|
“Dialog keagamaan bertujuan untuk menggalakkan interaksi untuk memupuk
toleransi dan saling hormat-menghormati”
Contributed by the National Young Lawyers
Committee
Noreen Ahmad Ariff memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti
Malaya dan telah didaftaraikan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi
Malaya pada tahun 2003.
Beliau baru sahaja berpindah dari Johor Bahru dan kini mengamal undang-undang di
Kuala Lumpur. Peguam muda ini telah berkongsi pendapat beliau dengan Dara Waheda
Binti Mohd Rufin baru-baru ini.
Bolehkah anda ceritakan serba sedikit bagaimanakah timbulnya minat untuk
menceburkan diri dalam bidang guaman?
Sejak kecil lagi saya gemar membaca buku-buku karya Charles Dickens di mana ada
di antara karya-karyanya yang diselitkan satu karektor peguam. Karektor peguam
di dalam novel-novelnya seperti “Bleak House” dan “Great Expectations”
menceritakan tentang profesion ini dalam pelbagai perspektif.
Misalnya, watak peguam dalam “Great Expectations” iaitu Mr Jaggers adalah
seorang peguam yang banyak berurusan dengan penjenayah tetapi beliau tidak
pernah sekalipun membiarkan dirinya dipengaruhi oleh mereka.
Walau bagaimanapun, novel yang telah membuat saya benar-benar tertarik untuk
menjadi seorang peguam adalah “To Kill a Mockingbird” karya Harper Lee.
Saya amat menyukai tema yang diketengahkan oleh novel ini iaitu mengenai sikap
prejudis yang wujud antara orang kulit putih dan orang kulit hitam, dewasa
dengan kanak-kanak, si waras dan kurang siuman juga antara orang yang tenang
dengan pemabuk. Saya tertarik dengan babak dalam mahkamah dan petikan kata-kata
di dalam novel ini contohnya;
“The one place where a man ought to get a square deal is in a courtroom, be
he any color of the rainbow, a Rockefellar or a pauper, a genius or a dunce….”
Ironisnya, mahkamah di dalam novel ini gagal memartabatkan keadilan dan
undang-undang kerana sikap perkauman yang sangat tebal. Saya amat mengagumi
watak hero dalam novel ini yang sanggup menggadaikan reputasi dan keselamatannya
untuk membela si miskin iaitu seorang hamba berkulit hitam yang dituduh merogol
seorang wanita kulit putih. Saya membaca novel ini semasa berusia 17 tahun dan
pada waktu itu, saya mahu menjadi seorang peguam seperti watak novel ini iaitu
Atticus Finch.
Setelah beberapa tahun mengamal undang-undang, apakah
pengalaman-pengalaman yang telah anda perolehi?
3 tahun adalah suatu tempoh yang cukup singkat untuk menempuh pelbagai
pengalaman tetapi semasa mengamal undang-undang dalam bidang litigasi di firma
terdahulu, saya telah menempuhi pelbagai pengalaman dan yang paling kerap ialah
bertemu dengan pelbagai ragam manusia.
Pengalaman mengajar saya bagaimana hendak menangani sikap manusia yang terdesak
kerana dibelenggu masalah dan beban hutang, sikap hakim dan rakan peguam yang
kadangkala sukar diramal.
Adakalanya saya terpaksa berdepan anakguam yang gemar memperlekehkan kemampuan
saya kerana saya masih muda dan sifat saya yang pendiam. Saya juga terpaksa
menahan diri saya dari cepat tertekan atau mudah kesian dengan anakguam atau
rakan peguam yang menjadi lawan saya.
Setiap kali saya melalui situasi sebegini, saya akan selalu ingat pada nasihat
mentor saya di firma terdahulu; “If you have something to say, just say it,
don’t be afraid or hesitant, just be confident” dan “Jangan cepat kasihankan
orang”. Dan setiap kali kami mengendalikan kes beliau akan memberitahu saya, “I’m
going to keep quiet, you will have to do all the talking”. Lama kelamaan
saya jadi lebih berani untuk berdepan dengan karenah manusia.
