feed
Home arrow Articles & Judgments arrow Selected Judgments arrow TNB's right to cut power: Claybricks & Tiles Sdn Bhd v Tenaga Nasional Berhad 2006 [CA]
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
  • Malaysian Bar Web Ads
TNB's right to cut power: Claybricks & Tiles Sdn Bhd v Tenaga Nasional Berhad 2006 [CA] PDF Print E-mail
Thursday, 09 November 2006 12:00am

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA
RAYUAN SIVIL NO: J-02-892-2005
ANTARA
CLAYBRICKS & TILES SDN. BHD. ... PERAYU
DAN
TENAGA NASIONAL BERHAD … RESPONDEN
[Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Johor Bahru
Guaman No. 22-333-2005
Antara
Claybricks & Tiles Bhd. … Plaintif
Dan
Tenaga Nasional Berhad … Defendan]

Coram: Mokhtar bin Hj. Sidin, J.C.A.
Mohd Ghazali bin Mohd Yusoff, J.C.A.
Zulkefli bin Ahmad Makinudin, J.C.A.
PENGHAKIMAN MAHKAMAH

Permohonan

Ini adalah suatu permohonan oleh perayu [“plaintif di Mahkamah Tinggi”] melalui Notis Usul di Lampiran (4a) untuk suatu perintah Injunksi Erinford menghalang atau menyekat pihak responden [“defendan di Mahkamah Tinggi”] atau wakilnya memotong bekalan elektrik kepada premis perayu iaitu Claybricks & Tiles Sdn. Bhd., Batu 5, Jalan Mawai, 81900 Kota Tinggi, Johor, sementara menanti perdengaran rayuan yang telah dibuat oleh perayu terhadap keputusan Y.A. Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru
bertarikh 17.8.2005.

Fakta Kes

Fakta-fakta yang relevan berhubung dengan permohonan perayu ini adalah seperti berikut:

(i) Pada 7.12.2004 responden mengutuskan suatu surat kepada perayu mendakwa bahawa pemasangan meter elektrik di premis perniagaan perayu telah diusik dan memanggil perayu memberikan penjelasannya di pejabat responden. Semasa perbincangan di pejabat responden, perayu diberitahu pemeriksaan telah dijalankan oleh responden dan mendapati meter elektrik yang dipasang tidak dapat berfungsi dengan baik dan perayu dikehendaki membayar RM1,723,304.17 iaitu 30% kerugian yang dikira dari bulan Januari 2001. Surat tuntutan bayaran tersebut adalah bertarikh 10.12.2004. Melalui surat peguamcaranya perayu mempertikaikan dasar tuntutan responden tersebut.

(ii) Pada 12.5.2005 responden mengeluarkan notis pemotongan elektrik dan perayu diberikan tempoh hingga 23.5.2005 untuk menjelaskan tuntutan tersebut, sekiranya tidak, bekalan elektrik akan dipotong pada 24.5.2005. Perayu telah menghantar surat jawapannya bertarikh 17.5.2005 dan juga telah menghadiri perbincangan di pejabat responden pada 18.5.2005. Perayu kemudian diberitahu bahawa bekalan elektrik di premis tersebut akan dipotong.

(iii) Perayu kemudian memfailkan tuntutan Guaman Sivil No. 22-333-2005 di Mahkamah Tinggi Johor Bahru terhadap responden. Perayu juga melalui Saman Dalam Kamar memohon suatu perintah injunksi ex-parte dikeluarkan untuk menghalang responden atau wakilnya memotong bekalan elektrik ke premis perniagaan perayu. Pada 20.5.2005 Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan perayu dan memerintahkan ex-parte injunksi dikeluarkan. Y.A. Hakim telah menetapkan 1.6.2005 untuk perbicaraan permohonan secara inter-parte. Pendengaran telah ditangguhkan ke 1.8.2005 dan seterusnya ke 17.8.2005.

