Articles & Judgments
Selected Judgments
MOORTHY'S CASE::Kaliammal Sinnasamy lwn. Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain 2005 [HCKL] | MOORTHY'S CASE::Kaliammal Sinnasamy lwn. Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain 2005 [HCKL] |
|
|
|
| Wednesday, 28 December 2005 12:31pm | |
|
KALIAMMAL SINNASAMY LWN. PENGARAH JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN & YANG LAIN Raus Sharif H: 1. Melalui saman pemula bertarikh 21 Disember 2005, pemohon, memohon untuk perintah-perintah seperti berikut:- (a) Suatu deklarasi bahawa pemohon adalah isteri yang sah kepada Moorthy a/l Maniam (simati) sehingga pada tarikh kematiannya pada 20 Disember 2005; (b) Suatu deklarasi bahawa simati adalah seorang beragama Hindu, dan mengikuti adat serta agama Hindu sebelum kematiannya; (c) Suatu deklarasi bahawa simati adalah seorang bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya; (d) Suatu deklarasi bahawa segala dokumen-dokumen penukaran agama simati kepada agama Islam adalah tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal; (e) Suatu perintah mengarahkan responden kedua dan/atau Hospital Besar Kuala Lumpur dengan sendiri dan/atau melalui ejen mereka dan/atau melalui pekerja dan/atau wakil mereka menyerahkan dan/atau melepaskan dan/atau memberikan jenazah simati dengan serta-merta kepada pemohon untuk upacara pengkebumian; (f) Suatu perintah injunksi melarang responden pertama daripada mengambil dan/atau menuntut jenazah simati daripada responden kedua dan/atau menahan responden pertama daripada menuntut jenazah simati dengan apa jua cara sekalipun dari responden kedua; (g) Suatu perintah injunksi interim melarang responden pertama daripada mengambil dan/atau menuntut jenazah simati daripada responden kedua dan/atau menahan responden pertama daripada menuntut jenazah simati dengan apa cara sekalipun dari responden kedua sehingga keputusan muktamad oleh mahkamah ini. 2. Pemohon adalah isteri simati. Di dalam afidavit sokongannya di kandungan 2, pemohon antara lain mengikrarkan perkara-perkara berikut:- (i) Beliau telah berkahwin dengan simati pada 25 November 1995 di kuil Ramer, Taman Selayang; (ii) Simati menganut agama Hindu dan mengamalkan semua adat-adat agama Hindu pada setiap masa; (iii) Pada tahun 1998, simati telah terlibat dalam suatu kemalangan di Kem Tentera Sungai Udang, Melaka dan berikutan dengan kemalangan itu beliau telah lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah dan dengan itu terpaksa menggunakan kerusi roda. Sejak kemalangan itu beliau sentiasa sakit dan daya ingatannya sentiasa hilang; (iv) Pada 11 November 2005, simati telah jatuh dari kerusi rodanya apabila sedang melawat pusat orang-orang kurang upaya di Rawang. Sejak itu simati telah berada dalam keadaan koma dan beliau dimasukkan ke Hospital Selayang; (v) Pada 1 Disember 2005 beliau telah dimaklumkan oleh Mejar Shukri bin Haji Yahaya bahawa simati telah memeluk agama Islam dan memaklumkan sekiranya apa-apa berlaku ke atas simati maka pihak Majlis Agama Islam yang akan menguruskan jenazahnya; (vi) Beliau terkejut mendengar berita itu. Menurutnya sepanjang perkahwinannya dengan simati, simati adalah seorang penganut agama Hindu yang taat, di mana simati sering bersembahyang di kuil, menyertai upacara keagamaan Thaipusam di Batu Caves (membawa "paal kodam" dan membayar niat dengan mencukur rambut) menggunakan abu suci yang dikenali sebagai 'tirunuru' dan lain-lain lagi; (vii) Simati dalam tahun 2005 dengan menggunakan kerusi rodanya telah menyertai perarakan ke Batu Caves dengan membawa "paal kodam" di mana anggota-anggota RELA telah membantunya dengan mengangkat simati bersama-sama kerusi roda dari tapak kuil ke atas Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves untuk memenuhi nazarnya; (viii) Sepanjang perkahwinan dengan simati, beliau selalu melihat simati makan daging khinzir, minum minuman keras dan perbuatan-perbuatan lain yang menunjukkan bahawa simati adalah bukan seseorang yang telah memeluk agama Islam. Misalnya pada 1 November 2005 abang beliau bernama Gopal telah membelikan sekotak minuman alkohol untuk simati dan simati telah minum alkohol tersebut bersama-sama