapun dari suatu sudut yang lain pula, saya sedar
sebelum anjakan ini dilaksanakan sepenuhnya, asas–asas yang kukuh perlu
dipersiapkan agar tidak ada sebarang pihak yang tercicir, terjejas atau menjadi
mangsa akibat jurang pendidikan.
22. Menyedari hakikat ini, kita memutuskan untuk mengambil 2 pendekatan utama di
dalam melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM). Dua pendekatan ini ialah, pertama: bagi menyediakan
seluas–luas akses terhadap pendidikan dan menyama ratakan medan persaingan di
kalangan pelajar; dan kedua: berusaha melonjakkan prestasi sekolah yang sudah
cemerlang ke suatu tahap yang lebih tinggi sebaris dengan sekolah–sekolah
terbaik di dunia.
23. Dua pendekatan ini akan digunakan bagi melaksanakan 6 teras strategik PIPP,
iaitu;
1. Teras Pertama – Membina Negara Bangsa
2. Teras Kedua – Membangunkan Modal Insan
3. Teras Ketiga – Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
4. Teras Keempat – Merapatkan Jurang Pendidikan
5. Teras Kelima – Memartabatkan Profesion Keguruan
6. Teras Keenam – Melonjakkan Kecemerlangan Institusi
Pendidikan
Merapatkan Jurang Pendidikan
24. Cabaran era globalisasi memerlukan usaha merapatkan jurang pendidikan
dipergiat dan dipertingkatkan. Medan persaingan mesti dijadikan lebih rata
supaya anak–anak kita yang kurang bernasib baik dan terpinggir ini mempunyai
lebih peluang untuk berjaya. Isu kemudahan asas, ketiadaan guru dan guru
terlatih serta keupayaan menguasai 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dan kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan di antara isu utama yang perlu
ditangani dengan segera. Saya berjanji selagi saya menjadi Menteri Pelajaran,
agenda ini akan terus dijadikan keutamaan kerana kita tidak mahu melihat
anak–anak kita tercicir dari arus perdana pendidikan negara.
Memperkasa Sekolah Kebangsaan tanpa menyekat sekolah berlainan aliran
25. Selain usaha merapatkan jurang pendidikan, agenda untuk memperkasakan
sekolah kebangsaan juga mesti dijadikan keutamaan. Hakikatnya 80.5 peratus
daripada sekolah–sekolah di bawah KPM merupakan sekolah kebangsaan dan 83.8
peratus daripada pelajar kita belajar di sekolah–sekolah ini. Ini menjadikannya
tunjang kepada sistem pendidikan negara. Oleh itu agenda memperkasa sekolah
kebangsaan ini tidak wajar dilihat sebagai zero sum game. Ia perlu dilihat
sebagai agenda yang mesti dilaksanakan demi kepentingan majoriti anak–anak kita
dan demi untuk memperkukuhkan perpaduan di dalam negara. Atas sebab inilah,
semua pihak mesti menerima hakikat bahawa sekolah kebangsaan perlu diperkasa
tanpa sebarang syak wasangka lagi. Bagaimanapun, seperti yang pernah saya
nyatakan, semua ini akan dilaksanakan tanpa perlu menyekat kewujudan
sekolah–sekolah aliran yang lain. Kita tidak melihat sekolah–sekolah berlainan
aliran ini, termasuk sekolah beraliran agama sebagai saingan atau ancaman.
Sebaliknya kita melihat kepelbagaian ini sebagai suatu kekuatan yang dapat
meningkatkan daya saing negara.
Memartabat Sistem Pendidikan Agama
26. Hari ini kita berhadapan dengan keadaan di mana dunia mengaitkan agama Islam
dengan keganasan dan sekolah–sekolah agama pula sebagai sarang untuk melahirkan
pengganas. Walau bagaimanapun melalui pendekatan Islam Hadhari dalam sistem
pendidikan agama, kita ingin membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang
progresif, yang harmoni dengan kemodenan dan menuntut umatnya untuk menimba ilmu,
bersikap toleran, mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan.