(iv) Pada 17.8.2005 setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, Y.A. Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan perayu dan mengenepikan perintah injunksi ex-parte tersebut. Y.A. Hakim berpendapat tiada isu serius yang perlu dibicarakan oleh sebab seksyen 38(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 [“Akta tersebut”] memberi hak penuh interim kepada responden untuk memotong bekalan dan perayu mempunyai remedi lain terhadap responden sekiranya pemotongan itu adalah mala fide.

Pihak perayu melalui afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Tan Sim Tee @ Tang Hui Chiang telah mengemukakan alasan-alasan permohonan bagi Lampiran (4a) antara lainnya seperti berikut:

(i) Terdapat isu bona fide yang perlu dibicarakan.

(ii) Meter elektrik dan komponennya yang terletak di dalam satu bilik khas “meter reading room” berada dalam jagaan dan kawalan responden.

(iii) Kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan bilik meter telah dijalankan dari semasa ke semasa oleh responden dan pada hujung tiap-tiap bulan bacaan meter telah diambil oleh pekerja responden dan perayu telah dikenakan caj yang dipersetujui.

(iv) Samada satu kesalahan telah dilakukan di bawah seksyen 37 Akta tersebut adalah satu isu serius yang bona fide perlu dibicarakan. (v) Jika responden tidak dihalang akan menyebabkan urusniaga perayu terhenti dan pelanggan serta pekerja perayu hilang kepercayaan kepada perayu.

Pihak responden melalui afidavit balasan mereka membantah terhadap permohonan perayu di Lampiran (4a) dan antara lainnya menyatakan seperti berikut:

(i) Permohonan perayu ini adalah salah di segi undang-undang kerana permohonan yang sama telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 17.8.2005.

(ii) Jangka bagi tenaga elektrik yang dibekalkan kepada perayu oleh responden adalah dipasang dalam satu bilik di kilang perayu di mana perayu mempunyai kawalan dan pengurusan.

(iii) Melalui satu pemeriksaan di premis perayu dengan kehadiran perayu sendiri responden mendapati bahawa jangka tersebut telah diusik dan ia hanya merekodkan sebahagian amaun tenaga elektrik yang digunakan.

(iv) Ujian pemeriksaan ketepatan telah dijalankan oleh responden di mana perbandingan penggunaan amaun tenaga elektrik dibuat antara jangka perayu dengan jangka responden.

(v) Hasil ujian tersebut mendapati amaun tenaga elektrik yang direkodkan oleh jangka perayu adalah 30% lebih rendah daripada jangka semak responden.

(vi) Setelah laporan penuh siap, responden telah membuat pengiraan semula amaun tenaga elektrik yang digunakan oleh perayu dan memaklumkan kepada perayu mengenai hal tersebut.

(vii) Pada 11.5.2005 satu operasi oleh pihak ketiga [Team Seal] telah dijalankan untuk memastikan kebenaran pengusikan jangka oleh pihak perayu tetapi pihak responden telah dihalang masuk oleh perayu. Responden hanya dibenarkan masuk apabila mereka membuat laporan polis dan diiringi oleh polis bersenjata. Responden kemudian mendapati terdapat pengusikan jangka oleh pihak perayu bagi kali kedua di mana terdapat “sambungan” tambahan yang tidak sah pada sistem pengjangkaan responden.

(viii) Responden mempunyai kuasa untuk memotong bekalan tenaga elektrik kepada perayu yang telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 37 Akta tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan

Kami berpendapat bahawa Y.A. Hakim Mahkamah Tinggi yang membicarakan kes ini telah memutuskan dengan betul apabila pada 17.8.2005 Y.A. Hakim menolak permohonan perayu dan mengenepikan perintah ex-parte injunksi tersebut. Y.A. Hakim Mahkamah Tinggi telah mendapati bahawa tiada terdapat isu-isu serius bona fide yang perlu dibicarakan. Isu utama yang dibangkitkan oleh pihak perayu di Mahkamah Tinggi dan sekali lagi di hadapan kami di Mahkamah Rayuan adalah mengenai pemakaian peruntukan seksyen 38 Akta tersebut.

