|
Sebagai membuktikan keperihatinan peguam-peguam muda
Malaysia, Jawatankuasa Peguam Muda (YLC) bakal melakar satu sejarah dengan
mengadakan Majlis Malam Amal 2007 secara serentak di empat buah negeri pada 29
Jun 2007 bermula pada pukul 8:00 malam. YLC Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan
Johor telah pada dasarnya bersedia menganjurkan majlis tersebut dan
masing-masing mengatur program dengan satu tujuan, iaitu mengumpul dana ikhlas
bagi membantu golongan kurang bernasib baik.
Majlis amal ini yang mendapat sokongan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga
Sreenavasan dan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Muda Nasional (NYLC), Edmund Bon,
merupakan kesinambungan kepada Majlis-majlis Amal seumpamanya yang telah
diadakan oleh YLC Kuala Lumpur, perintis kepada majlis amal ini sejak tahun 2005
lagi dan pada tahun ini telah sekali lagi menyambung usaha murni tersebut.
Sehubungan itu, satu sesi sidang akhbar telah diadakan pada 25.05.2007 bertempat
di Majlis Peguam Malaysia yang dihadiri oleh wakil-wakil media bagi memberi
peluang kepada wakil-wakil YLC yang terlibat dalam penganjuran majlis ini untuk
meuar-uarkan kepada semua ahli-ahli Badan Peguam khasnya dan masyarakat amnya
tentang majlis tersebut.
Menurut Pengerusi YLC Kuala Lumpur, Dipendra Rai, pada kali ini, majlis yang
akan di adakan di Maison, Jalan Yap Ah Shak, Kuala Lumpur memilih untuk membantu
dua organisasi kebajikan iaitu Sri Shenbagavali Asram Home dan Persatuan
Dialisis Touch dengan menyalurkan dana yang bakal dikutip pada malam berkenaan.
Menurut beliau lagi, sepertimana tahun terdahulu, sebagai acara kemuncak, YLC
Kuala Lumpur akan mengadakan pertandingan “KL Bar Idol” kali kedua yang mana
pemenangnya ditentukan melalui satu sistem unik. Finalis-finalis akan dipilih
menerusi satu pusingan kelayakan yang diadakan pada 26.06.2007. Kemudian pada
malam amal berkenaan, setiap finalis akan disediakan satu peti derma dan finalis
yang menerima amaun derma yang tertinggi akan dimahkotakan sebagai pemenang atau
“Idol”.
Pada masa yang sama, YLC Melaka memilih sebuah restoran di tepian pantai, “The
Seafarer” sebagai lokasi penganjuran Majlis Malam Amal dengan hiburan muzikal
dan “Melaka Bar Idol” sebagai tarikan utama ke majlis tersebut.
Menurut Desmond Ho, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Bahagia, sebuah rumah
kebajikan milik persendirian telah dipilih sebagai penerima kutipan derma yang
bakal dikumpul melalui majlis berkenaan.
Sementara itu, pengerusi YLC Perak, Kenny Lai berkata ini merupakan kali pertama
Majlis Malam Alam seumpama ini dianjurkan di Perak dengan memilih Ipoh City &
Country Club sebagai lokasi penganjuran. Sepertimana YLC Kuala Lumpur dan
Melaka, Perak juga bakal mengadakan pertandingan “Perak Bar Idol” sebagai salah
satu acara tarikan pada malam berkenaan.
Semua kutipan yang bakal diperolehi pada malam tersebut akan disalurkan kepada
Rumah Kebajikan Good Shepherd Homes, yang memerlukan bantuan kewangan dalam
usaha mendapatkan kawasan yang lebih luas bagi menampung pertambahan jumlah
penghuni.
Berbeza dengan YLC Kuala Lumpur, Melaka dan Perak, YLC Johor telah memilih “Fun
Fiesta of Games” sebagai tema utama majlis malam amal anjuran mereka. Menurut
Albert Ding, Majlis yang akan berlangsung di June’s Place, Skudai memilih untuk
membantu Johor Cheshire Homes melalui derma ikhlas yang bakal dikumpul pada
malam berkenaan.
Peguam peguam di jemput hadir sama untuk menyumbang bagi menjayakan projek amal
ini.
Keperihatinan anda adalah harapan mereka.
|