27. Kita beriltizam untuk terus memperkukuh dan memartabatkan lagi sistem
pendidikan Islam sesuai dengan keperluan hari ini. Program Jawi, al–Quran,
bahasa Arab dan Fardu Ain (j–QAF) misalnya, diperkenalkan bagi membolehkan
anak–anak kita menguasai tulisan dan bacaan jawi, menguasai asas–asas bahasa
Arab, khatam al–Quran dan dilatih melaksanakan Fardu Ain dalam erti kata yang
sebenar. Hari ini sebanyak 3,703 buah sekolah telah menawarkan program j–QAF,
melibatkan seramai 10,985 orang guru dan telah memberi manfaat kepada seramai
644,419 orang murid.
28. Pada masa yang sama, kita akan terus menawarkan tempat kepada Sekolah Agama
Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) untuk bernaung di bawah KPM bagi
membolehkan sekolah–sekolah ini menerima bantuan seperti yang diterima oleh
sekolah bantuan kerajaan yang lain. Niat kerajaan ikhlas dalam hal ini. Kerajaan
tidak sama sekali berniat untuk mengambil alih tapak sekolah, meminggirkan
penempatan anak–anak negeri atau merampas kuasa mana–mana pihak, termasuk
lembaga pengelola sekolah dan kerajaan negeri. Sejak pendaftaran sekolah–sekolah
ini sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebanyak RM 147.5 juta telah
dibelanjakan oleh kerajaan untuk menaik taraf sekolah–sekolah ini dan seramai
35,722 orang pelajar telah menerima manfaat daripadanya. Walaupun pendaftaran
ini telah memberi manfaat kepada ramai, tetapi masih kedengaran suara–suara
sumbang dari negeri tertentu yang meletakkan bermacam–macam syarat untuk
pendaftaran sekolah–sekolah mereka. Dalam hal ini, Pemuda ingin mengingatkan,
janganlah atas sebab politik semata–mata, kita sanggup mempertaruhkan masa depan
Islam dan umatnya. Apa pun mainan politik mereka, saya akan terus berusaha untuk
mengangkat kedudukan sekolah–sekolah agama kita ini sebaris dengan
sekolah–sekolah lain yang terbaik di dunia.
29. Percayalah, sebagai Menteri Pelajaran Malaysia saya tidak tergamak sama
sekali untuk memperjudikan nasib anak bangsa. Saya juga tidak akan sekali–kali
mempolitikkan pendidikan bagi mencari publisiti murahan. Segala yang saya
lakukan ini adalah untuk memberikan yang terbaik demi masa depan anak–anak kita.
Bagaimanapun, sekiranya selepas berusaha dan berlaku adil, jika agenda
memperkasa sekolah kebangsaan masih terus dipolemikkan sebagai agenda Melayu,
dan usaha kita memartabatkan sekolah agama rakyat dituduh sebagai agenda UMNO,
biarkanlah mereka ini dengan tanggapan itu. Tumpuan saya tidak akan sekali–kali
terpesong, terganggu dan terjejas. Amanah ini akan terus saya tunaikan.
F. EKONOMI – GELOMBANG BARU AGENDA PERTANIAN NEGARA
30. Sejak penubuhannya UMNO telah berusaha bersungguh–sungguh menggerakkan
agenda kemajuan ekonomi untuk bangsa dan negara. Bangsa Melayu yang dianggap
lemah dan mundur selama ini telah berubah. Kini ribuan anak–anak Melayu menjadi
profesional dan teknokrat; dari kalangan doktor, jurutera, akauntan, peguam
sehinggalah mampu menjadi angkasawan. Ini adalah hasil dari dasar keadilan
sosial dan ekonomi yang memberi hak kepada orang Melayu untuk dapat bersaing.