Peguam perayu telah berhujah bahawa responden adalah tertakluk kepada suatu duti statutori untuk membekal elektrik apabila diminta berbuat demikian oleh pemilik atau penghuni mana-mana premis seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 24 Akta tersebut. Seterusnya peguam perayu menyatakan bahawa responden tidak boleh mengambil tindakan memotong bekalan elektrik di bawah seksyen 38 Akta tersebut selagi kesalahan-kesalahan di bawah seksyen 37(1), 37(3) atau 37(14) Akta tersebut tidak dibuktikan dan pengguna itu disabitkan di Mahkamah. Seksyen 38(1) Akta tersebut memperuntukkan seperti berikut:

“Jika mana-mana orang yang diambil kerja oleh pemegang lesen mendapati keterangan di manamana premis yang pada pendapatnya membuktikan bahawa suatu kesalahan telah dilakukan di bawah seksyen 37(1), 37(3) atau 37(14), pemegang lesen atau mana-mana orang yang diberi kuasa sewajarnya oleh pemegang lesen boleh dengan memberi notis tidak kurang daripada dua puluh empat jam, dalam apa-apa bentuk sebagaimana yang ditetapkan, menyebabkan bekalan tenaga dipotong daripada premis tersebut.”

Peguam perayu telah mengemukakan kes Dai-Ichi Electronis (M) Sdn. Bhd. lwn. Tenaga Nasional Berhad [1996] 4 MLJ 506 untuk menyokong hujahnya mengenai pemakaian peruntukan seksyen 38(1) Akta tersebut. Dalam kes tersebut Y.A. Hakim Vincent Ng berpendapat bahawa tindakan untuk memotong bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad [“TNB”] hanya boleh dilaksanakan setelah pengguna itu dibuktikan melalui keterangan di Mahkamah telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 37(1), (3) atau (14) Akta tersebut. Menurutnya perkataan “membuktikan” di dalam seksyen 38(1) Akta tersebut membayangkan pembuktian di hadapan Mahkamah undang-undang dan bukannya di hadapan seorang pekerja TNB. Dengan hormatnya kami tidak dapat bersetuju dengan tafsiran tersebut. Pada pandangan kami peruntukan seksyen 38(1) Akta tersebut tidak memerlukan kesalahan dibuktikan dahulu di Mahkamah sebelum tindakan memotong bekalan elektrik boleh dilakukan oleh TNB.

Dalam halperkara ini kami lebih cenderong untuk menerima dan bersetuju dengan tafsiran dan pandangan yang dibuat dalam kes Tan Yeong Kim lwn. Tenaga Nasional Berhad [2000] 8 CLJ 629 di mana Y.A. Hakim Alauddin Mohd. Sheriff [Y.A. pada masa itu] telah menyatakan antara lain bahawa seksyen 38(1) Akta tersebut tidak memerlukan satu pembuktian kesalahan oleh Mahkamah sebagai pra-syarat sebelum kuasa pemotongan dapat dilaksanakan oleh TNB sebagai pemegang lesen. Seterusnya Y.A. Hakim menyatakan ianya digubal sebegitu rupa untuk memberi kuasa efektif kepada TNB memberhentikan dengan segera sebarang kesalahan yang berlaku dan tidak dibiarkan berlarutan.