Setelah melalui pengalaman-pengalaman tersebut sekiranya diberikan peluang
untuk mengembalikan masa silam adakah bidang ini masih menjadi pilihan anda?
Ya. Saya masih mahu menjadi seorang peguam tetapi jika diberi peluang untuk
menjadi seorang DJ radio atau pengacara untuk rancangan berkaitan pelancongan
saya pasti tidak akan menolak (sambil ketawa).
Saya sebenarnya teringin untuk menerbitkan sebuah buku yang mengumpulkan
puisi-puisi nukilan saya tetapi siapalah yang mahu membaca dan membeli
karya-karya tersebut. Jika anda mahu membacanya, rujuk blog saya, “Purple
Submarine” (sambil ketawa).
Selain daripada penghormatan yang diberikan oleh masyarakat terhadap
profesion ini, terdapat juga stigma mengenai peguam-peguam bahawa “peguam adalah
penipu yang berlesen”. Pada pandangan anda, jika anda diberikan kuasa untuk
mengubah sesuatu, apakah yang akan anda lakukan untuk membuktikan kepada
masyarakat bahawa stigma tersebut hanyalah omongan kosong belaka?
Saya bersimpati dengan mereka yang pernah ditipu oleh mana-mana peguam. Saya
tidak hairan jika ia pernah berlaku tetapi kita semua tahu bukan semua peguam
adalah penipu. Oleh itu, stigma “peguam adalah penipu yang berlesen” tidak harus
menjadi mantra yang sentiasa dilaungkan masyarakat.
Adakalanya anakguam kurang faham tentang tugas peguam atau mengapa peguam
tersebut mengenakan bil yang tinggi dan sebagainya. Kadang-kadang pendapat
peguam berlainan dari orang biasa kerana peguam melandaskan pendapatnya dengan
fakta dan undang-undang, bukannya dengan mengikut kata hati semata-mata.
Saya juga merasakan bil guaman tidak harus menjadi isu kerana saya pasti peguam
tersebut tahu apa yang mereka lakukan tetapi dalam masa yang sama peguam juga
harus melaksanakan budi-bicara dengan tidak mengenakan kos guaman yang tidak
munasabah sehingga membebankan anakguam.
Penyelesaian paling mudah untuk membersihkan imej peguam dari label “penipu
berlesen” ini terletak pada peguam itu sendiri. Sekiranya semua peguam
menjalankan tugasnya dengan baik, jujur dan ikhlas lama-kelamaan saya pasti
tanggapan ini hanya akan tinggal tanggapan dan masyarakat akan pasti menarik
semula label hodoh tersebut dari profesion ini.
Baru-baru ini, seorang peguam telah menerima ugutan bunuh akibat
kelantangan beliau mempertahankan hak asasi dan pegangan Majlis Peguam yang mana
bertentangan dengan pendirian dan kefahaman sesetengah pihak khususnya dalam isu
murtad.
Ini adalah salah satu contoh kegagalan masyarakat dalam memahami tugas seorang
peguam. Pada saya, peguam tersebut hanyalah melaksanakan tugasnya. Jika kita
berbicara tentang peguam yang sama, saya percaya kes yang beliau kendalikan
berkaitrapat dengan isu undang-undang perlembagaan mengenai kebebasan beragama.
Oleh kerana peguam juga adalah pemelihara Perlembagaan, saya tidak faham mengapa
beliau harus dikutuk kerana melaksanakan apa yang benar. Kes tersebut berkaitan
dengan Perlembagaan dan beliau adalah seorang yang arif dalam bidang
undang-undang berkenaan; jadi mengapakah beliau dipandang rendah semata-mata isu
itu mungkin tidak sah di sisi agama. Saya teringat kepada petikan dialog dari
filem Godfather, “It’s business Sonny, nothing personal.”