31. Agenda ini tidak pernah terhenti dan pimpinan parti sentiasa mencari peluang
untuk memperkukuh kedudukan orang Melayu. Pelbagai wawasan dan misi jangka
panjang telah digariskan untuk masa depan negara. Kini pembangunan modal insan
dan pemupukan minda kelas pertama diberikan keutamaan. Pelan pembangunan wilayah
tiga koridor bertujuan menangani ketidakseimbangan ekonomi. Pemerkasaan
sektor–sektor terpilih untuk memastikan pertumbuhan ekonomi masa depan dalam
rantaian nilai yang lebih tinggi telah dikenal pasti. Pada masa yang sama,
pemuliharaan alam sekitar, pengurusan sumber asli, pemupukan budaya berintegriti
dan pencegahan gejala rasuah turut diberi tumpuan. Di samping itu, pemantapan
sistem penyampaian kerajaan dan budaya penyelenggaraan dan perkongsian
awam–swasta (public–private partnership), kesemuanya bertujuan memberikan
manfaat kepada generasi akan datang.
32. Dalam usaha menyemarakkan ekonomi luar bandar, sektor pertanian telah
diberikan tumpuan khusus. Pergerakan Pemuda sedar bahawa sektor ini merupakan
sumber kegiatan utama ekonomi bagi masyarakat luar bandar yang pada masa ini
melibatkan 37 peratus penduduk negara kita di mana lebih 90 peratus daripadanya
adalah kaum Bumiputera. Mereka pula seringkali dikaitkan dengan insiden
kemiskinan.
33. Alhamdulillah, Malaysia dianugerahkan Allah S.W.T. dengan tanah yang subur
dan iklim serta cuaca yang amat sesuai untuk kegiatan pertanian. Oleh sebab
itulah, sewaktu membentangkan Misi Nasional–Rancangan Malaysia Ke–9 (2006–2010)
di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006, YAB. Perdana Menteri memberi penekanan dan
menyebutkan bahawa "sektor pertanian perlu dilihat dengan kanta baru, dengan
keyakinan baru" serta "dibangunkan dengan azam baru, semangat baru dan agenda
baru." Malah YAB. Perdana Menteri mahukan sektor ini menjadi tunggak ketiga
pertumbuhan ekonomi negara. Pemuda menghargai penegasan yang amat bermakna ini.
34. Kita menyedari betapa kompleksnya sektor pertanian pada hari ini. Ini
termasuklah sikap tidak yakin rakyat, sistem pemasaran cara lama, masalah
pembiayaan, kualiti hasil dan soal keselamatan bahan makanan selain persaingan
dari negara luar. Maka itu sesuatu yang drastik harus dilakukan bagi membantu
para petani dan mereka yang berminat mencebur diri dalam bidang ini. Pergerakan
Pemuda berpendapat bahawa kunci pada kejayaan dalam sektor ini ialah tenaga muda
yang baru, komited dan berilmu. Pemuda memberi jaminan bahawa kita akan
menggerakkan generasi baru petani untuk bersungguh–sungguh menjayakan agenda
pertanian negara. Anak–anak muda ini akan didedahkan pada amalan dan teknologi
pertanian moden selain menyedarkan mereka tentang peluang–peluang baru dalam
sektor ini. Pemuda menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan pusat–pusat latihan
dan kemahiran seperti yang disyorkan di dalam Konvensyen Pertanian Kebangsaan
anjuran Biro Pertanian UMNO pada 28 Oktober yang baru lalu. Dalam hal ini
Kementerian Pelajaran akan berusaha untuk memperkenalkan subjek vokasional dalam
bidang pertanian dan menambah jumlah sekolah menengah teknik yang menawarkan
subjek dalam pelbagai bidang pertanian moden. Pemuda juga mencadangkan modul "Latihan
Belia Dusun Tua" yang pernah dilaksanakan satu ketika dulu diperkenalkan semula.
Kita harus mengembalikan keyakinan generasi muda bahawa sektor pertanian sama
menarik dan menguntungkan sebagaimana sektor pembuatan, pembinaan dan
perkhidmatan seperti yang telah kita tekankan dalam perhimpunan–perhimpunan
sebelum ini. Inilah gelombang baru agenda pertanian negara.