tetamu-tetamu yang lain; (ix) Simati tidak berkhatan dan tidak pernah pada bila-bila menyertai mana-mana kursus masuk Islam; (x) Sekiranya benar bahawa simati telah menukar agama ke agama Islam ia telah dibuat atas satu dorongan yang tidak berpatutan dan bukannya secara sukarela memandangkan simati merupakan seorang yang kurang upaya; 3. Terdapat dua lagi afidavit sokongan yang difailkan di dalam permohonan ini, iaitu afidavit Chandiran a/l Periasamy (kandungan 3), rakan karib simati dan Tenmuli a/p Manian (kandungan 4) kakak kepada simati. Kedua-dua afidavit tersebut pada asasnya menyokong apa yang diperkatakan oleh pemohon. 4. Pengarah Hospital Kuala Lumpur Dr. Azmi bin Shapie (responden kedua) di dalam afidavitnya telah mengikrarkan antara lain perkara-perkara yang berikut: (i) Simati telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dari Hospital Selayang pada 12 November 2005 dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada 20 Disember 2005; (ii) Satu perbincangan telah diadakan yang melibatkan pegawai-pegawai Hospital Kuala Lumpur dan pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan keluarga/wakil keluarga simati bagi menjelaskan kedudukan agama simati sebelum kematiannya. Dari perbincangan itu beliau telah menjelaskan kepada pemohon/keluarga simati bahawa beliau tidak akan menyerahkan jenazah simati kepada mana-mana pihak sehingga beliau mendapat perintah dari pihak yang berkuasa mengenai status agama simati. Keengganan beliau untuk menyerahkan jenazah simati kepada pemohon dan keluarganya adalah kerana ada tuntutan dari pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ke atas jenazah simati atas alasan simati beragama Islam; (iii) Pada 22 Disember 2005, beliau telah diserahkan dengan sesalinan perintah/penghakiman termeterai Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang antara lain mengesahkan bahawa simati adalah seorang Islam dengan nama Islamnya Mohamad bin Abdullah dan pihak-pihak yang menjaga mayat tersebut diperintahkan untuk menyerahkan jenazah simati kepada Majlis Agama Islam untuk dikebumikan mengikut hukum syarak; (iv) Setelah menerima perintah tersebut beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk membuat persiapan bagi menyerahkan jenazah simati kepada Majlis Agama Islam pada 23 Disember 2005; (v) Namun begitu oleh kerana pertikaian mengenai hak kepada jenazah simati di mana keadaan di sekitar bilik mayat Hospital Kuala Lumpur didapati tegang maka atas nasihat Pejabat Penasihat Undang-Undang Kementerian Kesihatan, beliau menyimpan jenazah simati di bilik mayat Hospital Besar, Kuala Lumpur sehingga pendengaran saman pemula pemohon oleh mahkamah ini. 5. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Majlis) iaitu responden pertama di dalam saman pemula ini melalui Haji Che Mat bin Che Ali, iaitu Setiausaha Majlis telah mengikrarkan perkara-perkara berikut:- (i) Simati, seorang anggota tentera, telah memeluk agama Islam di Pejabat Agama Kem Kementah dan memakai nama Mohamad bin Abdullah dan telah mendaftarkan pemelukan agama Islamnya kepada pihak Majlis selaras dengan kehendak Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah) Persekutuan 1993 berkaitan dengan permohonan untuk masuk agama Islam; (ii) Apabila simati meninggal dunia pada 20 Disember 2005 pihak Majlis telah pergi untuk menuntut jenazah simati bagi dikebumikan menurut hukum syarak; (iii) Terdapat halangan dari keluarga simati, dan suatu perbincangan telah diadakan di pejabat responden kedua. Hasil perbincangan tersebut responden kedua telah menyatakan bahawa jenazah tersebut hanya akan diserahkan kepada pihak yang berhak setelah mendapat perintah daripada pihak berkuasa; (iv) Justeru itu Majlis telah memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melalui Kes No. 14100-099-0090-2005 dan pada 22 Disember 2005 Mahkamah Syariah telah mengeluarkan satu perintah yang menyatakan antara lain bahawa:- (a) Simati adalah seorang Islam; (b) Simati hendaklah dikebumikan menurut kehendak agama Islam dan hukum syarak; (c) Mana-mana pihak yang menjaga jenazah hendaklah menyerahkan kepada Majlis untuk dikebumikan dengan segera menurut kehendak agama Islam dan hukum syarak; (v) Simati setelah memeluk agama Islam tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk keluar daripada Agama Islam mengikut hukum syarak dan tiada sebarang perintah Mahkamah Syariah yang menyatakan bahawa simati bukan seorang Islam. 