Kes-kes murtad seperti Moorthi, Nyonya Tahir dan Rayappan mendapat
perhatian meluas di dada akhbar dan mendapat banyak kritikan daripada pelbagai
pihak sehingga ada yang berpendapat bahawa Jabatan Agama Islam hanya berminat
memelihara jenazah daripada iman umat Islam yang masih hidup. Seterusnya
cadangan penubuhan “Interfaith Commission (IFC)” yang mendapat tentangan dari
ramai Muslim. Adakah banyak lagi persoalan berkaitan kepercayaan dan agama yang
mengganggu kehormanian negara?
Saya ada beberapa pandangan tentang perkara ini.
Pertamanya, isu murtad tidak sepatutnya dipandang ringan oleh kerajaan. Suka
atau tidak, akan ada lebih banyak kes seperti ini pada masa akan datang.
Tetapi saya hairan mengapa Jabatan Agama Islam hanya mengambil berat tentang
pengebumian dan tidak ketika semasa si mati masih hidup? Saya juga
tertanya-tanya bagaimanakah kehidupan para mualaf ini selepas memeluk Islam.
Adakah terdapatnya usaha untuk melihat sama ada mereka bersedia dari segi emosi
dan mental sebelum memeluk Islam kerana bagi saya memeluk atau keluar dari
sesuatu agama bukanlah semudah yang difikirkan. Ia perlu dilakukan dengan alasan
yang kukuh dan dalam keadaan sedar.
Saya juga tidak setuju dengan mana-mana pihak yang memeluk Islam sebagai usaha
untuk lari dari alimoni, untuk mendapat hak penjagaan anak, untuk berkahwin
lebih daripada satu, tujuan perniagaan atau semata-mata kerana cinta. Malah saya
juga amat tidak bersetuju dengan mana-mana pihak yang memeluk Islam kerana cinta
tanpa sebarang usaha dari pasangannya untuk membantu dan menyokong peralihan
dari bukan Muslim kepada Muslim.
Keduanya, melihat apa yang berlaku sekarang ini, di mana cadangan untuk
menubuhkan IFC ditentang oleh pelbagai pihak, saya rasa niat ini harus
dihentikan dahulu sehingga masyarakat kita menjadi lebih terbuka. JIka ia
diteruskan pada waktu ini, saya khuatir akan berlaku lebih banyak masalah dari
penyelesaian. Pada waktu ini, orang awam nampaknya gusar dengan penubuhan IFC
yang dilihat seolah-olah satu usaha menggalakkan murtad di kalangan Muslim dan
meluaskan kebebasan beragama di bawah Artikel 11 Perlembagaan.
Perkara ini sangat menyedihkan, kerana kebanyakan dialog keagamaan bukan hanya
melibatkan agama Islam tetapi agama-agama lain juga. Lagipun, jika masyarakat
membuat sedikit pembacaan dan kajian, mereka akan dapat memahami bahawa dialog
antara agama adalah bertujuan untuk menggalakkan interaksi antara individu atau
institusi yang berlainan agama dan tradisi dengan harapan dapat memupuk
toleransi dan saling hormat-menghormati.
Sikap prejudis tentang agama lain berlaku kerana kurangnya persefahaman antara
suatu sama lain. Kurangnya persefahaman ini mungkin berlaku kerana kurang
interaksi antara suatu penganut agama dengan agama lain ataupun mereka bercampur
tetapi tidak bercakap mengenai agama. Sikap masyarakat yang adakalanya melihat
isu agama sambil lewa juga turut memainkan peranan.
Contohnya dalam soalan pemelukan agama, ada yang menukar agama seperti menukar
baju, masalah timbul bila mereka meninggal dunia. Akhirnya yang susah adalah
waris-waris mereka. Prejudis tentang agama juga mungkin berlaku kerana
dipengaruhi dengan sejarah, budaya dan idealogi politik.
Oleh demikian, sekiranya IFC ditubuhkan, ia haruslah diterajui oleh
individu-individu yang pakar. Pakar-pakar ini juga mestilah terdiri dari mereka
yang adil, berkaliber, dan tidak ada kepentingan politik, barulah masyarakat
akan menerima dan menghargai badan seperti ini. Dalam kata lain yang lebih mudah,
“the person must be an expert who knows what they are talking about and able
to satisfy all”.