Felda
35. Gelombang baru ini turut merangkumi usaha YAB. Dato’ Sri Najib Tun Razak
dalam menyuntik semangat baru untuk terus memperkasa FELDA. Pemuda
mengalu–alukan pengumuman Lima Teras 50 Tahun FELDA. Pemuda memberi jaminan
bahawa kita akan bersama–sama dalam usaha menjadikan peneroka sebagai masyarakat
contoh luar bandar.
36. Dari sudut pendidikan pula, saya gembira kerana kerajaan telah menyediakan
dana sebanyak RM120 juta kepada generasi baru FELDA agar peluang kedua di bawah
Program Kemahiran dapat dilaksanakan. Program ini membabitkan sejumlah 15,670
orang pelajar. Melaluinya juga bantuan biasiswa khas dapat disalurkan kepada
pelajar yang memasuki IPTA/IPTS selain peluang untuk belajar di universiti
terkemuka di luar negara. Sebagai Menteri Pelajaran, saya amat berterima kasih
dengan pengenalan Skim Tuisyen FELDA yang dilaksanakan di 100 buah sekolah
menengah dan 270 buah sekolah rendah melibatkan pelajar seramai 62,772 orang di
kawasan FELDA. Pembinaan MRSM FELDA di Trolak dengan dana RM103 juta melibatkan
1,050 orang pelajar di mana 80 peratus merupakan anak peneroka diharap akan
mempercepatkan agenda ini.
37. Dalam usaha membangunkan usahawan muda FELDA pula, Pemuda mahu Skim Insentif
Usahawan FELDA (SIUF) dengan dana sebanyak RM100 juta dikendalikan secara
berkesan. Skim pinjaman tanpa penjamin dan cagaran ini akan memberi nafas baru
kepada penerusan kejayaan FELDA. Ini bagi memastikan 39,958 orang usahawan FELDA
yang telah dikenal pasti dalam pelbagai bidang seperti industri asas tani,
Program Satu Wilayah Satu Industri (SAWARI), pembangunan kraf, perniagaan
runcit, perkhidmatan dan perusahaan kecil dapat dilahirkan.
38. Pemuda yakin dengan sokongan yang diberi oleh seluruh rakyat kepada usaha
ini FELDA akan dapat mengembangkan sayapnya ke luar negara dan hari ini terbukti
bahawa kerjasama (JV) dengan syarikat TRT, pembekal oleochemicals di Amerika
Syarikat dan pembukaan Restoran dan Hotel FELDA di Mekah membuktikan bahawa
FELDA diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa kerana kemampuannya.
Desakan terhadap Rancangan Pertanian yang lain (FELCRA, RISDA, KEJORA,
KETENGAH, KESEDAR)
39. Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agensi–agensi seperti FELCRA, RISDA dan
juga rancangan–rancangan pembangunan tanah wilayah seperti KEJORA, KETENGAH, dan
KESEDAR hendaklah mengikut jejak langkah FELDA. Kalau FELDA mampu diperkasakan
oleh YAB. Dato’ Sri Najib hanya dalam masa singkat, tidak ada sebab
agensi–agensi lain yang turut bertanggungjawab memelihara kepentingan Melayu,
tidak dapat melakukannya. Kita yakin sekiranya semua usaha–usaha ini dapat
digerakkan dengan satu tekad baru demi kepentingan masa depan bangsa nescaya
gelombang baru pertanian ini akhirnya menjadi satu kejayaan yang bermakna.
G. GLOBALISASI – LEDAKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT, PENGARUH LANGIT TERBUKA DAN
BLOGGERS
40. Sesungguhnya perhimpunan kali ini mempunyai makna yang amat istimewa bagi
bangsa dan tanah air kita. Perayaan gilang gemilang ulang tahun ke–50
kemerdekaan Malaysia pastinya telah menyemarakkan lagi rasa kecintaan kita
kepada negara di samping memperingatkan kita tentang makna sebenar kemerdekaan.
Saya juga percaya bahawa UMNO yang berusia 11 tahun pada ketika negara mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957 itu, bukanlah satu kebetulan kerana UMNO lahir di
atas ketentuan, ketentuan matlamat dan ketentuan kepimpinan; ketentuan yang
telah menjadikan UMNO tetap utuh dan kukuh biarpun telah melewati usia 60 tahun.