6. Pemohon di dalam afidavit balasannya di kandungan 10 telah secara keseluruhannya mempertikaikan kenyataan di dalam afidavit Haji Che Mat bin Che Ali dan sekali lagi menegaskan bahawa simati tidak pada bila-bila masa memeluk agama Islam sebaliknya adalah beragama Hindu. 7. Jadi terdapat pertikaian fakta mengenai agama yang dianuti oleh simati sebelum kematian simati. Pada pemohon simati adalah penganut agama Hindu dan mengamalkan semua adat-adat agama Hindu sepanjang masa. Secara alternatif pemohon menyatakan bahawa sekiranya benar simati telah menukar agama ke agama Islam maka ia telah dibuat atas satu dorongan yang tidak berpatutan dan bukan secara sukarela memandangkan semati merupakan seorang yang kurang upaya. Dengan itu, pemohon mahukan jenazah simati dilepaskan dan diberikan kepadanya untuk upacara pengkebumian mengikut upacara yang ditentukan oleh pemohon. 8. Di pihak Majlis pula, simati adalah seorang yang telah memeluk agama Islam. Sebagai pengesahan, Majlis telah mengemukakan perintah Mahkamah Syariah, Kuala Lumpur bertarikh 22 Disember 2005, yang menyatakan bahawa simati adalah seorang Islam dan menghendaki simati dikebumikan menurut kehendak agama Islam dan hukum syarak. 9. En. Fakrol Azman Abu Hassan, peguam yang bijaksana yang mewakili Majlis pada asasnya berhujah bahawa mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan berkaitan dengan perintah-perintah yang dipohon oleh pemohon seperti di saman pemula pemohon kerana ianya adalah berkaitan kesahan pemelukan agama Islam yang merupakan perkara di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. 10. En. Mohamad Naser, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden kedua dan ketiga mengambil pendirian yang sama. Beliau menambah bahawa memandangkan adanya perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur yang telah memutuskan bahawa simati adalah seorang Islam, maka mahkamah ini tidak boleh digunakan sebagai forum untuk mempertikaikannya. Menurut En. Mohamad Naser bahawa mahkamah ini tidak boleh melakukan satu proses semakan kehakiman untuk menentukan kesahan perintah Mahkamah Syariah tersebut. 11. En. M. Manoharan, peguam utama yang mewakili pemohon pada asasnya berhujah bahawa mahkamah ini sememangnya mempunyai bidangkuasa untuk menentukan perintah-perintah yang dikemukakan oleh pemohon. Menurutnya pemohon adalah seorang yang bukan beragama Islam. Sebagai seorang yang bukan beragama Islam, mahkamah inilah yang mempunyai bidangkuasa untuk menentukan perintah-perintah yang dipohon dan bukannya Mahkamah Syariah. 12. En. M. Manoharan juga membangkitkan perkara-perkara berikut:- (i) Majlis tidak ada locus standi untuk menuntut mayat simati; (ii) Mahkamah Tinggi Syariah, tidak mempunyai bidangkuasa untuk memberikan perintah-perintah yang diberikan; (iii) Haji Che Mat bin Che Ali, yang mengikrarkan afidavit bagi pihak Majlis, tidak layak membuat afidavit tersebut; (iv) Tidak dikemukakan bukti-bukti oleh Majlis untuk menunjukkan bahawa simati telah memeluk agama Islam; (v) Perintah yang diperolehi oleh Majlis dari Mahkamah Tinggi Syariah yang menyatakan antara lain simati adalah seorang Islam adalah tidak sah kerana dibuat secara ex parte dan dibuat atas nama Majlis; dan (vi) Pernyataan-pernyataan pemohon di perenggan 15 hingga 21 afidavit sokongan pemohon yang menyatakan simati melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam, tidak disangkal oleh responden-responden. 