I have been faxed a copy of the text that was read out by HRH the Tengku Mahkota of Kelantan as well as the recording of the speech.
This is the full text as read out by HRH on Saturday. (emphasis mine).
Assalamualaikum Warahmatullahitaala Wabarakatuh.
Bismillahir Rahmani Rahim
Reads Surah Ali Imran Ayat 26
Katakanlah wahai Muhammad, Ya Allah Tuhan yang empunya kuasa pemerintah, engkau kurniakan pemerintahan kepada orang yang engkau kehendaki. Engkau lucutkan pemerintahan daripada orang–orang yang engkau kehendaki. Engkau muliakan orang–orang yang engkau kehendaki dan Engkau kecewakan dan hinakan orang–orang yang engkau kehendaki. Di bawah kuat engkau maha kuasa segala kebaikan dan juga keburokan. Sesungguhnya engkau maha kuasa atas segala sesuatu.
Surah Ali Imran Ayat 26
Segala puji2an hanya milik
Allah, Tuhan semesta alam; Tuhan yang maha mengetahui lagi maha adil lagi
maha kaya, menyeru supaya hamba–hambanya melaksanakan keadilan dan
sama sekali menjauhi kezaliman. Selawat dan
salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga serta
sahabat baginda, semoga memperoleh ihsan dihari kebangkitan.
2. Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin
dan inayahnya jua, saya dapat berkumpul untuk menzahirkan ucapan di Majlis
Perhimpunan Perpaduan Melayu pada pagi yang mulia ini. Usaha yang dirintis
oleh Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) menganjurkan perhimpunan ini
amatlah saya hargai.
3. Saya juga berkenan dengan matlamat, misi dan objektif Badan Bertindak
Perpaduan Melayu kerana pada ketika ini kedudukan rakyat dari kalangan orang
Melayu Islam tercabar. Perpaduan Melayu wajar diberi keutamaan yang tinggi,
lebih–lebih lagi ketika keputusan Pilihanraya Umum Malaysia
ke–12 menunjukkan masyarakat Melayu berpecah belah merebut kekayaan dunia
yang bersifat sementara dan sekali gus lupa pada akhirat.
4. Melihatkan tindak tanduk dan karenah mereka yang menang dan juga yang
kalah, memberi petunjuk bahawa kedaulatan dan ketuanan Melayu Islam amat
tercabar. Mungkinkah ianya akan terhakis atau hilang terus?
5. Rakyat melayu semakin keliru dipengaruhi lumrah dunia hidup semasa.
Dimanakah benteng kekuatan melayu untuk mempertahankan hak–hak Islam dan
Ketuanan Melayu.
6. Saya ingin menegaskan bahawa perkara utama yang
harus diketahui dan difahami oleh semua orang ialah peruntukan perlembagaan
bahawa orang Melayu adalah penduduk asal Negeri–negeri Melayu, yang dijamin
hak istimewa sebagai rakyat Malaysia. Disamping itu, Perkara 153(1), Perkara
160(2), Perkara 3(1), Perkara 152, Perkara 32 dan Perkara 38(1), Jadual
kelima, berkaitan hak dan ketuanan Melayu mesti dipertahankan iaitu agama
Islam adalah agama rasmi Malaysia, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai Bahasa
Kebangsaan negara Malaysia dan Raja–raja Melayu adalah Raja Berpelembagaan
dan juga Ketua Ugama, Insya Allah, di negeri–negeri yang menjadi sebahagian
daripada Malaysia. Perkara–perkara ini bukan sahajalah perlu dipertahankan
tetapi juga dijadikan tiang seri atau tonggak kepada kelansungan Ketuanan
Melayu Islam.