41. Pergerakan Pemuda perlu diperkasa dan sentiasa bersiap sedia untuk berdepan
dengan cabaran dan tuntutan baru. Kita harus sedar bahawa cabaran yang terpaksa
dihadapi oleh Pemuda pada hari ini juga berbeza. Dunia tanpa sempadan, asakan
globalisasi, ledakan teknologi maklumat, pengaruh langit yang terbuka luas telah
mengubah cara kita berinteraksi, berhubung, bermasyarakat, malah bernegara.
Dunia menjadi semakin kecil malah konsep negara bangsa mulai tercabar. Kita
perlu memberitahu kepada diri kita bahawa tiada lagi masa yang lebih sesuai
untuk kita bermuhasabah diri, menentukan hala tuju kita kalau bukan sewaktu
negara merayakan 50 tahun kemerdekaannya.
42. Realitinya dalam era teknologi maklumat hari ini keterbukaan berita dan
informasi tidak dapat disekat. Rakyat terdedah dengan banyak pilihan. Selain
akhbar arus perdana, terdapat pelbagai media alternatif seperti komuniti
bloggers yang aktif di negara pada hari ini. Saya percaya bahawa ramai di
kalangan mereka sebenarnya cukup bertanggungjawab dan memberikan maklumat serta
informasi berkualiti tinggi dalam menyumbang kepada pembinaan negara.
Perkembangan ini harus kita lihat secara positif sebagai sebahagian daripada
tradisi pendemokrasian dunia maklumat dan alam siber. Bagi generasi baru, blog
menjadi gaya hidup terkini dan melalui kecanggihan ini telah melahirkan apa yang
dipanggil Generasi "You Tube" dan "facebook" di kalangan mereka.
Kebebasan dengan tanggungjawab – pengajaran daripada Munshi Abdullah
43. Walaupun ia fenomena yang mungkin dianggap baik kepada pembinaan negara
tetapi perlu diingat kebebasan harus datang dengan tanggungjawab. Kebebasan
mesti membawa ke arah kematangan masyarakat Malaysia. Kebebasan ini bukan
bersifat kebebasan mutlak tanpa apa–apa sekatan. Ia bukan lesen untuk mengecam,
menghina, memfitnah dan memburuk–burukkan orang lain. Keterbukaan kerajaan bukan
alasan untuk menjadikan media dan dunia siber tempat bercambahnya pembohongan
dan hasutan.
44. Memang mudah menjadi pengkritik. Malah dalam tradisi Melayu, tegur menegur
menjadi amalan masyarakat. Kelangsungan sistem bermasyarakat Melayu selama
inipun ialah kerana anggotanya bersedia tegur menegur di antara satu sama lain.
Munshi Abdullah bin Abdul–Kadir dalam buku–buku Hikayat Abdullah dan Hikayat
Pelayaran Abdullah turut membuat kritikan yang pedas terhadap orang Melayu pada
penghujung abad ke–19. Beliau menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas
mereka, kurangnya ilmu pengetahuan di kalangan mereka, cara hidup mereka,
sehinggalah episod perpecahan di kalangan mereka. Abdullah turut mendedahkan
tentang kemiskinan orang Melayu seperti katanya, "yang tinggal mereka itu dalam
miskin dan malah dalam sepanjang umurnya." Ketika itu ramai yang marah kerana
kelancangan Abdullah. Watak seperti Munshi Abdullah seringkali tidak popular,
menjadi tohmahan dan dilupai oleh sejarah.
45. Bezanya, Abdullah tidak sahaja mengkritik tetapi memberikan cadangan
bagaimana kehidupan orang Melayu dapat diperbaiki. Munsyi Abdullah memberikan
pandangan bagaimana mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kelemahan mereka.
Abdullah turun ke lapangan, belayar ke negeri–negeri Melayu, melawan ombak,
mengharungi ancaman lanun dan perang saudara bagi mendapatkan gambaran sebenar
apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika itu. Kisah Pelayaran Abdullah
bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga dimuatkan keinsafan dan nasihat
tentang nasib orang Melayu. Abdullah menjadi pengkritik bangsa yang
berterus–terang dan konstruktif.