Ketiganya ialah imej yang menakutkan tentang Islam yang sering dipropagandakan
oleh sesetengah pihak. Terdapat satu propaganda yang terkenal bahawa Nabi
Muhammad menyebarkan Islam dengan sebelah tangan memegang Al-Quran dan sebelah
lagi memegang pedang. Bayangkan jika anda seorang yang tidak pernah bertemu
seorang Muslim dan tiba-tiba mendengar propaganda sebegini tentu akan membuatkan
anda berasa takut.
Satu perkara yang dapat dilihat dengan jelas di kalangan umat Islam terutamanya
para ulamak adalah mereka gemar “Berdakwah Dengan Hukuman” dan taksub dengan
perkara yang remeh temeh. Tentunya sesiapa sahaja tidak kira umat Islam atau
tidak, akan takut sekiranya mereka terus-terusan diberitahu di dalam Islam,
sekiranya anda tidak melakukan sesuatu tuntutan agama anda akan dihukum dan
diseksa di neraka tanpa mengira bahawa anda adalah seorang yang baik atau tidak.
Misalan yang terbaik yang boleh membuat orang takut dengan Islam adalah kes
dakwaan khalwat terhadap pasangan rakyat Amerika yang menunjukkan kepincangan
pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam.
Walaupun begitu, sejak kebelakangan ini, terdapat pendapat-pendapat
seperti dari Mufti Perlis yang cuba menonjolkan agama Islam secara suatu agama
yang “tidak menakutkan”.
Saya bersetuju dengan pendapat Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang
mana beliau telah menyarankan Jabatan Agama setiap negeri mengeluarkan
garispanduan mengenai serbuan khalwat. Serbuan dan tangkapan tidak harus
dilakukan dengan cara yang memalukan pasangan yang disyaki berkhalwat itu. Islam
melarang kita mengaibkan dan memfitnah orang lain kerana khuatir kita pula akan
diaibkan. Ini terjadi kepada penguatkuasa Jabatan Agama Islam di dalam kes
khalwat pasangan rakyat Amerika tersebut. Akhirnya Jabatan Agama Islam sendiri
yang malu.
Jadi, bagaimanakah caranya bagi Muslim untuk meyakinkan orang-orang bukan Muslim
bahawa umat Islam adalah umat yang penuh dengan kasih sayang? Saya rasa setiap
Muslim perlu memainkan peranan membuktikan bahawa Muslim secara majoritinya
adalah suka bertolak ansur serta faham-memahami sedangkan bilangan mereka yang
bersikap melampau adalah sangat kecil.
Kita juga memerlukan lebih ramai ulama seperti Mufti Perlis. Saya berharap ulama
seperti Dr Asri yang akan sanggup membawa perubahan kepada imej Islam yang lebih
baik dari sekarang.
Terdapat beberapa surat-surat layang yang telah ditemui baru-baru ini
berkenaan ahli-ahli Majlis Peguam. Apakah pendapat anda tentang surat layang dan
apakah yang patut kita lakukan terhadap penulis-penulis surat layang ini?
Pertama sekali, kita hendaklah mengkaji mengapa perkara seperti ini berlaku.
Perkara seperti mungkin tidak akan berlaku jika saluran yang tepat dan berkesan
disediakan untuk orang-orang seperti ini meluahkan perasaan mereka yang
terpendam. Mungkin, dan mungkin sahaja jika ada saluran yang berkesan, mereka
yang terlibat dalam surat layang sudah pasti dapat menyuarakan perasaan mereka
dalam cara yang baik dan bertamadun.
Walau bagaimanapun, daripada kita membuang masa mencari dalang disebalik sesuatu
surat layang itu, adalah lebih baik kita menumpukan perhatian kepada kandungan
dan mesej dalam surat berkenaan supaya pihak-pihak yang didakwa dapat mencuba
memperbaiki keadaan. Adalah menjadi satu peringatan kepada semua orang bahawa
tiada sesiapa pun yang boleh terlepas dari undang-undang atau boleh merasa puas
hati dengan apa yang mereka ada pada masa kini.
