Home
News
Members' Opinions and Comments
Xenofobia, prasangka tidak munasabah
News
Members' Opinions and Comments
Xenofobia, prasangka tidak munasabah | Xenofobia, prasangka tidak munasabah |
|
|
|
| Monday, 30 July 2012 12:15pm | |
©Sinar Harian (Digunakan dengan kebenaran)by SYAHREDZAN JOHAN Baru-baru ini, senaskhah komik berbaur perkauman telah dijumpai yang diedarkan di ibu kota. Komik tersebut menggambarkan secara negatif warga asing yang berkulit gelap. Di dalamnya, watak rakyat tempatan dilukis melarikan diri daripada sekumpulan warga asing berkulit gelap yang digelar sebagai ‘Awang Arang’. Kononnya, ‘Awang Arang’ ini akan ‘menjahanamkan negara’, dan kita harus menjauhi diri kita daripada mereka. Komik ini telah dikecam oleh beberapa pertubuhan NGO kerana berbaur perkauman dan mempunyai ciri-ciri xenofobia. Xenofobia, atau dalam bahasa Inggeris xenophobia, membawa makna ‘ketakutan atau kebencian tidak munasabah terhadap warga asing, orang yang tidak dikenali atau perkara yang asing dan pelik’, kalau mengikut kamus bahasa Inggeris yang boleh didapati atas talian, Dictionary.com. Prasangka, kebencian dan perasaan negatif terhadap warga asing ini amat berleluasa. Dalam media massa contohnya, terdapat laporan-laporan negatif yang dibuat mengenai warga asing. Di dalam kehidupan seharian kita juga, warga asing sering dijadikan kambing hitam dan dituduh sebagai punca segala macam masalah yang melanda negara ini. Kononnya, warga asing datang ke Malaysia dan melakukan jenayah seperti mencuri, merompak, merogol dan kadangkala membunuh. Mereka kononnya menyebabkan peningkatan kadar jenayah, di samping ‘mencuri’ lelaki dan wanita tempatan untuk dijadikan pasangan. Kita benci akan pelajar asing yang bising dan suka menunjuk-nunjuk, pembantu rumah yang sering melarikan diri, pelayan restoran yang tidak faham bahasa, si dia yang mempunyai bau badan dan ‘mengharumkan’ seluruh gerabak KTM, buruh kontrak asing yang selekeh dan pekerja stesen minyak yang menjengkelkan. Jika dada kita ditepuk dan ditanya selera, warga asing sewajarnya dihalang daripada masuk ke dalam negara. Prasangka kita terhadap warga asing ini selalunya tidak berasas. Adakah terdapat statistik atau data untuk menunjukkan bahawa warga asing adalah penyebab masalah yang kita alami? Adakah prasangka kita berlandaskan fakta, atau sikap xenofobia di dalam diri kita? Apa yang menghairankan, sekiranya pendatang itu dari negara Barat, Timur Tengah atau Asia Timur, kita sanjung dan junjung mereka berlebih-lebihan pula. Xenofobia sebenarnya bukanlah sesuatu yang eksklusif kepada rakyat kita. Negara Barat juga sedang menghadapi kebangkitan pergerakan konservatif sayap kanan yang menuntut pendirian lebih tegas dalam kemasukan pendatang luar. Sikap ini adalah disebabkan faktor ekonomik dan sosial; warga asing merampas peluang pekerjaan mereka dan melemahkan identiti kebangsaan mereka. Sikap perkauman rata-rata dianggap tidak lagi politically correct. Tidak ramai yang akan secara terang-terangan mendukung dan menyokong perkauman. Tetapi di Malaysia, xenofobia masih diterima dan kadangkala digalakkan. Perkauman adalah salah, tetapi sikap xenofobia tidak menjadi masalah. Sebenarnya jika kita renungkan, ramai rakyat Malaysia adalah waris kepada mereka yang datang dari negara asing, tidak kiralah dari Nusantara yang dekat, atau negara Arab, India atau China yang lebih jauh. Sejak turun-temurun, kita telah menerima kedatangan warga asing yang memperkayakan kemajmukan kita dengan tangan terbuka; tetapi kini kita begitu benci akan mereka. Saya tidak mempersoalkan kerakyatan sesiapa. Ini bukan soal itu. Saya juga langsung tidak mencadangkan supaya warga asing yang datang diberikan kewarganegaraan. Saya juga tidak mencadangkan supaya mereka diberikan layanan istimewa. Cuma kita harus berlaku adil pada warga asing yang datang ke sini, yang rata-rata datang ke bumi bertuah ini demi mencari rezeki yang halal. Layan mereka sebagai warga bermaruah yang mempunyai hak asasi. Bukankah mereka juga manusia seperti kita? *Penulis adalah peguam muda yang mengamalkan undang-undang sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Set as favourite Share Email This Comments (0)
![]() Write comment
You must be logged in to post a comment. Please register if you do not have an account yet.
|
| < Prev | Next > |
|---|







©


