46. Malangnya hari ini ada di kalangan orang Melayu sendiri, mereka yang duduk
dalam keselesaan dan kemewahan, yang tidak pernah merasa kesusahan dan
penderitaan rakyat, mahu menjadi juara bagi pihak rakyat. Mereka terlupa bahawa
UMNO selama ini tidak sekadar melihat tetapi berada di lapangan, turun ke ceruk
kampung, menyelesaikan segala permasalahan rakyat. Kita bukan sekadar memerah
otak merancang strategi serta pelan tindakan untuk masa depan rakyat tetapi
bertindak, bekerja dan melaksanakan harapan rakyat. Dasar–dasar UMNO dan
kerajaan bukan dilakar dari kekosongan pandangan atau perbandingan teori tetapi
dibentuk oleh pemikiran yang mendalam, hasil perbincangan yang panjang serta
pengalaman yang telah diuji.
47. Kepada golongan ini, saya ingin mengingatkan agar mereka berfikiran lapang
dan terbuka. Perjuangan mengejar populariti atas isu–isu yang sensasi tidak
bertahan lama. Jikalau mereka mahu menjadi sebahagian dari proses membuat dasar,
marilah masuk ke gelanggang, kurang tapak tangan nyiru kita tadahkan. Janganlah
menjadi ayam yang berkokok di hujung kampung kerana golongan ini, ibarat pepatah
Melayu, bodoh tak boleh ditunjuk, pandai tak boleh diikut. Ingatlah nasihat
orang tua–tua:–
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa bergelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Macam bunga kembang tak jadi.
H. CABARAN MASA DEPAN PEMUDA UMNO – GENERASI MUDA
48. Hari ini lebih 12 juta rakyat negara ini berusia di bawah 24 tahun di mana
4.7 juta daripada mereka dalam usia formatif yang penting iaitu di antara 15 dan
24 tahun. Generasi ini mempunyai kapasiti intelek yang hebat, progresif,
berkeyakinan tinggi dan lebih terbuka kepada pembaharuan. Hakikatnya, generasi
ini berbeza daripada generasi sebelumnya kerana mereka tidak pernah menempuh
jerih perit perjuangan memerdekakan negara. Mereka menghayati perjuangan
kemerdekaan dari buku–buku sekolah dan pelbagai catatan sejarah lain. Sudah
pastilah penghayatan dan pemahamannya berbeza kerana hakikatnya mereka tidak
merasai dan melihat dengan mata sendiri peristiwa–peristiwa yang membentuk
kontrak sosial, Perlembagaan Negara dan proses penubuhan negara yang tercinta
ini.
49. Generasi ini juga membesar dalam era globalisasi yang meruntuhkan sempadan
di antara negara. Teknologi maklumat sudah pasti mempengaruhi pembentukan sikap,
nilai dan jati diri selain boleh merapuhkan pegangan agama, budaya dan semangat
kenegaraan yang diwarisi. Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi kerana jatuh
bangunnya bangsa dan negara pada masa hadapan akan ditentukan oleh generasi muda
hari ini. Keupayaan generasi pewaris ini memimpin negara satu hari nanti
bergantung kepada sejauh mana mereka dilengkapkan dengan asas, nilai, prinsip
dan pegangan yang betul.
50. Saya memilih untuk mengutarakan perkara ini kerana ia adalah tanggungjawab
dan keutamaan kita. Kita perlu bergerak lebih agresif untuk mendekati generasi
muda pada pelbagai peringkat. Ini penting kerana kita tidak boleh membentuk
suatu agenda pembinaan generasi muda masa depan yang tepat sekiranya kita tidak
memahami dan mengambil kira harapan dan aspirasi mereka.