Tetapi saya juga berpendapat bahawa sesuatu tindakan perlu di ambil terhadap
penulis surat-surat layang yang dengan sengaja menulis dengan tujuan untuk
membangkitkan kemarahan, perpecahan atau untuk menjayakan agenda peribadi mereka.
Walau bagaimanapun saya kurang pasti apakah kaedah atau hukuman terbaik bagi
mengurangkan “minat” masyarakat terhadap penulisan surat layang. Walau apapun
surat layang tidak sepatutnya digalakkan.
Apakan pandangan anda berkenaan Majlis Peguam tahun ini?
Yang paling penting - sama ada ahli jawatankuasa Majlis Peguam atau ahli
biasa – kita harus bersatu dan berpegang kepada prinsip bahawa “what they are
doing in the Bar Council is a service to all members of the Bar and not just to
service themselves”.
Kesempurnaan sesuatu sistem itu bergantung kepada sikap orang yang melaksanakan
sistem tersebut.
Akhir sekali, pada ketika ini, adakah anda rasa selesa dan seronok menjadi
seorang peguam?
Sepanjang menjadi peguam saya dapati ada hari-hari malang dan hari-hari yang
lebih malang (sambil ketawa). Secara keseluruhan, saya suka belajar perkara baru
dan ada banyak perkara yang saya masih mahu belajar dalam bidang ini.
Pada saya, profesion ini tidaklah semudah yang disangka. Seorang peguam
mempunyai banyak tanggungjawab dan harus bijak mengimbangi kehidupan profesional
dan peribadi mereka.
Sama ada seronok dan selesa bagi saya untuk peguam muda banyak bergantung dengan
bidang amalan guaman, mentor dan tempat anda bekerja. Sekiranya ketiga-tiga
kriteria ini dapat anda tandakan dengan positif, anda akan suka dengan profesion
ini. Sekiranya semuanya negatif, anda pasti akan mengalami trauma dan tidak mahu
menjadi peguam lagi.
Semasa saya di Johor Bahru, beberapa rakan peguam saya telah meninggal dunia
kerana serangan jantung. Sememangnya kita tidak boleh pilih bagaimana dan bila
untuk mati tetapi selagi kita masih hidup, kita harus bijak memilih cara hidup
yang sesuai untuk diri kita.
Saya mencadangkan peguam untuk menyertai gim dan bersenam di masa lapang, jika
tiada masa sekalipun carilah masa. Anda tidak akan menyesal kerana anda akan
dapat merasakan diri anda lebih sihat. Anda juga akan mampu melakukan
aktiviti-aktiviti yang anda tidak sangka anda mampu lakukan.
Contohnya, baru-baru ini saya telah mencuba “whitewater rafting”, satu
pengalaman yang sangat menyeronokkan dan mencabar minda dan ketahanan fizikal
saya. Saya cadangkan rakan-rakan peguam juga mencuba aktiviti-aktiviti riadah
seperti ini. Anda pasti tidak akan menyesal.
Other YL Personalities:
YL
Personality: Noreen Ahmad Ariff
YL
Personality: Nadia Ashikin binti Maduarin
YL
Personality: David Dinesh Mathew
YL
Personality: Nizam Bashir Bin Abdul Kariem Bashir
YL
Personality: Amer Hamzah Bin Arshad
YL
Personality: Ernie Suffiani Binti Salim
YL
Personality: Ahmad Syukri Bin Yusoff
YL
Personality: Dipendra Harshad Rai
YL
Personality: Soo Wee Loon
YL
Personality: Tracy Hah
YL
Personality: Aminuddin bin Abdullah
|
Noreen,
Peguam muda yang bijak lagi menawan.
Sungguh tertarik apabila membaca luah hati saudari Noreen.
Bolehkah saudari membawa saya pergi gim ataupun "whitewater rafting" kerana saya meleleh membaca pengalaman saudari yang cukup pandai mengimbangi masa untuk "live the life".
Syabas. Jika sudi bolehlah bertukaran SMS melalui talian saya [Deleted by MBW] untuk membantu saya menambat "tummy" saya yang saban hari saban besar ini.
Sekian