13. Pada saya, meneliti perintah-perintah yang dipohon oleh pemohon di dalam saman pemulanya, perkara pokok atau pun isu utama yang berbangkit di dalam saman pemula ini adalah mengenai penentuan kesahan pemelukan agama Islam oleh simati. Persoalannya adakah mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada simati dengan sahnya telah memeluk agama Islam. En. M. Manoharan, dalam menyokong hujahnya bahawa mahkamah ini mempunyai bidangkuasa, telah merujuk kepada kes Ng Wan Chan v. Majlis Ugama Islam Wilayah Persekutuan & Anor [1991]. Di dalam kes tersebut, terdapat pertikaian sama ada simati seorang yang beragama Buddha telah dengan sahnya memeluk agama Islam. Eusoff Chin 'J' (pada masa itu) berdasarkan keterangan yang dikemukakan dalam kes tersebut telah memutuskan bahawa tidak terdapat keterangan yang konklusif untuk menunjukkan simati telah memeluk agama Islam. Dengan itu beliau telah mengisyhtiharkan bahawa simati ialah seorang penganut agama Buddha semasa ia hidup dan pada masa ia meninggal. Jadi menurut En. M. Manoharan, Mahkamah ini boleh mengambil pendekatan yang sama dengan memutuskan bahawa tidak terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa simati adalah seorang yang telah memeluk agama Islam kerana pihak Majlis tidak mengemukakan sebarang dokumen untuk menunjukkan simati telah berbuat sedemikian. 14. Dengan hormatnya saya tidak dapat mengambil pendekatan yang sama seperti yang diputuskan oleh Eusoff Chin 'J' di dalam kes Ng Wan Chan. Pada saya di dalam kes ini berbanding dengan kes Ng Wan Chan, terdapat perintah Mahkamah Syariah yang dengan jelasnya memutuskan pada 22 Disember 2005 bahawa simati adalah seorang Islam dan namanya ialah Mohamad bin Abdullah. Pada saya Mahkamah Syariah adalah mahkamah yang mempunyai bidangkuasa dan kompetensi untuk menentukan kesahan pemelukan simati itu ke agama Islam. Dengan itu Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa dan tidak boleh bertindak untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Syariah itu. 15. Isu tersebut telah pernah diputuskan oleh KC Vohrah 'J' di dalam kes Nor Kursiah binti Baharuddin v. Shahril bin Lamin & Anor [1997], semasa membincangkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah, telah memutuskan antara lain bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh mengkaji semula atau mempersoalkan kesahan suatu perintah berkuatkuasa yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Syariah. 16. Mengenai isu yang sama, Abdul Hamid Mohamad HMR (pada masa itu) semasa menyampaikan penghakiman Mahkamah Rayuan di dalam kes Kamariah binti Ali lwn. Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan 1 lagi [2002] dalam membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan telah menyatakan:-
17. Saya menerimapakai prinsip yang diputuskan di dalam kedua-dua kes tersebut. Pada saya, memandangkan di dalam kes ini Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa simati adalah seorang Islam, maka mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Syariah atau tidak menghiraukan sama sekali perintah tersebut. 18. Di Wilayah Persekutuan terdapat peruntukan yang nyata dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) mengenai isu pemelukan agama Islam. Bahagian IX Akta 505 menghuraikan dengan jelas prosedur pemelukan Islam. Oleh itu, sudah tentu mahkamah yang mempunyai bidangkuasa dan kompeten untuk menentukan apa-apa perkara yang timbul di dalam Akta 505, seperti kesahan pemelukan seseorang itu ke agama Islam adalah Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil. Ini adalah selari dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis. 19. Saya juga berpendapat bahawa walaupun pemohon melalui afidavit-afidavit yang difailkan cuba menunjukkan bahawa simati dalam tempoh yang dikatakan simati telah memeluk agama Islam, telah mengambil bahagian dalam upacara keagamaan Hindu, dan melakukan perkara yang bertentangan dengan agama Islam atau tidak melakukan perkara seperti yang sepatutnya dilakukan oleh orang Islam, tetapi perkara-perkara tersebut adalah persoalan mengenai undang-undang Islam. Sekali lagi bidangkuasa untuk menentukan perkara-perkara seperti itu adalah Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil. 20. Berdasarkan alasan-alasan di atas, mahkamah ini hanya dapat membenarkan permohonan pemohon berkaitan relif di perenggan (a) Saman pemula iaitu pemohon adalah isteri yang sah kepada simati sehingga pada tarikh kematiannya, pada 20 Disember 2005. Relif-relif lain seperti yang dipohon di perenggan (b) hingga (g) saman pemula adalah ditolak. 21. Dalam keadaan kes ini, saya mengarahkan pihak-pihak untuk menanggung kos masing-masing.
|
| < Prev | Next > |
|---|


