Membuka seluas–luas ruang di dalam UMNO kepada semua
51. Pada masa yang sama, kita perlu membawa generasi muda untuk berada
bersama–sama kita dalam wadah UMNO. UMNO adalah sebuah organisasi demokratik
yang sentiasa membuka pintu kepada seluruh rakyat. Sejak dahulu lagi kita
menyaksikan keanggotaan ahli parti yang sentiasa memberi kekuatan kepada parti
dan perjuangan orang Melayu. Kita harus membuka ruang seluas–luasnya kepada
generasi muda hari ini sebagaimana generasi sebelumnya membuka ruang kepada kita
untuk berada di dalam bahtera UMNO.
52. Tidak wajar kepentingan politik diri atau kumpulan dijadikan pertimbangan
untuk menghalang generasi muda menyertai UMNO pada semua peringkat parti.
Sedarlah bahawa UMNO dan bangsa akan berada dalam kerugian sekiranya kita tidak
memberi ruang kepada sesiapa sahaja termasuk golongan muda Melayu yang mempunyai
minda terbaik (the best Malay mind). Sehubungan itu, adalah menjadi satu
tuntutan untuk kita melihat bukan sahaja dari aspek peraturan keahlian dan
struktur parti tetapi juga memastikan pelaksanaan dan realiti di semua peringkat
dalam parti bahawa UMNO sesungguhnya terbuka dan menjadi milik semua orang
Melayu.
53. Pada masa yang sama kita jangan lupa bahawa di luar sana terdapat jutaan
lain yang sebenarnya menyokong dasar dan perjuangan kita tetapi mereka bukan
ahli UMNO. Mereka ini terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera yang turut
sama mencorakkan senario politik negara. Mereka ini mengundi kita dalam pilihan
raya, meletakkan kepercayaan terhadap usaha dan dasar–dasar yang kita
laksanakan. Pada masa ini terdapat sekitar 3.3 juta ahli UMNO yang tentunya
tidak cukup untuk kita memenangi pilihan raya. Mereka meletakkan harapan yang
tinggi kepada kita dan mahukan kita mendengar keluh kesah mereka dan berkongsi
kegembiraan dengan mereka.
54. Pada waktu yang sama kita kecewa dengan sikap ahli–ahli UMNO yang menganggap
remeh tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Alangkah tragisnya kalau orang UMNO
sendiri yang membawa kad keahlian dan berbangga mendakwa sebahagian dari legasi
hebat UMNO, tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan
raya yang menentukan survival UMNO. Maka adalah menjadi tugas kita semua untuk
menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang saya anggap amat penting ini.
Ingatlah kita semua di dalam dewan ini adalah pemimpin yang mewarisi perjuangan
UMNO. Laksanakanlah tanggungjawab kepimpinan saudara–saudara dengan penuh
keikhlasan, kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bagi. Bak kata bijak
pandai Melayu, pemimpin itu;
Bagaikan kayu besar di tengah padang;
Rimbun daunnya tempat berteduh;
Kuat dahannya tempat bergantung;
Kukuh batangnya tempat bersandar;
Besar akarnya tempat bersila.
I. NILAI, SIKAP, PEGANGAN, CIRI–CIRI PEMIMPIN PEMUDA UMNO YANG DIHARAPKAN
55. Meskipun banyak usaha lagi yang perlu dilaksanakan, dasar UMNO selama ini
telah melahirkan bangsa Melayu yang berjaya ekonominya. Walaupun kita berbangga
dengan pencapaian ini tetapi kejayaan material sahaja tidak akan menguntungkan
bangsa untuk jangka masa panjang. Kita mahukan orang Melayu berjaya secara
menyeluruh. Tetapi saya risau apabila hari ini kemewahan melampau menjadi gaya
hidup baru sesetengah golongan di mana penanda aras kejayaan disandarkan
semata–mata kepada kekayaan dan kebendaan.