7. Adalah menjadi tanggungjawab rakyat melayu ISLAM
memastikan perkara–perkara yang saya sebutkan tadi dipelihara dan
dipertahankan sepanjang masa. Jangan ada mana–mana pihak yang menggugatnya
dengan mempertikaikan Al Quran dan Hadith–Hadith. Orang–orang Melayu
perlulah membulatkan tekad bersatu, jangan berpecah belah. Elakkan dari
berpolemik yang boleh menjarakkan persefahaman sesama sendiri. Isu–isu
ideologi, remeh temeh tafsiran pendapat yang pelbagai kesemuanya tidak
menyumbang kepada perpaduan Melayu. Membincangkan polemik Negara Islam,
Negara Sekular, Negara Kebajikan, menyebabkan rakyat menjadi semakin kabur.
Ramai yang terpesong. Akibat daripada kekalutan ini, timbul satu senario di
mana orang–orang Melayu semakin terasing, menjarak dan menjauh. Kelemahan
orang Melayu disebabkan kelemahan Iman dan Aqidah.
8. Saya amat sedih kerana dalam keadaan sekarang tidak ada yang baik
dikaitkan dengan Islam. Kita membiarkan diri kita didedahkan, diaibkan dan
dimalukan. Malah, nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita dapat
menunjukkan kelemahan bangsa dan agama sendiri. Siapa sahaja yang berjaya
mesti dicari cacat celanya. Tidak cukup dengan Internet ditambah dengan
khidmat pesanan ringkas (SMS). Teori propaganda menyebut, sepuluh kebohongan
akan menjadi kebenaran, teori komunikasi moden pula menyebutkan bahawa
setiap e–mail dianggap benar, setiap SMS dianggap sahih. Banyak
berita–berita dan peristiwa–peristiwa negatif yang lain; yang ditonjolkan
oleh Melayu seolah–olah orang Melayu menjadi punca segala penyakit
masyarakat seperti korupsi, dadah dan sebagainya. Orang lain diam
menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang beragama Islam, menjadikan
kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi pertama. Sebab kita tidak
bersatu dan kita semua kadang–kadang suka jaga tepi kain orang.
9. Saya membangkitkan perkara ini semua adalah semata–mata untuk menunjukkan
umat Melayu amat rapuh perpaduannya dan mudah melenting. Keadaannya semakin
hari semakin bertambah parah. Saya berharap perhimpunan pada pagi ini
memikirkan bagaimana hendak menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa berjiwa
besar. Kita mesti ada jiwa penakluk. Tetapi bolehkah kita menjadi bangsa
yang berjiwa penakluk? Dengan sikap dan pendirian yang kita pegang hari ini,
apakah kita bersedia dengan kemahiran dan kepandaian seperti bangsa maju di
dunia?
10. Berjiwa penakluk disini bukan bermakna menakluk bangsa
atau kaum lain, bukan juga menakluk negara2 lain. Maksud saya ialah Melayu
berjiwa penakluk adalah bangsa yang menakluk ketinggian ilmu, penguasaan
ekonomi dan teknologi, keunggulan tamadun, keluhuran iman dan takwa. Kita
juga perlu jadi bangsa penakluk yang dapat tewaskan nafsu dari segala aspek,
rasa iri hati dan hasad dengki yang membuatkan kita lupa diri apabila
berkuasa.
Firman Allah dalam surah Yaasin Ayat 83 maksudnya:
Oleh itu, akuilah kesucian Allah yakni dengan mengucap subhanallah. Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap2 sesuatu. Pada dia lah kamu semua di kembalikan.
11. Saya ingin menyatakan bahawa perpaduan, kesepakatan, patriotisma,
sayangkan bangsa dan agama, semuanya disatukan dalam satu ikatan perpaduan
untuk mengangkasakan martabat bangsa. Saya berharap mesej yang saya
sampaikan ini akan mengusik conscience atau fikrah kita semua untuk
sama–sama menginsafi bahawa imej dan maruah yang tercalar adalah menjadi
tanggungjawab semua tidak kira kedudukan, ideologi politik, bangsawan atau
rakyat biasa bersama–sama bertanggungjawab memperbaikikannya.