Kami perlu menyatakan di sini bahawa peruntukan seksyen 38(1) Akta tersebut adalah jelas dan terang di mana proses Mahkamah tidak diperlukan untuk menentukan samada sesuatu kesalahan telah dilakukan sebelum tindakan di bawah seksyen tersebut boleh diambil. Sekiranya proses pembuktian kesalahan melalui Mahkamah diperlukan ianya akan mengambil masa yang lama sebelum kuasa di bawah seksyen 38(1) dapat digunakan. Kami berpendapat seksyen 38(1) Akta tersebut telah diperuntukkan secara spesifik untuk menjaga kepentingan TNB dan membolehkan TNB bertindak cepat dan dengan itu dapat mencegah penyalahgunaan seperti pencurian bekalan elektrik yang dibekalkan oleh TNB. Jika badan perundangan berniat bahawa pembuktian kesalahan melalui Mahkamah diperlukan sebelum kuasa di bawah seksyen 38(1) Akta tersebut dapat digunakan, maka peruntukan yang jelas harus dibuat mengenainya. Bagaimanapun tiada peruntukan seperti itu dibuat. Adalah pandangan kami
tafsiran yang cuba diketengahkan oleh peguam perayu tidak dapat diterima kerana jika Mahkamah ini berbuat demikian dengan memasukkan perkataannya sendiri untuk dipakai ke dalam Akta, ianya adalah bertentangan sama sekali dengan segala prinsip pentafsiran statut.

Mengenai dakwaan perayu bahawa responden telah bertindak secara mala fide dalam proses pemotongan bekalan elektrik tersebut dan penyata bertulis yang dikemukakan oleh responden bagi kehilangan hasil sebanyak RM1,723,304.17 yang dikatakan oleh perayu sebagai tidak tepat dan dipertikaikan, kami berpendapat isu-isu ini jika ianya mempunyai merit sekalipun hendaklah dibangkitkan oleh perayu di dalam forum atau kausa tindakan yang lain. Adalah pandangan kami perayu tidak boleh mempersoalkan kuasa yang diberikan kepada responden berhubung pemotongan bekalan elektrik dan seterusnya kuasa responden menuntut bayaran-bayaran yang dikenakan terhadap perayu apabila responden telah membuat kiraan semula jumlah penggunaan elektrik yang sebenarnya. Perayu adalah terikat dengan syarat-syarat yang terkandung di dalam kontrak bekalan bertarikh 25.5.1995 yang ditandatangani antara perayu dan responden di mana perayu hendaklah mematuhi kehendak Akta tersebut dan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

Penutup

Atas alasan-alasan yang telah dihuraikan seperti di atas kami berpendapat dan memutuskan bahawa perayu tidak berhak mendapat perintah seperti yang dipohon. Permohonan perayu di Lampiran (4a) adalah dengan itu ditolak dengan kos.


(DATO’ ZULKEFLI BIN AHMAD MAKINUDIN)
Hakim
Mahkamah Rayuan
Bertarikh: 8hb. November 2006.

Peguam bagi pihak Perayu:
Encik Ang Boon Heng.
Peguamcara bagi pihak Perayu:
Tetuan Ang & Co.

Peguam bagi pihak Responden:
Cik K. C. Lu.
Peguamcara bagi pihak Responden:
Tetuan Shahrizat Rashid & Lee

www.malaysianbar.org.my

 
< Prev   Next >
Seminar on the Fundamentals of Conveyancing (24 Feb 2012)
Organised by the Kuala Lumpur Bar Professional Development Committee, this seminar featuring Jeremiah R Gurusamy will take place at 3:00 pm, at the Kuala Lumpur Bar Auditorium, on 24 Feb 2012 (Friday). Click on the link above for more details.
Your Login


We have 221 guests online

Teoh Beng Hock's family gets leave to appeal

Kamal Hisham Ja'afar



show last 4hrs - 24hrs
There are no upcoming events currently scheduled.
View Full Calendar
January 2012 February 2012 March 2012
Su Mo Tu We Th Fr Sa
Week 5 1 2 3 4
Week 6 5 6 7 8 9 10 11
Week 7 12 13 14 15 16 17 18
Week 8 19 20 21 22 23 24 25
Week 9 26 27 28 29
Google