56. Saya menyentuh perkembangan ini kerana sudah kelihatan tanda–tanda
terhakisnya nilai–nilai murni di kalangan sebahagian orang Melayu. Apa yang
menjadi teras kekuatan bangsa Melayu selama ini seperti adab, sopan santun, budi
bahasa dan ramah mesra mulai hilang. Kerakusan dan kesombongan telah menjadi
sebahagian budaya mereka. Akibatnya mereka hilang jati diri, mereka lupakan
nilai–nilai murni dan hidup mereka berkiblatkan kebendaan. Seperti yang saya
nyatakan di awal tadi dalam konteks perjuangan parti, politik boleh menjadikan
seseorang terkenal, masyhur, hebat dan berkuasa tetapi kuasa boleh merosakkan
seperti juga kemasyhuran boleh melalaikan. Lalu kita mudah menjadi angkuh, rakus
dan lupa daratan.
57. Percayalah, kita perlu menjauhi sikap ini kerana jika kita gagal
menanganinya dengan segera segala yang dibina sejak sekian lama akan hancur dan
menjadi sia–sia. Allah S.W.T telah memberi peringatan melalui firmanNya dalam
surah Al Isra’ ayat 16 yang bermaksud:
"Apabila Kami (yakni Allah) hendak memusnahkan penduduk dalam sesebuah tempat
(yakni negara) maka Kami jadikan para pemimpinnya alpa dan lalai dengan segala
kenikmatan yang mereka perolehi sehingga mereka melakukan kerosakan terhadap
umat dan tempat (yakni negara) mereka. Maka datanglah perintah Allah kerana
murka di atas kelalaian mereka lalu Allah mendatangkan kehancuran terhadap
mereka."
58. Ingatlah firman Allah S.W.T ini sebagai panduan agar kita tidak tersasar
dari ajaranNya. Pemuda kini berada dalam kedudukan yang kuat dan teguh untuk
kita menunaikan amanah dan tanggungjawab parti. Hanya jikalau kuat dan bersatu
padu sahaja kita boleh teruskan perjuangan suci ini. Jangan kita persia–siakan
kedudukan kita ketika ini dan membiarkan diri kita hanyut dalam kemewahan,
kemasyhuran dan kekuasaan. Ini turut ditekankan oleh Rasulullah S.A.W yang
memandang berat kepada kekuatan dan kelebihan pada diri ketika berada di dalam
keadaan yang terbaik. Sabda baginda yang bermaksud:
"Ingatlah lima perkara, sebelum kamu ditimpa lima perkara iaitu sihat sebelum
sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, muda sebelum tua dan hidup
sebelum mati."
59. Justeru, saya mengajak saudara–saudara sekalian selaku pemimpin yang akan
mewarisi perjuangan dan pemimpin yang akan meneruskan pengekalan tampuk kerajaan
untuk membulatkan tekad setulus hati dan berikrar untuk bersama–sama Yang Amat
Berhormat Presiden melaksanakan agenda perdana ini. Sedarlah, Yang Amat
Berhormat Presiden telah menggariskan satu tanggungjawab besar untuk kita galas.
Misi Nasional telah dibina khusus untuk generasi masa depan. Misi yang bukan
dibentuk untuk dinikmati segera tetapi satu cetusan berani untuk dinikmati oleh
generasi terkemudian. Misi yang diilhamkan atas perasaan rasa tanggungjawab yang
ikhlas dan tulus demi masa depan anak bangsa. Misi yang lahir di atas ketakwaan
dan kesedaran bahawa kita hanya hamba yang dipinjamkan kebijaksanaan untuk
melunaskan amanah yang diberi. Misi yang terpancar di atas rasa syukur dengan
rahmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita selama ini bagi terus
dinikmati oleh generasi akan datang.
60. Dengan kekuatan dan kesepaduan Pemuda yang telah kita bina selama ini,
marilah kita genggam erat sumpah Pemuda untuk menjayakan Misi ini demi membela
bangsa, mendaulatkan agama dan membangunkan negara. Kitalah yang akan membentuk
masa depan bagi meneruskan kegemilangan negara untuk 50 tahun lagi. Kitalah
harapan seluruh rakyat Malaysia. Kitalah Pemuda Perjuangan.
Hidup UMNO!
Hidup Melayu!
Allahu Akhbar!
Allahu Akhbar!
Allahu Akhbar!
Walilah–ilham.
Teks Ucapan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
6 Nov 2007 8:29 pm