Para peserta perhimpunan sekalian,
12. Sekarang ini kita semua faham kenapa kita perlu bersatu. Saya telahpun
menyebutkan perkara–perkara yang perlu dipertahankan yang menjadi hak
ketuanan Melayu dalam perlembagaan. Tetapi penyatuan Melayu lebih dari itu,
dari segi memastikan Melayu tidak terus berpecah belah. Mungkinkah orang
Melayu tidak bijak berpolitik menyebabkan usaha–usaha menyatukan orang
Melayu gagal dicapai? Mungkin ramai akan berasa tidak senang dengan
kenyataan saya, tetapi ia adalah hakikat. Demi kekuasaan, ada dikalangan
pemimpin–pemimpin Melayu sanggup mengenepikan kepentingan orang Melayu itu
sendiri. Ini berbeza dengan pemimpin–pemimpin kaum lain yang sanggup bersatu
biarpun berbeza fahaman demi mempertahankan hak mereka, kekayaan dan kuasa
mereka.
13. Malangnya, saya dapati rakyat melayu masih mengamalkan sikap marahkan
nyamuk bakar kelambu atau marahkan pemimpin, masa depan anak cucu digadai.
Yang menyedihnya ada pula paling taksub hendakkan kuasa sehingga membujur
lalu, melintang patah, asal dapat kuasa yang menjadi matlamat terakhir,
sehingga sanggup menang sorak, kampung tergadai. Selagi sikap ini tidak
dikikis, maka selagi itulah usaha untuk menyatukan Melayu hanya akan menjadi
satu impian semata–mata.
14. Saya berpendapat perhimpunan hari ini harus memikirkan dengan
semasak–masaknya sampai bila orang kita Melayu harus bertelagah dan tidak
mahu bersatu serta berfikir secara matang. Sebenarnya pada pandangan saya
orang Melayu kini tidak mampu lagi ditiup dengan slogan dan retorik.
Peserta–peserta perhimpunan hendaklah mempunyai niat untuk menyatupadukan
Melayu secara jujur dan ikhlas tanpa mempunyai apa–apa agenda tersembunyi.
Yang terpenting sekali ialah usaha–usaha menyatupadukan melayu mestilah
berteraskan kepada matlamat untuk menjamin hak Melayu terpelihara dan masa
depan anak cucu kita tidak tergadai kerana perebutan kuasa.
15. Walaupun saya banyak menegaskan perpaduan Melayu, hak–hak
Melayu dan ketuanan Melayu, tidak bermakna saya tidak
mengambil kira kepentingan kaum–kaum lain yang merupakan rakyat negara ini.
Sebenarnya apabila hak–hak dan keistimewaan orang melayu dijaga dan
dipelihara serta tidak diganggu gugat, akan menjamin keharmonian negara. Ini
bukan sahaja menguntungkan Melayu tetapi juga semua kaum.
16. Saya ingin mengingatkan bahawa dalam kita bertindak menyatupadukan
Melayu, kita harus akur bahawa dalam masyarakat majmuk
seperti Malaysia, hak–hak kaum lain adalah sentiasa
terjamin seperti contohnya, mereka dibenarkan mengamal kepercayaan
anutan mereka dengan aman iaitu patuh kepada undang–undang dan damai iaitu
tidak provokatif terhadap Islam. Raja–raja Melayu adalah ketua agama
Islam dan Malaysia adalah negara Islam bukan negara sekular, acuan
tersendiri, bukan seperti negara–negara lain.
17. Tidak harus ada apa–apa kebimbangan.
Raja–raja akan menjadi payung kepada perpaduan dan menjadi sumber ketaatan
kepada seluruh rakyat, sebagaimana yang
termaktub di dalam perlembagaan dan rukun negara. Dengan demikian,
sewajarnyalah semua rakyat bersatu dan tidak
harus ada ungkit–mengungkit mengenai hak dan keistimewaan orang–orang melayu
kerana ia adalah quid pro quo sebagai balasan kepada beri–paksa
kerakyatan kepada 2.7 juta kaum lain yang datang ke Persekutuan Tanah
Melayu. Maka memanglah tidak wajar setelah kaum lain mendapat kerakyatan,
mereka menuntut pula persamaan hak dan keistimewaan.
18. Sekali lagi, saya ingin menegaskan bahawa hak dan keistimewaan orang
Melayu adalah amanah dan tangggungjawab yang wajar dilindungi dan
tanggungjawab kepada generasi warisan keturunan Melayu, beta yakin kaum–kaum
lain juga mahu melihat orang–orang Melayu bersatu kerana jika orang–orang
Melayu bergaduh sesama sendiri sudah pasti keamanan tergugat.
19. Bersempena Sambutan Maulidul Rasul 1429H ini, marilah kita semua
termasuk saya, bermuhasabah, jangan berdegil, menolak perpaduan disebabkan
untuk mempertahankan ideologi atau fahaman atau perjuangan masing–masing.
Hakikatnya Melayu adalah Islam dan Islam itu berkait rapat dengan orang
Melayu. Semua pihak mesti berfikir dengan secara berhemah dan penuh semangat
ketenangan dan persaudaraan bahawa kita berhak berbeza pendapat tetapi tidak
dalam soal mempertahankan hak Melayu dan Islam, kita tidak ada kompromi.
Begitu juga kita tidak berkompromi untuk
menentang sesiapa yang tidak berlaku adil dan saksama kepada kaum dan
kepercayaan lain.
20. Saya menyeru rakyat saya, khususnya orang–orang Melayu bersatu padu
kerana itu juga tuntutan dalam Islam. Hari ini, kita jangan bercakap sahaja
kita mesti bertindak dan menunjukkan hasil tindakan kita benar–benar
mencapai matlamat yang kita sasarkan. Sekiranya ini dapat dicapai, saya amat
bersyukur dan sesungguhnya kedaulatan dan ketuanan melayu akan terus kukuh
dan terbilang dengan institusi di–raja memayunginya sebagai amanah dari
Allah..
21. Sesungguhnya saya mempunyai impian dan harapan untuk melihat suatu
keadaan di mana perbalahan dan perbezaan pendapat diantara semua pemimpin
Melayu Islam itu dirungkaikan menerusi satu muzakarah pemimpin Melayu yang
diadakan secara tertutup, berhemah dan bijaksana. Saya berharap segala
perbezaan pendapat diketepikan. Perpaduan ummah harus diutamakan demi agama,
bangsa dan tanahair.
22. (Seterusnya, Tuanku menceritakan mengenai kisah peristiwa Nabi Muhammad
s.a.w. yang tiap–tiap hari menjamu seorang perempuan Yahudi buta yang
membenci dan menestanya tetapi hanya mengetahui dirinya disuap Rasulullah
setelah Rasulullah wafat. Ini telah mengubah hatinya.)( The Prophet did good
to a blind woman although she has been cursing the Prophet)
23. Justeru itu, saya berdoa kehadrat Allah s.w.t., semoga Perhimpunan ini
dapat berlangsung dalam suasana berterus terang berlandaskan semangat mahu
membina perpaduan bangsa Melayu yang berintegriti tinggi agar Melayu Islam dihormati
di negara sendiri dan juga diperingkat antarabangsa, Insyaallah.
Akhir kata, Dengan ini, saya dengan kalimah Bismilla–Hirrahma–Nirrahim,
merasmikan majlis perhimpunan perpaduan melayu, sempena Deklarasi Maulidur
Rasul 1429H, anjuran Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).
Sekian, Wabillahi–taufik Walhidayah, Wassalamualaikum
Warahmatullahitaala Wabarakatuh.
Now after reading the whole text, it is obvious that HRH the Tengku Mahkota had never intended to severe the various races but more rather was asking to unite the races and not as had been reported in Malaysiakini. I truly believe that the report by malaysiakini was mischievious and mala fide as it had selective reporting which had intentionally sidelined the whole tenor of the keynote address. HRH's speech must be borne in its entirety and not taken out of context. Some of the words may be lost in translation.
I hope that next time, news reports should not be provocative. Please read with an open mind and not have preconceived ideas. I am merely defending the truth.